Wednesday, February 9, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 10


Jalan kecil yang dilaluinya itu terasa amat panjang. Laluannya juga terasa sempit dan menyesakkan. Keindahan pulau itu tak lagi dirasa, semuanya seakan sirna dalam setiap langkah yang dihayun. Makin dekat, makin lemas rasanya.

“Naiklah, Kak Senah ada di dapur.”

Pelawaan itu mematikan lamunan Sherry. Sedar tak sedar sahaja, rupanya dia sudah berada di kaki tangga rumah Abang Osman. Dan yang lebih mengejutkan dia ialah kehadiran Azmi di situ walau sejujurnya itulah yang dia mahukan sejak tadi. Dia hanya dapat tersenyum tawar kepada dua orang lelaki yang masih menanti tindak balasnya. Dia terpaku dan hanya sedar apabila lengannya ditarik oleh Tina.

Dia menaiki tangga rumah kayu itu dengan perasaan yang sukar digambarkan. Dalam suka, ada duka. Dia dan Tina terus ke ruang dapur mencari Kak Senah. Sebaik sahaja menghampiri ruang itu, sudah terbau masakan yang mengecurkan liurnya. “Kak…” tegur Sherry. Kerongkongnya rasa tersekat.

“Akak baru siap masak. Bolehlah kita berhidang,” jawab Kak Senah sambil tersenyum lebar. Dia masih lagi mengacau gulai dalam periuk di hadapannya.

Sherry tak tahu apa yang harus dibuat. Hendak duduk saja terasa tak kena. “Nak berhidang di mana, kak?” Dia cuba mengikut lenggok Kak Senah. Dia yakin, mereka akan makan bersila kerana di rumah itu tidak ada meja makan.

“Bentangkan tikar kat depan. Lepas tu bolehlah angkat pinggan,”balas Kak Senah sambil menceduk singgang ikan ke dalam beberapa mangkuk hidang.

Sherry naik ke ruang atas semula. Tikar mengkuang di tepi dinding, diambil dan dibentang di ruang tamu. Sesekali dia menjeling Azmi yang sedang berbual di beranda. Hatinya tenang.
“Letakkan air pencuci tangan dulu, lepas tu pinggan dan nasi,” kata Kak Senah yang datang bersama dua mangkuk bekas cuci tangan berwarna perak.

Sherry ikut sahaja semua perintah Kak Senah. Dia manalah tahu nak menyusun itu semua, di rumahnya semua disiapkan oleh pembantu rumah. Dia cuma tahu duduk dan makan. Setelah siap semua hidangan, Kak Senah memintanya menjemput Abang Osman dan Azmi makan, dia rasa amat cemas.

“Pergilah panggil orang berdua tu…kalau tak dipanggil, mereka berborak tak habis-habis.” Kak Senah ketawa.

“Biar aku panggil,” kata Tina seraya bangun tanpa sempat dicegah oleh sesiapa. Sherry pandang saja gelagat Tina.

Tidak lama kemudian, ruang tamu itu bertambah ramai. Tina, Abang Osman dan Azmi masuk mengambil tempat. Sherry dan Kak Senah duduk berdekatan sebuah dulang, sementara Azmi dan Abang Osman duduk menghadap sebuah dulang yang lain.

“Jemputlah makan, lauk kampung je,” kata Kak Senah, cuba memecahkan keheningan ruang.

Setelah Kak Senah memulakan suapan, baru Sherry mula menjamah hidangan yang tersedia di situ. Sejujurnya dia memang tak pernah merasai lauk-pauk sebegitu kecuali ayam kampung yang digoreng berempah. Yang lainnya semua rasa yang baru. Lidahnya kurang dapat menerima tapi dicuba juga menelan. Tiba-tiba, ada suara memberi salam kedengaran, mereka berlima serentak menoleh.

Kak Senah segera membasuh tangan dan menjenguk keluar. “Oh, Jah. Marilah naik. Kami tengah makan. Marilah.”

“Jah datang nak hantar lauk ni,” terang Khadijah sambil menyerahkan semangkuk kari ayam yang masih panas.

“Marilah naik sekali,”pelawa Kak Senah lagi.

“Tak apalah, kak. Lain kali sajalah, Jah makan kat sini.”

“Marilah naik, Sherry pun ada kat atas tu.”

“Sherry?” Mata Khadijah membesar. “Kalau macam tu, bolehlah,” katanya sambil melucutkan selipar.

Kehadiran Khadijah membuat selera Sherry terus hilang. Sebaik sahaja, nasi di pinggannya habis, dia segera membasuh tangan.

“Dah sudah? Jah baru nak makan sama,”kata Jah sambil tersenyum.

