Tuesday, June 26, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 18





S
EBAIK sahaja dia tiba di rumah, dia terus naik ke bilik datuknya. Jika bukan kerana buku itu teramat penting, mungkin dia belum lagi mahu ke situ. Dia belum sanggup melihat segala peninggalan datuknya yang akan menghadirkan rasa sedih yang bukan sedikit.
    Untuk beberapa saat, dia berdiri di hadapan pintu. Hanya anak matanya sahaja yang melirik ke segenap ruang bilik tidur yang pernah digunakan oleh arwah datuk dan neneknya sejak tinggal di situ. Ternyata tidak ada satu pun yang telah berubah termasuklah bau bunga jasmin yang lembut, yang selalu dipakai oleh arwah datuk dan neneknya sekian lama.
    Dia lantas duduk seketika di atas katil. Cadar putih krim yang menghiasi katil itu disentuh dengan lembut.
“Maafkan saya, datuk. Saya tak tahu,” ucapnya bersama air mata yang menitis keluar. Perasaannya menjadi semakin sebak apabila terkenang apa yang telah terjadi.
    “Tak ada apa yang perlu dikesalkan.” Mak Yah bersuara sambil masuk ke bilik itu. “Sememangnya itu arahan daripada datuk tuan sendiri. Dia kata, dia tak mahu pemergiannya mengganggu tumpuan tuan yang sedang menduduki peperiksaan.”
    Menyedari kehadiran Mak Yah di situ, Borhan segera mengawal perasaannya. Teguran Mak Yah itu tidak dibantah walaupun masih ada rasa kesal di hatinya kerana tidak sempat pulang menatap wajah datuknya buat kali terakhir.
    “Tuan masuk ke sini saja-saja ke atau mencari sesuatu?”
    “Mak Yah boleh duduk sekejap?” Borhan menggamit Mak Yah mendekatinya.
Mak Yah mengangkat kening kehairanan. Belum sempat dia bertanya lebih lanjut, Borhan sudah pun memberi isyarat supaya dia duduk di atas katil berdekatan dengannya.
“Saya nak ceritakan satu hal yang sangat penting kepada Mak Yah. Pada saya hal ini sedikit sebanyak akan memberi kesan juga kepada Mak Yah dan Pak Harun,” kata Borhan dengan tenang.
Air muka Mak Yah berubah keruh. “Tuan nak berhentikan kami berdua?”
Borhan segera menggeleng. Tidak terlintas di fikirannya yang Mak Yah akan terfikir soal lain pula. “Saya takkan berhentikan Mak Yah dan Pak Harun. Hanya Mak Yah dan Pak Harun sajalah keluarga saya buat sementara waktu ini.”
Mak Yah kembali tersenyum. “Lega hati Mak Yah mendengarnya, tuan. Tapi apa perkara yang tuan nak katakan tadi?”
“Semalam Cik Cik Asma menyerahkan sepucuk surat yang ditinggalkan oleh datuk untuk saya.” Kata-kata Borhan terhenti seketika. “Di dalam surat itu tertulis satu permintaan datuk.”
“Apa yang arwah datuk tuan minta?”
“Datuk suruh saya cari seorang lagi anak lelakinya yang bernama Hasyim. Hasyim Amzar.”
Lama Mak Yah terdiam.
“Mak Yah tahu apa-apa pasal tu?”
Mak Yah menggeleng. Dia bagaikan orang bingung.
“Saya tahu Mak Yah terkejut. Saya pun sama. Siapa sangka, rupa-rupanya datuk ada seorang lagi anak lelaki. Kenapa agaknya datuk rahsiakan perkara ini daripada saya? Bahkan ibu bapa saya sendiri tak pernah menyebut apa-apa. Perkara ini seolah-olah tak mahu disebut atau diungkit langsung dalam keluarga saya.”
Akhirnya Mak Yah menggeleng. “Mak Yah pun tak tahu, tuan. Mak Yah memang tak tahu yang arwah ada seorang lagi anak lelaki selain daripada arwah ayah tuan. Selama 10 tahun Mak Yah dan Pak Harun berkhidmat untuk datuk tuan, tak pernah sekali pun datuk tuan menyebut hal itu depan kami. Sekiranya ada, pasti Mak Yah tahu.”
