Tuesday, February 8, 2011

JANJI JULIA : Bab 2

enovel
“Ju! Kenapa, Ju?” tegur Mimi berulang kali. Telefon bimbitnya disimpan semula ke dalam beg sandang. Dari nada suara Julia, dia pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Julia tidak menjawab. Pandangannya begitu kosong. Dia tercegat bagaikan patung di tengah tangga. Air mukanya berubah pucat dan bibirnya terkatup rapat.

“Ju, jangan macam ni! Aku takutlah. Apa yang terjadi? Siapa yang telefon? Ayah kau?” Mimi menggoncang-goncang tubuh Julia sekuat hati. Hampir sahaja tangannya naik ke pipi Julia tatkala Julia mula membuka mulut.

Akhirnya Julia berpaling. “Mereka dah dekat,” jawabnya. Badannya menggeletar di seluruh tubuh.

“Siapa yang dekat? Kau ni kenapa?” Mimi mula cemas. Julia hampir rebah, namun segera disambut.

“Kita kena pergi cepat. Mereka akan sampai ke Kuala Lumpur pada bila-bila masa,” jawab Julia lagi.

“Ya, Allah. Siapa yang akan sampai? Kenapa kau nak takut pula?” celoteh Mimi sambil memimpin Julia duduk di atas tangga. Namun Julia bingkas bangun.

“Kita kena cepat. Cepat!” gesanya sambil mengheret semula beg dan barang-barangnya ke bawah.

Mimi terpinga-pinga. “Cubalah bawa mengucap, Ju. Muka kau pucat sangat.”

Julia tersentak. Lama dia merenung Mimi. “Mimi, kalau aku beritahu sesuatu, kau jangan terkejut ya,” katanya perlahan. Mahu tidak mahu, dia harus juga berterus terang dengan Mimi. Dia menelan air liur yang terasa semakin pahit.

Mimi cuma mengangguk.

“Tadi Safeline yang telefon. Mereka kata pemberontak sudah menghampiri Kuala Lumpur. Kita kena lari dari sini secepat mungkin,” terang Julia satu per satu.

Mimi melopong seketika. Wajahnya yang putih bersih kini bertukar kelabu. “Ju! Apa kita nak buat, Ju?” Mimi hampir menangis di situ.

“Kita kena pergi secepat mungkin. Keluar dari Kuala Lumpur sebelum mereka masuk dari pintu selatan. Kalau terlewat, kita mungkin akan terkepung,” balas Julia. Tanpa menunggu, dia segera membawa turun beg pakaiannya dan naik semula lantas mengheret tangan Mimi yang sudah kaku di situ.

“Kau masuk dalam kereta dulu,” kata Julia sambil memasukkan beg dan barang-barang ke dalam bonet. Itulah sebabnya dia lebih rela tidak memberitahu Mimi. Mimi lebih mudah panik daripadanya. Dan sebelum dia masuk ke dalam keretanya, dia ternampak tiga orang pelajar perempuan. Setahu Julia, ada 12 orang yang tinggal di situ termasuk mereka berdua. Julia segera memanggil. “Jom ikut kami ke utara. KL dah tak selamat.”

Ketiga-tiga gadis itu hanya tercengang-cengang lalu menggeleng.

“Jomlah ikut kami dulu. Tempat ni dah tak selamat untuk kita semua,” rayunya lagi.

Mereka tetap pandang-memandang lalu berlalu pergi. Julia hanya terpaku melihat tiga gadis itu berlenggang senang. Hatinya kecewa. Namun, dia sedar dia tidak mampu berbuat lebih daripada apa yang dia mampu. Nyawa mereka berdua pun belum tentu lagi selamat jika terus berada di situ. Dia hanya mampu melepaskan keluhan.

Julia segera menghidupkan enjin keretanya. Dan tanpa menoleh ke belakang lagi, mereka segera beredar dari asrama yang telah didiami selama hampir dua tahun itu. Perasaannya menjadi sebu. Asrama itu banyak menyimpan kisah suka dukanya. Kini tempat itu ditinggalkan sepertimana dia meninggalkan segalanya di belakang. Dia tidak mahu peduli lagi. Entah apalah nasib tiga orang pelajar tadi. Dia tidak dapat menduga dan dia juga tidak mahu tahu. Dia sudah nekad.

Dalam perjalanan menuju ke pintu utama kampus, Julia sempat memerhati ke seberang jalan. Fakulti Farmakognosi masih tersergam megah. Namun dia tahu, segala-galanya sudah berakhir. Segala kajiannya selama ini menjadi sia-sia. Segala penat lelahnya menjadi tidak berharga. Wabak itu telah membunuh cita-citanya di hadapan matanya sendiri. Hatinya bukan setakat sedih, malah hancur berderai.

