Monday, January 31, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 9




Setibanya dia di bilik, Tina masih belum tidur. Sherry masuk dan meletakkan bungkusan kain telekung pemberian dari Kak Senah di atas tilam. Sebelum duduk di atas katilnya, dia mendekati Tina yang seakan leka menatap majalah hiburan di tangannya. “Nak kuih?” tanyanya sambil meletakkan bungkusan kuih di tepi Tina.

“Kuih?” Tina kehairanan. “Pergi surau dapat makan kuih?” tanya Tina pula.

Sherry mengangguk sahaja. Dia berpaling dan naik ke atas katilnya. Tanpa berlengah, dia merebahkan kepalanya ke atas bantal. Kini, dia mula terasa penat. Pergelangan tangannya sengal-sengal kerana membantu Kak Senah membuat kuih selut petang tadi. Sekarang, ditambah pula dengan rasa mengantuk yang amat sangat dia jadi tak berminat untuk bercakap banyak dengan Tina. Dengan sekejap saja, fikirannya sudah terawang-awang.

“Macam mana? Best?”

Dia menoleh ke arah Tina. Dia hampir sahaja terlelap apabila dikejutkan semula oleh pertanyaan itu. Best? Macam mana nak dijawab ya? Dia tak pasti. “Best,” jawabnya perlahan.

Tanpa rela, wajah Azmi terbayang di matanya pula. Dia tidak kesal langsung menghadiri majlis agama itu kerana di situlah dia dapat melihat Azmi dari sudut yang lain. Setiap perlakuan pemuda itu, setiap tutur katanya kepada orang lain, bagaikan angin sejuk yang mendamaikan hatinya. Dan dia tahu, bukan dia saja yang merasakan begitu. Dia yakin senyuman Khadijah juga penuh makna yang tersirat. Tapi, dia tak peduli. Dia tak pernah gagal mendapatkan apa yang dia mahu.

“Jadi, esok nak balik tak?”

Dia menoleh sekali lagi. Pertanyaan Tina itu terasa seperti ada yang tak kena. “Kenapa tanya macam tu?”

“Manalah tahu, kalau kau nak tinggal terus kat sini,” balas Tina selamba.

Dia merenung Tina lama-lama. Tidak ada apa yang berubah dengan wajah Tina. Wajah cantik tanpa sebiji jerawat pun di kulit muka itu tetap juga sama. Tapi kenapa nadanya terlalu sinis? “Belum lagi. Aku kena balik dulu,”jawabnya geram.

“Kenapa tak buat akad nikah saja tadi?” Tina terus memperli.

Hati Sherry panas terbakar. Sakitnya tak terkata. Dia sedar Tina tak berpuas hati dengan sikapnya sejak petang tadi tapi kenapa harus dipersoalkan? Bukankah itu hak dia? Ikut suka dialah nak buat apapun. “Kenapa mesti marah sangat? Aku bukan pinjam kaki kau pun.”

“Memang aku marah,”balas Tina dengan cepat sekali. Majalah yang dibaca dicampak ke kepala katil.

“Apa yang kau marahkan? Aku pergi surau je. Kau tinggalkan aku tu, boleh pula?”

Tina tidak terus menjawab kali ini. Dia hanya termenung memandang siling tapi di wajahnya bagai lahar yang termuntah dari gunung berapi. Bila-bila masa sahaja boleh membakar hangus billik itu.

Sherry kebingungan. Dia tak faham kenapa Tina bagaikan marah sangat. Dia pergi bukannya lama sangat kalau hendak dikatakan bosan. Jika bosan sekalipun, Tina pasti sudah ke Lahaina bergaul dengan kawan-kawan barunya di sana. Tapi tidak pula, Tina pergi. Dia hairan. Adakah sesuatu telah berlaku yang dia tak tahu?

“Aku tak suka, tahu tak?” bentak Tina, dengan tak diduga.

“Tak suka apa?”

Tina tak menoleh sedikit pun ke arah Sherry. “Aku tak sukalah kau bergaul dengan budak kampung tu.”

Sherry terkelip-kelip memandang Tina. Hilang sudah rasa mengantuk yang bergayut di kelopak matanya tadi. Tak suka? Kenapa pula Tina tak suka? Dan yang paling pentingnya adalah apa perlunya dia peduli sama ada Tina suka atau tak dengan perlakuannya. Dia punya sukalah. “Okey, sorry kalau kau tak suka tapi setahu aku, aku punya sukalah nak kawan dengan sesiapa pun.”

Tina berdengus. Dia bangun dari katil lalu menyambar beg dompetnya dan keluar dari bilik itu. Pintu dihempaskan kuat-kuat.

Sherry tersentak. Fikirannya bingung sekejap. Kenapa Tina marah sangat?Apa yang dia tak faham?

****
Azmi mengunci pintu kedainya baik-baik. Rumahnya boleh dimasuki dari dua arah. Kalau tak dari arah depan kedai, tentu dari arah belakang rumah. Jika masuk dari arah depan, dia perlu melalui ruang kedai yang sempit sebelum sampai ke ruang belakang yang dijadikan rumahnya. Setelah memastikan keadaan kedainya baik, dia melangkah ke belakang. Dia hanya mahu duduk dan bertenang. Debar di dadanya masih tak keruan.

Setelah menyangkutkan songkok hitamnya di tepi dinding, dia duduk di atas bangku kayu. Dia menghela nafas panjang-panjang sambil merenung kegelapan di hujung ruang itu. Dia masih bingung dan tak faham apa yang telah berlaku. Kehadiran Sherry di surau amat mengejutkan dia.

Dia menoleh pula ke arah meja kayu di hadapannya. Dalam remang cahaya pelita, dia melihat komputer ribanya tergeletak lesu. Lalu terlintas sejenak di fikirannya untuk mengalihkan perhatian ke dada manuskrip yang belum banyak terusik. Namun setelah komputer ribanya dibuka, dia hanya termenung menatap skrin yang putih. Segala rasa terujanya terus hilang.

Dia menggaru kepala. Dari kepala, jarinya merayap hingga ke dahinya yang mula berdenyut. Pandangan matanya masih lagi menatapi skrin, membaca baris demi baris ayat yang telah dilakarkan di situ pagi tadi. Ya, baru pagi tadi dia menulis sebelum Sherry datang menganggu.

Sherry…kenapa mesti nama itu yang disebut oleh hatinya? Dan kenapa nama itu seolah tak mahu pergi jauh? Malah bukan saja nama, kini wajah gadis itu yang berkelubung kain telekung putih seolah melekat kuat di matanya. Masih terbayang-bayang, seraut wajah bersih yang mencuri tumpuannya tadi. Dia resah. Apakah yang sedang melanda dirinya? Belum pernah dirasakan seperti itu. Ya, Tuhan…dia merintih.

Skrin yang ditatapinya seakan kosong. Bait-bait ayat yang sudah tertera seakan tak bermakna. Fikirannya bukan ke situ, tapi entah ke mana. Getaran jantungnya juga tak lagi seirama dan sekata. Kini rasa amarahnya mula menguasai, dia jadi benci kepada kelemahan diri.

Perlukah dia mengingati seorang gadis sebegitu cara? Fikirnya kini. Bukankah semuanya langsung tak memberi makna? Bukankah segalanya akan berakhir di hujung jeti petang esok? Oleh itu, dia harus membenamkan perasaannya yang tergoda oleh rasa dan nafsu. Dia harus membuang ingatan itu jauh-jauh. Tetapi itulah hasutan syaitan, fikirnya pula. Jika dia mengharapkan balasan, maka itu bukan cinta kerana Tuhan namanya. Itu cinta kerana mengharapkan balasan yang setimpal, akalnya menunjuk jalan. Akhirnya dia termenung sendiri.

Biarlah, dia sahaja yang mengingati gadis itu dalam diam. Dia yakin, pertemuan itu ada hikmah di sebaliknya. Ketentuan Tuhan tak pernah sia-sia. Cuma inilah kali pertama, fikirannya terganggu dan hatinya berkocak. Tapi, dia segera sedar diri. Perasaan itu takkan ke mana, seolah ribut yang membadai. Habis dayanya, laut kan tenang semula. Dia beristighfar, memohon ampun, jika apa yang melintas di hati itu cuma rasa yang bertunjang nafsu. Komputer ribanya ditutup semula, dia menuju ke bilik air untuk bersolat sunat. Moga-moga badai di hatinya segera berlalu.

*****
Pagi yang cerah tiba lagi. Sejak Subuh beredar, langit biru menabiri alam bagai tak ada hujungnya. Angin yang bertiup dari laut menderu-deru datang ke pantai membawa khabar resah sang perantau. Dan di tepi pantai yang sama, duduk seorang anak muda yang leka merenung lukisan alam sambil melontar batu tanpa jemu. Sesekali kelihatan dia beresah-resah sendirian.

“Mi, dah minum?” tegur Kak Senah.

Azmi menoleh. Dia tersenyum sebaik terpandang saja wajah Kak Senah yang datang bersama bakul ikan ke tempat dia duduk mengambil angin pagi. “Belum, kak. Belum balik ke rumah pun,” jawabnya jujur.

“Dari surau ni? Kenapa duduk termenung di sini pula? Akak ada hantar kuih tadi, agaknya ada lagi di depan tingkap tu.”

“Tak apalah, kak. Nanti balik, saya makanlah.”

“Tak payahlah risau, kalau jodoh tak ke mana.”

Azmi berpaling. Kata-kata Kak Senah itu membuat darahnya berderau. Apa maksud Kak Senah? Tapi tak tersebut oleh mulutnya untuk bertanya. Malu. Dia hanya mampu tersenyum.

“Mi, kalau itu yang Mi mahu, berdoalah semoga dia yang ditakdirkan jadi jodoh,” pujuk Kak Senah sambil duduk di sebelah Azmi tapi membelakangkan laut. “Akak dah buat apa yang termampu.”

Azmi menghela nafas. Kata-kata Kak Senah itu tak mampu dibantah. Cuma dia sedang bergelut antara rasa mahu dan sedar diri. “Tak apalah, kak. Saya bukanlah pilihan yang terbaik.”

