Friday, January 14, 2011

JANJI JULIA : Bab 1


Di sebuah kebun sayur di tepi bukit…

Pukul 8.00 malam. Di dalam pondok, Kahar mundar-mandir menunggu. Rokok terakhir yang terselit di celah bibirnya masih belum dinyalakan. Rokok itu disimpan untuk meraikan sesuatu. Sesuatu yang akan menjadi hadiah kepada penat lelahnya sejak dua hari yang lalu.

Sejurus tubuh Julia didorong masuk, dia berpaling. Senyumannya semakin sinis. “Tutup pintu! Kau jaga di bawah. Aku tak nak sesiapa pun masuk ke sini,” perintahnya kepada orang suruhannya. Perintah itu dituruti tanpa banyak soal. Rokok yang terselit di celah bibir kini diselitkan pula di celah alang pondok.

Dia melangkah perlahan mengelilingi Julia. Matanya galak memerhati dari atas ke bawah. Tidak pernah lagi dia menemui gadis kacukan secantik itu. Cantik dan juga bersemangat bagaikan kuda liar. Sempurna pada seleranya. Perasaannya kian bergelora.

“Kau bersemangat. Kau patut jadi orang No-Mondus. Jadi orang kanan aku. Mahu?” katanya sambil merenung. Pandangan matanya menjilat setiap inci wajah gadis itu sebelum terhenti pada bibir Julia yang merah basah.

Julia menggeleng. Begitu yakin. Begitu tenang. Pandangan matanya tetap tajam menerobos.

Kahar mendengus. Dia segera faham. Gadis itu telah menolak hasratnya mentah-mentah. Tapak tangannya mencengkam rahang gadis itu sekuat hati lalu muka Julia ditolak ke lantai.

Julia terduduk dengan kaki berlipat ke belakang. Lututnya menghentam lantai pondok. Dahinya berkerut. Luka di lututnya berdarah semula.

Kahar tidak menunggu. Kaki kanannya menyepak paha Julia dari belakang. Julia jatuh terlentang. Kini mata merahnya meratah tubuh Julia dengan pandangan penuh nafsu.

“Kau angkuh! Apa yang boleh kau lakukan lagi? Tak ada sesiapa yang dapat selamatkan kau selain aku. Ayuh, merayu!” bentaknya lagi, diikuti dengan deraian tawa yang mengejek. Baju T-shirt yang dipakai disentap lalu dicampak ke tepi.

Julia tetap menggeleng. Riak wajahnya jelas menunjukkan kesakitan yang ditanggung, namun kakinya tetap menunjal lantai. “Aku takkan mengalah. Aku akan hantar Mimi pulang. Kau boleh mati bersama No-Mondus kau. Ini negara berdaulat,” Julia ketawa sekuat hati. Air matanya bercucuran laju.

Tawa Kahar terhenti. Dia terpegun seketika. Apabila tersedar, wajahnya menjadi merah padam. Gelak tawa Julia yang masih bersisa bagaikan api yang membakar. Tangan kasarnya merentap baju yang dipakai Julia. Namun, gadis itu terus meronta-ronta dengan keras.

“Sialan kau! Ayuh, lawanlah kalau kau mampu!” Satu tamparan keras hinggap ke muka Julia. Julia terguling ke tepi. Kahar menerkam lagi.



BAB 1

Kuala Lumpur 2050

Julia ternganga. “Nasi dah habis?” Air mukanya berubah mendung. “Mak cik, takkan sikit pun tak ada?” Pagar dawai yang setinggi kira-kira dua meter itu mula berayun digoyang oleh kedua-dua belah tangannya. Pagar yang menjadi pemisah di antara kawasan kampus dan kawasan perumahan di belakangnya. Juga memisahkan Julia dengan seorang mak cik penjual nasi. Jika pagar itu tidak ada, mungkin ada yang sudah rebah ke tanah. “Tolonglah, mak cik.”

