Wednesday, April 2, 2014

Rahsia Gadis VIP - Prolog dan Bab 1


Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4


~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~

*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery


Prolog

Kira-kira 10 tahun yang lalu…
Di Kurt’s Hill
Dia meramas perutnya dengan tangan kanan. Sementara tangan kirinya berpaut pada dinding bilik air. Dia tidak sangka sakitnya hingga begitu sekali. Rasanya bagaikan hendak tercabut tulang punggung dan hendak gugur rahimnya ke lantai.
Sebenarnya sudah tiga hari dia sakit-sakit setelah mengambil beberapa biji pil. Cuma pada malam itu, dia berasa perutnya benar-benar sakit.
Tubuhnya makin sejuk. Lututnya sudah terketar-ketar kerana terlalu lama berdiri dan asyik ulang-alik ke bilik air. Namun dia yakin, masanya akan tiba tidak lama lagi. Dia cuma dapat berharap, segalanya akan selesai sebelum hari bertukar siang.
“Argh!!” Darah mula menuruni kedua belah kakinya. Malah menitik laju ke lantai. Serentak dengan itu terasa sesuatu meletup di celah kangkangnya lantas air dan lendir yang bercampur darah menderu laju. Dia tergamam apabila perutnya memulas kuat.
“Aduhhh….” erangnya sendiri.
Air mata yang membasahi pipi kini bercampur peluh yang meleleh dari dahi. Dipejamkan mata untuk mengimbangi kepalanya yang terasa berpusing dek kesakitan yang makin kuat. Namun hendak menyesal pun tidak berguna lagi. Sudah terlambat.
“Argh….” Dia menggigit kolar baju-T yang dipakai untuk mengurangkan kekuatan suara. Dia tertunduk menekan perut yang seperti hendak meletup.
“Argh!!!” Serentak dengan rasa hendak muntah dan rasa kejang yang kuat, dia meneran.
Langsung dia terlihat satu gumpalan bersalut air dan darah meluncur jatuh hingga tercampak ke hujung kakinya. Gumpalan yang langsung tidak bergerak dan pucat warnanya.
Dia tergamam lama melihatnya buat pertama kali. Bayi yang sudah berbentuk namun tidak begitu jelas rupanya.
Kemudian dia tercungap-cungap mengambil nafas. Setelah hampir dua jam bertarung dengan kesakitan di situ, dia hampir kehilangan tenaga dan tubuhnya mula menggigil kuat bagaikan orang demam. Dia juga hampir pitam.
Akhirnya setelah dia bertenang, dapat juga digerakkan kakinya beberapa tapak ke hadapan dengan susah payah. Dengan menggunakan air pancuran yang suam, dia mula membersihkan kedua-dua belah pehanya yang masih basah dengan darah. Kemudian menyiram lantai yang hanyir dengan bau darah dan lendir dengan perasaan yang beku.


PUKUL 4.00 pagi, kawasan di sekitar Kurt’s Hill diselubungi kabus tebal. Jarak pandangan tidak lebih daripada dua meter. Suasana sunyi mencengkam. Angin bertiup kuat, mengirim rasa dingin hingga ke tulang som-som.
Perlahan-lahan, dia melangkah meninggalkan bilik tidurnya. Bersama lampu suluh kecil yang sudah disiapkan awal-awal dia menuju ke hujung koridor. Satu demi satu anak tangga dituruni hingga sampai di tingkat bawah banglo dua tingkat itu. Dari situ dia menyusuri koridor menuju ke belakang banglo itu pula. Lalu menuju ke arah kebun sayur.
Setibanya di situ, dia menghalakan lampu suluh ke kiri dan ke kanan bagi mencari sebuah denai yang menuju ke kaki bukit. Setelah berjalan kira-kira dua meter ke hadapan dia menukar arah ke sebelah kanan mencari beberapa batang pokok yang tumbuh tinggi.
Berpandukan cahaya lampu suluh, dia dapat mencari sebuah lubang kecil yang telah digali sedikit demi sedikit sejak dua minggu yang lalu.
Tanpa berlengah, dia humbankan bungkusan plastik yang dibawanya ke dalam lubang itu. Dengan hanya menggunakan kaki, dia menimbun lubang itu dengan timbunan tanah. Setelah yakin tugasnya telah selesai, dia tinggalkan tempat itu lalu balik ke bilik.
Sayangnya dia tidak menyangka, sewaktu dia tertidur keletihan -tidak sedarkan diri, hujan lebat turun mencurah-curah. Tanah yang ditimbun hanyut sedikit demi sedikit dibawa arus… meninggalkan sebuah lubang yang hampir terdedah.