“Itu akak tak tahulah. Biarlah dia yang buat pilihan kan. Jangan fikir orang perempuan ni semuanya pandang harta saja. Ada perkara dalam hati perempuan yang orang lelaki tak tahu,” balas Kak Senah seraya mengangkat punggung dari batu yang didudukinya tadi.

Azmi hanya mengangguk. Memang dia tak faham apa yang ada dalam hati Sherry. Buat apa gadis itu bersusah-payah datang ke rumah Kak Senah membantu buat kuih? Buat apa pula gadis itu ikut ke surau mendengar ceramah tok imam selepas itu? Semuanya tak masuk akal jika tak bersebab. Tak pernah dibuatnya pelancong datang ke surau malam-malam, selalunya paling jauh pun mereka hanya sampai ke kedai dia membeli pelampung. Itupun, berkira macam apa.

“Akak nak ke perahu, nak beli ikan. Mi, nak makan apa?”

“Tak kisahlah, kak.”

“Tengah hari nanti, datang makan di rumah. Kita ada tetamu.” Kak Senah beransur pergi.

“Tetamu? Siapa yang datang kak?”

“Siapa lagi?” Kak Senah tersenyum lebar sebelum melangkah makin jauh.

Azmi hanya dapat memandang. Dia tahu Kak Senah sengaja mengaturkan segalanya tapi tak mungkin Kak Senah dan Abang Osman berani berbuat sesuatu tanpa sebab? Dahinya berkerut, dia tersedar sesuatu. Nampak sangat ke yang dia sudah terpikat? Dia tak dapat menahan diri kali ini, senyumannya melebar.

****
“Bot pukul berapa?” tanya Tina yang baru bangun tidur. Malam tadi, dia melalak di Lahaina sampai pukul 3.00 pagi. Sekarang kepalanya macam tumbuh tiga tanduk, sakit.

Sherry bangun dari katil dan melipat semula selimut yang dipakai. Barang-barangnya sudah siap disusun di tepi katil. “Ikut jadual, pukul 3.00 petang. Tapi ni baru pukul 11.00 pagi. Bangunlah berkemas.” Walau perasaannya masih terbuku dalam hati, namun dia rasa malas untuk bertekak atau bermasam muka dengan Tina pagi itu. Dia percaya, lambat-laun Tina pasti akan sejuk semula selepas marah-marah malam tadi.

Tina menggeliat sesuka hati. Sambil terhoyong-hayang dia masuk ke dalam bilik air untuk memncuci muka. Sekejap sahaja dia sudah keluar semula sambil mencapai roti manis yang sempat dibeli dari kedai Azmi semalam. Dia termenung memandang laut, sambil mengunyah roti manis perlahan-lahan. Entah apa yang difikirkan, Sherry tak pasti.

“Tengah hari ni…Kak Senah ajak kita ke rumahnya sekejap.”

Tina cepat-cepat berpaling. Renungan matanya seolah tak percaya dengan apa yang dia dengar. “Nak buat apa?” Dahinya berkerut rapat, hingga keningnya hampir bercantum jadi satu.

“Dia ajak kita makan tengah hari di rumah dia,”balas Sherry. Renungan Tina tidak dipedulikan saja. Lantak kaulah, Tina, kata hatinya. Dia cuma menyampaikan ajakan orang, mahu atau tak, bukan urusan dia. Dia pun tak memaksa jika Tina tak mahu ikut serta.

Tina diam sahaja. Dia kembali merenung laut lepas bagai sedang berfikir jauh. “Azmi? Dia ada?”

Sherry tersentak. Dia mengangkat bahu tanda tak pasti. Sememangnya, hanya Kak Senah yang menjemput malam tadi. Tapi jika ada Azmi, itu lebih bagus. Dapat juga dia menatap wajah itu sebelum dia berangkat balik. Tanpa sedar, dia termenung di birai katil. Perasaannya jadi pilu.

Setiap kali jarum jam berdetik, semakin berat hatinya terasa. Dalam pilu, hatinya membadai kencang. Tak perlu dinafikan yang hatinya amat berat untuk dia meninggalkan pulau itu. Mungkinkah semuanya berpunca dari Azmi? Dia rasa semuanya berlaku terlalu cepat, seolah hanya sempat melihat mutiara hitam itu sekali imbas dan bukan memilikinya. Tapi apakan daya dia? Tempatnya bukan di situ, tapi di sana.

“Alright…kita pergi sana. Lepas tu, bolehlah kita beli ikan masin bawa balik,”kata Tina seraya bangun dari kerusi dan menarik keluar beg pakaiannya.

Sherry terasa kulit mukanya panas. Dirinya rasa tersindir. Tapi mungkin juga Tina tak bermaksud begitu. Sangkaan itu ditepis jauh-jauh.

Setelah semua barang-barangnya siap dikemaskan, dia keluar ke beranda merenung laut lepas. Dia sedar yang dia akan merindui segala-galanya. Dari laut biru, pantai putih, ombak kecil dan batu besar. Dari penduduk kampung yang peramah hingga kepada Azmi yang mencuri perhatiannya. Dia rasa tak berdaya, dia telah rindu sebelum jauh dari situ.

Tuesday, January 25, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 8

DAHINYA dihiasi renik peluh. Kulit mukanya panas membahang. Sesekali anak matanya memandang ke atap zink di atas kepalanya. Dia mengeluh perlahan, tak sangka begitu rasanya duduk di bawah atap zink, seperti duduk dalam oven pula rasanya. Tidak ada sudut yang tidak berbahang. Tapi, dia masih bertahan. “Macam ni ke, kak?” Dia menunjukkan kuih di dalam tangannya. Hatinya ragu-ragu.

Kak Senah menoleh sekilas ke arah Sherry yang duduk di lantai dapur rumahnya. “Bolehlah tu. Buat macam karipap je.”

“Karipap?” Sherry bertanya balik, bukan kepada Kak Senah tetapi hanya kepada dirinya sendiri. Kalau makan karipap dia tahulah, nak buat tu dia tak pernah tahu pula. Kuih yang belum masak di atas tapak tangannya ditekan-tekan biar kemas. Bolehlah tu…bisik hatinya. Asal ada rupa karipap cukuplah, lagipun itu bukannya karipap. “Apa nama kuih ni, kak?” Dia bertanya lagi. Kepanasan yang dirasa cuba disejukkan dengan berbual kosong.

“Orang sini panggil kuih selut,” jawab Kak Senah. Matanya ralit memerhati kuih selut yang masih digoreng dalam kuali. Kalau leka nanti hangus pula.

“Kuih selut?” Sherry hampir ketawa, tapi ditahan sekuat hati. Bimbang Kak Senah akan berkecil hati pula tapi Tina yang duduk bersantai di pelantar sudah ketawa menekan perut. Kenapalah dipanggil kuih selut agaknya? Dia hanya berani bertanya dalam hati. Mungkin kerana kuihnya liat macam selut, jawabnya sendiri.

“Sherry tak pernah makan ke?”

Sherry menggeleng perlahan. “Inilah kali pertama saya tengok kuih ni, kak,” jawabnya jujur. Jarinya mengambil lagi seketul tepung pulut yang sudah dibancuh menjadi doh. Digelek dan diratakan di atas tapak tangan. Setelah ianya lebar sebesar tapak tangannya, diletakkan inti kelapa yang harum baunya. Doh itu dicantumkan semula lalu dibentuk menjadi seperti bentuk karipap lalu disusun ke dalam pinggan. Diulang lagi proses yang sama tanpa rasa jemu. “Tak nak try ke?” tanyanya pada Tina.

Tina tersentak apabila mendengar namanya dipanggil. Dia cepat-cepat menggeleng, lalu earphone diselitkan semula di telinganya. Dia bergoyang kaki sambil menikmati permandangan laut di hadapannya sambil dibelai udara petang yang menyamankan.

“Azmi cukup suka makan kuih ni,” cerita Kak Senah lagi sambil tersenyum sendiri.

Sherry tersenyum sama. Hatinya gembira, malam nanti Azmi mungkin akan menjamah kuih yang dibuatnya itu, walau dia hanya tukang isi inti. Selepas puas melayan angan-angan di hati, dia menjeling sekilas Kak Senah yang leka menggoreng. Sejak tadi lagi ada perkara yang ingin ditanyakan tapi dia malu. Tapi kalau tak berani, sampai bila pun tak dapat, fikirnya. Lalu dia memberanikan diri bertanya,“Kak Senah…boleh saya tanya sikit tak?”

Kak Senah menoleh. “Tanyalah.”

“Kak Senah ada kain telekung lebih tak? Saya er…tertinggal,” katanya sambil menahan rasa malu yan amat sangat. Rasanya mahu saja dia masuk ke dalam inti kelapa yang ada di tapak tangannya sendiri.

“Ada…nanti akak ambil ya,”jawab Kak Senah sambil mengangkat kuih selut yang sudah masak ke dalam besen. Dia beransur ke ruang lain, masuk ke bilik tidurnya.

Tina mengangkat muka dari jauh, tanda bertanya. Earphone di telinga ditarik keluar. “Apa hal?” Dahinya berkerut.

“Aku nak pinjam telekung Kak Senah. Aku tak bawak…” jawab Sherry.

Mata Tina merenung tajam ke arahnya. “Pinjam telekung? Kau mimpi ke apa? Tak pernah pulak aku tengok kau pakai telekung.”

“Shhh….” Sampuk Sherry apabila terdengar derap kaki Kak Senah kembali ke ruang dapur semula.

“Nah! Sherry pakai yang ni.” Kak Senah menghulurkan kain telekung yang masih siap berlipat di dalam beg plastik lagi.

Sherry tergamam. “Siapa punya ni, kak? Akak ada ke nak pakai nanti?” tanyanya bersalut resah dan segan.

“Ada. Itu telekung hadiah pertunangan akak dulu. Tak pakai lagi,”terang Kak Senah sambil tersenyum manis. “Jangan lupa, nanti datang sebelum Maghrib. Kita berjemaah dulu lepas tu baru ada baca hadis,”sambung Kak Senah lagi.

Sherry mengangguk faham.

Tina di pelantar tercengang-cengang.

*****
“What?” Tina hampir bertempik di tengah jalan balik ke Resort Abadi. Nasib baik tak ada orang lain di situ.

Sherry tarik muka selamba. Lantaklah apa Tina nak kata. Nak menjerit ke, nak melompat ke, dia punya fasal. Dia nak pergi juga ke surau malam tu.