Wanita yang dipanggil mak cik itu menjadi kelu. Wajah tuanya juga semendung wajah Julia sendiri. Dalam remang cahaya yang hanya disuluh lampu dapur rumahnya, dia tercegat tidak bergerak. Bekas-bekas jualannya senja itu tidak mampu dibawa pergi.

“Mak cik, kerak nasi pun tak apa.” Kali ini air matanya sudah berjuraian di pipi. Segala kekecewaan yang bertakung di dadanya sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Dia lapar. Sangat lapar. Namun, berita yang baru dikhabarkan oleh mak cik itu merentap segala kesabarannya.

“Ju, janganlah sampai macam ni,” tegur Mimi. Tangannya hinggap di bahu Julia. Cuba menarik pergi tubuh Julia yang sudah melekap pada pagar dawai bagai kain buruk. Lembik, tidak bermaya.

“Kami lapar, mak cik. Dah sehari suntuk kami tak makan,” Julia merentap bahunya dengan kasar sehingga tangan Mimi terlepas. Senja itu, dia tidak malu-malu lagi untuk merayu. Jika itulah yang diperlukan untuk dia dan Mimi meneruskan kehidupan di situ, dia akan melakukannya.

“Tunggu sekejap,” akhirnya mak cik itu bersuara sambil melangkah masuk ke dalam rumahnya.

Mata Julia membesar. Setiap langkah mak cik itu diiringi dengan seribu harapan. Perut yang semakin pedih cuba dipujuk. Dari pagi hingga ke petang menahan lapar, alih-alih sebutir nasi pun tidak ada. Ke mana lagi dia boleh mencari? Ke mana? Dia mengerling ke belakang. Apa yang dipandang tidak sedikit pun memberikannya harapan. Namun itu semua mengingatkannya kepada apa yang telah hilang.

Dahulu, bangunan asrama lelaki yang setinggi empat tingkat di belakang mereka itu sangat meriah. Pelajar-pelajar tinggal di situ, hidup bersama-sama dan belajar bersama-sama. Kini, segala-galanya sudah berubah. Bangunan itu terbiar bagaikan bangunan berhantu. Gelap-gelita tanpa berpenghuni lagi. Sudah lama bangunan itu dikosongkan setelah dua orang pelajar lelaki membunuh diri akibat tekanan kerana dijangkiti penyakit maut itu. Julia mengeluh. Semakin lama bangunan itu direnung, semakin seram dibuatnya.

Di bangunan asrama pelajar wanita pula masih terlihat sedikit tanda kehidupan. Beberapa buah bilik di tingkat tiga masih terang-benderang lampunya. Itu pun tidak sampai 10 buah bilik. Lampu bilik di salah sebuah daripadanya sentiasa terpasang tanpa mengira siang dan malam. Tidak ada sesiapa pun yang berani menyiasat apa yang telah terjadi kepada penghuni di bilik itu. Namun yang pastinya, sebelum pukul 9.00 malam, asrama itu juga akan senyap sunyi. Mereka berdua sahaja yang masih berada di situ meskipun sudah melebihi tempoh berkurung. Apa boleh dibuat, perut tetap minta diisi.

“Ju, kau lapar sangat ke?” tanya Mimi. Dia semakin resah melihat saat demi saat berlalu begitu sahaja. Sesekali dia mengerling ke rumah mak cik tadi yang masuk dan belum juga keluar-keluar.

“Mahunya tak lapar. Dahlah makan sekali sehari, alih-alih petang ni terus tak ada benda yang nak dimakan.” Wajah Julia begitu tegang. Sejujurnya ada rasa rajuk di situ, walau entah kepada siapa.

“Tadi aku dapat pujuk seorang pelajar jualkan coklat kepada aku. Ada di bilik. Kalau kau lapar sangat, kau makanlah dulu.”

“Simpanlah untuk kau sendiri. Aku cubalah cari juga apa yang dapat nanti,” balas Julia, perlahan. Segan pula dia jika mementingkan diri sendiri. Mimi pun ada perut.

