Thursday, April 3, 2014

Rahsia Gadis VIP - Bab 2

~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~

Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4


*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery

Keesokan harinya…
Het Spui, Amsterdam
“AKU tak tahu pun perkara ni,” jawab Jazz.
Pada waktu itu dia masih lagi berada di hadapan patung ‘The sweetie’. Satu skultur patung seorang budak lelaki jalanan yang mewakili jiwa seni penduduk di sekitar Het Spui yang lebih dikenali sebagai syurga buku dan hasil kesenian setempat.
 Keasyikannya bercuti di situ terganggu apabila menerima panggilan telefon dari Linda yang berada di Malaysia. Bagai hendak luruh jantungnya.
“Mungkin kerana dia belum dapat nombor telefon kau lagi. Tapi kau jangan pandang ringan perkara ni. Dia cekap.”
Hati Jazz makin rungsing. Sekiranya nombor telefonnya jatuh ke tangan Sofia dia yakin hidupnya akan kacau-bilau. Hatinya mula meragui kesetiaan Linda.
“Aku harap kau masih berpegang pada janji.”
“Kalaulah aku nak belot, dan tentu bukan aku yang bercakap dengan kau sekarang… tapi Sofia,” bidas Linda.
“Aku tak mahu ke sana. Menyebut nama tempat itu pun aku tak mahu.” Bibir Jazz menggeletar.
“Kau fikir aku suka sangat pergi ke situ?”
“Kau jangan buat aku takut.” Jazz mula rasa hendak menangis. Fikirannya seperti dibayangi awan hitam yang menggerunkan. Kenapa rumah itu disebut-sebut semula? 
“Aku bukan nak takutkan kau. Tapi kau kena faham. Perkara ni serius. Dan Sofia akan buat apa aje supaya kita berkumpul di sana.”
Lama Jazz termenung. Di kepalanya terlintas muka Sofia yang bulat, putih bagaikan orang Barat dan berambut sedikit perang. Tapi itu gambaran sepuluh tahun yang lalu. Dia langsung tidak pasti bagaimana rupa Sofia sekarang dan itu tidak termasuk dalam senarai perkara yang perlu difikirkan.
“Kalau kita tak datang, apa yang dia akan buat?”
“Dia ugut akan hubungi wartawan,” jawab Linda.
Jazz terdiam. Remuk perasaannya.
 “Kau pun tahu aku bukan jenis yang suka bergurau,” katanya kemudian walaupun dia mengharapkan semua itu hanyalah satu gurauan.
“Kalau boleh, aku pun nak anggap ini satu gurauan, Jazz. Tapi ini bukan main-main. Percayalah, Sofia tak bergurau.”
Jazz menutup telefonnya. Buat masa itu dia tidak sanggup bercakap dengan sesiapa pun termasuklah dengan Linda. Sekujur tubuhnya menggigil. Dia ketakutan.
“Buku yang kau cari tu tak ada,” tegur Remy yang baru tiba di tempat Jazz berdiri. Di tangannya ada sebuah beg yang mengandungi dua buah buku berbahasa Inggeris yang dibeli dari Koningsplein, kedai buku terbesar di arena Het Spuii.
“Kita balik hotel,” balas Jazz sambil terus melangkah laju. Dia benar-benar hilang mood untuk bersiar-siar. Dia hanya mahu balik dan menyorok dalam tab mandi. Noktah.
 “Balik? Eh! Tadi kau kata nak beli lukisan? Lagipun, aku belum masuk ke kedai-kedai buku yang lain,” balas Remy yang masih terkejut dengan perubahan Jazz yang mendadak.
“Aku rasa tak sihat.” Jazz mula melangkah tanpa memandang Remy tetapi berjaya dipintas lelaki itu.
“Kenapa tak cakap awal-awal? Sepatutnya kau cari aku tadi.”
Jazz tidak menjawab. Apa yang ditanyakan oleh Remy langsung tidak berbekas dalam kepalanya. Dia hanya ingin balik. Dia hanya mahu menyorok.
“Jazz!” panggil Remy. Dia sempat menarik lengan Jazz hingga langkah kaki Jazz terhenti. Apabila Jazz berpaling ke arahnya, dia lantas meletakkan tapak tangan ke dahi Jazz. “Kenapa ni? Kau demam?”
Jazz menggeleng. Tangan Remy ditepis. Rimas.
“Tolonglah hantar aku balik.” Dia terus menyambung langkahnya semula. Dia semakin rimas diasak dengan pelbagai pertanyaan sedangkan hatinya sedang berserabut dengan soal lain.
Kali ini Remy tidak menghalang lagi.
“Okey, kalau kau betul-betul tak sihat kita balik aje ke hotel. Lagipun kau hanya ada masa sehari aje untuk berehat sebelum pertandingan tu bermula malam esok. Pastikan suara kau tak apa-apa.”
Jazz diam sahaja. Dia tahu suaranya tidak akan apa-apa namun belum tentu perasaannya.
“Oh, ya! Aku rasa aku belum beritahu kau lagi tentang satu perkara ni. Walau aku tak pasti sama ada kau berminat nak tahu ataupun tak tapi pada aku perkara ini melucukan,” kata Remy sambil berjalan di sebelah Jazz.
Jazz hanya menjeling. Remy memang tidak memahami dirinya yang sedang berserabut dengan segala masalah.
“Kau percaya tak kalau aku kata, ada orang jemput kau untuk satu jamuan minum petang?”
Langkah Jazz hampir tersandung. Spontan dia menoleh ke arah Remy. Ha?
“Tak perlulah terkejut sampai macam tu sekali. Entah orang gila mana yang jemput kau tu. Dia ingat, kau ni penyanyi pentas funfair ke nak ajak-ajak aje macam tu? Lainlah kalau dia nak sponsor tiket kapal terbang kau dan bayar kau ikut jam.”
“Siapa yang jemput?”
Remy bergumam seketika.
“Kalau tak silap aku, namanya… Sofia. Sofia Raphael… macam itulah bunyinya.”
Lidah Jazz menjadi kelu. Ternyata kata-kata Linda tadi betul. Sofia sedang menjejakinya.