Bab 1

Sekarang…
“TAHNIAH, Lin!”
Puan Zulaikha bangun dan memeluk anaknya Linda yang baru turun dari atas pentas utama. Dicium pipi anaknya kiri dan kanan. Tidak dihiraukan ratusan pasang mata yang memandang. Tidak dihiraukan juga kerlipan lensa para wartawan yang merakam detik-detik itu.
Linda tersenyum lebar. Pelukan ibunya dibalas mesra. Itulah insan yang paling berjasa dalam hidupnya selain ayahnya, Tuan Iskandar. Dia bersyukur dan gembira, kedua-duanya turut hadir menemaninya menerima Anugerah Perdana Menteri Usahawan Wanita dan Penggiat Sosial bagi tahun 2014.
 Anugerah dan hadiah yang bernilai seratus ribu ringgit baru sahaja diterima dari tangan Perdana Menteri sendiri. Sedar-sedar, tangannya ditarik lembut. Ibunya mengajak dia duduk semula di kerusi yang telah dikhaskan untuk mereka bertiga.
“Anak papa.” Tuan Iskandar memaut bahu Linda dengan mesra. Sebuah ciuman lembut hinggap di sisi kanan kepala anaknya.
Linda tertunduk malu. Dalam bangga kerana telah dipilih untuk menerima anugerah berprestij itu dia sedar betapa dia juga adalah anak kebanggaan ibu bapanya. Betapa besar harapan dan amanah yang ditanggung kini. Dan dia akan buat apa sahaja untuk menunaikan amanah itu walaupun terpaksa bekerja siang malam memajukan semula kilang-kilang ayahnya yang hampir muflis.
“Semua ini untuk mama dan papa juga.” Itu sahaja yang dapat dikatakan kerana mereka bertiga sama-sama tahu di mana segalanya bermula.
“Jangan menoleh ke belakang lagi.” Tuan Iskandar membalas. Pandangan mata mereka saling bertatapan.
Linda angguk. Ya, dia tidak akan memandang ke belakang lagi selepas ini. Yang lalu biarlah berlalu, fikirnya. Dengan sokongan ibu bapanya, dia yakin untuk terus melangkah dan meneruskan kehidupan.
“Insya-ALLAH, papa,” balasnya sambil ter-senyum.
Dua jam selepas itu majlis selesai. Jemputan kehormat telah meninggalkan Kuala Lumpur Convention Center seorang demi seorang. Kini tinggal para jemputan yang beredar perlahan-lahan termasuk Linda dan ibu bapanya.
“Ke mana pula Iwan ni?” Tuan Iskandar memerhati persekitaran yang nampak tenang. Kereta satu demi satu bertali arus mengambil tetamu yang ingin pulang. Mereka bertiga masih ternanti-nanti kereta yang diambil Iwan, pembantu peribadinya.
Linda juga turut ternanti-nanti. Dia sendiri sudah berasa letih. Sedang berbual dengan ibunya, telefon bimbitnya berbunyi.
“Ini Melinda, kan?” tanya si pemanggil.
“Ya. Siapa ni?” Linda kehairanan. Nombor pemanggil itu tidak dikenalinya tetapi suara itu… seperti pernah didengarinya.
“Ni, Sofia. Sofia anak umi.”
Sofia? Hampir terlucut trofi yang dipegang.