Belum pun sempat Mimi membuka mulut, mak cik penjual nasi itu sudah datang semula. Di tangannya ada sebungkus makanan yang mana mereka sendiri pun tidak pasti apa.

“Ini saja yang mak cik boleh beri, nak. Itu pun mulai esok, mak cik tak dapat berjual lagi. Beras dah habis, kami nak balik ke kampung,” katanya dengan nada yang tersekat-sekat.

Kata-kata mak cik itu membuatkan Julia semakin sebak. Dia membelek bungkusan yang dihulurkan dari celah pagar. Air matanya bergenang apabila terpandang akan beberapa keping biskut kering di dalamnya.

“Terima kasih, mak cik. Semoga mak cik sekeluarga selamat sampai ke kampung. Ada rezeki, kita mungkin berjumpa lagi,” katanya sambil merenung wajah mak cik yang baik hati itu.

Kalau bukan kerana mak cik itu yang membekalkan makanan kepada mereka, sudah lama agaknya mereka berdua mati kebulur di situ. Kedai makan dan kedai runcit sudah lama ditutup. Mak cik itu sahaja penyambung hayat mereka selama beberapa bulan kebelakangan ini.

Mak cik itu tidak menjawab. Duit yang dihulur oleh Julia ditolak dengan baik lantas dia berpaling pergi dan masuk ke dalam rumah. Apabila pintu dapurnya ditutup, segala-galanya menjadi gelap-gelita. Mimi dan Julia hanya tersandar ke pagar. Tidak mampu untuk melangkah.

“Makin susah ni, Ju. Macam mana kita nak hidup di sini kalau tak ada makanan lagi?”

Julia hanya mengangkat bahu. Dia menoleh ke arah asrama. Mungkinkah lampu-lampu itu akan terpadam satu demi satu?

*****
Dari pagar ke tangga asrama itu, jaraknya cuma lebih kurang 30 meter. Namun pada waktu itu, jarak itu dirasakan seperti 30 kilometer jauhnya. Julia melangkah lesu. Luluh jiwanya apabila terpaksa menerima hakikat bahawa mulai malam itu mereka tidak akan menjamah sebutir nasi lagi. Lemah lututnya melangkah pergi, namun terpaksa jua digagahi.

“Mimi, macam mana kalau kau balik saja esok pagi?” Julia akhirnya bersuara. Baginya itulah yang terbaik buat Mimi.

“Kau?” tanya Mimi pula. Sama-sama muram. Langkahnya juga lemah.

“Esok pagi, aku nak pergi ke makmal,” jawab Julia dengan bersahaja walaupun hatinya turut sedih kerana terpaksa berpisah dengan Mimi. Namun nampaknya tidak ada jalan lain. Takkan dia hendak melihat Mimi kelaparan di situ disebabkannya?

“Dalam keadaan macam ni pun, kau masih nak buat uji kaji lagi?” Mimi yang berwajah lembut itu seperti tidak percaya. Langkahnya sudah terhenti di tengah tangga.

Julia mengangguk. “Aku perlu siapkan pemotongan tisu pokok tu pagi esok juga. Selepas itu, kena buat ujian elekrofisiologi pula,” katanya tanpa segaris senyuman. Sakit di hatinya dipendamkan sahaja. Dia juga tidak mahu keadaan menjadi begitu teruk.

“Mana boleh macam tu. Aku akan tetap tunggu kau. Kita balik sama-sama,” balas Mimi, tanpa mahu mengalah.

Julia menggeleng. “Janganlah macam tu, Mimi. Tak payahlah kau fikirkan aku. Fikirkanlah keluarga kau di Ipoh tu. Tentu mereka susah hati sekarang. Sementara keadaan masih selamat, kau baliklah ke sana. Aku dengar masih ada orang yang mengambil penumpang ke utara,” pujuk Julia. “Kau baliklah dulu. Ada rezeki, mungkin kita dapat berjumpa lagi.”

