Wednesday, April 16, 2014

Rahsia gadis VIP: Bab 13



Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~

*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery

Kuala Lumpur
“BANG,” tegur Puan Zulaikha. Majlis pada malam itu sudah hendak tamat tetapi Linda masih belum nampak bayang.
“Saya tahu,” balas Tuan Iskandar sambil menyapu peluh yang berbintik halus di tepi muka. Dia bukan gementar untuk berucap di hadapan ratusan orang kenamaan, para jemputan dan wartawan tetapi tanpa kehadiran Linda, dia seperti patah sebelah tangan. “Cuba telefon dia lagi.”
Puan Zulaikha yang berbaju kebaya biru muda malam itu tersenyum tenang mendengar arahan itu. Sambil tunduk sedikit, dia menghantar SMS kepada Linda buat sekian kalinya. Sejujurnya dia rasa marah apabila Linda terus berdiam diri begitu. Sekurang-kurangnya Linda patut memberi tahu di mana dia berada pada waktu itu.
Sayangnya SMS terus tidak berjawab. Majlis terpaksa diteruskan walau dalam keadaan yang sedikit pincang. Namun, baik Tuan Iskandar mahupun Iwan terus tersenyum lebar menjawab pelbagai pertanyaan yang dilemparkan wartawan semasa sidang akhbar diadakan.
Begitu juga semasa bergambar beramai-ramai di atas pentas. Kesemuanya yang terlibat dengan Konsortium Duo Limas, Damar Putih Sdn Bhd dan wakil dari Dubai menunjukkan riak wajah yang begitu optimis. Semuanya untuk meyakinkan para pelabur dan pemerhati. Namun dalam hati masing-masing, Tuhan sahaja yang tahu.
“Dah dapat cakap dengan dia?” bisik Tuan Iskandar kepada Iwan.
“Sudah berpuluh kali saya cuba tapi dia masih tak jawab,” balas Iwan. “Tapi tuan jangan bimbang, saya akan terus cuba lagi.”
Dalam kepala Tuan Iskandar mula timbul pelbagai kemungkinan. Malah, kehilangan Linda menambah rasa susah hatinya saat itu.
“Ke mana Linda? Saya tak nampak dia sejak tadi.” Seorang lelaki menegur sewaktu berpapasan dengan Tuan Iskandar.
“Datuk Muiz,” tegur Tuan Iskandar. “Linda kurang sihat malam ni. Mungkin dia tak dapat datang.”
“Tak dapat datang?” Air muka Datuk Muiz berubah. “Sayang sekali. Saya nak jumpa dia ni.”
“Nak buat macam mana?” Tuan Iskandar tersenyum hambar. Dia sendiri rasa amat kecewa. Malah kini mula tertanya-tanya.  
“Kalau macam tu… mungkin esok saya boleh singgah melawat dia.” Datuk Muiz tersenyum tenang.
Tuan Iskandar pandang sahaja muka Datuk Muiz. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Dia tidak pasti apa tujuan Datuk Muiz tetapi tidak sangka itu pula reaksinya.
“Nanti saya beritahu Linda hasrat Datuk.”
Dia minta diri untuk beredar ke pentas utama. Sebelum dia naik ke pentas sempat juga dia melemparkan pandangannya ke arah Iwan. Iwan tidak memberikan sebarang reaksi. Dia hampa.


IWAN hanya diam di tepi pentas. Walaupun majlis masih berjalan namun aturcara yang penting sudah pun tamat. Sesekali dia pergi memeriksa kalau ada apa-apa hal yang berbangkit namun dari penglihatannya majlis itu berjalan lancar kecuali ketiadaan Linda terasa sedikit mencacatkan. Ramai yang bertanyakan Linda.
Dia mengerling telefon bimbit yang sentiasa ada dalam genggamannya. Dia ternanti-nanti kalau Linda membuat panggilan atau membalas SMS yang dihantarkan tadi. Sayangnya harapan masih tinggal harapan. Dan resahnya makin bertambah. Dia tertanya-tanya apa yang telah menimpa Linda.
“Dengarnya Linda tak sihat. Betul ke?”
Sedar-sedar sahaja Datuk Muiz sudah berada di sisinya. Sejujurnya dia tidak terkejut dengan pertanyaan itu. Dia tahu selama ini Datuk Muiz sedang cuba mendekati Linda. Linda sahaja yang masih jual mahal.
“Siapa yang beritahu, Datuk?”
“Tuan Iskandar. Sebenarnya saya datang malam ni pun sebab dia. Saya nak jumpa dia, tapi nampaknya terpaksalah saya ke rumah dia esok.”
“Ada hal penting ke, Datuk?” Sejujurnya Iwan rasa kurang senang. Walau cuba disembunyikan namun rasa cemburu itu tetap membakar dada.
“Kenapa?” Datuk Muiz pula yang bertanya. Riak wajahnya seperti orang yang tersinggung.
“Bukan apa, saya tak fikir Linda akan sembuh esok. Mungkin... Datuk boleh tunggu dua tiga hari lagi.”
Datuk Muiz tersenyum.
“Betul juga kata awak tu. Nanti saya menganggu dia pula, kan? Kalau macam tu, nanti kalau dia dah sihat sikit, awak call saya. Awak tahu kan nombor saya?” Kini dia pula merenung muka Iwan.
Dengan rasa terpaksa Iwan mengangguk. Mujurlah selepas itu Datuk Muiz beredar. Tinggal dia yang masih mengenggam telefon kuat-kuat. Entah di mana agaknya Linda.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.