Thursday, April 14, 2011

Teaser JANJI JULIA : Bab 10

Boleh mula dibeli di BOOKSTATION atau daripada saya.

Burung-burung hutan menyanyi riang. Siulannya seakan mengiringi setiap langkah Simon meninggalkan tapak perkhemahan itu. Berat hatinya untuk melangkah pergi, namun itulah yang sebaik-baiknya untuk waktu itu. Kalau boleh, ingin sahaja dia berlari di sepanjang jalan. Namun berjalan di situ bukannya semudah berjalan di luar. Akar-akar pokok yang berselirat sentiasa merintangi laluan. Dia menoleh semula ke belakang. Tapak perkhemahan sudah semakin jauh tersembunyi di belakang pokok-pokok. Dia menelan air liur. Demi Idzham, dia memberanikan diri.

Simon terus berjalan berpandukan sebuah kompas kecil. Kompas yang dihadiahkan oleh Idzham sempena hari jadinya yang ke-27. Baginya kompas itu membawa tuah. Acap kali kompas itu menunjukkan arah yang menyelamatkan nyawanya dalam beberapa ekspedisi. Kali ini sekali lagi dia bergantung harap kepada kompas kecil itu kerana ternyata telahan Idzham tepat. Semua denai yang dirintis berbulan yang lalu telah hilang. Malah, jejak orang asli yang berburu juga tidak kelihatan. Perasaannya mula bercelaru. Dia menyeluk poket.

Sekeping kertas yang berisi gambar rajah ditilik seketika. Itulah peta yang dilukis oleh Idzham sebelum dia bertolak tadi. Peta kasar keadaan hutan itu. Ada sungai, ada pokok melintang dan ada kuala bercabang tiga. Dia sendiri sudah hampir lupa. Takjub juga di hatinya apabila memikirkan betapa kuatnya memori yang dimiliki oleh pemuda bisu itu.

Dan bagi Simon, Idzham sememangnya seorang anak muda yang mempunyai banyak keistimewaan walaupun pada zahirnya dia tidak mampu bertutur. Dia bukan sahaja bijak dan berilmu, malah sangat penyabar apabila berhadapan dengan kesusahan. Bukan calang-calang orang yang mampu hidup dalam hutan bersendirian. Tetapi itulah kelebihan Idzham. Semakin lama dia berkawan dengan Idzham, semakin dia berasa tertarik.

Lukisan itu dimasukkan semula ke dalam poket seluar. Dia meneguk air kosong yang dibawa. Di hadapan sana, tepat seperti yang dilukiskan oleh Idzham, sebatang pokok besar sedang tumbang merentangi laluan. Simon terus melangkah merapati pokok besar itu. Kini ingatannya semakin jelas. Dia pernah memanjat pokok yang tumbang itu bersama Idzham beberapa bulan yang lalu. Lebar batangnya sahaja hampir tiga meter. Tentu usianya mencecah ratusan tahun.

Dia mengeluh. Tidak ada yang kekal walau setua ataupun seteguh mana. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri. Bahagian atas pokok itu masih terjuntai ke dalam anak sungai dan akarnya pula hilang di balik rimbunan pokok-pokok. Mahu tidak mahu, dia terpaksa memanjat batang pokok itu sekali lagi. Dia mula mencari-cari tapak memanjat yang sesuai. Beg sandang dan parang di pinggang dipastikan cukup kemas. Kasut but setinggi lutut yang dipakainya agak memudahkan kakinya untuk memijak batang besar yang sudah mula berlumut hijau.

Setibanya di atas batang, dia duduk seketika melepas penat. Beg sandangnya diambil dan dijatuhkan perlahan-lahan ke tanah sebelah sana. Lalu dengan berhati-hati, dia menggelongsor turun. Namun sebelum sempat dia berfikir apa-apa, kakinya tergelincir. Dia jatuh tersembam ke atas tanah.

“Ah!” dia terjerit.

*****

Buat seketika, Simon terpempan. Matanya berpinar akibat terhentak ke tanah. Rusuk kirinya terasa senak ditujah parang. Nasib baik bersarung kemas. Kalau tidak, sudah tentu perutnya terburai di situ. Dia bangkit duduk dengan perlahan. Tanah basah bertepek di siku dan tapak tangannya. Dia mendengus. Baru sahaja memulakan perjalanan, sudah sekotor itu. Dia bangkit berdiri. Beg sandangnya yang jatuh ke dalam semak diambil semula. Sambil terjengket-jengket, dia menyambung perjalanan.

Setelah hampir 20 minit berjalan, dia berhenti lagi. Di hadapannya kini terbentang kuala bercabang tiga. Setiap anak sungai datang dari tiga arah yang berbeza dan hilang ke dalam hutan tebal. Dia termangu seketika. Seingatnya, ada tergambar dalam peta Idzham tentang tempat itu. Dia lantas menyeluk poket mencari kompas kecilnya dan peta lukisan Idzham. Setelah beberapa saat berlalu, dia gagal menemuinya. Dia mula menggelabah. Tidak ada?