“Apa kena dengan kau ni? Kita datang jauh-jauh ni bukannya nak pergi surau. Kau dah gila ke? Otak kau dah masuk angin?” Tina menjengilkan matanya.

“Gila? Aku rasa aku makin waras, tahu tak?” balas Sherry setelah puas membiarkan Tina melontarkan kemarahannya. “Lagipun aku bukan ajak kau. Aku boleh pergi seorang.”

Tina mengejar. “Sherry…what’s wrong with you? Apa kena ni?”

“Kena apa? Aku nak pergi surau pun pelik sangat? Kalau aku pergi kelab malam, tak pulak kau pelik,”balas Sherry. Kini mereka berdua sudah hampir ke bangunan Lahaina.

“Itulah yang aku pelik. Tak pernah pulak kau ke surau ke, ke masjid ke masa di KL. Alih-alih kena angin pulau ni, kau teringat pulak nak ke surau…Aku tak nak nanti kau terus sewel sampai di rumah. Apa aku nak jawab dengan daddy dan mummy kau?”

“Mana ada orang pergi surau jadi sewel? Kalau pergi kelab malam tu, mungkinlah kalau dah minum sampai berbuih mulut,”balas Sherry, sama tajam.

Tina menggaru kepala. “Sherry…kau biar betul ni.”

“Betul…sekejap lagi aku nak ke rumah Kak Senah. Then kami nak ke surau solat Maghrib. Sekarang, aku nak balik bilik sebab nak mandi. Sekian. Terima kasih,”jawab Sherry, lantas melajukan langkah balik ke biliknya.

Tina tinggal terpinga-pinga.

*****
Selesai sahaja mengalunkan azan Maghrib dan membaca doa, Azmi menoleh ke belakang. Dia merapati barisan jemaah yang sudah mula memenuhi surau kecil itu. Hatinya gembira melihat jumlah kedatangan penduduk yang lebih dari biasa. Dan dia tahu jemaah perempuan pun ada cuma ditabiri kain pemidang hijau pekat, menjadikan mereka tidak kelihatan dari ruang hadapan. Dia menoleh pula ke arah tok imam yang ada di barisan hadapan. Mereka berbalas senyum sebelum dia bangkit membaca Iqamat.

Solat Maghrib berjemaah berjalan dengan lancar dengan diimami oleh tok imam. Setelah berwirid dan berdoa, mereka semua memulakan majlis pembacaan hadis malam itu. Azmi mengambil tempat duduk di sebelah kanan tok imam dengan tenang namun sebaik kain pemidang yang memisahkan jemaah lelaki dan perempuan dibuka, dia tergamam.

Dia menjeling sekilas untuk memastikan bahawa matanya tidak tersalah pandang. Benarkah apa yang dia lihat? Benarkah itu Sherry yang duduk bersimpuh di sebelah Kak Senah? Dadanya berdebar namun dia terus beristighfar sebanyak mungkin. Dia tak menoleh buat kali kedua, dia hanya menumpukan pendengarannya kepada Hadis yang sedang dibacakan oleh tok imam.

“Sabda Rasulullah SAW, daripada Mua’az, Allah telah berfirman; Orang-orang yang berkasih-sayang kerana keagungan-Ku, akan memperolehi mimbar-mimbar dari cahaya yang sangat dicita-citakan oleh para nabi dan syahid”(Riwayat al-Termidzi)

Suasana di dalam surau itu menjadi hening. Azmi tidak mengangkat muka, pandangan matanya tertancap di atas karpet biru yang nipis di hujung jari kakinya. Dia cuba memahamkan apa yang sedang dibaca oleh tok imam dan dia pasti semua yang hadir di situ juga begitu.

“Sabda Rasulullah SAW, daripada Al-Irbadh bin Sariyah r.a, Allah s.w.t telah berfirman: Orang-orang yang berkasih-sayang kerana keagungan-Ku, diberikan tempat di bawah lindungan Arasy-Ku, pada hari tiada lindungan melainkan lindungan-Ku.” (Riwayat Ahmad)

Satu-persatu hadis dibaca oleh tok imam bersandarkan kitab Hadis Qudsi. Selepas itu tok imam menghuraikan makna dan maksud di sebalik hadis itu kepada para jemaah. Katanya lagi, “Jadi, dari kedua-dua hadis yang kita baca dan dengar malam ini dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Tuhan telah sediakan ganjaran yang begitu besar kepada hamba-hamba-Nya yang berkasih-sayang kerana-Nya dan kebesaran-Nya.

Tapi bukanlah semudah itu untuk kita mendapatkannya. Kerana kita selalunya mengasihi orang lain seperti anak-anak kita, saudara-mara kita atau pasangan kita dengan niat yang lain. Sebab itulah, jika kita dibenci atau ditinggalkan, kita tak lagi dapat mengasihi mereka. Semuanya kerana kita tidak mengasihi mereka kerana Tuhan tetapi kerana keinginan yang tertentu.”

Azmi mendengar dengan teliti. Apa yang dikatakan oleh tok imam itu membuat dia rasa terpukul sekali. Sungguh sukar rasanya membuang segala keinginan terhadap balasan duniawi dan meletakkan keikhlasan itu ditempat yang sepatutnya. Tapi dia sedar, jalannya sudah terbentang, terpulang kepada dia untuk mengikutinya ataupun tidak. Sejenak dia rasa hiba. Maha Suci Tuhan yang Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Dia mengucapkan syukur tak henti-henti.

“Mi, bolehlah azan. Dah masuk wak tu ni,” tegur tok imam.

Azmi tersentak dari lamunannya yang panjang. Entah berapa lama tok imam sudah berhenti berceramah, dia tidak tahu. Lantas dia bangkit menuju ke anjung untuk mengalunkan azan Isyak. Yang lainnya ada yang bangun untuk berwuduk sekali lagi.

*****
Selesai solat Isyak, Sherry melipat telekung yang dipakainya elok-elok. Dipulangkan semula kepada Kak Senah tapi Kak Senah menolak.

“Eh! Tak payah pulangkan, akak beri pada Sherry,” kata Kak Senah.

Air muka Sherry berubah sekejap. “Tapi kak, ini kain telekung akak.” Kain telekung yang berlipat kemas itu dihulur semula.

“Tak apalah, memang niat akak nak beri pada Sherry. Bukannya akak boleh pakai tiga-empat kain telekung sekali,” jawab Kak Senah beria-ia.

Sherry terangguk-angguk, tak mampu menolak lagi. Sungguh dia tak sangka, begitu pula niat Kak Senah sedari tadi. Malu pula rasanya, banyak betul yang dia dapat di situ, sedangkan dia tak memberi apa-apapun sebagai galang ganti. Tiba-tiba, dia terasa bahunya dipegang mesra, dia melihat Kak Senah tersenyum. Bukan kepadanya tetapi kepada seorang gadis bertudung labuh warna hitam yang duduk menyelit di antara mereka berdua di dalam surau itu.

“Siapa ni, Kak Senah? Bakal adik ipar ke?”

Air muka Sherry berubah merah padam. Dadanya terasa ingin meletup di situ juga. Dalam suka ada rasa malu sehingga terasa kulit mukanya panas.

Kak Senah ketawa, dia menepuk lengan gadis itu dan meraihnya mesra. “Ini Sherry. Dia pelancong kat pulau kita ni,” jawab Kak Senah.

“Ooo…pelancong. Tinggal di resort ke?” tanya gadis itu dengan mesra sekali. Senyumannya tak lekang dari bibirnya yang merah.

Sherry mengangguk. Entah kenapa dia terasa rendah diri apabila berdepan dengan gadis itu. Sudah dua kali mereka bertemu, dua kali juga dia rasa dirinya sangat kecil berbanding gadis itu. Mungkinkah kerana gadis itu bertudung labuh, sedangkan dia…

“Nama saya Khadijah. Panggil Jah aje. Sherry..datang dari mana?” tanya Kadijah semakin ramah. Tangannya tak sudah menggendeng lengan Sherry.

Sherry dan Kak Senah sama-sama tersenyum. “Dari KL,” jawabnya ringkas. Nasib baiklah belum sempat Khadijah membuka mulut lagi, Kak Senah sudah bangun menarik kain pemisah surau itu. Dan kaum perempuan mula membahagi-bahagikan dulang ke anjung surau. Dia sejujurnya tak tahu apa yang perlu dilakukan, dia tak pernah menghadiri majlis seperti itu sebelum ini. Sedar-sedar saja, dia sudah ditarik Khadijah ke anjung surau. Dan apabila dia mengangkat muka, dia terlihat Azmi tak jauh dari situ sambil sibuk mengangkat dulang. Hatinya berdebar, dia ingin sekali Azmi nampak kehadirannya di situ…

“Jemputlah makan kuih kami,” pelawa Khadijah.

Sherry mengangguk sambil tersenyum. Di dalam dulang terdapat pelbagai jenis kuih termasuklah kuih selut yang dimasak bersama Kak Senah tadi.

“Kuih selut ni, Sherry yang buat,” kata Kak Senah.

Serentak itu juga wajah Khadijah berpaling ke arah Kak Senah. “Sherry? Bila masa pulak dia buat?”

“Dia tolong akak tadi,”terang Kak Senah.

“Ooo….” Panjang saja ‘o’ dari mulut Khadijah. Dia tak bersuara lagi selepas itu. Air mukanya resah sahaja.

Sherry menjamah kuih-muih yang ada di situ serba sedikit. Bukan tak sedap cuma tak biasa dihidang kuih pada waktu malam, perutnya rasa tak selesa diasak benda-benda manis begitu.

“Makanlah lagi, takkan tak sudi makan kuih orang kampung macam kami,” usik Khadijah pula apabila melihat Sherry sudah membasuh tangan.

“Tak apalah, dah kenyang. Di rumah Kak Senah tadi pun dah makan banyak,” jawab Sherry.

“Sherry ni… kawan Azmi ya?” bisik Khadijah sambil tersenyum simpul.

Renungan Khadijah membuat perasaan Sherry jadi tak tentu hala. Apakah maksud senyuman itu? Suka atau mengejek? Walau dia tak pernah kenal gadis itu tetapi dia yakin Azmi dan Khadijah saling mengenali dan lebih rapat dari dirinya. Dia seolah dipaksa buat pilihan. Akhirnya, dia mengangguk walau tidaklah begitu betul jawapan itu.

