Tuesday, February 26, 2013

CERPEN : Tuhan, Sedarkan Dia...


Cerpen Tuhan, Sedarkan Dia... telah disiarkan dalam majalan Mingguan Wanita Bil 1527 (22-28 Februari 2013) Jemputlah baca.

Monday, February 18, 2013

MISTERI CINTA SEMALAM : Bab 13


Misteri Cinta Semalam: Bab 13 sudah disiarkan DI SANA (TEKAN)

Antara kisahnya kali ini:

“Mulai sekarang, kau jangan sesekali fikir nak cabut lari dari aku. Belum sempat kau sampai ke balai polis, anak kau akan sampai ke rumah mayat dulu. Orang-orang aku akan sentiasa mengawasi anak kau.”
Bulat matanya memandang wajah Zed. Dia masih keliru.
Kemudian Zed ketawa berdekah-dekah di hadapannya.
“Jangan takut… aku bukan nak bunuh kau. Aku bukan nak potong telinga kau atau jari kau. Aku nak kau hidup… dengan aku. Aku nak kau ikut saja ke mana aku pergi. Aku nak kau jadi milik aku.”
“Tapi… tapi aku tak kenal kau,” balasnya sambil menggeleng.

Selamat Membaca!

Friday, February 8, 2013

Tuesday, February 5, 2013

PERCAYALAH SAYANG : Bab Terakhir




Bab 25
KIRA-KIRA sejam selepas itu, Damien berada pula di dapur. Itu pun kerana terpaksa menemani Maisara turun untuk makan di situ. Maisara takut untuk turun ke bawah bersendirian.
“Boleh… aku tanya?” kata Maisara sambil menyuap nasi goreng yang telah dibeli Anis tadi.
Damien angguk. Fikirannya masih tertumpu kepada apa yang baru berlaku tadi. Dia tidak faham apa yang sedang berlaku kepada Anis.
“Apa kenanya dengan Anis tadi tu?” Baru sekarang Maisara berani bertanya.
“Entahlah,” balas Damien. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dijawabnya.
“Sebelum ni, pernah ke dia macam tu?”
Damien segera menggeleng. Sejak dia mengenali Anis, belum pernah dilihatnya Anis bersikap begitu.
“Macam orang kena rasuk saja,” sambung Maisara separuh berbisik.
Damien melirik ke arah Maisara. Walaupun Maisara nampak tenang, namun dia percaya sepupunya masih ketakutan.
“Kau jangan heboh pula kat luar,” katanya.
Maisara berhenti menyuap. Dia memandang ke arah Damien. “Kenapa kau cakap macam tu pula?”
“Yalah. Nanti balik KL, pada semua orang kau nak ceritakan hal tadi.”
Maisara diam. Secepat yang boleh dia cuba menghabiskan nasi goreng itu. Dia tersinggung dengan tuduhan Damien.
“Kalau aku dengar cerita ni tersebar di luar….”
Maisara bingkas bangun dan menolak kerusi. Setelah membuang bungkusan makanan ke dalam tong sampah, dia segera meninggalkan dapur tanpa mempedulikan Damien lagi.
Damien melihat sahaja tingkah laku Maisara. Dia tahu sepupunya sedang merajuk dengan kata-katanya. Dia tidak peduli, dia hanya memikirkan soal Anis. Dengan itu, dia memadamkan lampu dan naik ke biliknya semula.
******
BEBERAPA jam kemudian, Damien tersengguk. Al-Qur’an kecil dalam pegangannya hampir terlorot ke atas tilam. Dia bingkas membetulkan duduk lalu menggosok matanya yang pedih beberapa kali. Ternyata, rasa mengantuknya hampir menguasai diri.
            Anis yang tidur membelakangkan dia, dijenguk perlahan-lahan. Lega hatinya apabila mendapati Anis masih tidur nyenyak bagaikan tidak ada apa-apa yang pernah berlaku di situ. Wajah Anis juga tampak begitu tenang sekali.
            Setelah separuh malam, dia duduk mengaji dan bersolat sunat kini terasa batang lehernya sengal. Lalu dia mengambil keputusan untuk merebahkan diri pula kerana dia yakin keadaan Anis sudah kembali stabil. Baru sahaja dia memejamkan mata, dia terdengar bunyi pintu biliknya dibuka.
            Apa yang dilihatnya, membuat dia termangu seketika. Pintu bilik yang tertutup rapat tadi kini benar-benar terbuka lebar. Namun dia menolak ke tepi perasaan yang bukan-bukan. Tanpa berlengah, dia meninggalkan katil dan mahu menutupnya. Namun belum sempat daun pintu dirapatkan, telinganya menangkap bunyi petikan piano yang lembut. Untuk beberapa saat, dia termangu dan menunggu. Betulkah apa yang dia dengar? Ataukah mungkin hanyalah bunyi angin yang bertiup?
            Petikan piano terus kedengaran, mengalunkan irama yang tidak asing lagi di pendengarannya. Dia kenal irama itu, dia tahu lagu itu. Tetapi siapakah yang memetik piano di tingkat bawah? Dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak, dia melangkah ke arah tangga. Di situ petikan piano kedengaran lebih kuat dan jelas.