Borhan menarik nafas panjang. Lega sedikit rasanya apabila rahsia itu telah dikongsikan dengan Mak Yah. Tidaklah rasa nak pecah dadanya menyimpan rahsia itu seorang diri.
“Mak Yah tak perlu rasa bersalah dalam soal ini. Memang kita tak tahu apa-apa. Malah saya masih tak tahu apa puncanya bapa saudara saya meninggalkan rumah dan tak balik-balik semula.”
“Dia tinggalkan rumah?”
“Begitulah jika menurut catatan datuk dalam surat tu. Katanya bapa saudara saya tu meninggalkan rumah setelah berlaku perselisihan faham. Tentang apa tu, saya tak tahu. Cuma saya hairan, kenapa semua orang berpura-pura seolah-olah bapa saudara saya tu tak pernah wujud dalam hidup mereka. Dan kenapa pula dia tak balik-balik menjenguk datuk? Besar benar pertelingkahan yang berlaku di antara mereka sehingga sanggup memutuskan hubungan?”
“Jawapannya cuma ada pada bapa saudara tuan. Kita berdua tak boleh menjawab bagi pihak dia,” kata Mak Yah pula.
“Sebab itulah saya berada di bilik ini. Saya mencari sebuah buku yang masih disimpan oleh datuk saya. Katanya di dalam surat itu, itulah satu-satunya barang peninggalan bapa saudara saya yang masih disimpan.”
“Tuan nak buat apa dengan buku tu?”
Borhan pandang Mak Yah betul-betul. “Sebenarnya saya dah upah orang mencari bapa saudara saya tu. Jadi buku tu mungkin boleh membantu.”
Mak Yah terangguk-angguk. “Tuan dah cari dalam peti besi datuk, tuan? Mungkin ada di situ.”
“Mungkin saya patut upah Mak Yah saja menyiasat kes ini. Tak teringat langsung saya dengan peti besi lama milik datuk yang tersimpan dalam bilik ni.” Borhan lantas bangkit meninggalkan katil lalu menolak meja sisi kecil di sebelah katil itu. Di belakang meja itu terdapat sebuah lubang berbetuk empat segi tepat. Di dalamnya pula terdapat sebuah peti besi berkunci.
Tanpa berlengah, Borhan menekan kata kunci peti besi itu yang masih terhafal di kepalanya sejak dahulu. Apabila peti besi itu terbuka, ianya kosong.
Borhan mengeluh. “Kosong!” katanya. Peti besi itu ditutup semula. Dia mula buntu. “Di mana datuk letak buku-buku yang selalu dibacanya?”
“Dalam laci tu,” jawab Mak Yah sambil menunjukkan laci meja sisi yang ditolak oleh Borhan tadi.
Laci itu segera dibuka dan digeledah tetapi Borhan masih tidak menjumpai apa yang dicarinya.
“Mungkin Mak Yah tahu di mana buku itu disimpan.” Mak Yah pandang Borhan.
“Di mana?”
“Sebenarnya selain daripada peti besi tu, datuk dan nenek tuan ada satu lagi tempat simpanan rahsia,” terang Mak Yah. Lantas dia membongkokkan badannya dan menyelak kain cadar katil itu ke atas. “Cuba tuan tarik panel lantai yang ketiga dari sini.” Dia tunjukkan panel lantai kayu yang dimaksudkan.
Borhan kini melutut di atas lantai. Arahan Mak Yah dituruti tanpa sebarang kata. Dia agak terkejut apabila panel itu memang boleh dibuka dari luar dan di bawah panel itu terdapat sebuah lubang yang agak dalam. Dia terus menghulurkan tangan ke dalamnya.
“Ada?” tanya Mak Yah.
Beberapa gulung duit kertas dan beberapa barang kemas dikeluarkan oleh Borhan dari lubang itu. Dan akhirnya dia menarik keluar sebuah bungkusan berbentuk empat segi yang berikat reben biru.
