Friday, April 11, 2014

Rahsia Gadis VIP : Bab 8

Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4


~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~

*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery

“KAMI dah boleh balik ke?” Jazz terus bertanya apabila Sofia kembali menghampiri mereka bertiga di meja nombor 10.
“Belum,” balas Sofia. “Baru pukul 5.30 petang.”
“Setengah jam pun kau tak nak bertolak ansur?” tanya Linda pula. Dia sudah berdengus dan menarik muka.
Shereen tersenyum sumbing di tengah-tengah.
Namun, Sofia tetap melayangkan senyuman sinisnya. “Bahkan aku rasa kau orang semua terpaksa tidur di rumah aku malam ni.”
“Hah?” Linda menggeleng. “Kenapa macam tu pula?”
Jazz angguk laju.
“Aku nak balik ni. Banyak kerja,” katanya.
Shereen pula hanya mendiamkan diri. Cuma mata dan telinganya sahaja yang mengawasi semua yang berlaku di situ dengan teliti.
“Selepas habis majlis sekejap lagi, umi mahu kau orang bertiga pergi ke rumah aku. Umi kata ada hal penting yang nak dibincangkan,” terang Sofia dengan tenang.
“Kami bertiga aje ke atau ada yang lain?” tanya Jazz.
Seluruh badannya bagaikan ingin digaru-garu. Dia ingin sekali meninggalkan tempat itu dan kembali ke bilik hotel. Dia percaya kalau telefon bimbitnya diperiksa tentu sudah penuh dengan mesej daripada Remy dan juga panggilan yang tidak berjawab.
Sayangnya semua telefon dan sebarang peranti elektronik tidak dibenarkan dibawa ke majlis itu. Itu membuatkan dia semakin resah kerana dia yakin akan dimarahi Remy cukup-cukup nanti.
“Kau orang bertiga aje,” jawab Sofia.
“Umi nak tinggalkan kami wasiat ke?” sindir Shereen.
Sofia menjeling tajam.
“Kau ada pilihan lain?” tanya Sofia sekaligus memadamkan senyuman di wajah Shereen.
Kali ini, tidak ada siapa yang mahu menjawab.
“Jadi, aku anggap aje semua sudah bersetuju. Tapi kalau ada yang berani lari balik selepas pukul enam, jangan menyesal kalau ada apa-apa yang terpampang dalam surat khabar pagi esok.”
Jazz, Linda dan Shereen kematian kata-kata buat sesaat dua.