            Satu demi satu anak tangga dipijak. Damien turun ke tingkat bawah dengan berhati-hati. Mungkinkah ada penceroboh? Namun perasaannya berubah lega apabila mendapati orang yang sedang memetik piano itu adalah Maya.
            “Maya?” Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya sekarang.
            “Tuan terjaga ke? Maafkan saya.” Maya kelam kabut bangun menjauhi piano.
            “Awak buat apa di sini? Bukan ke awak dah balik tadi?”
            “Saya datang semula malam tadi. Sebab dah malam, saya ingat nak tidur saja di sini. Saya harap tuan tak marah.”
            Damien diam. Sesungguhnya dia tidak marah jika Maya bermalam di situ, dia cuma terkejut kerana tidak diberitahu mengenai itu.
“Lain kali beritahulah kalau ada apa-apa. Saya dah berikan awak nombor telefon saya, kan?”
Maya angguk.“Saya masuk tidur dulu, tuan,” katanya sebelum mula melangkah pergi.
“Tunggu dulu!”
Langkah Maya terhenti, dia menoleh ke arah Damien.
“Ada apa, tuan?”
“Dari mana awak belajar main piano macam tu?”
Maya tidak terus menjawab. Dia termenung seketika. “Dari kekasih saya. Dia pandai main piano. Dia suka mainkan lagu tu untuk saya. Dia yang ajar saya main piano tapi saya hanya mahu belajar main lagu tu saja.”
“Di mana dia sekarang?”
Maya angkat bahu.
Jawapan Maya mengejutkan Damien. Dia memandang wajah sugul itu lama-lama.  “Awak dah berpisah dengan dia?”
“Dipisahkan,” balas Maya dengan senyum pahit.
Damien terdiam seketika. Wajah sugul Maya itu menunjukkan Maya sedang bersedih dan dia tidaklah berhasrat hendak mencungkil kisah sedih itu lebih dalam lagi.
“Saya pun tahu main lagu tu,” katanya lalu duduk di kerusi dan mula memetik piano dengan asyiknya. Irama lagu yang sama pun bergema memenuhi ruang tamu Vila Helena cuma lebih rancak dan keras.
Maya tersenyum. Matanya tidak berkelip merenung wajah Damien. Dia mendekati piano dan mendengar dengan asyiknya.
“Pandainya tuan main… tak ubah seperti kekasih saya juga,” puji Maya setelah Damien menamatkan petikan pianonya.
Damien hanya ketawa kecil mendengar pujian itu.
“Dari mana tuan belajar lagu tu?”
“Ini lagu kegemaran ayah saya. Sejak kecil lagi, saya dan abang saya dah diajar memainkan lagu ni.”
Maya tersenyum lagi.
“Pergilah tidur. Dah dekat pukul 4.00 pagi ni.” Damien kerling jam pada dinding. Jelas pada matanya jarum pendek sudah hampir ke pukul empat. Tubuhnya juga terasa semakin lesu.
Maya tidak membantah. Dia mula berpaling pergi.
“Maya,” panggil Damien lagi.
“Ya, tuan.” Maya menunggu.
“Saya nak minta tolong sikit daripada awak.”
Maya angguk.
“Saya nak minta awak tolong tengok-tengokkan isteri saya esok. Tolong temankan dia sebab esok saya ada hal.”
Senyuman Maya melebar.
“Tak ada masalah, tuan. Saya akan jaga puan.” Maya kemudian terus melenggang masuk ke dapur, di mana bilik tidurnya berada.
Kali ini Damien tidak menahan lagi, dibiarkan sahaja Maya melangkah pergi. Tanpa dia sedar Maisara menyaksikan segala-galanya dengan rasa hairan.
*****
Sementara itu di sebuah pondok buruk di pinggir hutan….
ASAP kemenyan naik berkepul-kepul ke atap rumah. Bacaan mentera yang tidak tentu ulas butirnya mengisi keheningan malam. Seorang perempuan tua duduk bersila menghadap segala macam jenis barang persembahannya. Dia memanggil sesuatu untuk bertemu dan berbincang.
Sebilah keris pendek yang patah hujungnya, digenggam kuat. Diasap kemenyan, dimandikan dengan darah ayam hutan. Apabila diusap dengan limau muda dan garam bercampur lada hitam… ada suara yang garau melengking kuat.
“Tak boleh!”
“Aku perintahkan engkau lepaskan mereka!” Suara Nek Yam bingkas meningkah penolakan itu. Diiringi deraman yang terlahir dari kerongkong tuanya. Disusuli lolongan anjing yang bersahut-sahutan di luar pondoknya.
“Tak boleh!!!” Suara yang tidak jelas datangnya dari arah mana itu membentak lagi.
“Kau mahu aku musnahkan kau?” balas Nek Yam sambil menikam sebilah keris yang dipegangnya ke lantai pondok sekuat hati.
Namun dibalas oleh hilaian tawa yang nyaring dan garau.
“Kau takkan mampu memusnahkan aku, orang tua.”
Suara itu membalas. Serentak dengan itu pondok Nek Yam bergegar hebat bak dipukul puting beliung. Angin kuat menderu masuk melalui segala lubang yang ada sehinggakan tubuh Nek Yam terdorong ke belakang menghentam dinding.