“Mungkin ini.” Bungkusan kain sutera cina berwarna putih itu dibawa ke atas katil. Dia duduk dengan tenang sambil membuka ikatannya. Tidak lama kemudian terserlahlah isi kandungannya. Sebuah buku tahunan universiti, buku yang dicari-cari. Dia tergamam sehingga kehilangan kata-kata.
“Sabarlah, tuan,” pujuk Mak Yah.
“Apa tujuannya datuk menyuruh saya mencari dia? Kenapa dia tak mencari saya atau sekurang-kurangnya mencari datuk?”
“Kasih sayang ibu bapa ni tak terselam dek akal, tak terjangkau dek hati,” sahut Mak Yah.
Borhan memandang wajah itu seketika. “Adakah Mak Yah fikir datuk dah maafkan dia?”
“Mungkin anak-anak boleh melupakan ibu bapa, tapi ibu bapa tak mudah melupakan anak-anak. Mereka yang melahirkan dan membesarkan. Walau bagaimana sakitnya hati mereka dilukai oleh anak sendiri tapi akhirnya kasih sayang yang ada itu akan memaafkan segalanya. Itulah sebabnya kasih sayang ibu bapa dikatakan seluas alam. Cubalah cari di mana sempadannya.”
Kata-kata Mak Yah membuat air mata Borhan bergenang. Terkenang pula kepada arwah ibu bapanya sendiri. Jauh di sudut hati, terasa sakit untuk mengakui bahawa segala yang dikatakan itu benar. Dia pernah melupakan ibu bapanya buat seketika namun kedua ibu bapanya tetap menerimanya apabila dia pulang walau sekotor mana dirinya pada waktu itu. Mungkin itulah yang ingin disampaikan datuknya kepada bapa saudaranya. Kini semuanya terpulang kepada dia….
N
BUKU itu dibawa ke biliknya dan diletakkan di atas katil. Walaupun hatinya teramat ingin membuka dan membacanya, namun dia terpaksa bersabar seketika. Ada perkara lain yang lebih penting ingin dibicarakan dengan Mak Yah di dapur pula.
“Mak Yah,” tegur Borhan sambil masuk ke dapur. “Belum tidur lagi?”
“Sikit lagi tuan. Tuan nak minum air atau nak makan apa-apa?” Mak Yah berhenti membasuh pinggan. Dia menanti Borhan memberikan arahan.
“Saya kenyang lagi. Selepas balik tarawih tadi, kawan ajak minum di waterfront.”
Mak Yah angguk dan menyambung semula kerjanya.
Borhan memerhati dalam diam. Macam mana dia nak tanya ni? Dia garu kepala.
“Resah saja, tuan? Nak tanya apa-apa tu, tanya sajalah,” kata Mak Yah pula. Dia mengelap tangan dan langsung duduk di meja makan selang dua buah kerusi dari tempat Borhan duduk.
“Saya buntu,” kata Borhan perlahan. Sudah tertangkap begitu, lebih baik berterus-terang sahaja.
Mak Yah terus menunggu.
“Saya tak faham perasaan saya sendiri. Saya tak faham kenapa saya suka seseorang yang tak suka saya. Saya tak faham kenapa dibenci tanpa sebab.”
“Berbelit-belit,” komen Mak Yah sambil ketawa kecil.
Borhan malu. Sebenarnya, dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menerangkan soal itu tetapi itulah yang dirasainya sekarang. Walaupun Hanisa garang seperti harimau betina dia tetap teringatkan gadis itu. Hatinya tetap tidak mahu membenci ataupun marah. Aneh betul.
“Tuan benar-benar sukakan dia?”
Suka? Mungkin lebih daripada suka, jawab Borhan dalam hati sahaja. Akhirnya dia tersenyum nipis.
“Tapi dia tak sukakan, tuan?”
Erm, itu dia terpaksa akui. “Dari sikap dia, itulah yang saya faham tapi kawan saya pula kata lain.”
“Apa kawan tuan kata?”