“Dah lama kenal? Kawan satu kolej dulu?” tanya Khadijah bertalu-talu. Pandangan matanya masih lagi menikam ke wajah Sherry.

Sherry semakin resah. Alamak! Dia terperangkap. Sekarang apa nak dijawab? Sedang dia terfikir-fikir, Kak Senah mencelah. “Mereka berdua ni, baru je kenal.”

Dia menarik nafas lega. Kak Senah tak menipu, dia pun terselamat dari percubaan separuh mati tadi. “Khadijah memang orang pulau ini?” tanyanya pula membalas. Kini dia yang patut menyerang.

Khadijah mengangguk bangga. “Jah dengan Azmi member kamceng sejak kecil. Jah, dia , Abang Osman dan ada beberapa orang budak pulau ni, kami satu grup. Pergi sekolah sama hari-hari sampailah masuk ke sekolah menengah. Jah dapat masuk asrama penuh,” cerita Khadijah panjang lebar.

Dada Sherry terasa sempit. Memang tak guna bertanya pun kerana makin banyak yang ditanya, makin banyak yang dia tahu fasal gadis itu dengan Azmi. Sejarah adalah sejarah, dia tak mungkin dapat menandingi keakraban mereka. Akhirnya dia tunduk memandang tikar yang menjadi alas anjung surau itu. Hatinya mula kecewa.

****
Selepas selesai berjamu, mereka semua sama-sama membantu membersihkan surau dan memulangkan dulang. Kuih-muih yang tidak habis dibawa pulang serba-sedikit. Sherry juga mendapat sebekas kuih untuk dibawa balik ke bilik. Dia tak mampu menolak.

Sherry, Kak Senah dan Khadijah berjalan balik bersama-sama dan sebaik sahaja tiba di hadapan rumah Kak Senah, mereka berpisah. Kini Sherry tinggal berdua dengan Khadijah. Perasaannya jadi tak enak. Kalau Azmi yang menemankan dia balik, tak apalah juga. Tapi sampai majlis itu berahir, tak sekali pun Azmi menegur dia. Pandang pun tidak. Hatinya mula sebal, tak payah datang pun tak apa tadi.

“Sherry lama lagi di sini?” tanya Khadijah.

“Esok balik,”jawabnya pendek. Malas sungguh rasanya melayan Khadijah di sebelahnya tapi nak buat macam mana? Dah rumah Khadijah lebih jauh dari resort, kenalah mereka balik beriring.

“Jah!” Satu suara membuat langkah mereka terhenti tidak jauh dari kedai Azmi.

Mereka berdua serentak berpaling. Sherry tiba-tiba jadi bergemuruh, Azmi melangkah laju ke arah mereka. Dia tidak pasti, sama ada mahu tersenyum atau memasamkan muka tetapi apabila dia menjeling ke arah Khadijah, gadis itu sudah siap memaniskan muka!Ah! Dia rasa kalah lagi.

“Ayah Jah tertinggal kitab ni tadi. Tolong pulangkan ya,”kata Azmi seraya menghulurkan Kitab Hadis Qudsi yang dibaca di dalam majlis tadi.

Khadijah menyambutnya dengan senyuman. “Jah ingatkan apa tadi. Mi simpan dulu pun tak apa,” katanya ramah sekali.

“Tak apalah, dah jumpa Jah ni, baik pulangkan saja,” balas Azmi. Dia menoleh pula ke arah Sherry namun tak menegur. Dia hanya tersenyum sekilas lalu memalingkan wajahnya ke arah lain. Mereka bertiga meneruskan perjalanan, namun sebaik sahaja tiba di hadapan kedai Azmi, mereka berpisah juga.

Sambil melangkah, Sherry terasa ingin menangis. Azmi tak menegur dia sepatah pun tadi, padahal apa salahnya membuka mulut sedikit pun. Dia mula rasa tawar hati dengan sikap Azmi. “Jah ni anak tok imam ke?” tanyanya sambil melontarkan perasaannya jauh-jauh.

Khadijah mengangguk senang. “Ha’ah, yang jadi imam tadi tu lah, ayah Jah. Dah tua, tapi tempat ni tak ada pengganti. Ayah Jah mahu Azmi jadi pengganti dia, tapi Azmi mungkin tak mahu.”

“Tak mahu? Kenapa pula? Kan elok jadi imam,”katanya tanpa perasaaan. Sebenarnya dia peduli apa hal itu semua. Bukan ada kena-mengena dengan dia pun.

“Entahlah Sherry…Azmi tu macam laut kat sana tu juga.”jawab Jah sambil menunjuk ke arah laut yang gelap. “Luas memang luas tapi dalamnya tak siapa yang tahu.”

“Apa maksud Jah?”

Khadijah ketawa kecil. “Mana kita tahu isi hatinya kan? Entah-entah dia pun tak mahu tinggal di sini. Sebab tu dia tak nak jadi imam atau pegang apa-apa jawatan pun kat masjid tu,”jawab Jah penuh makna.

Sherry diam saja. Dia tak tahu nak jawab apa lagi. Dia pun bukan kenal sangat dengan Azmi tu. Orangnya pun pelik. Nampak berpelajaran tapi jual pelampung.Apa-apa saja boleh jadi orang macam tu. Tapi, apa-apapun, pada dia Azmi tetap bak mutiara hitam. Jarang dijumpai. Kalau tak nak jadi imam di masjid pun tak apa, biar jadi imam di rumah dia saja, dia tersenyum sendiri.

“Sherry dengan dia, kawan….istimewa?” tanya Khadijah lagi.

Sherry terkelip-kelip. Dia serba-salah nak menjawab lagi.


Saturday, January 22, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 7




Azmi melipat semula sejadah-sejadah yang telah digunakan jemaah. Semuanya disusun kemas di sudut sebelah kiri surau berdekatan dengan tingkap. Setelah memastikan semuanya terletak elok, dia menarik daun pintu rapat-rapat. Tugasnya sudah selesai untuk petang itu.

Dia melangkah meninggalkan tangga surau menuju balik ke kedainya namun belum sempat sampai ke situ, dia terlihat kelibat dua orang gadis menuju ke arahnya. Eh! Buat apa mereka ke sini? Dia mula cemas. Langkah kakinya dilajukan. Tergigil-gigil tangannya membuka pintu kedai.

Sebaik sahaja masuk ke dalam kedai, dia cuba bertenang. Debaran dadanya yang berdetak laju cuba dikawal sebaik mungkin. Dia yakin, Sherry dan Tina dalam perjalanan ke situ. Apa yang dimahukan? Mutiara lagi? Mungkin juga. Mungkin Tina pula yang mahu membeli. Lalu cepat-cepat dikeluarkan kotak yang mengandungi barang perhiasan itu dan meletakkannya di atas kaunter. Dia menunggu dan menunggu bersama debaran yang tak mahu surut.

“Hai!!!” Tina menegur dengan ramah dan kuat.

Azmi tersentak, debaran di dadanya semakin kencang, kerana terkejut dek sergahan Tina itu. Dan bertambah tak keruan apabila terpandang senyuman manis yang dilemparkan oleh Sherry di muka pintu. Apahal pula ni?

“Ada orang mati ke?”tanya Tina dengan selamba.

“Orang mati? Siapa yang meninggal?”tanya Azmi semula.

Tina terbahak-bahak ketawa sambil menekan perut.

Sherry hanya menggeleng melihat perlakuan Tina. “Awak baru balik dari surau ke?” tanyanya sambil merenung wajah Azmi yang bersih dan bercahaya dari dalam. Dahinya luas tanpa sehelai rambut yang tersorok di balik songkok hitam di atas kepalanya. Bertambah segak dengan baju Melayu biru berbutang penuh.

Azmi terpaku seketika. Awak? Dia tak silap dengar ke? Bukan ke Sherry selalu ber ‘aku engkau’ saja dengan dia selama ini. Ke mana pula hilangnya sikap sinis gadis itu? Hairan.

“Ooo..baru balik surau ke… ingatkan ada orang mati kat pulau ni,” sampuk Tina sambil membelek-belek barang-barang di dalam kedai itu. Lepas satu, satu yang diangkat dan diletak semula. Tak ada satu pun yang menarik perhatiannya.

Azmi tak terkata apa-apa.

“Saya datang ni nak suruh Tina tengok barang-barang mutiara kat sini. Bolehlah kami bawa balik sebagai souvenir,” terang Sherry dengan lembut.

Azmi baru faham hal yang sebenar. Kotak yang ada di atas kaunter dibuka dan disuakan kepada Sherry.

“Tina, cepatlah tengok,”panggil Sherry pula.

Tina segera menghampiri Sherry dan matanya jadi leka melihat perhiasan rantai dan gelang di situ.

“Awak tak ada buat brooch?” tanya Sherry pula kepada Azmi.

“Brooch?” Azmi menggeleng.

“Buatlah satu. Saya suka pakai,”jawab Sherry.

Azmi terangguk-angguk. Buat satu? Kepalanya mula pening dengan gelagat Sherry. Sudahlah sejak masuk ke situ asyik merenung muka dia. Tersenyum-senyum pula tu. Hish! Macam yang ada yang tak kena saja ni.

“Yang macam Sherry tu tak ada ke?” tanya Tina selepas puas menyelongkar kotak perhiasan itu.

Azmi tersentak, dia memandang Sherry dan Sherry juga memandang ke arahnya. Dengan teragak-agak, dia menggeleng tanpa suara.

“Tak mahulah kalau macam tu,”kata Tina sambil menolak kotak itu ke arah Azmi.

Azmi terkulat-kulat. Wajahnya merah padam.

****
Tina melangkah keluar dari kedai kecil itu. Wajahnya masam sekali. Sherry yang terkejut dengan tindakan Tina berubah air muka seketika.“Sorry, dia tu memang macam tu. Kalau tak ada barang yang dia hendak, dia takkan beli.”

“Tak apa. Tak jadi hal,”balas Azmi sambil tersenyum tenang. Masih keliru dengan sikap Tina yang bagaikan sedang merajuk.