“Jah makanlah,”balas Sherry sambil menjeling Azmi yang makan tanpa banyak cakap. Mahu tak mahu, dia terpaksa duduk di situ menunggu semua orang menghabiskan nasi masing-masing.

Khadijah mengambil tempat di antara Kak Senah dan Azmi. Sambil makan, dia leka berbual dengan Azmi tentang pulau itu. Lagaknya mesra benar.

Sherry hanya berdiam diri, sesekali pandangan matanya bertembung dengan renungan Tina yang penuh makna. Entah kenapa, dia dapat merasakan Tina sedang mentertawakan dirinya. Dia sedar, Azmi bak mutiara rebutan dan Khadijah adalah lawan yang mahir di gelangangnya sendiri. Hatinya hampir saja mengalah.

****
Selesai berjamu hidangan tengah hari, mereka bersama-sama mengemaskan hidangan. “Tak payahlah basuh, Sherry. Pergilah duduk berehat di depan,”tegur Kak Senah apabila melihat Sherry sudah melabuhkan punggung di sebelah Khadijah di pelantar.

Sherry serba-salah tapi dia tetap ditarik supaya bangun oleh Kak Senah. Sedar-sedar sahaja, tubuhnya didorong keluar hingga ke ruang tamu. Tina segera mengikut dari belakang sambil ketawa.

Kaki Sherry terhenti di muka pintu yang membawa mereka ke beranda. Di situ ada Azmi yang termenung memandang laut. Abang Osman tak pula kelihatan. Sampai di situ, Kak Senah berpatah balik, tinggal Sherry yang terpinga-pinga. Dan akhirnya setelah tercegat di situ beberapa saat, dia duduk di pintu dan menunggu. “Awak, ada emel?” tanyanya apabila Azmi masih tak sedar kehadirannya dan Tina di situ.

Azmi berpaling. Wajahnya yang selalu tenang, beriak sedikit. “Apa awak tanya?”

Tina ketawa.

“Emel. Saya tanya, awak ada emel?” ulang Sherry semula.

Azmi mengangguk. “Kenapa?”

Sherry terkedu. Keberaniannya seolah terbang melayang. Apa yang harus dia jawab? “Supaya saya boleh kirimkan gambar yang saya tangkap,” katanya apabila tiba-tiba sahaja mendapat idea.

Azmi tersenyum. Dia bangkit dari tangga dan meminta diri untuk masuk ke dalam sekejap. Tak lama kemudian, dia keluar dengan sepotong kertas kecil. Di atasnya sudah tertulis alamat rumah dan alamat emel dirinya.

Sherry menarik nafas lega. Walau semua itu bukan satu janji yang hakiki namun dia tetap berasa lega. “Nanti saya kirimkan, awak…kenalah ke Pulau Mayang.”

“Ya, nanti saya periksa,” balas Azmi ringkas. Dia turun ke tanah dan menyarung seliparnya semula.

Sherry kelu. Sehingga kelibat Azmi hilang di celah-celah rumah penduduk di situ, dia masih terpaku. Air matanya mula bertakung.

*****
Azmi mengatur langkah perlahan-lahan balik ke kedainya. Sengaja dia tak mahu berlama di situ. Dia tak mahu, keadaan mempengaruhi fikiran Sherry. Dia juga tak mahu emosi Sherry terbawa-bawa. Apalah gunanya semua itu? Jika segalanya akan hilang dibawa masa.

“Eh! Kenapa balik cepat sangat?” tegur Abang Osman.

Azmi tersentak, baru dia tahu ke mana hilangnya Abang Osman tadi. Dia fikirkan Yang Abang Osman sudah ke surau. “Nak tunggu apa lagi, bang?” Dia bersedia untuk mendengar usikan Abang Osman.

“Boraklah lama sikit, esok dah tak jumpa.”

Azmi menggeleng perlahan. Dia kehilangan idea untuk membalas usikan itu walau sudah dijangka.

“Pukul berapa bot dia?” tanya Abang Osman.

Azmi mengangkat bahu.

“Pukul 3.00 karang..hantarlah dia ke jeti,”jawab Abang Osman pula. Ternyata dia sudah tahu semuanya.

“Biarlah dia balik, bang. Tak ke mana tu…belum sampai tengah laut dah lupa,”balas Azmi.

Abang Osman tersenyum lebar mendengarkan jawapan dari Azmi. “Jangan dijangka laut yang tenang, entah cetek entah dalam, jangan dijangka hatinya orang, entah benci, entah …”

Azmi ketawa. “Nak berpantun biar betul, bang,” tempelaknya pula. Sengaja dibuat tidak faham.

