Monday, May 28, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 2


KEMERIAHAN menyambut  kedatangan bulan Syawal kelihatan di mana-mana. Lebih-lebih lagi kerana kedudukan premis Farmasi Honeymon yang tepat bertentangan dengan sebuah pasar raya. Segala kesibukan yang berlaku di sana nampak jelas dari dinding kaca premis itu. Bahkan lagu-lagu raya yang dipasang kedengaran jelas hingga ke muka pintu. Tanpa sepatah kata, Hanisa memerhati segala yang berlaku di luar sana sejak sejam yang lalu. Hatinya menggerutu.
    “Semua kedai sudah pasang lagu raya, kita bila mau pasang?” Mei Lin, gadis Cina berambut panjang separas bahu membuka mulut.
    Hanisa hanya menjeling sesaat, pertanyaan Mei Lin itu kedengarannya seperti mencabar dirinya. Gadis itu bukan tidak tahu, dia bencikan lagu raya.
“Kalau awak berani, cubalah pasang. Nanti, dengan radio-radio tu sekali saya campak ke dalam longkang.”
Mei Lin terdiam, dia menoleh pula ke arah Intan, seorang lagi jurujual di premis itu. Kini kedua-duanya tunduk mengelap botol-botol vitamin di atas rak.
“Apa salahnya kalau tahun ini kedai kita pasang lagu raya? Tiap-tiap tahun kita tumpang lagu raya dari pasaraya tu,” sampuk pula Richard yang merupakan pengurus di premis farmasi itu. Dia datang ke kaunter hadapan sambil membawa beberapa keping invois.
Hanisa memandang tajam ke arah Richard. “Awak mahu ikut cakap saya atau awak mahu saya tak lagi datang ke sini? Awak pilih.”
“Aiyaaa… sampai macam tu pula. Kita raya mau happy-happy. Tak baguslah ini macam,” balas Richard. Intan dan Mei Lin hanya mendiamkan diri seperti tidak berani masuk campur.
“Itu orang lain, okey? Not me. Kalau awak nak sangat dengar lagu raya, awak boleh duduk depan pintu pasaraya tu. Saya tak kisah. Jangan lupa bawa kerusi sekali.”
 Hanisa terus berlalu dari situ, makin lama di situ makin panas hatinya. Sudah hampir tujuh kali raya dia begitu, takkan itu pun masih tidak difahami Richard dan Mei Lin? Ah! Mereka sengaja mahu menyakitkan hatinya, dan mereka tidak akan berjaya memujuk dia sampai bila-bila kerana hidupnya sudah lama berubah. Dia saja yang tahu kenapa.
“Hanisa, ini invois baru.” Richard menegur sambil menunjukkan invois yang dibawanya tadi.
“Awak buat sendiri,” jawab Hanisa sebelum masuk ke ofisnya. Siapa suruh cari masalah dengan dia?
N
“SETIAP tahun dia macam tu,” keluh Mei Lin setelah tubuh Hanisa hilang di dalam ofisnya.
“Apa masalahnya dengan Cik Hanisa tu? Awak tahu kenapa dia benci sangat dengan lagu raya? Kalau setiap kali musim raya tiba, dia semakin suka marah. Salah sikit saja, terus melenting. Lama-lama saya pun jadi takut kalau bulan puasa tiba,” kata Intan pula sambil ketawa kecil.
Mei Lin angkat bahu. Dia memandang pula ke arah Richard. “Abang tahu?”
Richard juga menggeleng. “Dia tak pernah cerita apa-apa. Tapi dia memang banyak rahsia. Sikit-sikit rahsia, sikit-sikit rahsia….”
“Dia tak balik kampung, dia tak jalan raya macam orang lain dan… dia juga tak ada buat kuih-muih macam orang lain,” kata Mei Lin.
“Dari mana awak tahu?” Intan pandang Mei Lin.
“Dulu… semasa kedai ni baru dibuka, semasa saya baru kenal dia, saya ada tanya dia sikit-sikit. Tapi dia kata, dia tak balik raya. Cuti raya tiga hari pun, dia tidur saja.”
“Pelik betuk Cik Hanisa tu,” balas Intan.
“Nasib kitalah dapat pharmacist pelik macam tu,” sampuk Richard pula. Dia sudah mahu keluar makan tengah hari. Invois yang dipegangnya tadi, diserahkan sahaja kepada Mei Lin, adiknya.
“Kalau dekat raya saja dia pelik sikit, waktu lain dia okey,” balas Mei Lin.
Intan angguk perlahan.
“Raya pun sudah dekat. Habis raya, dia okey balik. Sementara tu, kita kena tahan sajalah dengan dia.” Richard tersengih.
