Slot bacaan hujung minggu . Cafe Cinta Bab 10 (CHICKLIT)
Oleh kerana saya akan sangat sibuk pada hujung minggu ini
maka saya siarkan Bab 10 ini awal-awal.
Jemput baca dan awas: cerita ini menggunakan gaya chicklit santai
*****************
MALAM itu, malam Sabtu. Aku bercadang nak ajak Nina menonton filem tayangan tengah malam. Bukan aku tak tahu yang Nina penat tetapi aku rasa aku perlu sangat bercakap dengan dia dari hati ke hati. Dan dua keping tiket yang aku tayangkan ke mukanya itu, adalah umpannya.
“Aku penatlah,” rengek Nina.
“Nak tunggu kau tak penat, baik aku bakar aje kedai ni,” balasku pura-pura merajuk di luar kedai. Aku lemparkan pandangan sayuku ke hujung jalan.
Aku lihat air muka Nina mula berubah. “Okeylah, lepas tutup kedai kita pergi ya. Tapi kalau aku tertidur dalam panggung tu, kau jangan marah pulak. Aku betul-beul penat ni.”
“Tak kisahlah tu.” Aku tolak badan dia masuk ke pejabat. Sekejap lagi, café tu dah nak ditutup, eloklah Nina bertukar pakaian. Tak ingin aku keluar dengan dia yang pakai uniform tu. Buat aku segan aje nanti.
Nina tak membantah. Lama juga dia bersiap sebelum keluar dengan blouse lengan panjang dan seluar ‘stretch and flare’ jean. Memandangnya, buat aku rindukan Nina yang dulu, yang selalu memakai pantsut yang kemas dan tahu bersolek. Sekarang, Nina tak ubah macam gadis-gadis lain juga. Kadang-kadang secalit solekan pun tak ada di mukanya.
Pintu kedai kutarik kuat-kuat. Bang! Bang! Bunyi pintu roller shutter Café Cinta itu aku tarik menghempas lantai. Setelah semuanya sudah dikunci, aku segera masuk ke dalam kereta, aku tak mahu Nina mengelak lagi.
“Baru pukul 10.30 malam,” kata Nina apabila melihat aku kelam-kabut meninggalkan café.
“Tak apalah. Kita boleh makan capati dulu,” jawabku tenang. Sememangnya itulah tujuan aku malam itu. Aku mahu mengajak Nina duduk-duduk dengan relax dan bolehlah kami berbual apa saja. “Macam mana dengan survey tu? Dah habis borang yang aku buat?” Aku cuba menghimpit Nina dengan persoalan itu.
Nina angguk. “Tak payahlah buat lagi. Aku rasa itupun dah cukup.” Dia menekan pemain CD di dalam keretaku. Dengan serta-merta keretaku meriah dengan lagu dendangan Justin Bieber.
“Ya ke? Nanti serah kat aku, aku boleh key in dalam komputer dan analisakan untuk kau.” Aku mati akal semula. Macam mana aku nak tanya ni?
“Tasha, aku ada perkara nak tanya kau.” Tiba-Tiba Nina bersuara tanpa menoleh ke arahku. Matanya lurus memandang jalan raya yang sesak dengan kenderaan.
Aku angguk walau perasaanku mula tidak tenang. Apa dia nak tanya ni? Aku cuba berlagak biasa.
“Kau tahu tak, yang Hafiz tu tak boleh melihat?”
Ha? Aku hampir tertekan brek. Aku yang nak buat dia terkejut, aku yang terkejut dulu. “Dari mana kau tahu?” Dadaku terasa panas.
Nina senyum. “Petang tadi, dia datang dengan budak berdua tu,” ceritanya. “Aku pun pergilah ambil order. Kan dulu kau dah suruh Jiji dengan Ain buat survey tu, jadi aku tak kasilah mereka buat lagi. Jadi, aku suruhlah Hafiz tu buat.”
Aku menelan air liur, tak tahu nak kata apa. Rasa kesian menjalar-jalar dalam hati, aku kesian pada kedua-duanya. “Lepas tu?”