“Kalau macam tu, saya pergi dulu. Nak berjalan di pantai,”terang Sherry. “Awak nak ikut?” tanyanya pula.

Ha? Jantung Azmi hampir lagi terlucut. “Tak, saya kena jaga kedai. Kak Senah sedang berehat di rumah.”

Sherry mengangguk perlahan. “Okeylah, kalau macam tu. Saya…balik petang esok. Bot pukul 5.00 petang.”

Azmi mengangguk saja. Dia semakin tak faham mengapa dia harus tahu perkara itu. “Semoga selamat sampai. Kalau ada masa, datanglah ke sini lagi,” katanya berbasa-basi. Entah dari hati atau tidak, dia tak pasti.

“Saya akan datang. Urusan saya di sini masih belum habis,”jawab Sherry dengan yakin.

“Urusan? Urusan apa?”

Sherry menggeleng pula. “Tak apalah, esok saya ke Pulau Mayang dulu. Pagi lusa baru saya balik ke Tanah Besar. Awak tak ke Pulau Mayang?”

“Tak ada hal nak ke sana.” Masih terfikir-fikir tentang sikap Sherry yang ramah tak tentu fasal pula petang itu.

“Kalau macam tu, saya pergi dulu,”balas Sherry sambil melangkah keluar setelah merenung wajah Azmi puas-puas.

Azmi mengangguk saja. Belum sempat dia membuka mulut, seorang gadis bertudung labuh tiba di pintu kedai. Di tangannya ada sepiring makanan yang ditutup kain kecil. Azmi tersenyum. “Khadijah,”tegurnya.

Khadijah tersenyum senang. Tangannya meletakkan piring itu di atas kaunter. “Jah yang buat tadi, rasalah,”katanya mesra.

Azmi menelan air liur, kuih bakar di atas piring itu berbau harum sekali. Namun dia sempat menjeling sekilas ke arah Sherry yang berlalu pergi dan pandangannya matanya sempat melihat raut wajah Sheery yang mendung bagaikan mahu hujan lebat. Kenapa pula ya? Dia makin keliru.

*****
“Kak Senah, mana?” tanya Khadijah. Dia kini membelek-belek rantai mutiara di atas kaunter.

“Di rumah agaknya.”

“Awak tak pergi menyelam lagi?”

“Belum ada masa. Nanti bulan terang, saya pergilah. Kenapa?"

“Kalau awak jumpa mutiara hitam lagi, simpankan untuk saya,”pinta Khadijah.

Mulut Azmi sepauh ternganga. “Kenapa tak minta pada abang Jah, dia pun pandai menyelam.”

“Ala..yang tu tak cantik. Emak kata, awak jumpa yang cantik. Mana? Nak tengoklah.”

Tanpa sedar, permintaan Khadijah itu membuat Azmi menggaru kepala. “Dah tak ada,” jawabnya perlahan.

“Dah jual?”

Azmi menggeleng. “Dah beri pada….err…..” Dia tergagap-gagap.

“Pada Kak Senah? Biar Jah pergi rumah dia tengok kat sana,”jawab Jah pula.

“Bukan. Bukan pada Kak Senah tapi pada…er…yang keluar tadi.”

Mulut Khadijah ternganga. Matanya menyeluruhi wajah Azmi bagai tak pernah melihat lelaki di hadapannya. Setelah puas terpaku, akhirnya dia bersuaa, “Ooo…tak apalah,” dia menelan air liur dengan sedikit kesukaran. “Jah…Jah balik dulu.” Dia melangkah laju ke pintu.

Azmi tak dapat menahan. Makin keliru fikirannya.

*****
Pukul 6.30 petang, Azmi mengemaskan barang-barang jualannya. Pelampung yang tergantung di tepi pintu kedai diturunkan, baju dan seluar di tepi pintu masuk dibawa semula ke dalam. Setelah semuanya disusun di dalam ruang yang sempit itu, dia menutup pintu kedai dan meletakkan mangga pintu.

“Tutup dah, Mi?” tanya Abang Osman yang baru nampak muka.

Azmi mengangguk. Dia menjeling ke arah Abang Osman sekilas. Wajah itu nampak lain benar petang itu. “Kenapa nampak letih je, bang?”

“Rasa tak sihat sikitlah, Mi. Kepala ni rasa berat je,” balas Abang Osman sambil beralih pula ke sebuah pangkin kayu yang dibina di bawah pokok di hadapan kedai.

Azmi terus saja melangkah sama.“Tekanan darah abang naik, ya? Hari tu abang singgah klinik jumpa doktor tak?”

Abang Osman mengangguk tanpa suara. Wajahnya tetap murung sahaja.

“Abang kena jaga makan. Kurangkan makan ikan masin tu. Biar Kak Senah masak singgang hari-hari je,”celoteh Azmi sambil duduk di sebelah Abang Osman. Mereka berdua sama-sama merenung laut lepas. Laut yang berombak besar, bukan asing langsung pada penglihatan mereka berdua. Tapi ombak di hatinya tak siapa yang tahu. Dia selalu risaukan kedegilan Abang Osman. Sudah tahu ada penyakit tekanan darah tinggi, tetap juga suka menjamah ikan masin talang hari-hari. “Kak Senah di mana pulak ni?”

“Kat rumah tengah masak kuih,”jawab Abang Osman sambil menepuk bahu Azmi dengan mesra.

“Kuih untuk malam nanti?” Azmi terangguk-angguk. Faham benar resmi di situ. Kalau ada majlis agama, penduduk yang ada akan bertukar kuih selepas itu untuk dijamu bersama. Kalau dibandar orang panggil, ‘Pot luck’. Tapi apabila dia menoleh ke arah Abang Osman, dia terlihat senyuman yang meleret-leret. Dia mula terasa pelik. “Kenapa abang senyum?”

“Tak nak tanya, dia masak kuih dengan siapa?”

Dahi Azmi berkerut rapat. Dia sudah dapat menangkap ke mana usikan Abang Osman itu terarah. “Siapa?” Dadanya berdebar. Khadijah ke?

“Ceri…”

Ceri? Sherry? Mulut Azmi terlopong.

Monday, January 17, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 6




Makin lama Sherry duduk di hadapannya, makin gelisah jiwanya. Hendak disuruh pergi, rasa tak wajar. Hendak ditunggu rasa tak manis, akhirnya dia berkira-kira untuk balik saja ke kedai menunggu pelanggan. Sedang dia mengangkat punggung, Sherry pula bertanya, “Kenapa kau tinggal di sini?”

“Kenapa? Salah ke tinggal di sini?” balas Azmi sambil berdiri.

“Engkau kan muda lagi? Kenapa nak buang tenaga di sini? Atleast kau pergilah kerja kat mana-mana mall ke, jadi promoter ke. Kalau tak pun jagalah mana-mana tol. Ada juga gunanya. Kat pulau macam ni, apa yang ada?”

“Jadi buat apa awak bayar beribu ringgit hanya untuk tidur di sini semalam dua?”

Mulut Sherry separuh terbuka. Dia kehilangan kata-kata.

Azmi melemparkan pandangannya ke gigi pantai sambil memerhati ombak yang berlari-lari ke arah pasir yang kering. Bunyi ombak yang berdesir itu tak pernah menjemukan dia. Bahkan dia akan rindu walau hanya sehari berpisah dari irama alam yang telah membesarkan dia. Manakan mungkin dia meninggalkan itu semua?

“Aku lainlah, aku pelancong.”

“Kenapa awak datang ke sini? Kan banyak tempat lain di dalam dunia ini yang lebih menarik?”
Sherry mengangkat bahu. “Aku cuma mengikut Tina ke sini, dia yang beria sangat nak ke sini. Aku tak kisah sangat. Tapi ada juga orang yang nak tinggal di sini ya?”

Azmi menjeling sekilas. Apa yang pelik sangat dengan pulau terpencil tu? Kalau diberi kepada penduduk negara lain pun, berebut yang mahu ke situ. Tapi dibiarkan saja soalan Sherry itu tanpa jawapan. Tak guna untuk dia bertengkar dan mempertahankan pulau itu jika hasilnya tak ke mana. “Awak dari mana?”

“Aku dari KL. Pernah ke KL?” tanya Sherry.

Azmi hampir ketawa. Begitulah pemikiran manusia seperti Sherry. Mudah sangat membuat kesimpulan. Dengan perlahan dia mengangguk.

“Apa yang kau buat kat pulau ni? Tangkap ikan?”tanya Sherry sambil memandang pula ke arah laut lepas.

“Saya tak pandai walaupun pernah juga ke laut beberapa kali,”balas Azmi jujur.

“Jadi, apa yang kau buat untuk survive di sini? Takkan kau makan pasir je?”

Azmi mengeluh perlahan. Kata-kata Sherry adakalanya seperti pisau belati yang bergigi seribu. Tajam dan menghiris. “Saya berniaga sikit-sikit. Kedai kecil tu, sayalah yang punya,” kata Azmi sambil menunjukkan kedai runcitnya yang tak jauh dari situ.

Sherry terus saja berpaling dan tersenyum. “Besarnya kedai,” katanya sinis. “Jual apa?”

“Macam-macam termasuklah hasil tangan dari penduduk di sini.”

“Hasil tangan? Apa tu? Souvenir?” tanya Sherry pula.

Azmi mengangguk. “Kami buat barang perhiasan dari mutiara. Taklah cantik sangat tapi bolehlah dijual.”

Mata Sherry bercahaya. “Kenapa tak cakap. Jom! Jom! Aku nak tengok,”katanya seraya bangun dan menarik tangan Azmi.

Azmi tersentak, pegangan tangan Sherry dilepaskan segera. Dalam keadaan terpinga-pinga dia terdengar satu suara memberi salam. Dia segera menoleh sambil tersenyum lega. Abang Osman dan Kak Senah datang bersama ikan yang diambil dari nelayan yang pulang pagi. Salam yang dilaungkan dijawab segera. Dia beristighfar untuk menenangkan kocakan di hati.

Setelah memperkenalkan Sherry kepada Abang Osman dan Kak Senah, Azmi mengatur langkah.

“Eh! Nak ke mana tu?” tanya Abang Osman pula. “Borak-boraklah, abang boleh jaga kedai tu,”katanya sambil tersenyum lebar. Kak Senah juga.