Dia memeriksa poket seluarnya berkali-kali. Semua barang yang ada dikeluarkan. Namun, peta itu masih tidak ditemui. Dia menyeluk poket-poket yang lain. Juga tidak ada. Dahinya mula berpeluh. Kompas juga tidak ada? Dia semakin kalut. Dia duduk memeriksa beg sandangnya. Ah, tidak ada! Dia seakan mahu menjerit.

Dia menoleh ke belakang. Kalau tidak ada di situ, pastinya terjatuh semasa dia memanjat pokok yang tumbang tadi. Dia segera bangkit dan melangkah semula. Langkahnya lebih laju dan sesekali dia berlari-lari anak. Berpatah semula bukan satu keputusan yang bagus. Dia sudah kerugian masa. Setelah hampir 20 minit dia berjalan, dia baru tersedar. Kenapa pokok tumbang tadi masih belum kelihatan? Ah!

Simon terduduk di pangkal sebatang pokok Sengkawang yang besar. Peluh yang memercik di dahinya disapu perlahan. Makin disapu, makin banyak pula yang keluar. Dia tahu dia telah tersesat tetapi dia sedaya upaya tidak mahu panik. Dia menoleh ke langit hutan. Dari cahaya matahari yang mencelah masuk, dia menyedari cuaca di luar terang-benderang. Cuma di lantai hutan itu yang remang-remang. Dia menoleh ke sekeliling. Semuanya kelihatan sama sahaja. Arah ke mana yang harus dituju?

Dia mengeluarkan botol minuman dari beg sandangnya. Dia meneguk air suam itu dengan perlahan. Dia cuba bertenang seperti yang selalu dilakukan oleh Idzham apabila tersesat. Pesan Idzham, fikiran yang tenang akan menunjukkan jalan. Untuk kali itu, hanya itu yang dia percaya. Setelah berfikir-fikir, dia membuat keputusan untuk berpatah semula ke kuala bercabang tiga. Setahunya, di hulu sana ada sebuah perkampungan orang asli. Cuma masalahnya sekarang, anak sungai mana yang harus dipilih?



*****

Idzham berbaring di tempat tidurnya. Puas mengiring, dia menelentang. Demamnya datang dan pergi silih berganti. Dia berasa sangat sunyi. Walaupun dia sememangnya tidak boleh mendengar sejak kecil, namun tidak pernah dirasakan sesunyi itu dalam hidupnya. Dia akur, walaupun dia tidak sempurna, namun dia tetap memerlukan teman bicara. Kecederaan itu membuatkan semangatnya turut hilang. Dia resah di perbaringan. Rasa jemu mula menghantuinya.

“Idzham!” Dia terdengar suara yang amat dikenalinya.

“Tok?” Dia memanggil.

“Jangan putus asa, Am. Ia ada di situ.”

“Ia?”

“Setuah Biru.”

“Di mana, tok?” Dahinya mula berpeluh lencun.

“Di situ. Di tempat Am jatuh semalam.”

“Apa?” Dia bertanya. Dia cuba bingkas bangkit, namun kesakitan di kakinya membuatkannya terjerit. “Argh!” Dia terguling ke lantai khemah.

Idzham membuka mata. Pinggulnya berdenyut kerana terhentak dengan kuat. Nafasnya tercungap-cungap. Dia menyedari yang dia sudah tertiarap di hadapan pintu khemah. Dia bermimpi? Dia beristighfar beberapa kali. Dia meraba dahinya yang panas berapi. Mungkin sebab itulah dia mengigau dan bermimpi yang bukan-bukan. Kepalanya juga mula berdenyut.

Dia menghela kakinya. Dia cuba duduk berlunjur. Dengan jari yang terketar-ketar, dia mencapai sebiji Paracetamol yang terakhir. Dia sekadar berusaha dan bertawakal agar keadaan akan menjadi semakin baik. Akhirnya dia rebah semula ke lantai khemah. Tidak sedarkan diri.

*****

Idzham membuka mata dengan perlahan. Dia tidak tahu entah berapa lama dia telah tertidur di situ. Tetapi suhu badannya sudah tidak sepanas tadi. Badannya juga sudah basah lencun dengan peluh. Dari celah pintu khemah, dia terlihat beberapa ekor tupai sedang berkejar-kejaran di atas tanah mengutip sisa-sisa makanan. Tergerak di hatinya untuk bangun semula. Dia lantas menghela tubuhnya sedikit demi sedikit ke muka pintu. Ada sesuatu di luar sana yang seolah-olah memanggil-manggilnya.

Dengan bertongkatkan sebatang kayu yang dijumpainya di tepi pintu khemah, dia berjengket-jengket ke arah sungai. Udara yang segar segera menyuntik rasa lega di jiwanya. Dengan berhati-hati, dia mencedok air sungai dengan baldi kecil yang sememangnya ada di situ. Dengan penuh rasa syukur, dia membasuh muka dan berwuduk. Setelah selesai, dia berpaling. Anehnya, langkahnya terpaku. Matanya melorot tajam ke suatu arah.

Sebatang pokok renek setinggi kira-kira empat kaki berdiri tegak di tepi sungai. Di bawah sebatang pokok Sengkawang besar dan pastinya itulah tempat dia terjatuh senja semalam. Nafasnya seakan terhenti. ‘Setuah Biru?’ Dia tertanya-tanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.