Mei Lin hanya mengangkat kening. “Sudah lama saya tak pergi beraya di rumah kawan Melayu. Ada kawan pun raya jauh-jauh. Sorang lagi terus tak raya.”
Intan ketawa dan lantas memaut bahu Mei Lin. “Jadi merungut ni sebab nak makan kuih rayalah ya? Nanti saya bawa untuk awak kuih raya.”
“Tak mahulah. Saya mahu pergi beraya, pergi rumah orang pada hari raya. Baru best makan-makan, ada feel,” balas Mei Lin dengan nada tidak puas hatinya.
“Mungkin tahun ni ada perubahan. Siapa tahu?” sampuk Richard lagi. Dia sudah sampai ke hadapan pintu kedai. Belum sempat sesiapa menjawab dia sudah keluar dari situ.
Mei Lin menunjukkan muka bosan. Lebih baik dia mengharapkan bintang turun ke bumi daripada mengharapkan Hanisa untuk berubah. Gadis itu keras hati dan pemarah. Dia sendiri kecut perut apabila bulan puasa menjelma.
N
SEBAIK sahaja masuk ke pejabat, Hanisa terus duduk melepaskan penat. Dia tahu, pasti di luar sana Mei Lin, Intan dan Richard sedang mengumpat pasal dirinya. Tapi apa dia peduli? Sudah tujuh tahun dia begitu. Dia tak hidup dipuji dan tak mati dikeji. Dia cuma bersembunyi.
    “Saya tak mahu hanya jadi pharmacist,” katanya pada Richard tujuh tahun yang lalu pada perbincangan mereka yang pertama.
    “Awak mau jadi share partner?”
    “Law sudah berubah. Pharmacist mesti pegang share majoriti. Kalau awak tak mahu beri pun, saya tetap akan buka satu kedai di sini, Saya boleh buka tapi awak tak boleh kalau tak ada pharmacist berlesen,” katanya dengan tegas. Dia memberikan Richard dua pilihan, bekerjasama atau jadi musuh.
    “Awak mahu jadi share partner saya lagi suka,” balas Richard.
    “Tapi dengan satu syarat selain dari soal share majoriti itu,” tambahnya hari itu.
    Richard memandangnya lama-lama.
“My life is my business. Mind your own problems before you talk about mine. Get it?”
    Dengan lambat-lambat Richard mengangguk. Maka mulai saat itu termerailah satu perjanjian usahasama di antara dia dan Richard untuk menubuhkan kedai itu. Richard akan bertindak sebagai pengurus dan dia sebagai pharmacist.
Setelah tujuh tahun berlalu, dia masih di situ dan masih dapat bersembunyi dari semua yang tidak diingininya. Tetapi mengapa hari ini dia mula rasa yang Richard, Mei Lin dan Intan seolah-olah cuba melanggar janji itu? Atau adakah dia yang semakin lemas di dalam penjara yang dibuatnya sendiri?
Sebuah diari kecil berwarna merah muda dikeluarkan daripada beg tangannya. Diari yang ke 16 sejak dia mula menulis diari setiap hari dan setiap tahun. Semuanya bermula sejak dia berusia 13 tahun dan menerima diari pertamanya.
“Ini bukan buku biasa tau,” kata ayah angkatnya yang memberikan buku tersebut bersempena dengan hari jadinya.
“Bukan buku biasa?”
Ayah angkatnya menggeleng.
“Ini buku ajaib.”
“Buku ajaib?” Baru kali pertama dia mendengar diari adalah sebuah buku ajaib.
“Buku ni… kalau kita tulis di dalamnya, ia boleh menyerap apa saja yang kita rasa. Kalau Hani rasa sedih, Hani tulis di dalam ni, dia akan serap rasa sedih tu dan simpan jauh-jauh. Kalau Hani rasa suka, dia akan simpan dekat-dekat.”
Dia pun percaya. Lalu setiap hari dan setiap tahun, dia menulis di dalamnya apa sahaja perasaannya dan impiannya. Tetapi yang banyaknya adalah tentang perasaan sedihnya kerana itulah satu-satunya cara dia dapat membuang perasaan itu jauh–jauh.
Lalu hari ini dia menulis…
Dear Diary,
    Tinggal beberapa sahaja lagi hari raya akan tiba. Suasana semakin meriah. Lagu raya berkumandang di mana-mana. Aku terlalu ingin beraya seperti aku kecil dulu… memakai baju baru, bermain bunga api, mengumpul duit raya tapi mana mungkin semua kenangan manis itu berulang lagi. Semuanya sudah terhenti ketika aku meninggalkan rumah itu… 