“Tak apa, bang. Dia pun nak ke kedai kita, nak tengok barang mutiara yang kita buat,”terang Azmi sambil melepaskan perasaan terkejut yang masih ada.

Sherry segera mengangguk laju.

“Kalau macam tu, marilah. Kat rumah akak pun banyak lagi pilihan kalau nak tengok,” sampuk Kak Senah pula.

Azmi terus sahaja laju melangkah. Debar di dadanya masih terasa-rasa.

****
“Yang ini rantai dan yang ini pula gelang tangan,” kata Kak Senah sambil mengeluarkan beberapa utas barang mutiara dari dalam kotak kaca. Semuanya disusun beratur di atas kaunter.

Sherry tersenyum senang. Barang-barang yang dilihat itu semuanya cantik-cantik belaka. Dia jadi rambang mata untuk memilih yang mana satu.

“Suka barang mutiara ke? Tapi yang ini mutiara asli, penduduk di sini yang menyelam sendiri jika tak ke laut,”terang Kak Senah lagi sambil merenung wajah Sherry.

“Ya, suka sangat. Kat rumah pun ada banyak koleksi mutiara macam ni,”balas Sherry. Senyum di bibirnya tak lekang.

“Tapi kalau nak yang special, tunggu jap,”kata Kak Senah lagi sambil bergerak ke luar kedai di mana Azmi dan Abang Osman sedang leka berbual.“Mi, mana gelang yang kamu buat tu?”

“Gelang? Gelang yang mana, kak?”

Kak Senah mengeluh. Sambil tersenyum dia menjawab, “Alah gelang yang ada mutiara hitam tu. Mana dia?”

Dahi Azmi berkerut memandang Kak Senah. “Ada? Kenapa?”

“Berilah kat orang tu,”desak Kkak Senah lagi.

Ha? Azmi terlopong seketika. Besar matanya. “Tak mahulah, kak.”

“Tak kira. Mana? Biar akak ambilkan,”gesa Kak Senah lagi. Abang Osman hanya ketawa kecil.
Azmi menelan air liur. “Tak apa, biar saya ambil sendiri tapi kak, itu bukan untuk dijual. Ikatannya pun tak berapa kemas, kak. Seganlah saya.”

“Kemas tak kemas, bak sini,”kata Kak Senah tanpa mahu mengalah.

Azmi dan Abang Osman berpandangan dan akhirnya Azmi melangkah juga ke dalam bilik tidurnya. Selepas seminit dua mencari, dia keluar bersama sebuah kotak kecil dan dihulurkan kepada Kak Senah yang sedang melayan pertanyaan Sherry di kaunter. Tanpa berkata apa-apa dia berlalu dari situ. Sejujurnya hatinya rasa gembira jika Sherry sudi menerima gelang itu tapi setakat itu saja.

“Ha, inilah dia,”kata Kak Senah sambil mengeluarkan seutas gelang mutiara pelbagai warna yang telah diikat oleh Azmi sejak setahun yang lalu. Gelang itu diberikan kepada Sherry.

Mata Sherry jadi ralit melihatnya. “Cantiknya, ada mutiara hitam sekali,”katanya sambil membelek-belek keunikan gelang itu.

“Azmi tu walau tak pandai menangkap ikan tapi pandai menyelam. Dialah yang mula-mula jumpa mutiara hitam ni di laut. Tapi sangat susah nak cari mutiara ni,alang-alang orang memang tak jumpa,”terang Kak Senah dengan nada bangga.

Sherry tersenyum mendengar cerita Kak Senah, gelang itu disarungkan di lengannya.Muat-muat saja dan terletak elok. Mutiaranya sederhana besar dan pelbagai bentuk, dia rasa selesa memakainya. “Berapa harga ni, kak?”

Kak Senah menjeling ke arah Azmi yang sedari tadi memandang dia dari jauh. “Yang ni, Azmi beri saja pada Sherry,”jawabnya.

Sherry tersenyum. “Ya ke, kak? Terima kasih lah. Tapi saya beli gelang-gelang yang lain ni, kak. Termasuk rantai ni dua utas,”katanya senang.

Kak Senah tersenyum lebar. Semua barang perhiasan yang dibeli dimasukkan ke dalam kotak kecuali gelang yang sedang dipakai Sherry.

Sebelum Sherry beredar dari situ, Kak Senah sempat mempelawa, “Malam ni ada baca Hadis di surau kami. Kalau Sherry lapang, jemputlah datang.”

Wajah Sherry kelihatan serba-salah sekali. Macama mana nak datang? Telekung pun tak bawa? “Tengoklah nanti, kak. Tapi kak, siapa yang selalu azan di surau tu?”

Dahi Kak Senah berkerut memandang Sherry. “Kenapa? Ganggu Sherry tidur ke?”

“Eh! Tak. Sedap suaranya,” puji Sherry pula.

Kak Senah ketawa kecil. “Itulah Azmi.”

Semasa keluar, Sherry sempat menoleh sekilas ke arah Azmi dan Abang Osman yang sedang rancak berbual dengan penduduk kampung. Dia sekadar melemparkan senyuman, tak berkesempatan untuk mengucapkan terima kasih. Tetapi dia akan datang lagi ke situ.

*****
Sebaik sahaja Sherry balik ke resort, Kak Senah datang mendekati Azmi dan suaminya yang berbual di bawah pokok di hadapan kedai. Dia hanya ketawa apabila Azmi merenungnya dengan pandangan yang marah. “Mutiara tu boleh diselam lagi, tapi peluang begini hanya datang sekali, Mi,” usiknya.

“Kakak ni,” jawabnya sambil menggeleng dan tersenyum simpul. Hati gadis seperti Sherry takkan terbeli oleh seutas gelang mutiara macam tu. Lainlah kalau ada dia beri Mercedes menjalar sebiji. Namun dibiarkan saja kegembiraan di hati Kak Senah berbunga.

“Borak fasal apa tadi?” tanya Abang Osman pula.

Mula dah…bisik hati Azmi. Dia cuma tersenyum.

“Tengok tu, dah pandai tak mahu kongsi dengan kita, Senah. Yalah tu kut,”kata Abang Osman lagi.

Kak Senah ketawa. “Biarlah, bang. Kita juga yang dapat adik ipar nanti.”

Azmi menggeleng. Usikan Kak Senah dan Abang Osman dirasakan sudah melalut jauh. “Kami borak biasa-biasa saja, bang.”

“Dia datang dari mana?” tanya Abang Osman lagi.”Kamu tak tanya?”

“Dari KL,”balas Azmi. Dia masih termenung jauh.

“Ooo jauhnya. Tapi tak kisahlah tu. Yang jauh kita rapat-rapatkan,”usik Abang Osman lagi.

Kali ini Azmi tak berdiam diri. “Tak payahlah kita bermimpi, bang. Semuanya akan habis di hujung jeti tu saja,”katanya sambil merenung jeti yang sibuk.

“Orang kata, kita mesti berani bermimpi. Tapi kena bangun untuk menjadikan mimpi itu realiti.”

“Wah…pandainaya abang berfalsafah,”balas Azmi pula sambil ketawa.

“Sesekali.” Abang osman tergelak besar sambil menampar bahu Azmi. “Dan kamu kena bangun dari mimpi. Kamu kena kejar sampai dapat.”

Azmi diam, matanya lurus memandang pantai. Nak kejar dengan apa? Orang pakai kereta, dia pakai kaki.

*********
Pukul 3.00 petang, Tina baru nampak muka di biliknya. Sherry yang sedang leka membaca novelnya di beranda sudah sedia menanti sejak tadi. Terlalu banyak perkara yang ingin ditanyakan.

“Dah makan ke belum?” tanya Tina sambil tersengih-sengih di pintu. Di tangannya ada sebungkus makanan.

Sherry menggeleng. Sedar-sedar sahaja bungkusan makanan itu sudah ada di hadapannya. Dia tahu, Tina sedang cuba mengambil hatinya. “Malam tadi, kau balik ke tidak?”

Tina terkejut tetapi dia menjawab juga. “Balik. Masa tu kau dah tidur,”balasnya.

“Kau keluar balik pukul berapa?”

“Kenapa nak tanya semua jadual aku ni? Aku tak kejut kau pun pagi tadi, takut kau marah-marah.”

Sherry menutup novel yang sedang dipegangnya. Dia merenung wajah Tina. “Siapa suruh kau upah Hasan carikan aku entertainer? Kau ni teruk betul la…” Dia menarik muka.

“Ooops! Aku Cuma takut kau boring. Itu aje….”jawab Tina. “Sorry la kalau kau tak mahu.”

“Tina…kau kenal aku bukannya baru.Sejak sekolah menengah lagi tau. Takkan kau tak tahu yang aku ni tak buat kerja tu semua?”

“Well…my dear. Manalah tahu kut kut angin pulau ni buat kau nak merasa sesuatu yang baru kan..” balas Tina selamba.

Sherry hanya mengeluh. “betul ke malam tadi kau terserempak dengan Azmi?”

Mata Tina membesar. “Azmi? Which Azmi?”

“Azmi… lelaki kat jeti tu. Lelaki yang aku suruh cari kau di Lahaina semalam.”

“oooo, dia ke? Ya…why?” tanya Tina balik. “Apa dia mengadu kat kau?”

Sherry mengeluh panjang dan lantas menggeleng. Wajah Tina sedikitpun tidak menunjukkan rasa bersalah ataupun malu.

Tina ketawa melihat air muka Sherry. “Yang kau bengang je fasal? Kita ke sini nak enjoylah, beb. Bukan nak dengar syarahan ustaz tu. Itu kat mana-mana pun ada.”

Sherry tak terjawab. Dia sedar bukan mudah untuk menegur Tina. Malah kalau ditegur seribu kalipun, takkan berkesan. Akhirnya dia diam merenung laut lepas.

“Cantik gelang kau, kau kutip kat mana?” tegur Tina sebaik saja ternampak gelang mutiara di tangan kanan Sherry. Dia segera menarik dan menanggal gelang itu. Kini gelang itu sudah bertukar tangan. Dibelek-belek.

“Azmi yang buat,”jawab Sherry.