“MAMA tunggu sini sekejap,” pinta Linda sambil meminta diri untuk ke suatu sudut bersendirian.
Namun sambil melangkah, otaknya ligat mengingati sesuatu. Sofia? Sofia anak umi. Sofia Mazlin Raphael. Sofia gadis kacukan Melayu dan Perancis. Sofia gadis berkulit putih kemerahan dan berambut perang semulajadi. Sofia, Sofia dan Sofia. Semua perihal Sofia makin jelas di matanya. Apa yang tidak jelas ialah kenapa Sofia menghubunginya? Apa yang Sofia mahu?
“Pelik. Kenapa tiba-tiba aje kau muncul ni?” Dia bertanya. Sudah 10 tahun dia tidak mendengar suara Sofia.
“Tentu bukan sebab aku rindu pada kau.”
“Kalau tak ada sebab, tak payahlah kita buang masa.” Linda mula geram. Pada mulanya dia ingin bersangka baik tetapi nampaknya sikap Sofia tetap seperti sepuluh yang dahulu. Selalu menyakitkan hati.
“Aku pun tak nak buang masa aku tapi semua ni pasal umi,” balas Sofia.
Kata-kata Sofia buat Linda terdiam seketika. Umi? “Kenapa dengan umi?”
“Umi jemput kau ke Raphael. Hari Sabtu dua minggu lagi.”
“Jemputan ke Raphael?” Linda benar-benar tergamam. Seperti tidak masuk akal pun ada juga. Umi jemput ke Raphael? Apa sudah jadi kepada umi?
“Takkan aku nak ulang dua tiga kali?”
“Telinga aku belum pekak la tapi otak kau yang dah tercabut fius kut?” bidas Linda sama pedas. Dengan Sofia dia tidak boleh leka. “Tapi aku tak fikir, kalau aku ada masa lapang pun, aku akan bazirkan untuk kau.”
Terdengar Sofia ketawa dengan angkuhnya di hujung sana. Sakit telinga Linda sesakit hatinya juga.
“Kau takkan bazirkan untuk aku tapi untuk kebodohan masa silam kau dulu. Percayalah. Kau pasti akan datang. ” Sofia ketawa lagi.
Linda menggeleng pasti. Sikap angkuh Sofia yang tidak pernah berubah, menjadikan hatinya semakin keras menolak jemputan itu. Lagipun, kalau diupah sejuta pun, dia tidak akan melangkahkan kaki lagi ke rumah itu. Tidak sama sekali.
“Aku tak mahu,” katanya.
“Kau mahu atau tak, bukan soalnya. Sebab, kau mesti datang juga pada tarikh itu,” jawab Sofia.
“Apa aku peduli? Aku kata tak mahu, tak mahulah.” Linda hampir lagi memutuskan panggilan sekiranya Sofia tidak cepat membalas.
“Kau tahu apa yang aku tahu fasal kau, kan?”
Ha? Untuk sesaat Linda terdiam. Bibirnya terasa kering.
“Kau ugut aku?”
“Demi umi aku akan buat apa aje supaya kau datang.”
Semena-mena Linda terasa geli hati. “Demi umi? Come on la, Sofia. Sejak bila kau pandai fikirkan fasal umi? Kau ingat aku tak kenal kau?”
“Jadi kau fikir, diri kau tu penting sangat pada aku?” kata Sofia lagi. “Heh! Jangan buat lawaklah. Tak kelakar.”
Hati Linda terasa pedih. Selepas sepuluh tahun, kedengarannya Sofia masih juga seperti dahulu. Kalaulah ada orang yang dia tidak mahu jumpa sampai mati, Sofialah orangnya.
Namun, fikirannya mula keliru. Adakah jemputan itu sebenarnya daripada umi? Terbayang di matanya wajah Tengku Mazwin, ibu Sofia yang dipanggil umi oleh semua penghuni Raphael’s Cottage satu ketika dahulu. Sudah terlalu lama wajah itu disisihkan dari ingatannya tetapi kenapa sekarang umi ingat padanya?
“Maksud kau? Umi nak jumpa aku?” 
“Faham pun kau.Ya, umi nak jumpa kau.”
“Buat apa? Dulu umi juga yang tak mahu aku jejakkan kaki lagi ke rumah tu? Umi juga yang suruh kami semua lupakan dia dan mulakan hidup baru?”
“Jawapannya hanya ada pada umi,” jawab Sofia. “Tapi aku percaya kau tetap akan datang. Kau kan anak murid kesayangan umi?”
Linda mengeluh lagi. Jawapan Sofia memang tidak banyak membantu. Kepalanya mula pening. Sekarang, fikirannya lebih terarah kepada soal umi pula. Kenapa umi mahu jumpa dia di Raphael? Kenapa?
“Beritahu umi aku tak boleh datang. Pada tarikh tu aku ada majlis penting,” balas Linda. Perasaannya mula goyah. Mula serba salah.
“Aku tahu. Aku tahu kau ada majlis penting pada tarikh tu tapi… majlis ini lebih penting. Malah aku rasa lebih baik kau bayangkan yang sebutir bom atom sedang menghala ke majlis itu. Dan kau ke sini untuk mematikannya. Kalau kau tak datang… bukan kau yang mati tapi seluruh usaha kau dan masa depan ayah kau di sana. Macam mana?”
Linda menggenggam penumbuk sehingga merah tapak tangannya. Kalaulah Sofia ada di hadapannya, mahu ditumbuk muka Sofia sekuat hati. Malah sekarang, dia rasa menyesal kerana tidak menumbuk muka Sofia 10 tahun yang lalu atau tolak sahaja dari tangga. Biar pecah kepala.
“Kau memang melampau!”
“Linda.” Sofia ketawa kecil. “Kalau kau sayang ayah kau, kau tentu faham kenapa aku sanggup buat apa aje demi umi. Dia mahu kau datang. Dia juga mahu jumpa Jazz. Dan teman sebilik kau dulu, Shereen.”
Nama-nama yang disebut oleh Sofia semakin menggemaskan hati Linda. Terbayang di matanya kedua-dua orang gadis sebayanya yang sudah begitu lama tidak ditemuinya. Namun, adakah pertemuan semula itu penting? Apa yang Sofia dan umi cuba lakukan sekarang? Mereka semua telah membawa hidup masing-masing.
“Aku tak percaya mereka semua akan datang,” katanya perlahan.
Separuh jiwanya tidak percaya yang Jazz dan Shereen boleh bersetuju dengan begitu mudah. Mereka juga seperti dia malah Shereen lebih teruk. Sejak keluar dari Raphael’s Cottage, Shereen terus tidak mahu berhubungan dengannya. Sekurang-kurangnya antara dia dan Jazz masih juga berhubung sekali-sekala.
“Aku tak bimbang. Setuju tak setuju, mereka akan datang juga.”
Linda terdiam. Betulkah?
“Untuk pengetahuan kau, aku sebenarnya belum dapat contact Jazz lagi. Aku yakin kau ada nombor telefon dia. Tapi tentu kau takkan berikan pada aku, kan?” balas Sofia. “Tapi tak apa. Masa masih panjang, aku akan terus kejar Jazz sampai dapat. Kalau tak dapat juga… aku akan gunakan jalan terakhir.”
“Kau jangan buat kerja gila.” Rasanya dia dapat mengagak tindakan Sofia nanti walaupun dia berdoa agar apa yang difikirkan itu tidak menjadi kenyataan.
“Wartawan pasti berminat dengan kisah lamanya, kan?” Sofia ketawa semula. Makin angkuh.
“Tolonglah, Sofia. Takkanlah disebabkan majlis sekecil tu, kau sanggup merosakkan nama baik Jazz? Fikirlah sikit!”
“Mungkin kecil bagi kau tapi bagi aku besar,” balas Sofia. “Dan aku akan pastikan setiap orang yang aku panggil datang juga ke majlis tu.”
Linda menarik nafas panjang lagi. Badan yang sudah sedia letih, terasa semakin letih. Malah segala kegembiraan yang dirasakan malam itu kini telah bertukar wajah kerana dia sedar Sofia bukan main-main. Dan apa yang lebih penting, dia sendiri dalam bahaya.
“Aku baca di akhbar, syarikat ayah kau dan Limas Duo Konsortium akan bergabung. Wah! Syarikat Tan Sri Omar tu! Tapi… cuba kau bayangkan kalau wartawan tahu yang Linda, ikon industri kecantikan yang paling popular pada waktu ini sebenarnya dulu adalah seorang gadis yang begitu…..”
 “Kau….” Linda sudah kematian kata-kata. Terasa darahnya sudah menderu naik ke kepala. Mendengar kisah lamanya diungkit, dia sudah hilang sabar.
“Jadi, aku rasa kau tak payah cipta apa-apa alasan lagi. Baca e-mel kau. Di situ semua sudah aku terangkan. Oh! Ya… jangan lupa pakai baju yang sesuai. Tentu kau masih ingat, umi suka bunga ros merah, kan? Jadi, warna putih dan merah ros warna tema. Jangan silap tarikh pula. Kalau kau tak datang… kau sendiri yang tempah masalah. Kau jawablah pada Tan Sri Omar dan semua wartawan.”
Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Linda putuskan panggilan tetapi dia tahu masalah itu tidak akan selesai di situ sahaja.
Sewaktu dia menoleh ke arah ibu bapanya yang masih lagi berbual dengan rakan-rakan bisnes, air matanya bergenang. Kalaulah dia tidak melakukan kesilapan pada masa lalu, mungkin segalanya berbeza. Sayangnya… sudah terlambat untuk menyesali apa yang sudah berlaku.