“Kawan saya kata… dia jadi begitu kerana takutkan saya,” jawab Borhan satu persatu.
Mak Yah angguk. “Perempuan ni bukan susah sangat nak baca, tuan. Kalau dia suka, dia mendekat. Kalau dia tak suka, dia tak ambil kisah. Tapi kalau dia macam tu, dia terancam. Dia tak boleh buat keputusan. Dia cuba mempertahankan apa yang boleh buat dia rasa selamat.”
Mata Borhan terkebil-kebil. Pada malam itu sudah dua kali dia mendengar perkataan ‘terancam’. Kenapa gadis seperti itu terasa terancam dengan kehadirannya pula? “Saya bukan orang jahat atau berniat jahat pada dia, Mak Yah. Kenapa pula dia boleh rasa saya mengancam dia?”
Namun pertanyaan itu mengundang senyuman lebar di bibir Mak Yah. Borhan malu sendiri. Apa yang dia tak faham?
“Dia sukakan, tuan.” Mak Yah tersenyum makin lebar.
“Suka tapi membenci? Siap marah-marah dan baling bunga ke muka? Pelik betul.”
“Tidak semua perempuan boleh dijinakkan dengan sekali petik saja, tuan. Tidak semua perempuan ni sama. Tidak semua perempuan akan cair dengan sejambangan bunga.”
Borhan terdiam. Mungkin betul kata Mak Yah. Mungkin dia tersilap cara.
“Kalau tuan pandang robot, tentu tuan perasan robot tu kaku saja kalau tak dihidupkan suisnya. Manusia pun lebih kurang macam tu juga, ada suis masing-masing. Kalau tuan jumpa suis yang betul, dapatlah tuan kawal dia.”
Kepalanya mula terasa pening. Mak Yah kalau bercakap, banyak benar metafora dan perumpamaannya. “Macam mana saya nak cari suis tu?”
“Tuan seperti sudah buat keputusan.”
Borhan terdiam lagi.
Mak Yah ketawa kecil. Jari-jemarinya mengusap-usap alas meja di hadapannya. “Tuan nampak beria-ia ni… dah tetap ke hati tuan? Sanggup terima risiko?”
“Maksudnya?”
“Dah bersedia mengaku kalah kalau usaha tuan gagal?”
“Dengan bantuan Mak Yah, saya mesti jumpa,” balas Borhan dengan yakin.
Tapi sebaliknya Mak Yah menggeleng. “Tuan belum faham apa Mak Yah cakap tadi. Perempuan ni tak sama. Mak Yah cuma tahu secara umum tapi secara khusus hanya dia yang tahu di mana letaknya suis dia. Lagi satu Mak Yah nak bagitahu tuan, perempuan yang mahu dikawal meletakkan suisnya di tempat yang orang lelaki senang nampak tapi… kalau perempuan yang tak mahu dikawal oleh lelaki, butang tu jauh tersembunyi atau disorok baik-baik.”
Borhan ligat berfikir. Mungkinkah Hanisa dalam kumpulan kedua?
“Sebab itu tuan kena yakin betul-betul apa yang tuan mahu. Kalau mahu juga dia… tuan tak boleh cepat berputus asa walau jalannya susah. Tuan juga mesti bersedia menerima kekalahan kalau tuan tak jumpa-jumpa juga suis dia sampai ke akhirnya. Mungkin dia bukan rezeki tuan.”
“Apa yang harus saya buat?” Itu sahaja yang dia mahu tahu sekarang.
“Usaha lagi untuk membuka hati dia. Kan orang kata hati perempuan ni macam kerak nasi? Keras-keras pun kalau direndam lama-lama akan lembut juga. Kalau tuan tak berhenti berusaha dan berdoa pada Tuhan lambat laun, tuan akan jumpa juga suis tu. Kalau tak pun, dia sendiri yang serahkan suis tu pada tuan. Dan kalau niat tuan tu baik… Insya-Allah Tuhan akan tolong. Percayalah dan betulkan niat tu dulu.”