Sebaik-baik keretanya melewati pintu utama Universiti International Hope, dia tidak berpaling lagi.

*****

Cuaca yang cerah, langit yang membiru. Segala-galanya seolah-olah sempurna di mata Julia untuk suatu perjalanan yang lancar pada hari itu. Namun gerak hatinya tetap berasa waswas.
Mimi kembali tenang. Jemu berdiam diri, dia lantas mengeluarkan telefon bimbitnya. Dibelek-belek dan ditekan-tekan. “Tak ada isyarat lagi,” katanya kesal. “Susah betullah macam ni. Macam mana tadi mereka boleh telefon kau?”

Julia hanya menggeleng. Rungutan Mimi tidak mampu dijawab. Isyarat telefon sungguh sukar diperoleh sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Sekejap ada, sekejap hilang. Kalau ada pun, tidak lebih dari lima minit. Seminggu dua ini, langsung tidak muncul. Komunikasi terputus terus. Mereka seolah-olah kembali ke zaman lampau. Siaran televisyen tidak ada, Internet tidak ada, bahkan siaran radio pun sudah terhenti terus. Sekali fikir, mereka seolah-olah sudah dibutakan hidup-hidup. Tidak tahu apa-apa lagi.

“Boleh aku tahu? Apa lagi yang Safeline beritahu?” Mimi menoleh pula ke arah Julia. Pandangan matanya begitu tajam. “Kenapa begitu mendadak? Kenapa tak beritahu semalam?” Mulutnya sudah seperti bertih goreng semula.

Julia mengangkat bahu. “Sebelum ini, kawasan selatan memang dah huru-hara. Perintah darurat pun tak dapat mengekang penjenayah dan penceroboh tu. Mungkin mereka dah tak dapat dikawal lagi dan nak menguasai ibu kota pula,” jawabnya sambil menahan geram. Fikirannya bercelaru apabila mengenangkan semua itu. Sesekali wajah ayah dan abangnya terbayang juga. Entah apalah nasib mereka di sana. Ah, mereka sendiri sudah melupakan dirinya! Setitis rasa perit menikam di lubuk hatinya.

“Mungkin ke negeri-negeri di selatan dah jatuh ke tangan mereka? Pasukan tentera dan polis kita dah tewas?” Mimi menggigit jari.

“Apa yang kita boleh jangkakan? Macam mana tentera dan polis kita nak dapat bertahan kalau bilangan mereka pun tak seramai yang tinggal? Lambat-laun, mereka akan tewas juga kalau tak ada bantuan.”

“Safeline?” tanya Mimi.

Julia mengeluh. “Safeline? Walaupun aku tak pernah jumpa mereka, tapi aku percaya mereka cumalah orang awam yang tak pernah pegang senjata. Orang macam kita.”

“Sekurang-kurangnya masih ada pasukan yang bangkit membantu pasukan keselamatan dalam keadaan macam ni,” balas Mimi. “Tapi, macam mana mereka boleh berhubung dengan kau pula? Sejak bila pula kau jadi ahli Safeline?” Kali ini pandangan matanya bertambah curiga.

“Sampai hati kau pandang aku macam tu. Kalau aku ahli Safeline pun, kau yang tahu dulu. Yang sebenarnya, aku sendiri pun tak tahu dari mana mereka dapat nombor telefon aku. Sejak kekacauan melanda, dah beberapa kali mereka menghubungi aku untuk melaporkan keadaan yang berlaku di seluruh negara,” balas Julia. Sakit hati juga apabila disangka yang bukan-bukan.

“Wah, kau dah jadi macam orang penting saja!” usik Mimi. Itulah kali pertama dia tersenyum sejak bangun daripada tidur.

“Entahlah. Aku tak rasa penting pun. Mungkin maksud mereka supaya aku dapat menyampaikan maklumat yang benar kepada orang-orang yang dekat dengan aku. Tak adalah kita terus buta dan tak tahu apa-apa yang berlaku di luar sana. Kau tahu sajalah, berapa banyak khabar angin yang tersebar sekarang.”

Mimi mengangguk perlahan. “Kenapa negara kita seperti dihimpit masalah bertimpa-timpa? Mula-mula wabak Rhyto99, sekarang penjenayah dan penceroboh pula.”