BEBERAPA minit selepas itu, mereka bertiga sudah pun berada di dalam kereta. Dalam keriuhan ibu bapanya bercerita tentang kemeriahan majlis yang baru dihadiri, Linda hanya menyepikan diri. Perasaannya belum tenang.
Fikirannya sarat dengan wajah umi, Jazz dan Shereen. Dan tentunya dipenuhi dengan kenangan-kenangan pahit manis yang terakam di Raphael’s Cottage sepuluh tahun yang lalu. Dia juga teringatkan satu rahsia yang telah ditanam jauh-jauh dalam lipatan hati.
Satu rahsia yang hanya penghuni Raphael’s Cottage yang tahu selain ibu bapanya. Satu rahsia masa lampau yang tidak ingin diketahui sesiapa. Satu rahsia yang amat disesalinya. Tetapi dia juga tahu, seandainya rahsia itu terbongkar segala usaha dan penat lelahnya selama sepuluh tahun lalu akan jadi sia-sia.
Bisnesnya akan terjejas. Musuh perniagaan akan mengambil kesempatan dan apa yang paling membuat dia susah hati, nama baik dia dan keluarganya akan tercemar.
“Siapa telefon tadi?” Puan Zulaikha yang duduk di sebelah Linda bertanya.
“Kawan,” balas Linda. Hatinya bergetar. Pada ketika itu, dia belum bersedia untuk bercerita.
Puan Zulaikha sekadar angguk sebelum kembali bercerita dengan Tuan Iskandar.
Diam-diam, Linda tarik nafas lega. Kalau boleh, buat sementara ini dia tidak mahu ibu bapanya tahu. Cukuplah sudah segala apa yang telah ditanggung oleh mereka sebelum ini. Kemudian dia teringatkan seseorang.
Dia kembali membelek telefonnya dan mencari nombor telefon Jazz. Tergigil-gigil jarinya menekan butang CALL dan menunggu dengan penuh harapan. Sayangnya panggilannya tidak dijawab.
Perbezaan masa menyedarkan dia yang Jazz mungkin sedang tidur nyenyak di Amsterdam. Sedangkan dia di situ merasa kepanasan yang tidak dapat diungkapkan.