Borhan angguk. Dia akan berusaha membuka hati Hanisa untuknya. Dia akan berdoa kepada Tuhan untuk membantunya. Dengan hati yang tenang, dia me- ninggalkan ruang dapur menuju ke biliknya.

N
“APA yang rancak sangat dibualkan tu?” tegur Pak Harun sejurus Mak Yah masuk ke dalam bilik tidur. Sejak tadi dia tertunggu-tunggu Mak Yah masuk ke situ.
“Abang tak tidur lagi?” tanya Mak Yah pula. Selimut di hujung kaki suaminya dibuka dan tubuh suaminya diselimutkan hingga ke paras pinggang. Kemudian anak tudung di kepalanya dicabut dan diletakkan di sebelah bantalnya. Dia berbaring sambil mengiring ke arah suaminya yang sedang leka membaca kitab seperti selalu.
“Cakaplah cepat. Abang dah mengantuk ni. Esok nak kena cuci bahagian depan tu pulak, nak kena bawa awak ke pasar lagi beli ayam….” Pak Harun menutup kitabnya lalu diletakkan di atas meja kecil di sebelah katilnya. Begitu juga cermin mata berbingkai hitam yang dipakainya.
“Abang sorokkan sesuatu daripada saya, kan?” Mak Yah renung wajah Pak Harun. Lelaki yang telah dikahwininya sejak berumur 15 tahun. Di antara mereka berdua tidak pernah wujud rasa cemburu ataupun curiga, mereka menerima hidup seadanya. Tapi kenapa soal itu dirahsiakan daripadanya?
“Di mana abang boleh sorokkan apa-apa kalau setiap hari awak asyik mengemas rumah ni? Tikus pun tak ada tempat nak tinggal tau?”
“Saya tak berguraulah, bang. Saya cuma nak tanya kenapa abang tak cerita pada saya yang Borhan tu ada bapa saudara?”
Pak Harun terdiam. Lama dia termangu. Kemudian dia menoleh ke arah Mak Yah. “Dari mana awak tahu?”
“Rahsia dah terbongkar. Tuan Amzar sendiri yang ceritakan hal ini kepada Borhan.”
Mata Pak Harun makin mengecil bagaikan otaknya semakin berat untuk memahami semua itu. “Bila pula dia cerita hal itu? Kan dia dah meninggal sewaktu Borhan sampai?”
“Semalam abang tanya kenapa Cik Cik Asma datang sini, kan?” tanya Mak Yah. “Dia datang sebab nak serahkan sepucuk surat kepada Borhan daripada Tuan Amzar. Dalam surat tu Tuan Amzar menceritakan tentang anaknya seorang lagi tu. Namanya Hasyim Amzar. Tuan Amzar menyuruh Borhan mencarinya.”
Pak Harun termenung jauh.
“Abang tahu kan perkara ni?” tanya Mak Yah lagi.
“Abang cuma berpegang kepada janji. Tapi dulu tak pernah pula arwah kata nak mencarinya.”
“Jadi betullah, arwah pernah cerita perkara ni kepada abang?”
Pak Harun angguk. “Semasa abang bawa dia ke Selangor untuk uruskan penjualan rumah di sana dua tahun lepas.”
 “Apa puncanya? Abang tahu?”
“Arwah cuma kata anak dia lari dari rumah. Tu saja. Tak sampai hati pula abang nak tanya banyak-banyak.”
Mak Yah diam.
Pak Harun tidak bercakap lagi. Dibiarkan sahaja Mak Yah melelapkan mata. Dia tahu pelbagai perkara kini berlegar di fikiran isterinya tetapi isterinya tidak tahu sewaktu dia mengunci kereta tadi, dia dapati ada kesan darah di pintu kereta yang dipandu Borhan malam tadi. Fikirannya semakin runsing. Mungkin dia tidak patut menunggu lagi.

2 comments:

  1. Tentu percubaan membunuh Borhan dah 2 kali gagal.... Tp siapa yg nak bunuh Borhan... Hanya Pak Harun je yg tahu kan???

    ReplyDelete
  2. terima kasih Ina, Pak Harun pun tak tahu sebenarnya...

    ReplyDelete