Air muka Tina terus berubah. “Azmi?” tanyanya balik bagai tersalah dengar. Gelang itu segera ditanggalkan diletak di atas meja. “Bila kau jumpa dia?” Kini pandangannya begitu sinis.

“Kau ingat, kau sorang je pandai jalan?” balas Sherry. Sesekali dia rasa muak dengan sikap Tina.

“Ooo jadi kau berdating dengan dialah tadi ya?” Tina mula tergelak-gelak dan sesekali memandang wajah Sherry.

Sherry membalas pandangan Tina. “Kenapa? Tak boleh?”

Gelak Tina semakin kuat. “Dari hujung dunia ke hujung dunia kau mencari, alih-alih kat pulau jual ikan masin ni juga yang aku jumpa?” Dia terus ketawa sambil menekan perut.

“Fasal? Dia bukan lelaki ke?” tanya Sherry geram.

Tina berlenggang masuk ke bilik sambil menjawab. “Lelaki tu lelaki. Tapi lelaki yang bau ikan masin,”gelaknya terdengar sehingga pintu bilik air ditutup.

Sherry hanya dapat menggeleng. Gelak tawa Tina masih berbekas dalam hatinya. Bau ikan masin? Tapi pada pandangan dia, Azmi lebih dari sekadar itu dan dia akan buktikan pada Tina bahawa Azmi bak mutiara hitam yang jarang ditemui. Bertuahlah dia.

Friday, January 14, 2011

JANJI JULIA : Bab 1


Di sebuah kebun sayur di tepi bukit…

Pukul 8.00 malam. Di dalam pondok, Kahar mundar-mandir menunggu. Rokok terakhir yang terselit di celah bibirnya masih belum dinyalakan. Rokok itu disimpan untuk meraikan sesuatu. Sesuatu yang akan menjadi hadiah kepada penat lelahnya sejak dua hari yang lalu.

Sejurus tubuh Julia didorong masuk, dia berpaling. Senyumannya semakin sinis. “Tutup pintu! Kau jaga di bawah. Aku tak nak sesiapa pun masuk ke sini,” perintahnya kepada orang suruhannya. Perintah itu dituruti tanpa banyak soal. Rokok yang terselit di celah bibir kini diselitkan pula di celah alang pondok.

Dia melangkah perlahan mengelilingi Julia. Matanya galak memerhati dari atas ke bawah. Tidak pernah lagi dia menemui gadis kacukan secantik itu. Cantik dan juga bersemangat bagaikan kuda liar. Sempurna pada seleranya. Perasaannya kian bergelora.

“Kau bersemangat. Kau patut jadi orang No-Mondus. Jadi orang kanan aku. Mahu?” katanya sambil merenung. Pandangan matanya menjilat setiap inci wajah gadis itu sebelum terhenti pada bibir Julia yang merah basah.

Julia menggeleng. Begitu yakin. Begitu tenang. Pandangan matanya tetap tajam menerobos.

Kahar mendengus. Dia segera faham. Gadis itu telah menolak hasratnya mentah-mentah. Tapak tangannya mencengkam rahang gadis itu sekuat hati lalu muka Julia ditolak ke lantai.

Julia terduduk dengan kaki berlipat ke belakang. Lututnya menghentam lantai pondok. Dahinya berkerut. Luka di lututnya berdarah semula.

Kahar tidak menunggu. Kaki kanannya menyepak paha Julia dari belakang. Julia jatuh terlentang. Kini mata merahnya meratah tubuh Julia dengan pandangan penuh nafsu.

“Kau angkuh! Apa yang boleh kau lakukan lagi? Tak ada sesiapa yang dapat selamatkan kau selain aku. Ayuh, merayu!” bentaknya lagi, diikuti dengan deraian tawa yang mengejek. Baju T-shirt yang dipakai disentap lalu dicampak ke tepi.

Julia tetap menggeleng. Riak wajahnya jelas menunjukkan kesakitan yang ditanggung, namun kakinya tetap menunjal lantai. “Aku takkan mengalah. Aku akan hantar Mimi pulang. Kau boleh mati bersama No-Mondus kau. Ini negara berdaulat,” Julia ketawa sekuat hati. Air matanya bercucuran laju.

Tawa Kahar terhenti. Dia terpegun seketika. Apabila tersedar, wajahnya menjadi merah padam. Gelak tawa Julia yang masih bersisa bagaikan api yang membakar. Tangan kasarnya merentap baju yang dipakai Julia. Namun, gadis itu terus meronta-ronta dengan keras.

“Sialan kau! Ayuh, lawanlah kalau kau mampu!” Satu tamparan keras hinggap ke muka Julia. Julia terguling ke tepi. Kahar menerkam lagi.



BAB 1

Kuala Lumpur 2050

Julia ternganga. “Nasi dah habis?” Air mukanya berubah mendung. “Mak cik, takkan sikit pun tak ada?” Pagar dawai yang setinggi kira-kira dua meter itu mula berayun digoyang oleh kedua-dua belah tangannya. Pagar yang menjadi pemisah di antara kawasan kampus dan kawasan perumahan di belakangnya. Juga memisahkan Julia dengan seorang mak cik penjual nasi. Jika pagar itu tidak ada, mungkin ada yang sudah rebah ke tanah. “Tolonglah, mak cik.”

Wanita yang dipanggil mak cik itu menjadi kelu. Wajah tuanya juga semendung wajah Julia sendiri. Dalam remang cahaya yang hanya disuluh lampu dapur rumahnya, dia tercegat tidak bergerak. Bekas-bekas jualannya senja itu tidak mampu dibawa pergi.

“Mak cik, kerak nasi pun tak apa.” Kali ini air matanya sudah berjuraian di pipi. Segala kekecewaan yang bertakung di dadanya sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Dia lapar. Sangat lapar. Namun, berita yang baru dikhabarkan oleh mak cik itu merentap segala kesabarannya.

“Ju, janganlah sampai macam ni,” tegur Mimi. Tangannya hinggap di bahu Julia. Cuba menarik pergi tubuh Julia yang sudah melekap pada pagar dawai bagai kain buruk. Lembik, tidak bermaya.

“Kami lapar, mak cik. Dah sehari suntuk kami tak makan,” Julia merentap bahunya dengan kasar sehingga tangan Mimi terlepas. Senja itu, dia tidak malu-malu lagi untuk merayu. Jika itulah yang diperlukan untuk dia dan Mimi meneruskan kehidupan di situ, dia akan melakukannya.

“Tunggu sekejap,” akhirnya mak cik itu bersuara sambil melangkah masuk ke dalam rumahnya.

Mata Julia membesar. Setiap langkah mak cik itu diiringi dengan seribu harapan. Perut yang semakin pedih cuba dipujuk. Dari pagi hingga ke petang menahan lapar, alih-alih sebutir nasi pun tidak ada. Ke mana lagi dia boleh mencari? Ke mana? Dia mengerling ke belakang. Apa yang dipandang tidak sedikit pun memberikannya harapan. Namun itu semua mengingatkannya kepada apa yang telah hilang.

Dahulu, bangunan asrama lelaki yang setinggi empat tingkat di belakang mereka itu sangat meriah. Pelajar-pelajar tinggal di situ, hidup bersama-sama dan belajar bersama-sama. Kini, segala-galanya sudah berubah. Bangunan itu terbiar bagaikan bangunan berhantu. Gelap-gelita tanpa berpenghuni lagi. Sudah lama bangunan itu dikosongkan setelah dua orang pelajar lelaki membunuh diri akibat tekanan kerana dijangkiti penyakit maut itu. Julia mengeluh. Semakin lama bangunan itu direnung, semakin seram dibuatnya.

Di bangunan asrama pelajar wanita pula masih terlihat sedikit tanda kehidupan. Beberapa buah bilik di tingkat tiga masih terang-benderang lampunya. Itu pun tidak sampai 10 buah bilik. Lampu bilik di salah sebuah daripadanya sentiasa terpasang tanpa mengira siang dan malam. Tidak ada sesiapa pun yang berani menyiasat apa yang telah terjadi kepada penghuni di bilik itu. Namun yang pastinya, sebelum pukul 9.00 malam, asrama itu juga akan senyap sunyi. Mereka berdua sahaja yang masih berada di situ meskipun sudah melebihi tempoh berkurung. Apa boleh dibuat, perut tetap minta diisi.

“Ju, kau lapar sangat ke?” tanya Mimi. Dia semakin resah melihat saat demi saat berlalu begitu sahaja. Sesekali dia mengerling ke rumah mak cik tadi yang masuk dan belum juga keluar-keluar.

“Mahunya tak lapar. Dahlah makan sekali sehari, alih-alih petang ni terus tak ada benda yang nak dimakan.” Wajah Julia begitu tegang. Sejujurnya ada rasa rajuk di situ, walau entah kepada siapa.

“Tadi aku dapat pujuk seorang pelajar jualkan coklat kepada aku. Ada di bilik. Kalau kau lapar sangat, kau makanlah dulu.”

“Simpanlah untuk kau sendiri. Aku cubalah cari juga apa yang dapat nanti,” balas Julia, perlahan. Segan pula dia jika mementingkan diri sendiri. Mimi pun ada perut.

Belum pun sempat Mimi membuka mulut, mak cik penjual nasi itu sudah datang semula. Di tangannya ada sebungkus makanan yang mana mereka sendiri pun tidak pasti apa.

“Ini saja yang mak cik boleh beri, nak. Itu pun mulai esok, mak cik tak dapat berjual lagi. Beras dah habis, kami nak balik ke kampung,” katanya dengan nada yang tersekat-sekat.

Kata-kata mak cik itu membuatkan Julia semakin sebak. Dia membelek bungkusan yang dihulurkan dari celah pagar. Air matanya bergenang apabila terpandang akan beberapa keping biskut kering di dalamnya.

“Terima kasih, mak cik. Semoga mak cik sekeluarga selamat sampai ke kampung. Ada rezeki, kita mungkin berjumpa lagi,” katanya sambil merenung wajah mak cik yang baik hati itu.

Kalau bukan kerana mak cik itu yang membekalkan makanan kepada mereka, sudah lama agaknya mereka berdua mati kebulur di situ. Kedai makan dan kedai runcit sudah lama ditutup. Mak cik itu sahaja penyambung hayat mereka selama beberapa bulan kebelakangan ini.