 “Kau lupa siapa yang memanggil engkau?” Nek Yam tidak mengalah. Keris di tangannya ditikam pula ke dinding. Dia tahu selagi keris itu di tangannya, makhluk di hadapannya itu tidak akan berani mendekat.
“Sudah lama aku tunggu saat ini. Dia hak aku!!!” Suara garau itu terus lagi membentak bagaikan guruh. Menenggelamkan bunyi ribut yang menyelubungi rumah itu.
“Lepaskan dia! Dia bukan orang yang engkau mahu.”
“Darahnya sama. Aku akan tuntut setiap titisan hingga yang ada di dalam tubuh perempuan itu. Semuanya hak aku!!! Hak aku. Bukankah kita ada perjanjian? Bukankah kau sudah berjanji akan menuntut bela?”
“Jangan membunuh lagi. Aku akan cuba tolong kau dapatkan hak kau.” Nek Yam mula merayu. Walaupun dia tahu makhluk itu bukan mudah dipujuk. Bukan mudah mengikut kata.
“Tidak!!! Janji tetap janji. Masa yang aku tunggu telah tiba.” Suara garau itu bergema lagi, disusuli hilaian yang membingitkan.
Nek Yam memusatkan perhatian ke arah sudut rumahnya yang gelap gelita. Di situ dia melihat sebentuk tubuh sedang tersedu-sedu. Dia tahu siapa itu.
“Lepaskanlah dia. Biar dia bersemadi dengan aman,” katanya dengan hati yang tersiksa. “Lepaskan mereka yang tidak bersalah. Hentikan semua ini.”
“Janji kita telah dipateri dengan darah dan nyawa. Aku takkan lepaskan mereka. Aku tuntut hak aku!!!”
Bum! Pintu terhempas. Pondok Nek Yam bergegar seketika. Ribut berhenti, angin kuat kini menghilang. Gadis yang menangis di sudut pondoknya turut hilang. Yang tinggal hanyalah suara tangisan yang bergema dalam kepalanya. Suara tangisan yang menghantui dirinya kebelakangan ini.
Bersama deru nafas kehampaan, Nek Yam membetulkan sila. Upacara memanggil sudah selesai. Keris di tangannya dipandang lama sebelum dibalut kain kuning dan merah. Asap kemenyan dibiarkan hilang sendiri. Dia tersandar keletihan pada dinding sambil merenung kegelapan malam. Dia sedar, dia perlu bertindak menggunakan jalan yang terakhir.
******
 HAMPIR sejam kemudian, Nek Yam tiba di luar pagar Vila Helena. Lama dia memerhati rumah itu dengan teliti. Vila Helena kelihatan aman damai. Di tingkat bawahnya gelap gelita, hanya di tingkat atas kelihatan cahaya yang samar-samar menembusi langsir. Tetapi dia yakin, penghuni rumah itu sedang tidur nyenyak. Waktu itulah yang paling sesuai untuk dia menjalankan pencariannya.
Parang yang terselit pada pinggangnya ditarik perlahan lalu ditikam ke tanah. Dia mula menggali secepat mungkin. Benda itu perlu dicari. Sayangnya setelah habis kudratnya mengali di sana sini, benda yang dicari itu tetap tidak ditemui. Akhirnya dia terduduk keletihan di tepi pagar. Kudrat tuanya hanya tinggal sisa.
“Kau cuba menentang aku!” Dia terdengar suara yang berbisik sewaktu dia hampir terlelap di situ.
Dia bingkas bangkit dalam kepayahan dan kelelahan.
“Jangan datang lagi ke sini! Kalau tidak…”
Dia hanya dapat merenung gelap malam yang tidak berpenghujung. Walaupun suara tanpa jasad, dia tahu siapa yang menghalaunya pergi dari situ.
“Aku akan tetap datang selagi nyawa aku ada,” balasnya geram.
“Kau cuba bermusuh?”
“Kau yang tidak memberikan aku pilihan.”
Suara itu ketawa lantang, serentak itu juga angin dari laut menderu laju menghempas tubuh Nek Yam. Nek Yam terguling ke tepi jalan.
“Kau sudah terlambat. Mereka sudah berada dalam genggaman aku.”
“Kau makhluk yang penuh tipu muslihat, aku tak percaya,” balas Nek Yam dengan nafas yang tercungap-cungap.
“Jadi kau mesti mati!”
Serentak dengan itu Nek Yam terasa kerongkongnya sempit, dadanya makin lama makin terhimpit. Dia makin rebah ke tanah. Dan kudratnya kian lama kian habis. Apabila terasa nyawanya sudah sampai ke pangkal leher, terdengar suara azan sayup-sayup di bawa angin. Air matanya menitik ke bumi.
Serentak dengan itu, bebayang hitam yang menyelubungi tubuhnya mula hilang. Angin kembali tenang. Suasana Subuh mula hening. Dengan perlahan-lahan, dia mengheret tubuh tuanya bangkit semula. Dia berikrar mulai saat itu, dia akan berbuat sesuatu yang betul di hujung usianya. Semua itu perlu ditamatkan dan dia berdoa untuk pertama kalinya, agar penghuni vila itu masih sempat diselamatkan.