“LINDA,” panggil Iwan. Ketika itu Tuan Iskandar dan Puan Zulaikha sudah pun masuk ke dalam rumah. Dia pula hendak mengambil keretanya yang ditinggalkan di situ sejak petang tadi.
Linda yang baru hendak masuk ke dalam rumah terus menoleh. Matanya tertancap pada seraut wajah lelaki yang redup dan mendamaikan jiwa.
“Tahniah!” ucap Iwan sambil tersenyum panjang.
“Terima kasih,” balas Linda. Senyuman Iwan dibalas seadanya sahaja. Walau apa pun perasaannya terhadap Iwan, segalanya disimpan kemas. Siapalah dia yang mahu berangan jauh hingga ke bintang? Dia tidak layak untuk lelaki sebaik Iwan.
“Penat ke?” Iwan terus menatap wajah Linda. Wajah itu seperti sedang berdepan dengan masalah yang berat. Dia hairan. Linda sepatutnya bergembira.
“Penat sikit,” balas Linda. Kalaulah boleh dikongsikan masalahnya dengan Iwan alangkah bagus, fikirnya. Tetapi dia hanya boleh berangan kerana sekiranya Iwan tahu rahsianya, mungkin Iwan sendiri akan menjauhinya.
“Okeylah. Masuklah berehat. Jumpa esok,” balas Iwan. Dia pun tidak mahu menambah kepenatan Linda.
“Assalamualaikum,” balas Linda sebelum beredar.
Iwan menjawab salam. Dia tidak beredar sehinggalah Linda sudah masuk ke dalam rumah. Di harap suatu hari nanti, Linda juga akan mempercayai dirinya seperti Tuan Iskandar juga. Dia bersedia untuk berkongsi suka duka dengan Linda walaupun dia tahu dia tidak layak untuk memiliki hati gadis itu.  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.