“Apalagi, terkekek-kekeklah budak berdua tu gelakkan aku. Mulanya aku hairan juga, kenapa mereka gelak macam tu. Kemudian, Jiji yang beri isyarat kat aku, yang kata Hafiz tu tak boleh melihat. Baru aku sedar, tapi aku terlalu terkejut sampai aku pergi macam tu saja.”
Aku jeling dia. Di hujung suaranya, aku dapat rasa yang Nina kesal dan sedih dengan dirinya sendiri. Tapi aku lega, apabila melihat yang dia dapat menerima perkara itu dengan baik. Cuma setiap kali Nina menyebut ‘tak boleh melihat’, aku rasa tersentuh. Dia tak gunakan perkataan ‘buta’, mungkin kerana itu kedengaranya lebih menyakitkan.
“Jadi, kau dah tahulah ya?” tanya Nina dengan tiba-tiba.
Aku rasa serba-salah tapi aku tak menafikan. Cuma aku tak dapat jangka apa tanggapan Nina kepada aku saat aku.
“Kenapa tak beritahu aku?”
“Aku bukan tak nak cakap kat kau, tapi aku pun baru tahu tadi,” kataku terus-terang. Aku berdoa agar Nina percaya pada aku.
“Kau tahu dari siapa? Kau kan tak pergi kerja tadi?”
Aku pula yang rasa tertangkap. Perlukah aku beritahu sekarang? “Ini yang aku ajak kau keluar malam ni. Aku nak beritahu kau perkara penting.”
“Oh yeah? Apa? Cepatlah? Dah nak kahwin ke?” Nina senyum.
“Belumlah sampai ke situ,” sampukku cepat.
Mata Nina membesar. “What? What do you mean?” Suaranya melengking dalam kereta. Dia kini merenung wajahku tak berkelip.
Berderau darahku dek sergahannya tadi. “Aku nak beritahulah ni,” kataku untuk menjelaskan keadaan.
“Zaki?” tanya Nina lagi.
Aku angguk perlahan tanpa memandang wajahnya. Aku tak sanggup melihat bagaimana air mukanya dan bagaimana penerimaannya terhadap berita itu. Aku tahu, dia sedang bergelut dengan seribu satu perasaan seperti sewaktu aku tahu yang hatinya telah dicuri Hafiz dulu.
“Sejak bila?” Nada suaranya terus tinggi.
“Hari ni,” balasku pendek.
Dia diam dan sehingga keretaku berhenti di hadapan Restoran Subaidah pun, dia terus diam. Dia ambil beg tangannya dan terus keluar.
Aku hanya memerhati. Aku tak fikir yang Nina marah, mungkin dia berkecil hati kerana aku tak berbincang dengan dirinya terlebih dulu sebelum membuat keputusan yang besar itu. Tiba-tiba saja aku rasa telah mengkhianati persahabatan kami tapi aku benar-benar tak bermaksud macam tu.
*****
KAMI mengambil tempat di luar restoran. Walau jam sudah hampir ke pukul 11.00 malam, namun restoran itu masih hangat dan meriah. Ramai yang datang makan-makan, berbual ataupun menonton siaran perlawanan bola di skrin besar di hujung restoran. Aku buat tak kisah saja. Aku tahu, sekejap lagi aku perlu menyelesaikan masalah itu. “I don’t mean to hurt you,” kataku selepas berasa bosan. Meja itu terlalu sunyi. “You are the first one who know.”
Nina menoleh. Dan pandangan kami bertemu. “It’s a good news. Congratulation.” Dia tersenyum sambil menyenggol bahuku. “Kenapa tak keluar dengan dia malam ni?”
Aku mengeluh. Aku jadi tak pasti dengan ucapan yang aku dengar tadi. Ikhlaskah dia? Atau hanya berpura-pura saja? Aku jadi tak gembira dengan pertemuan itu malah dengan segala-galanya. “Cakaplah terus-terang, kita tak pernah berahsia kan?” Aku pandang dia lama-lama. Aku tak mahu balik dengan perasaan bersalah.