“Itu bukan perkara yang luar biasa. Serangan wabak itu seolah-olah menjadi pembuka jalan. Bila ramai yang mati, ekonomi negara lumpuh dan pertahanan negara menjadi lemah. Jadi, pada waktu itu ramai yang nak ambil kesempatan.”

“Kau fikir, wabak Rhyto99 tu pun angkara mereka ke?” tanya Mimi lagi.

“Aku bukan pakar strategi peperangan tapi pada pandangan aku, mereka sama-sama oportunis,” jawab Julia. “Safeline cuma beritahu penceroboh yang mara dari arah selatan tu bersenjata lengkap. Mesti ada pihak yang jadi dalangnya.”

Mimi terdiam. Wajahnya semakin keruh. Matanya leka memerhati kawasan ibu kota yang sudah jauh berubah. Bandar itu sudah menjadi bandar mati. Tidak ada kemeriahan seperti enam bulan yang lalu, sebelum wabak Rhyto99 melanda. Sesekali mereka bertembung dengan trak-trak tentera yang masih berkawal. Hati mereka lega seketika.

“Adakah mereka sedang cuba bertahan di sempadan?” tanya Mimi.

“Mungkin. Aku yakin pasukan keselamatan akan melakukan apa-apa saja yang termampu.”

“Aku pun tak tahu. Apa yang lebih menakutkan, wabak RhytoF99 ataupun kumpulan penceroboh tu?” Mimi bersuara perlahan.

Julia mengeluh panjang. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Mimi. Dia juga terfikir akan perkara yang sama. Dalam masa enam bulan semenjak wabak itu melanda seluruh benua Asia, bilangan kematian yang tercatat sungguh mengejutkan. Sehingga timbul spekulasi yang wabak itu adalah serangan senjata biologi oleh pihak tertentu.

Virus RhytoF99 adalah 10 kali lebih pantas daripada virus H1N1 yang menyerang dunia sekitar 40 tahun yang lalu. Kematian akan berlaku hanya 48 jam setelah mangsa dijangkiti virus itu melalui sentuhan. Tidak ada vaksin atau penawar yang mampu menyekat kemaraan virus itu dalam tubuh yang dihinggapinya. Ia bagaikan hukuman maut!

Cara dan kesan tindakannya yang terlalu cepat itu menyebabkan negara-negara benua lain tidak mahu menghantar bantuan kerana risiko yang terlalu tinggi. Maka, tinggallah negara-negara Asia sendiri yang bergabung tenaga bagi mencari penawar dan penyelesaiannya.

Malangnya, wabak itu merebak lebih cepat daripada yang disangkakan. Nyawa pemimpin, para saintis dan anggota keselamatan menjadi sasaran. Justeru, negara-negara Asia begitu terdedah dengan ancaman puak yang mahu mengambil kesempatan dan akhirnya satu demi satu negara terjebak ke dalam kancah peperangan dan huru-hara seperti sekarang.

“Kau fikir, negara kita akan bertahan?” Mimi menyoal dengan tiba-tiba.

Julia tidak tersentak. “Sukar untuk dijangka. Keadaan dah terlalu teruk. Kita tak patut salahkan sesiapa dalam keadaan ini. Tapi selagi kita masih ada, negara belum kehabisan rakyat dan taat setianya,” jawabnya perlahan walaupun dia tidak pasti sama ada Mimi memahami ataupun tidak maksud kata-katanya itu.

“Mungkin juga sejarah sudah berulang. Mungkin juga kemerdekaan harus dituntut sekali lagi,” jawab Mimi sambil mengeluh panjang.

Kata-kata Mimi itu membuatkan Julia berasa gerun. Menuntut kemerdekaan? Adakah mereka sedang mengulangi sejarah lampau? Mampukah? Hatinya bergetar. Tanpa sengaja, matanya terpandang ke arah meter minyak. Darahnya menyirap sekali lagi.

“Minyak kereta cukup tak?” tanya Mimi apabila menyedari anak mata Julia asyik merenung meter.

Muka Julia berkerut. “Cuma ada separuh tangki. Aku harap ada stesen minyak yang masih dibuka di mana-mana.”

“Mereka tutup jalanlah,” kata Mimi apabila terpandang akan sekatan jalan dalam jarak 100 meter di hadapan. Semua kenderaan dilencongkan ke arah lain untuk menuju ke utara. Arah ke selatan sudah ditutup sama sekali.

Julia menelan air liur. Detak jantungnya tambah berserabut. Tiba-tiba terdetik persoalan yang lebih menakutkan di benaknya. Sempatkah mereka keluar dari situ?

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.