Keesokan harinya…
“KAU dah gila ke? Susah payah aku dapatkan kau peluang menyanyi di Albert Hall tu, senang-senang kau nak tolak pula.” Suara Remy begitu lantang meningkah suara Jazz di bilik persalinan. Mujurlah pada waktu itu hanya ada dia dan Jazz di situ. Kalau ada orang lain pun dia sudah tidak peduli. Permintaan Jazz sungguh mengarut.
“Gila ke tak, aku tak peduli. Yang pentingnya, aku nak balik Malaysia walau apa pun kata kau,” jawab Jazz sambil meratakan pewarna merah di pipinya dengan berus. Dia terpaksa juga memberitahu Remy tentang niatnya untuk balik ke Malaysia walaupun dia sendiri tidak pasti berapa lama.
“Habis tu macam mana dengan persembahan tu?” Remy semakin berang.
“Kau kan pengurus aku? Kau uruskanlah apa yang patut.” Jazz menjeling muka Remy sebentar. Itu memang sudah tugas Remy. Tugas dia cuma menyanyi. Kalau tidak, buat apa dia bayar Remy selama ini?
Mendengarkan jawapan Jazz, Remy terus bangun dan meninggalkan bilik itu. Dia benar-benar marah dengan keputusan Jazz yang tiba-tiba sahaja. Sedikit pun tidak menghargai usaha dia dan peluang yang begitu besar.
Setelah Remy pergi, Jazz termenung jauh. Dia tahu Remy marah dan Remy memang patut marah. Dia sendiri tahu betapa Remy telah bekerja keras bagi mendapatkan dia peluang menyanyi di sebuah tempat yang begitu gah.
Selama ini hanya beberapa orang sahaja penyanyi dari tanah air yang telah dapat beraksi di situ. Dan bagi dia, itu satu kejayaan yang besar untuknya walaupun sekadar menjadi penyanyi jemputan sahaja. Wajarlah kalau Remy marah.
Tetapi, semarah mana pun Remy dia terpaksa juga balik ke Malaysia pada tarikh yang ditetapkan. E-mel demi e-mel yang diterimanya membuatkan dia semakin cemas. Nampaknya dia tidak punya pilihan lain selain mengikut perintah Sofia yang memiliki tongkat sakti.
Sofia boleh membuatkan namanya tercemar teruk dan karier nyanyiannya berakhir dalam sekelip mata. Sofia bagaikan nenek sihir yang jahat.
“Sorry,” kata Remy sejurus masuk semula ke bilik persalinan Jazz. Dia letakkan secawan kopi yang panas di atas meja solek. “Mungkin kita boleh bincang lagi perkara ni.”
Jazz menggeleng.
“Untuk sekali ini aje, aku minta sangat kau lepaskan aku. Walau macam mana pun aku mesti balik juga ke Malaysia.
“Yang kau kelam kabut sangat nak balik ke sana ni kenapa?” bentak Remy. “Apa benda yang ada di sana tu?”
Jazz cuma tunduk dan menggeleng.
Sikap Jazz membuatkan Remy mengeluh berat. Dia hempaskan punggung semula ke atas sofa. Dia termenung seketika. Kedegilan Jazz mula membuatkan dia pening.
“Okey, macam ni,” tambahnya. “Aku akan cuba batalkan persembahan kau tu tapi sebagai gantinya… kau ceritakan pada aku kenapa kau tergesa-gesa nak balik ke Malaysia. Selalunya walaupun kau ada cuti, kau juga yang tak nak balik ke sana.”
Kini Remy sudah duduk tegak semula, dia tersenyum memujuk. Sayangnya Jazz tetap mengunci mulut rapat-rapat.