Nina terkebil-kebil. Dia seolah sedang menyusun ayat yang sesuai agar tak menyinggung perasaanku.
“Kau marah pada aku? Atau… kau marah aku kawan dengan Zaki?” tanyaku lagi. Aku kena paksa Nina bercakap, aku tak mahu dia simpan segalanya dalam hati. Jika selama ini dia boleh berterus-terang, kenapa sekarang tak boleh pula?
Matanya jadi redup. Dia tunduk seketika merenung meja. “Kenapa aku nak marah pulak? Baguslah kalau kau dah ada boyfriend. Aku pun tumpang gembira.”
“Habis tu, kenapa kau macam nak nangis aje?”
“Tentulah aku sedih.” Dia betul-betul nak menangis. Aku lihat air matanya mula bertakung. “Nanti, aku tinggal sorang,” sambungnya sambil ketawa kecil.
Suasana yang hangat kini bertukar syahdu. Dua keping capati di atas meja, seolah sudah keras tak berusik. Seleraku mati. “Janganlah cakap macam tu. Bukannya kita tak kawan lagi,” pujukku pada Nina.
Nina angguk saja mungkin tak mahu memanjangkan cerita.
“Aku minta maaf, Nina,” kataku perlahan. Aku sedar yang aku perlu meminta maaf daripada dia. “Aku langgar janji kita.” Kami sama-sama tahu hal itu. Demi persahabatan kami, aku pernah berjanji tak akan menerima sesiapa sebagai teman lelakiku selagi Nina tidak mempunyai teman lelaki. Itu janjiku pada dia sejak lapan tahun yang lalu tetapi aku tak sanggup lagi menafikan kata hatiku.
Nina diam. Aku lihat dadanya berombak perlahan. Aku faham, dia sedang cuba menerima situasi itu dengan sebaik mungkin. “Macam mana kau boleh terima pulak dia? Sedangkan sebelum ni…”
Aku senyum. Sejujurnya, aku sendiri tak tahu macam mana aku boleh menerima Zaki dalam hatiku. Tapi kata-kata Zaki tadi buat aku mengalah. Buat aku jadi bukan aku lagi. “Kalau nak tahu cinta atau tak, senang aje,” kataku perlahan. Itu semua kata-kata Zaki yang kuulang semula.
“Macam mana?” Nina seperti berminat. Perlahan-lahan dia menyapu sisa-sisa air matanya yang masih bertakung di kelopak mata.
“Ada dua tandanya,” jawabku dengan yakin. “Satu, kita akan rasa semua yang dia buat tu betul dan baik. Dan yang kedua, kita mahu memiliki dia,” kataku macam pandai sangat. Padahal itulah apa yang aku dengar dari Zaki petang tadi di Lake Garden. “Kalau kau rasa dua-dua tanda tu, maknanya kau sudah jatuh cinta.”
Nina termenung. “Jadi, kau ada tanda-tanda tu?”
Aku tertawa. Aku dah jangka soalan itu akan ditanya. Aku dan Nina bukan jauh sangat bezanya. Kami sama-sama tak pernah jatuh cinta atau berpasangan macam gadis lain. Pendek kata sama-sama sifar. Dan sesungguhnya bukanlah aku mahu berlumba-lumba pula dengan dia, cuma nampaknya rezeki cinta itu sampai dulu kepada aku.
“Kau pasti ke ni?” Nina segera faham apa jawapannya.
Aku senyum dengan tenang. Aku tahu Nina takut aku terburu-buru. “Buat masa sekarang aku pasti, esok lusa entahlah.”
“Kau dah berani ya?”
“Mungkin itulah kuasa cinta yang kita selalu dengar tu,” balasku bersahaja. Kami sama-sama faham perkara itu. “Tapi, selama mana kita boleh menafikan kata hati? Kita juga manusia.” Aku renung dia, aku mahu dia berfikir. “Sudahlah tu, Nina. It’s time to wake up,” kataku lagi. “It’s time to grow up.”