“Tak kisahlah tu, Mi. Tapi…kita lelaki, jangan ego sangat. Ada masanya dikejar tapi ada masanya mengejar. Dalam keras ada lembut. Dalam lembut ada tegas. Kalau keras memanjang, alamatnya patah. Kalau lembut memanjang, tak guna. Sebab tu, dalam kurang ada lebih.”

Azmi terdiam. Dia tak lagi membalas usikan Abang Osman. Laungan azan Zuhur dari surau membuat dia tersedar. Segalanya ada batas dan waktu.

****
Pukul 2.30 petang, Sherry dan Tina sudah bersedia di lobi resort. Kunci bilik sudah diserahkan, mereka hanya menanti bot tiba. Selain mereka, ada juga beberapa orang penginap resort itu yang akan balik ke Tanah Besar bersama. Jumlah kesemuanya lima orang.

Hasan dan pekerja resort lainnya sibuk memunggah beg dan barang-barang penginap ke atas jeti. Setelah dua kali berulang-alik, dia memanggil Sherry. “Nak aku dukung ke?”

Sherry tersentak tapi terus saja menggeleng. Dia segera teringat pada hari pertama kedatangannya ke situ, dia didukung oleh Hasan. Kini, dia tak rasa itu perlu lagi. Dia mampu berjalan dan mampu meninggalkan pulau yang telah membuat fikiran dan hatinya bercelaru. Dengan perlahan dia mengatur langkah ke jeti. Tina di sebelahnya riuh-rendah berborak dengan Hasan dan pekerja lelaki yang lain. Dia, hanya diam membisu.

Sejak pulang dari rumah Kak Senah, fikirannya tak tenang. Bukan saja dia berasa sedih tetapi juga kecewa dengan sikap Azmi yang acuh tak acuh. Sambil duduk menunggu bot, dia terus saja berfikir. Mungkin segalanya hanya mimpi. Bagaikan bara yang terpadam jika tidak terus ditiup. Bagai benih yang mati jika tak terus disiram dan dibaja. Begitulah perasaannya waktu itu.

“Rileklah, ni semua withdrawal syndrome je. Balik KL nanti, kau lupalah mamat tu,” bisik Tina seraya menyenggol bahu Sherry.

Sherry tak menjawab. Dia tahu sememangnya itulah yang diharapkan oleh Tina sangat-sangat. Agar, segalanya berakhir bagai mimpi. Mimpi indah bagi dia dan mimpi ngeri buat Tina. Dan dia tak mampu membuktikan apa-apa, jika ia benar-benar hanyalah mimpi, dia reda. Mungkin bukan tertulis, Azmi itu miliknya.

Bot yang ditunggu tiba juga. Sherry tak menoleh ke belakang lagi. Sementara pekerja sedang sibuk memunggah beg-beg dan barang ke dalam bot, dia berdiri sahaja. Sedar-sedar ada suara yang menegur.

“Sherry, tunggu sekejap!”

Sherry menoleh ke sebelah kiri. Dia kaget sebentar. Azmi berdiri di situ sambil tersenyum tenang. “Ya?” Dia mula serba-salah.

“Aku nak beri kau benda ni,” jawab Azmi, sambil menyerahkan sebuah kotak kecil kepada Sherry.

Dahi Sherry berkerut. “Apa ni?” Dia pandang wajah Azmi.

“Mutiara hitam,” jawab Azmi. “ Ada sebiji je. Belum terikat, belum dibuat apa-apa.”

Dengan perasaan yang berdebar-debar, Sherry menerima kotak kecil itu dari tangan Azmi. Apabila dibuka, di dalamnya memang ada sebutir mutiara hitam yang berkilauan, bersih dan cantik. Dia kebingungan.

“Jangan lupa hantar emel,”pesan Azmi lagi.

Belum sempat Sherry menjawab, terdengar Tina menjerit dari dalam bot.“Sherry! Tak nak balik ke?” Terdengar juga gelak ketawa dari Hasan dan yang lain-lainnya.

Sherry tersenyum. Tanpa berkata apa-apa, dia hanya memandang Azmi sekilas sebelum berpaling dan menuruni tangga. Tanpa diduga kehadiran Azmi di situ membuat fikirannya tenang. Dia percaya, dia masih ada harapan.

Sampai masanya, bot bergerak perlahan-lahan, meninggalkan jeti. Tidak ada apa yang dapat dbuat lagi. Azmi terpaku di situ sambil merenung laut. Sherry kaku di kerusi sambil merenung langit. Di saat akhir, pandangan itu bertemu. Dan ada hati yang berpaut menjadi satu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.