DUA JAM selepas itu, Jazz turun dari pentas. Majlis penyampaian hadiah baru sahaja selesai. Sebuah trofi, sijil, cek dan sejambak bunga sudah penuh di tangannya. Walaupun tidak memenangi tempat pertama, tempat kedua sudah cukup bagi dia mengharumkan nama negara. Dia puas.
“Ucapan tahniah untuk kau menderu-deru masuk,” kata Remy sambil mengambil jambangan bunga dari tangan Jazz. Dia tahu sebentar lagi, Jazz ada sesi sidang akhbar dan sesi fotografi. Dia tidak ada banyak masa untuk berbual dengan Jazz dalam suasana yang hingar-bingar itu.
Jazz cuma tersenyum. Debarannya semasa menanti keputusan diumumkan tadi masih bersisa. Malah kemenangan yang diraih malam itu sendiri sudah cukup membuatkan jantungnya berdegup laju.
Lalu, apabila kesemua pemenang pertandingan nyanyian itu dijemput ke sebuah dewan khas untuk sidang akhbar, dia menurut sahaja dengan kepala yang masih terasa bingung akibat curahan adrenalin yang menggila seketika tadi.
“Jazz, kalau ada soalan yang susah-susah, biar aku yang jawab,” pesan Remy sebelum mereka duduk berdampingan di sebuah meja panjang.
Jazz mengeyakan sahaja. Dia sendiri tidak bersedia kalau ditanyakan tentang perancangan masa depannya, kerana selama ini dia menyerahkan kepercayaan seratus peratus kepada Remy untuk mengaturkannya.
Beberapa minit kemudian, sidang akhbar itu pun bermula. Pihak penganjur dan wakil penaja memberikan ucapan alu-aluan dan ucapan tahniah kepada para pemenang. Penerangan mengenai perjalanan dan cara penghakiman dilakukan sebelum wartawan dibenarkan mengemukakan soalan kepada sesiapa sahaja.
Mujurlah sesi itu berakhir dalam tempoh yang pantas. Sedar-sedar sahaja Jazz sudah kembali ke bilik persalinan untuk berganti pakaian dan berehat sebentar sebelum jamuan pula diadakan.
“Lega betul,” kata Remy. Dia sudah berbaring di atas sofa panjang sambil membelek-belek medal yang dimenangi oleh Jazz sebentar tadi. “Aku sangka peserta dari Italy atau Azerbaijan yang akan menang. Aku sampai ternganga dengar mereka menyanyi tadi. Huh! Hebat!”
“Dah rezeki kita,” balas Jazz.
Dia tidak rasa pula dia lebih hebat daripada peserta yang lain, dia sekadar rasa kemenangan itu sudah dicatatkan untuknya. Tetapi kalau orang lain merasakan dia hebat, terpulanglah.
Di belakang pemidang setinggi kepalanya, dia melucutkan gaun ungu yang dipakainya semasa membuat persembahan. Kini, tubuhnya hanya dibaluti korset ketat. Sehelai gaun panjang berwarna merah hati disarung pula ke badan.
Semua pakaian itu dipilih Remy untuknya. Apa yang dia tahu, apa sahaja pilihan Remy selalunya tepat untuk setiap majlis. Begitu juga dengan gaun merah hati itu. Muat-muat sahaja dan nampak terletak di badannya.
Remy bangkit duduk. Kopi yang hampir sejuk dalam cawan Jazz diteguk rakus. Kemudian dia menoleh ke arah Jazz yang sedang asyik membetulkan solekan di meja solek. Dia menuju ke arah Jazz.
“Tapi kau belum jawab soalan aku,” katanya. Pandangan matanya bertatapan dengan mata Jazz yang dilihat di cermin solek. Apa yang disembunyikan oleh gadis itu? Hatinya bagaikan digaru-garu untuk tahu.
Sayangnya Jazz hanya buat tidak peduli. Sehabis bersolek, dia bangun dan mencapai beg tangannya.
Remy tergesa-gesa mengejar.