**********************************
Makluman
PERCAYALAH SAYANG hanya disiarkan setakat ini di blog. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pembaca yang telah membaca cerita ini dengan sabar.
 Doakan semoga manuskrip ini dapat diterbitkan secepat mungkin. 
Kisah ini masih panjang, di mana nanti semua misteri yang menyelubungi Vila Helena, Maya, Nek Yam  dan Hanna akan dibongkar. Masih banyak cerita dan masih banyak kejutan yang menunggu.
Selepas ini, sebuah cerita baharu akan menggantikan tempat Percayalah Sayang, 
iaitu Andai Datang Cinta.
Andai Datang Cinta, mengisahkan tentang 3 orang gadis yang bernama Emillia, Jazz dan Shereen yang pernah dihantar ke sebuah rumah pemulihan akhlak yang dipanggil Rumah Putih. 
Apakah misterinya? Sama-sama kita tunggu.
Semoga anda semua masih sudi membaca cerita saya lagi. Terima kasih banyak-banyak.

Friday, February 1, 2013

MISTERI CINTA SEMALAM : Bab 11


Bab 11 MISTERI CINTA SEMALAM sudah disiarkan DI SINI <----- a="">

Kali ini mengisahkan Rafiq mula bertanyakan hal di rumah Mak Minah...