“Habis, kau macam mana? Aku tak senang hati nak balik kalau kau tinggal di sini. Lainlah kalau kau balik ke rumah kau di Batu Pahat,” Mimi masih bertegas.

“Aku tak ada pilihan. Aku kena siapkan kajian tu juga. Kalau semuanya berjalan lancar, semuanya mungkin akan selesai petang esok. Kalau tak, semua kajian yang aku buat susah-susah selama ni jadi sia-sia. Kena ulang semula dari awal.”

Terbayang di matanya, kajian mengenai herba Euphorbia hirta yang berpotensi sebagai ubat penyakit asma. Dia sudah hampir berjaya mengasingkan bahan aktif dan mempersiapkan kajian dasar sebelum masuk ke peringkat ujian penggunaan dan penentuan dos. Sudah hampir benar.

“Keluarga kau macam mana? Kau tak fikirkan mereka?”

“Keluarga aku?” Julia mengeluh. “Ayah aku kan sibuk dengan isteri barunya. Mana ada masa nak ingatkan aku lagi. Abang aku pula, entah bertugas di mana. Langsung tak ada khabar berita. Aku ni macam dah tak penting lagi dalam hidup mereka.”

“Itu kata kau, Ju. Tapi aku rasa ayah kau pasti risau juga,” suara Mimi mula meninggi. “Mereka tentu risau. Cuma mereka tak ada cara untuk menghubungi kau sekarang. Nak ke sini pun bukannya selamat lagi.”

“Ah! Kalau nak, tentu boleh, bukan?”

Mimi menarik lengan Julia yang meluru menaiki tangga. “Ju, kau jangan fikir macam tu. Lagipun aku masih ada. Esok, kau ikut aku balik ke Ipoh. Lepas tu, kita fikirkan apa yang patut kita buat dari sana,” pujuk Mimi.

Julia hanya mengangkat bahu. Dia bukan marah pada Mimi, tetapi dia marah pada ayah dan abangnya yang seolah-olah mengabaikannya. Sudah hampir empat bulan dia terputus hubungan dengan mereka. Dia seperti hidup sebatang kara di situ.

“Ju, kau jangan degil. Kalau kau nak tengok aku balik esok, pastikan kau pun ikut aku balik. Kalau kau tak nak balik, aku akan tetap duduk di sini sampai kau mengalah,” ugut Mimi.

Kali ini Julia terkebil-kebil. “Tapi kajian aku macam mana?” Dia mula menggigit hujung rambut. Kebiasaannya apabila dia gementar dan bingung.

“Cubalah kau berhenti memikirkan kajian tu. Cubalah untuk sekali ini kau fikirkan keselamatan kau,” bentak Mimi sambil melangkah masuk ke dalam bilik mereka.

“Erm…” Julia tidak menjawab. Pintu bilik itu ditutup dengan perlahan. Makin luluh hatinya apabila terpaksa memilih antara sebuah impian dan sebuah persahabatan. Namun, dia juga tidak sanggup jika impiannya terpaksa mengorbankan keselamatan Mimi. Dirinya, tidak mengapa.

“Okeylah, esok aku hantar kau balik,” katanya seraya menarik nafas panjang. Air matanya bergenang.

“Betul ke, Ju? Kau janji?” Mimi tersenyum. Dia memaut bahu Julia sekuat-kuatnya. “Bila kita sampai ke rumah aku, kita makan nasi puas-puas, okey?”

Julia hanya tersenyum. Namun, hatinya menangis.

*****

Setiap kali dia membuka mata, dia sering terfikir. Mungkinkah hari itu akan menjadi hari terakhir dalam hidupnya? Apakah nasibnya hari itu akan lebih baik daripada semalam ataupun lebih teruk? Tidak ada satu soalan pun yang dapat dijawabnya. Hidup tanpa rasa selamat sungguh menyiksakan. Bagaikan tidur di atas bara api. Hatinya tidak pernah tenang.