“MACAM MANA ni?” Jazz terus bersuara setelah rasa terkejutnya hilang.
Dia sudah rasa hendak menangis. Makin lama di situ, dia makin bimbang identitinya terdedah. Itu pun, dia perasan ada beberapa orang gadis merenungnya lama-lama. Ah! Dia bimbang betul kalau dikenali. Rosaklah reputasinya.
“Betul kata kau, Shereen. Dia takkan berhenti setakat majlis ni aje,” kata Linda pula.
Shereen angguk.
“I told you,” katanya sambil tersenyum pahit. “Tapi sebenarnya aku tak kisah berlama-lama kat sini sebab aku ni bukan popular macam kau orang berdua. Orang pandang aku sepuluh kali pun tak cam aku siapa. Lainlah kau orang. Kalau topeng tu terbuka, mahu ada yang kena heart attack.”
“Alah…kau tu siapa? Anak bekas menteri tahu? Kalau tak kenal kau pun… orang kenal ayah kau tu,” bidas Jazz.
Kata-kata pedas Jazz hanya membuatkan Shereen tersenyum sinis. Hakikatnya memang begitu tetapi, dia tetap tidak rasa itu ada kena-mengena dengan diri dia.
Bukan dia yang dikenali, ayah dia. Tetapi dia tidak menafikan juga, segala penderitaan yang ditanggung ini disebabkan perkara itu juga. Kalaulah dia hanya gadis biasa. Mungkin berbeza. Lantas dia terdiam.
“Pengurus aku mesti banyak soal nanti.” Jazz merungut lagi. Dalam kepalanya sudah terbayang apa yang akan meluncur keluar daripada mulut Remy.
“Pengurus kau mesti tak tahu apa-apa, kan?” tanya Linda.
“What do you expect?” jawab Jazz sambil menjeling tajam.
Takkanlah dia mahu membocorkan rahsia hitamnya sendiri? Bagi dia apa yang sudah berakhir, sudah pun berakhir. Dia bukan lagi Jasmina yang naif. Dia Jazz. Award-winning singer.
“Aku pun berani jamin, ramai yang akan soal bertubi-tubi kalau jumpa aku nanti. Dahlah malam ni kami ada majlis penting.” Linda mengeluh panjang. Wajahnya begitu hampa.
“Apa kata kalau kita jumpa umi? Mungkin kita boleh selesaikan semuanya di sini jadi kita boleh balik sekejap lagi.” Shereen tersenyum nipis.
“Aku tak fikir kita akan berjaya,” balas Linda.
“Kita cubalah dulu.” Jazz terus tarik tangan Shereen dan Linda. Tidak salah mencuba, sekurang-kurangnya mereka telah mencuba.
Akhirnya, mereka bertiga melangkah ke meja utama di mana Tengku Mazwin sedang berbual dengan pengawal peribadinya. Kedatangan mereka disambut Tengku Mazwin dengan senyuman.
“Betul ke umi nak jumpa kami selepas habis majlis?” Linda terus menyoal tanpa basa-basi lagi.
Tengku Mazwin angguk.
“Umi harap kamu bertiga tak tergesa-gesa sangat nak balik ke KL tu. Ada perkara yang umi nak beritahu kamu nanti.”
“Umi beritahulah sekarang,” desak Jazz pula. “Kami bertiga tak boleh lama-lama kat sini. Kami ada hal penting lagi malam ni.”
“Umi tak boleh beritahu sekarang. Lebih tepat lagi, di tengah-tengah tetamu yang masih ramai ni.”
“Kenapa, umi?” Linda pula bertanya.
“Kamu akan tahu apabila berada di rumah Sofia nanti. Perkara yang umi nak beritahu ini melibatkan maruah kamu bertiga. Tentu kamu tak mahu umi beritahu di tengah-tengah tetamu yang ramai ni, kan?”
Dahi Jazz berkerut. Terasa sejuk menjalar di dalam tulang-temulangnya. Maruah? Dia rasa mahu pitam, cepat-cepat ditariknya kerusi yang pernah diduduki Sofia tadi lalu duduk. Dia sudah tidak boleh berfikir apa-apa lagi. Perkara itu terlalu mendadak.
Linda hanya menjeling ke arah Jazz. Dia faham perasaan Jazz. “Cakaplah, umi. Hal apa yang begitu penting tu?” desaknya.
Sayangnya Tengku Mazwin tetap menggeleng. “Tunggulah sekejap lagi. Di rumah Sofia, umi akan ceritakan segala-galanya.”
Linda pandang Shereen. Shereen pandang Jazz. Tanpa sebarang keputusan mereka meninggalkan meja utama.


“KAU faham ke?” tanya Jazz apabila mereka bertiga duduk semula di meja mereka.
Suasana di situ masih riuh rendah dengan suara-suara tetamu yang berbual. Sudah jelas, masing-masing semakin resah menantikan pukul enam petang menjelang tiba. Namun, buat mereka bertiga, petang itu belum berakhir selagi perkara itu belum betul-betul selesai.
Linda angkat bahu. “Aku betul-betul tak ada idea apa yang umi nak cakapkan pada kita.”
“Aku pun sama,” akui Shereen.
“Jadi macam mana?” Jazz masih bingung.
“Kau ni kan, berapa kali nak tanya macam mana, macam mana? Kau ada nampak apa-apa pilihan yang lain ke?” Shereen membidas dengan tegas.
Jazz terdiam. Kalau Remy ada di situ, mungkin Remy boleh memikirkan jalan keluar yang lain, sayangnya dia berseorangan dan dia tidak mampu memikirkan apa-apa. Dia mula rasa kecewa.
“Menyesal pula aku datang. Habislah majlis aku malam ni….” Linda sembamkan mukanya ke meja.
Shereen dan Jazz sama-sama termenung.
“Alang-alang dah jadi macam ni, kita ikutkan ajelah. Tapi aku harap, perjumpaan tu taklah lama sangat. Sebab kalau sempat, aku nak balik ke KL juga malam ni. Aku tak nak tidur di rumah Sofia tu.” Sekali lagi Shereen membuat cadangan.
Linda tidak membantah.
Jazz pula hanya mendiamkan diri tetapi tubuhnya terasa amat lesu. Dia ke situ bukan untuk mengenang segala rahsia lama. Dia mula rasa menyesal.
“Siapa budak tu?” Tiba-tiba Shereen bertanya.
Spontan, Jazz dan Linda menoleh ke arah budak yang dimaksudkan Shereen. Memang sejak tiba di situ Jazz sudah perasan kehadiran seorang budak perempuan dalam lingkungan tujuh lapan tahun di sisi Mak Wiyah. Tidak mungkin anak Mak Wiyah walaupun dia terdengar budak itu memanggil Mak Wiyah dengan panggilan ‘mak’.

“Entahlah,” jawabnya. Dia lebih fokus kepada masalah yang baru melanda mereka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.