Thursday, May 24, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 1


BORHAN terkejut bercampur keliru. Akhirnya surat yang disuakan kepadanya itu dilihat saja tanpa ingin disentuh. “Surat apa?” tanyanya.
“Saya sekadar menunaikan amanah. Surat ini mesti diserahkan kepada tuan setelah genap tiga bulan tuan tinggal di sini,” balas Asma. Matanya bulat memandang Borhan. Riak wajahnya bagaikan sedikit takut jika Borhan tidak mahu menerima surat yang baru diserahkannya itu.
Mendengarkan jawapan Asma, Borhan berasa sedikit terpanggil untuk melihat surat itu dengan lebih dekat. Di muka hadapannya ada tertera namanya yang bertulisan tangan. Di bahagian belakangnya pula dipateri dengan cop rasmi keluarga Zachary. Satu tradisi yang telah dimulakan oleh arwah moyangnya dahulu dan cop rasmi itu kini menjadi miliknya pula sebagai pewaris sah segala harta warisan Zachary.
“Jadi selama ini awak menghitung hari untuk menyerahkan surat ini kepada saya?”
Dia sengaja mengusik Asma. Dia kerap bertemu dengan gadis itu yang merupakan seorang peguam. Asmalah yang menguruskan soal perpindahan harta dan segala wasiat datuknya. Malah selama ini firma guaman yang dimiliki oleh Asma dan ayahnya yang bertanggungjawab dalam hal-hal perundangan yang melibatkan syarikat keluarganya. Dan hari ini, hal ini pula timbul.
    Asma angguk bersama sedikit senyuman. “Itulah arahan datuk tuan. Surat ini diamanahkan kepada ayah saya setahun yang lalu, kemudian diamanahkan pula kepada saya setelah ayah saya meninggal dunia enam bulan yang lalu. Lebih kurang serentak dengan pemergian datuk tuan sendiri.”
    “Begitu? Jadi saya percaya surat ini mesti penting, kan?” Sekurang-kurangnya itulah yang dia percaya. Tak mungkin pula arwah datuknya meninggalkan sekeping surat cinta. Tetapi siapa tahu, kan? Lalu, dengan perasaan yang tidak sabar-sabar, dia membuka surat itu.
    “Saya cuma diberi amanah untuk menyimpan dan menyampaikan surat ini apabila tiba masanya. Apa yang ada di dalam surat itu, saya tak tahu,” kata Asma lagi. Kini air mukanya berubah tenang, mungkin mula berasa lega kerana tugasnya hampir selesai.
    Borhan angguk sahaja, tumpuannya kini lebih kepada isi kandungan surat yang bertulisan tangan itu. Kini dia pasti surat itu daripada arwah datuknya dan isi kandungannya hampir sahaja membuatkan jantungnya berhenti berdegup.
    “Muka tuan nampak pucat,” tegur Asma pula.
    Borhan meraup mukanya dengan tapak tangannya yang sejuk. Itu pun masih belum dapat menghilangkan rasa gugup dan terkejutnya.
    “Awak tahu apa isi kandungannya?” Borhan bertanya lagi. Jika boleh dia mahu Asma mengangguk supaya apa yang tertulis di situ tidaklah seumpama bom atom yang meletup di atas kepalanya seorang.
    Asma menggeleng lagi.
    Dia kecewa sehinggakan dia terdiam seketika. “Awak tahu yang saya ada mempunyai seorang bapa saudara?” tanya Borhan lagi sambil merenung wajah Asma betul-betul. Manalah tahu kerana setahu dia arwah datuknya berkawan rapat dengan arwah bapa Asma.
    Asma menggeleng perlahan. Nampak jelas di wajahnya, dia terkejut dan tergamam dengan pertanyaan itu.
    “Tuan Amzar tak pernah menyebutnya kepada kami sebelum ini. Setahu kami, semua rekod menunjukkan bahawa datuk tuan hanya mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Hakimi. Iaitu bapa tuan sendiri.”
    “Arwah ibu bapa saya sendiri pun tak pernah menyebut tentang hal ini kepada saya,” kata Borhan pula. Itu sememangnya benar. “Tapi mustahil pula datuk saya mengada-adakan cerita.”
    “Apa motifnya baru sekarang datuk tuan mendedahkan perkara ini? Sedangkan semasa beliau hidup, perkara ini disembunyikan.”
    “Arwah datuk suruh saya mencari dia,” katanya sambil memandang jauh ke hadapan namun pandangan matanya jadi kosong. Sekosong fikirannya juga.
    Riak wajah Asma berubah kalut. “Bagaimana tuan nak cari dia? Tuan baru saja berpindah ke sini.”
    “Awak boleh bantu saya?” tanyanya pada Asma pula.
    Asma menggeleng. “Tapi saya tahu seseorang yang boleh diharapkan.”
    Borhan angguk perlahan. Siapapun orangnya, dia amat diperlukan sekarang. Misteri di dalam surat itu perlu dirungkai secepat mungkin. Banyak persoalan yang perlu dijawab.