JAMUAN makan malam yang diadakan penganjur pertandingan berjalan dengan meriah sekali. Bagi Jazz, itulah majlis makan malam yang paling besar pernah dihadirinya. Buat  pertama kali dia dikelilingi penyanyi, pelakon, komposer dan mereka yang terkenal dalam bidang muzik dari seluruh dunia.
Dia sendiri kagum dengan keupayaannya untuk menempatkan diri dalam kalangan mereka yang berada di situ. Dia gembira, bangga dan bertambah yakin kepada keupayaannya sebagai penyanyi. Namun jauh di sudut hatinya tahu, semua itu boleh berubah dengan sekelip mata kalau Sofia membuka mulut.
“Mama kau telefon,” kata Remy dengan perlahan sahaja. “Nak jawab ke?”
Mama? Kenapa mama sibuk pula menghubunginya pada saat itu? Dia rasa gemas. “Katakan aku sibuk. Aku kan ada majlis?”
Remy terus beredar ke tepi dewan bagi menjawab panggilan. Dia faham sangat hubungan Jazz yang tidak baik dengan keluarganya cuma dia tidak pernah tahu kenapa. Jazz tidak pernah mahu bercerita walau dia pernah bertanya.
Sementara itu Jazz hanya memandang dari jauh. Mungkin ayah tiri dan ibunya sudah tahu pasal kemenangannya itu. Dia juga yakin berita kemenangannya dalam pertandingan itu sudah mula tersebar luas di tanah air terutama dalam kalangan peminat dan penggiat seni. Namun dia belum bersedia untuk bercakap dengan ibunya lagi. Mungkin tidak sampai bila-bila.
“Mama kau ucapkan tahniah.”
“Itu aje?” tanya Jazz. Semua itu sudah dijangkakan.
“Dia tanya bila kau nak balik ke Malaysia? Dia nak buat kenduri kesyukuran.”
“Kau tak bocorkan apa-apa rahsia, kan?”
Remy terus membuat isyarat mengzip mulutnya.
Jazz mengeluh perlahan. Dia harap, dia tidak perlu memberitahu sesiapa tentang jemputan Sofia. Biarlah tidak ada sesiapa pun tahu kecuali yang sudah sedia tahu.
“Jangan sampai ada yang tahu tentang kepulangan aku pada minggu depan,” jawabnya kemudian. “Kalau wartawan tanya, katakan aku hanya akan balik selepas selesai semua show di London.”
“Aku yakin kau pasti punya sebab untuk buat kerja gila ni.”
“Aku juga yakin kau tahu tugas kau adalah untuk menguruskan hal nyanyian aku dan bukannya untuk campur tangan dalam hal peribadi.”
“Sejak bila hal nyanyian kau terpisah dari soal peribadi? Bukankah aku juga yang selalu cover hal peribadi kau?”
“Bukan semua,” balas Jazz sambil menghadiahkan senyuman pada lensa kamera wartawan yang berkeliaran di majlis itu.
“Hal ini salah satunya?”
Jazz angguk.
“Aku harap kau tak buat sesuatu yang akan merosakkan nama baik kau,” bisik Remy.
“Ataupun yang akan menggagalkan segala rancangan kau,” sambung Jazz.
“Kita ada kontrak, kan?” Remy ketawa kecil. “Jadi, sekurang-kurangnya aku juga patut tahu sebahagian daripada keseluruhan cerita kau kali ini.”

“Not this time.” Jazz terus tinggalkan majlis itu. Not this time, ulangnya dalam hati.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.