Dia diam saja. Mungkin kata-kataku masuk juga di dalam kepalanya.
“Kita bukan budak-budak sekolah lagi. Dah empat tahun kita tinggalkan kolej. Kawan-kawan kita pun dah ramai yang kahwin. Kita tak boleh menahan fitrah manusiawi,” tambahku lagi. Terasa sakit di hati apabila mengucapkannya.
Nina angguk. Pandangan matanya lurus saja. Entah apa yang difikirkan, aku tak tahu.
Aku cuma berdoa agar apa yang sedang berlaku dalam hidupku, dapat juga mempengaruhi Nina sedikit sebanyak walau dia seorang yang keras hati. “Jatuh cinta bukannya penyakit gila,” kataku sebelum kami sama-sama ketawa.
“Tapi Tasha…dia dah tahu ke kau siapa?” Tiba-tiba Nina bertanya. Pertanyaan yang membuat hatiku terus saja menangis.
Aku terdiam seketika sambil menggeleng. “Aku tak boleh ubah siapa diri aku, Nina.” Aku mengeluh perlahan, bukan aku tak sedar perkara itu akan jadi masalah di kemudian hari. “Satu hari nanti, dia pasti tahu juga. Pada masa tu, terpulanglah pada dia, sama ada nak terima aku lagi atau tak. Tapi buat masa ni, aku cuma nak jadi seperti gadis lain. Aku nak rasa dicintai dan mencintai,” jawabku sambil merenung Nina.
Kami berbalas pandang dan aku tahu tidak ada yang lebih memahami situasiku selain Nina. Dia tentu faham kenapa aku menerima Zaki dan dia tentu faham kenapa aku tak berterus-terang. Sebagai gadis, alam cinta adalah alam yang sangat indah, aku tak mahu ketinggalan menikmatinya. Itu saja.
*****
HARI Ahad pula tiba. Hari ini, hari pertama aku keluar dengan Zaki sebagai kekasih alias couple. Katanya nak bawa aku makan tapi di sebuah warung istimewa dan bukannya makan roti lagi. Warung pun warunglah. Asalkan bukan roti marjerin lagi. Buatnya setiap kali berjumpa dia bawa bekal roti, mahu aku menangis.
Sejak aku masuk ke dalam kereta, aku diam saja. Ke mana dia nak bawa aku, aku pun tak tahu. Aku pun malas nak bertanya atau jadi cerewet, sebab hubungan kami masih terlalu awal untuk membincangkan berapa ketebalan poket masing-masing. Bahkan dia tak tahu kedudukan aku dan cara hidup aku. Aku senang begitu dan dia pun tak rasa terpaksa menyesuaikan diri dengan aku. Aku saja yang nampaknya terpaksa menyesuaikan diri mengikut rentak dia.
“Diam aje?” tanya Zaki.
Aku senyum sedikit. Blaus tunik berwarna peach yang aku pakai hari itu, aku betulkan untuk berlagak sibuk.
“Sakit kepala lagi?” Dia bertanya tanpa menoleh. Tapi tangannya sempat memasukkan sekeping CD ke dalam pemain cakera padat. Dua saat selepas itu, petikan piano Richard Clayderman memenuhi ruang tertutup itu. Begitu tenang dan mengasyikkan sekali. “Macam susah hati aje? Tak suka keluar dengan aku ke?”
Aku terkejut. Sensitifnya dia. “Suka,” jawabku. “Tapi, rasa macam tak biasa pula. Selalunya aku keluar dengan Nina.” Aku mengalihkan pandanganku keluar tingkap kereta. Entah kenapa, kata-kataku itu menghadirkan rasa sedih. Terbayang-bayang Nina yang sedang sibuk di café tanpa kehadiran aku seperti selalunya.
“Nanti biasalah tu. Dia tak ada boyfriend ke?”
Aku geleng. Itulah perkara yang ingin aku bincangkan dengan Zaki hari itu. Aku harap, sekurang-kurangnya dia dapat menunjukkan jalan kepada masalah itu. Hendak diharapkan kepala aku ni, setakat itu sajalah nampaknya. “Kau fikir… Nina ada harapan tak?”