N
“NAMANYA Adam. Dia pernah membantu saya mencari salah seorang pelanggan saya yang menghilangkan diri selama lima tahun,” kata Asma seraya menunjukkan sebaris nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya yang diletakkan di hadapan Borhan.
“Adam?”
“Adam Akbar. Dia mempunyai syarikat penyiasatan sendiri di Jalan Teluk Sisek,” tambah Asma.
“Boleh dipercayai?”
Borhan mula berasa berbelah bahagi. Kes itu adalah kes peribadi malah akan melibatkan maruah keluarga Zachary. Dia juga tidak jelas, sama ada ayahnya dan bapa saudaranya itu satu ibu ataupun tidak. Mungkin… ia akan melibatkan masalah yang lebih besar pula nanti. Tetapi jika diharapkan dirinya sendiri, dia benar-benar berasa tidak berupaya. Dalam Bandar Kuantan pun dia masih tersesat.
“Saya cadangkan tuan berjumpa dia dulu. Kemudian tuan boleh tentukan sendiri. Tapi pada saya, dialah orang yang terbaik untuk kes seperti ini. Otaknya bergeliga, orang kata hidungnya macam hidung anjing.”
“Menarik.” Borhan mula yakin dan kagum tetapi cadangan Asma tadi juga perlu diambil kira. Manalah tahu cerita tidak seindah rupa. “Saya akan jumpa dia secepat mungkin,” katanya sambil menyalin nombor telefon Adam di atas sekeping nota.
“Tuan Borhan,” Asma memanggil. “Tuan tidak bergurau, kan?”
“Jika awak tak percaya, saya sepuluh ganda susah nak percaya. Selama ini, mati-mati saya ingat arwah ayah saya anak tunggal dalam keluarga Amzar seperti saya juga.”
“Kenapa boleh sampai begitu sekali datuk tuan membuang anaknya?”
Borhan mengangkat muka. Sejujurnya dia rasa terkejut dengan pertanyaan itu. “Awak tentu pernah berjumpa dengan arwah datuk saya, kan? Awak percaya orang seperti dia sanggup membuang anaknya sendiri?”
“Maafkan saya,” kata Asma pula. Ada riak kesal di wajahnya.
“Mengikut apa yang ditulis di dalam surat ini… bapa saudara saya telah meninggalkan rumah selepas berlaku perselisihan faham. Senang kata, dalam bahasa kasarnya, bapa saudara saya tu lari daripada rumah. Sama seperti remaja sekarang suka buat.”
Asma angguk perlahan, dia tidak bertanya lagi. Mungkin takut menyinggung perasaan Borhan. “Kalau tugas saya di sini sudah selesai, saya minta diri dulu, tuan. Tapi kalau tuan perlu apa-apa bantuan lagi, jangan segan hubungi saya. Saya sedia berkhidmat untuk tuan sebagaimana ayah saya berkhidmat untuk arwah datuk tuan dulu.”
“Saya tahu,” balas Borhan. “Tapi Asma… buat masa ini biarlah kita berdua saja yang tahu perkara ini. Sementara tu saya mahu awak lihat semula harta datuk saya. Awak pun tahu, pembahagian harta mengikut Faraid itu sudah berubah. Saya mahu pulangkan apa yang hak kepada bapa saudara saya nanti.”
“Tuan boleh percayakan saya. Rahsia tuan rahsia saya. Hal itu serahkan saja pada saya,” balas Asma sebelum bangkit meminta diri sekali lagi.
Borhan hanya melihat Asma meninggalkan rumah itu dengan seribu satu perasaan yang berbaur. Dia sedar perjalanan hidupnya telah berubah. Hanya kerana sepucuk surat, di bahunya sudah terbeban amanah yang berat. Namun kerana kasih sayang kepada datuknya permintaan itu akan ditunaikan.
Setelah Asma menghilang, dia mengambil kertas kecil yang mengandungi nombor telefon Adam. Nombor itu segera didail.
N
“ASSALAMUALAIKUM, boleh saya bercakap dengan Encik Adam Akbar?” Dia memulakan bicara sebaik sahaja panggilannya dijawab seseorang. Dia berharap benar agar lelaki yang bernama Adam Akbar itu sedia membantunya.
“Waalaikumussalam. Saya Adam KLU PI. Boleh saya bantu?”
“Saya ada tugas untuk encik, boleh kita berbincang?” balas Borhan terus-terang.
“Saya bersedia pada bila-bila masa.”
Borhan menarik nafas lega. “Pukul 4.30 petang nanti datang ke Wisma Gempita. Nama saya Borhan. Beritahu sahaja kepada penyambut tetamu di situ.”
“Saya akan ke sana, encik tunggu saja,” jawab Adam sebelum perbualan itu ditamatkan.
Untuk beberapa saat, Borhan masih termangu di ruang tamu itu. Terasa masih sukar untuk dia mempercayai apa yang baru berlaku sebentar tadi, namun surat di atas meja itu bukanlah suatu mimpi. Buruk atau baik tindakannya itu dia sendiri tidak pasti tetapi dia yakin itulah amanah datuknya yang mesti ditunaikan lambat atau cepat. Dia pasrah sahaja apa yang akan terjadi cuma dia tetap tertanya-tanya apa yang telah berlaku 31 tahun yang lalu.