Sejak Wabak Rhyto99 melanda benua Asia enam bulan yang lalu, segala-galanya menjadi tidak tentu arah lagi. Setiap detik seolah-olah mempertaruhkan nyawa. Belum pun sempat ancaman virus Rhyto99 reda, kejadian jenayah pula mula merebak dan akhirnya ada khabar angin dari selatan mengatakan ada pihak bangkit memberontak dan mahu mengambil alih negara.

Ah, dia terasa seperti mahu gila! Mengapa semuanya harus berlaku pada saat-saat dia hampir menyiapkan tesis akhirnya?

“Mimi, kau nak bawa balik semua barang ke?”

Mimi tersentak seketika. Ternyata dia begitu leka mengemas barang-barangnya sejak subuh tadi. Wajahnya muram. “Entah bila kita dapat balik ke sini lagi, kan? Jadi, aku rasa kita bawa balik barang-barang yang kita sayang sajalah. Nak bawa semua pun buat apa? Buat berat kereta saja,” balasnya pula.

Julia memandang dari ekor matanya. Dia tahu Mimi juga rasa apa yang dia rasa. Tidak ada sesiapa pun yang gembira dengan keadaan sekarang. Namun, berundur bukan bererti mengalah. Mereka sama-sama berjanji, jika keadaan negara sudah pulih, mereka akan datang semula ke situ untuk menyambung pelajaran yang tergendala. Tetapi sekarang nyawa dan perut adalah lebih penting.

“Aku cuma bawa sebuah beg dan komputer riba aku. Yang lain ni, tinggalkan saja. Siapa yang nak, ambillah,” balas Julia pula. Matanya merenung segenap inci bilik asrama itu. Katil, meja, almari, semuanya sarat dengan kenangan. Lalu kenangan itu mahu ditinggalkan sahaja. Kenangan yang tidak berakhir dengan baik, buat apa hendak dikenang?

Sebuah beg baju beroda dan komputer riba sudah siap bersusun di tepi pintu bilik. Barang-barang yang lain termasuk segala perhiasan, pinggan mangkuk dan kelengkapan diri ditinggalkannya sahaja. Sebagaimana dia datang ke situ dua tahun yang lalu, sebegitu jugalah dia ingin pergi. Segala-galanya seolah-olah sudah tidak bererti lagi. Bahkan dia ingin segera meninggalkan tempat itu.

“Mari! Aku pun dah siap,” ujar Mimi seraya mengheret beg pakaiannya.

Pintu bilik bernombor 313 itu ditutup buat kali terakhir. Sengaja dibiarkan tidak berkunci supaya senang pelajar lain masuk dan menggunakan apa-apa yang mereka perlukan. Maklumlah dalam keadaan serba kekurangan itu, baki sabun mandi pun berharga. Tanpa bersuara, kedua-duanya menuruni satu demi satu anak tangga. Namun, langkah kedua-duanya terhenti. Mereka saling berpandangan.

“Telefon!” jerit Mimi.

Serentak mereka menyelongkar beg tangan masing-masing. Ternyata telefon bimbit Julia yang sedang berbunyi. Sebaik-baik sahaja butang hijau ditekan, suatu suara yang begitu lantang kedengaran. “Helo! Tinggalkan Kuala Lumpur sekarang juga!”

“Safeline! Kenapa? Apa yang sedang berlaku?” Julia terpinga-pinga apabila terus dibentak sebegitu.

“Mereka sudah hampir ke ibu kota. Tinggalkan Kuala Lumpur sekarang. Tuju ke utara. Ajak semua orang lari dari situ.” Panggilan itu diputuskan. Isyarat telefon juga hilang begitu sahaja.

“Helo! Helo! Safeline? Safeline?” Julia berteriak. Namun suara itu tidak kedengaran lagi. Dia terpaku memandang Mimi.


2 comments:

  1. Ya cerita ini mempunyai pace yang laju macam cat and mouse sehingga di hujung cerita.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.