Zaki tergelak kecil. Dan akhirnya dia mengeluh. “Kenapa Hafiz?” tanyanya pula. Matanya terkelip-kelip.
Aku angkat bahu. “Kenapa pula tanya macam tu?”
Dia geleng lagi. “Not worth it,” jawabnya selamba. Matanya lurus memandang jalan raya dan kenderaan yang beratur panjang di hadapan kami.
Aku tambah hairan. “Cakaplah betul-betul. Takkan sebab dia buta macam tu, dia tak boleh jatuh cinta? Ramai saja orang buta atau OKU yang kahwin dan beranak-pinak. Aku percaya, Nina tak kisah hal tu.”
“Yeah… not him!”
Aku menarik nafas dalam-dalam, kemudian aku lepaskan semuanya. Kata-kata dia membuatkan aku takut dan bimbang. “Apa yang aku tak tahu?”
“Banyak. Banyak sangat,” katanya.
“Contoh?”
“Dia seorang yang lemah, sangat lemah apabila berdepan dengan perempuan.”
Aku terkelip-kelip. Irama yang dimainkan oleh Richard Clayderman tak lagi dapat membuat aku tenang. Malah, hatiku seperti ribut yang membadai pantai. “Apa maksud kau?” Bukan ke semua lelaki macam tu? Tanyaku dalam hati.
“Aku tak mahu Nina kecewa. Hafiz bukanlah lelaki yang layak untuk dia.” Zaki renung aku. Nampaknya kami sudah pun sampai di warung istimewa yang dikatakan itu. “Tolonglah pujuk dia agar lupakan saja Hafiz.”
Apa? Suruh Nina lupakan Hafiz? Aku seperti tak percaya dengan apa yang aku dengar. “Tak kan sampai macam tu sekali kut?” Aku renung wajah Zaki.
Zaki memberhentikan keretanya di tepi jalan yang bertanah merah. Enjin keretanya dimatikan. Ruang itu menjadi sunyi. Dia mengangguk beberapa kali.
“Are you serious?” tanyaku lagi.
Dia angguk lagi sekali tanpa secalit senyuman.
Aku tersentak. Jadi, betullah Zaki tak main-main dengan pendapatnya. Bukan aku tak percayakan dia tetapi aku lebih merunsingkan perkara yang kedua. Kalau betul itulah yang sebaiknya untuk Nina, bolehkah aku pujuk Nina? “Tapi, aku tak fikir aku boleh pujuk Nina.”
“Kenapa?”
Aku geleng. Aku lebih kenal Nina daripada sesiapapun. Jika dia sudah buat keputusan, sukar sekali untuk mengubahnya. Tapi, renungan Zaki yang berapi membuat aku mengalah. “Okey, aku boleh cuba. Kalau dia degil, aku tak boleh buat apa.”
Aku mula rasa kecewa. Lain yang aku harapkan, lain pula yang tiba. Aku yang datang untuk mencari jalan, kini pulang dengan satu arahan untuk berpatah balik. Sebelum Nina kecewa, aku yang kecewa dulu. Tanpa sedar aku termenung jauh. Fikiranku kusut.
Zaki senyum. Tanpa sempat aku berfikir, dia sudah menggenggam erat jariku kananku.
Aku tergamam, jari itu belum pernah digenggam oleh mana-mana lelaki kecuali papaku sendiri. Tapi tak pula aku tarik. Hatiku bagai merelakan saja jariku yang sejuk, disalurkan sedikit kehangatan dari rasa cinta.
“Kau akan jadi isteri yang baik,” katanya separuh berbisik.
Kata-katanya membuat aku kaget. Terasa kehangatan dari jariku tadi kini menjalari seluruh urat darahku hingga naik ke muka. Aku tersipu-sipu, tak tahu apa yang harus kujawab. Ternyata angan-angannya sudah setinggi langit pula.
“Jom! Aku nak kenalkan kau dengan keluarga aku.”
“Apa?” Aku rasa nak pengsan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.