Tuesday, May 15, 2012

Cerita chicklit dan novel misteri seterusnya.


Buat masa ini blog Psst! Girls Talk sedang menyiarkan cerita chicklit kedua saya yang bertajuk SHORT but SWEET. Cerita ini berbentuk novella dengan kepanjangan 162 muka surat sahaja. Ia akan dimuatkan sebagai BONUS dalam novel Strawberi Coklat Untuk Ella (karya Fird Samz) yang akan diterbitkan pada bulan hadapan.

Cerita ini akan disiarkan sebanyak 5 bab sahaja di sana dan jika anda mahu membacanya sila KE SINI (Tekan)

Di samping itu, saya dalam proses menyediakan mss MDH, sebuah mss Misteri- Cinta Kekeluargaan yang akan diterbitkan pada bulan Julai 2012. Novel ini setebal 700+ muka surat dan akan diterbitkan oleh ACE. Mengikut perancangannya, saya akan siarkan di sini sebanyak 20 bab cerita tersebut sebagai pengenalan kelak.

Berbeza daripada cerita misteri saya yang lain, cerita ini tidak mempunyai elemen seram dan lebih bersifat dark romances tetapi elemen penyiasatannya tetap ada dan dimainkan oleh watak seorang penyiasat persendirian bernama Adam.

Terima kasih di atas sokongan anda. Jemputlah baca cerita chicklit saya dahulu. Jangan lupa ke blog Psst! Girls Talk.  (tekan)