Mak cik itu tidak menjawab. Duit yang dihulur oleh Julia ditolak dengan baik lantas dia berpaling pergi dan masuk ke dalam rumah. Apabila pintu dapurnya ditutup, segala-galanya menjadi gelap-gelita. Mimi dan Julia hanya tersandar ke pagar. Tidak mampu untuk melangkah.

“Makin susah ni, Ju. Macam mana kita nak hidup di sini kalau tak ada makanan lagi?”

Julia hanya mengangkat bahu. Dia menoleh ke arah asrama. Mungkinkah lampu-lampu itu akan terpadam satu demi satu?

*****
Dari pagar ke tangga asrama itu, jaraknya cuma lebih kurang 30 meter. Namun pada waktu itu, jarak itu dirasakan seperti 30 kilometer jauhnya. Julia melangkah lesu. Luluh jiwanya apabila terpaksa menerima hakikat bahawa mulai malam itu mereka tidak akan menjamah sebutir nasi lagi. Lemah lututnya melangkah pergi, namun terpaksa jua digagahi.

“Mimi, macam mana kalau kau balik saja esok pagi?” Julia akhirnya bersuara. Baginya itulah yang terbaik buat Mimi.

“Kau?” tanya Mimi pula. Sama-sama muram. Langkahnya juga lemah.

“Esok pagi, aku nak pergi ke makmal,” jawab Julia dengan bersahaja walaupun hatinya turut sedih kerana terpaksa berpisah dengan Mimi. Namun nampaknya tidak ada jalan lain. Takkan dia hendak melihat Mimi kelaparan di situ disebabkannya?

“Dalam keadaan macam ni pun, kau masih nak buat uji kaji lagi?” Mimi yang berwajah lembut itu seperti tidak percaya. Langkahnya sudah terhenti di tengah tangga.

Julia mengangguk. “Aku perlu siapkan pemotongan tisu pokok tu pagi esok juga. Selepas itu, kena buat ujian elekrofisiologi pula,” katanya tanpa segaris senyuman. Sakit di hatinya dipendamkan sahaja. Dia juga tidak mahu keadaan menjadi begitu teruk.

“Mana boleh macam tu. Aku akan tetap tunggu kau. Kita balik sama-sama,” balas Mimi, tanpa mahu mengalah.

Julia menggeleng. “Janganlah macam tu, Mimi. Tak payahlah kau fikirkan aku. Fikirkanlah keluarga kau di Ipoh tu. Tentu mereka susah hati sekarang. Sementara keadaan masih selamat, kau baliklah ke sana. Aku dengar masih ada orang yang mengambil penumpang ke utara,” pujuk Julia. “Kau baliklah dulu. Ada rezeki, mungkin kita dapat berjumpa lagi.”

“Habis, kau macam mana? Aku tak senang hati nak balik kalau kau tinggal di sini. Lainlah kalau kau balik ke rumah kau di Batu Pahat,” Mimi masih bertegas.

“Aku tak ada pilihan. Aku kena siapkan kajian tu juga. Kalau semuanya berjalan lancar, semuanya mungkin akan selesai petang esok. Kalau tak, semua kajian yang aku buat susah-susah selama ni jadi sia-sia. Kena ulang semula dari awal.”

Terbayang di matanya, kajian mengenai herba Euphorbia hirta yang berpotensi sebagai ubat penyakit asma. Dia sudah hampir berjaya mengasingkan bahan aktif dan mempersiapkan kajian dasar sebelum masuk ke peringkat ujian penggunaan dan penentuan dos. Sudah hampir benar.

“Keluarga kau macam mana? Kau tak fikirkan mereka?”

“Keluarga aku?” Julia mengeluh. “Ayah aku kan sibuk dengan isteri barunya. Mana ada masa nak ingatkan aku lagi. Abang aku pula, entah bertugas di mana. Langsung tak ada khabar berita. Aku ni macam dah tak penting lagi dalam hidup mereka.”

“Itu kata kau, Ju. Tapi aku rasa ayah kau pasti risau juga,” suara Mimi mula meninggi. “Mereka tentu risau. Cuma mereka tak ada cara untuk menghubungi kau sekarang. Nak ke sini pun bukannya selamat lagi.”

“Ah! Kalau nak, tentu boleh, bukan?”

Mimi menarik lengan Julia yang meluru menaiki tangga. “Ju, kau jangan fikir macam tu. Lagipun aku masih ada. Esok, kau ikut aku balik ke Ipoh. Lepas tu, kita fikirkan apa yang patut kita buat dari sana,” pujuk Mimi.

Julia hanya mengangkat bahu. Dia bukan marah pada Mimi, tetapi dia marah pada ayah dan abangnya yang seolah-olah mengabaikannya. Sudah hampir empat bulan dia terputus hubungan dengan mereka. Dia seperti hidup sebatang kara di situ.

“Ju, kau jangan degil. Kalau kau nak tengok aku balik esok, pastikan kau pun ikut aku balik. Kalau kau tak nak balik, aku akan tetap duduk di sini sampai kau mengalah,” ugut Mimi.

Kali ini Julia terkebil-kebil. “Tapi kajian aku macam mana?” Dia mula menggigit hujung rambut. Kebiasaannya apabila dia gementar dan bingung.

“Cubalah kau berhenti memikirkan kajian tu. Cubalah untuk sekali ini kau fikirkan keselamatan kau,” bentak Mimi sambil melangkah masuk ke dalam bilik mereka.

“Erm…” Julia tidak menjawab. Pintu bilik itu ditutup dengan perlahan. Makin luluh hatinya apabila terpaksa memilih antara sebuah impian dan sebuah persahabatan. Namun, dia juga tidak sanggup jika impiannya terpaksa mengorbankan keselamatan Mimi. Dirinya, tidak mengapa.

“Okeylah, esok aku hantar kau balik,” katanya seraya menarik nafas panjang. Air matanya bergenang.

“Betul ke, Ju? Kau janji?” Mimi tersenyum. Dia memaut bahu Julia sekuat-kuatnya. “Bila kita sampai ke rumah aku, kita makan nasi puas-puas, okey?”

Julia hanya tersenyum. Namun, hatinya menangis.

*****

Setiap kali dia membuka mata, dia sering terfikir. Mungkinkah hari itu akan menjadi hari terakhir dalam hidupnya? Apakah nasibnya hari itu akan lebih baik daripada semalam ataupun lebih teruk? Tidak ada satu soalan pun yang dapat dijawabnya. Hidup tanpa rasa selamat sungguh menyiksakan. Bagaikan tidur di atas bara api. Hatinya tidak pernah tenang.

Sejak Wabak Rhyto99 melanda benua Asia enam bulan yang lalu, segala-galanya menjadi tidak tentu arah lagi. Setiap detik seolah-olah mempertaruhkan nyawa. Belum pun sempat ancaman virus Rhyto99 reda, kejadian jenayah pula mula merebak dan akhirnya ada khabar angin dari selatan mengatakan ada pihak bangkit memberontak dan mahu mengambil alih negara.

Ah, dia terasa seperti mahu gila! Mengapa semuanya harus berlaku pada saat-saat dia hampir menyiapkan tesis akhirnya?

“Mimi, kau nak bawa balik semua barang ke?”

Mimi tersentak seketika. Ternyata dia begitu leka mengemas barang-barangnya sejak subuh tadi. Wajahnya muram. “Entah bila kita dapat balik ke sini lagi, kan? Jadi, aku rasa kita bawa balik barang-barang yang kita sayang sajalah. Nak bawa semua pun buat apa? Buat berat kereta saja,” balasnya pula.

Julia memandang dari ekor matanya. Dia tahu Mimi juga rasa apa yang dia rasa. Tidak ada sesiapa pun yang gembira dengan keadaan sekarang. Namun, berundur bukan bererti mengalah. Mereka sama-sama berjanji, jika keadaan negara sudah pulih, mereka akan datang semula ke situ untuk menyambung pelajaran yang tergendala. Tetapi sekarang nyawa dan perut adalah lebih penting.

“Aku cuma bawa sebuah beg dan komputer riba aku. Yang lain ni, tinggalkan saja. Siapa yang nak, ambillah,” balas Julia pula. Matanya merenung segenap inci bilik asrama itu. Katil, meja, almari, semuanya sarat dengan kenangan. Lalu kenangan itu mahu ditinggalkan sahaja. Kenangan yang tidak berakhir dengan baik, buat apa hendak dikenang?

Sebuah beg baju beroda dan komputer riba sudah siap bersusun di tepi pintu bilik. Barang-barang yang lain termasuk segala perhiasan, pinggan mangkuk dan kelengkapan diri ditinggalkannya sahaja. Sebagaimana dia datang ke situ dua tahun yang lalu, sebegitu jugalah dia ingin pergi. Segala-galanya seolah-olah sudah tidak bererti lagi. Bahkan dia ingin segera meninggalkan tempat itu.

“Mari! Aku pun dah siap,” ujar Mimi seraya mengheret beg pakaiannya.

Pintu bilik bernombor 313 itu ditutup buat kali terakhir. Sengaja dibiarkan tidak berkunci supaya senang pelajar lain masuk dan menggunakan apa-apa yang mereka perlukan. Maklumlah dalam keadaan serba kekurangan itu, baki sabun mandi pun berharga. Tanpa bersuara, kedua-duanya menuruni satu demi satu anak tangga. Namun, langkah kedua-duanya terhenti. Mereka saling berpandangan.

“Telefon!” jerit Mimi.

Serentak mereka menyelongkar beg tangan masing-masing. Ternyata telefon bimbit Julia yang sedang berbunyi. Sebaik-baik sahaja butang hijau ditekan, suatu suara yang begitu lantang kedengaran. “Helo! Tinggalkan Kuala Lumpur sekarang juga!”

“Safeline! Kenapa? Apa yang sedang berlaku?” Julia terpinga-pinga apabila terus dibentak sebegitu.

“Mereka sudah hampir ke ibu kota. Tinggalkan Kuala Lumpur sekarang. Tuju ke utara. Ajak semua orang lari dari situ.” Panggilan itu diputuskan. Isyarat telefon juga hilang begitu sahaja.

“Helo! Helo! Safeline? Safeline?” Julia berteriak. Namun suara itu tidak kedengaran lagi. Dia terpaku memandang Mimi.