Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Bab
5
Kurt’s Hill
SOFIA termenung di
sisi beranda batu bercat putih. Pandangan matanya jauh menerobos hingga ke dada
bukit-bukit yang diselubungi kabus. Kemudian jatuh ke arah sebuah tasik yang
nampak begitu tenang. Namun, di sebalik lukisan alam yang begitu damai, hatinya
resah.
Majlis yang akan
berlangsung beberapa hari lagi di situ membuatkan dia letih dan berperang
dengan pelbagai jalur emosi.
“Berapa orang yang kata nak datang?” Tengku
Mazwin bertanya dari muka pintu.
Dia tidak mendekati
Sofia kerana tidak suka kerusi roda yang dinaikinya itu terhempas lantaran
permukaan lantai yang tidak sama tinggi tetapi melihatkan anaknya termenung,
terdetik juga di hatinya untuk bertanya.
Sofia terus berpaling
apabila terdengar suara ibunya. Sambil tersenyum dia berkata, “Setakat ni tak
ada yang menolak, umi.”
Tengku Mazwin
tersenyum. Lega hatinya apabila dia mendengar jawapan Sofia. Dia gembira kerana
semua anak didiknya sudi hadir ke situ buat kali yang terakhir. Dia sendiri
amat rindukan mereka namun apa daya, dia hanya menumpang kasih mereka yang
tidak sudi.
“Baguslah kalau
mereka sanggup datang lagi ke sini. Umi ingatkan, selepas keluar aje dari rumah
ni, nama rumah ni pun mereka takut nak sebut.”
Sofia tersenyum tenang.
Dia mendekati ibunya lalu duduk melutut. Direbahkan kepalanya ke riba ibunya.
Di situ dia berasa sedikit tenang.
“Takkanlah mereka nak
lupakan umi dan rumah ni. Jasa umi pada mereka tak terbalas walaupun dengan
wang ringgit,” katanya sambil menyapu air mata yang gugur ke pipi. Dia tidak
mahu ibunya tahu apa yang sedang bersarang di hati.
“Umur umi dah tak
panjang. Umi cuma mahu bertemu dengan mereka buat kali terakhir. Umi nak minta
maaf kalau-kalau selama umi menjaga mereka di sini, ada salah dan dosa umi
kepada mereka.”
Sofia menggeleng.
“Jangan cakap macam
tu, umi. Umur umi panjang lagi.”
“Jangan menafikan
kematian, Sofia. Kematian itu bak bayang-bayang yang sentiasa ada di sisi kita,
bila-bila masa aje akan menjadi nyata. Semua manusia akan mati, termasuk umi.”
Sofia tetap
menggeleng. Dia tahu, ibunya sudah hampir 60 tahun umurnya dan juga sudah uzur
dengan pelbagai jenis penyakit namun, dia belum bersedia untuk berpisah dengan
ibunya. Ibunya adalah tonggak kekuatan hidupnya.
“Cuma umi harap, selepas
umi pergi… kamu dan Razif akan teruskan apa yang umi usahakan selama ni. Bukan
kekayaan yang kita cari tapi kalau kita dapat membantu masalah orang lain, kita
mesti bantu. Itu panggilan untuk kita.
Dalam hidup ni, kita
mesti menjadi orang yang berguna, orang yang membantu dan orang yang memberi
kerana ALLAH Ta’ala.”
“Saya faham. Sekarang
ni pun, permintaan untuk masuk ke Raphael’s Cottage semakin bertambah. Saya
cuma bimbang kalau saya tak mampu uruskan mereka kalau terlalu ramai.”
“Umi pun tak suruh kamu
terima terlalu ramai. Ikutlah apa yang telah umi buat selama ini. Tiga orang tu
dah maksima pada satu-satu masa. Kalau lebih ramai daripada itu, akan timbul
masalah. Kita bukan tak tahu yang mereka memang sudah sedia bermasalah sebelum
dihantar ke sini. Nanti kecoh kalau ramai-ramai.”
Sofia mengeluh
perlahan-lahan. Dia teringat-kan panggilan telefon yang diterimanya saban hari.
Ada ibu bapa yang merayu-rayu meminta anak perempuan mereka dimasukkan ke
Raphael’s Cottage. Malah, ada yang sanggup membayar berapa sahaja harga yang
ditetapkan supaya anaknya diterima masuk ke situ. Tetapi apa dayanya?
Nilai eksklusif
Raphael’s Cottage perlu dipertahankan, kalau tidak…misi Raphael’s Cottage
sebagai rumah pemulihan akhlak untuk anak-anak orang berada akan gagal. Dia
tidak sanggup memusnahkan apa yang telah dibina ibunya puluhan tahun yang lalu.
Walaupun kalau difikirkan soal duit, dia boleh minta berapa sahaja.
“Mungkin kalau ada
sepuluh Raphael’s Cottage sekalipun belum cukup untuk menampung permintaan
mereka, umi.” Itulah yang difikirkan sekarang.
“Masalah sosial
semakin teruk. Sebab tu umi dah tak sanggup baca surat khabar. Bayi dicampak
macam bangkai. Tak tahulah apa dah jadi dengan otak budak-budak sekarang. Sudah
tak takut buat dosa. Sudah tak ada rasa kemanusiaan. Kucing pun tak buat macam
tu.”
“Ada rumah pemulihan
akhlak yang NGO buat dengan bantuan kerajaan, daripada sebuah sudah bertambah
hingga ke lima buah. Masalah ini sudah tak terkawal lagi, umi.”
Sofia usap tangan
ibunya yang sudah berkedut. Di tangan itulah, dia melihat sebilangan gadis
berubah laku. Tangan yang disifatkan sebagai tangan ajaib oleh dia dan ibu
bapa.
Anak-anak perempuan
yang liar, yang tidak mendengar kata, yang melawan ibu bapa, yang terlanjur,
yang tidak kenal hukum hakam… semuanya tunduk apabila berhadapan dengan
kedua-dua belah tangan itu.
Namun Sofia tahu jauh
di sudut hati, ibunya sedih. Ibunya terkesan dengan setiap masalah yang menimpa
gadis-gadis yang pernah menginap di Raphael’s Cottage. Dia pernah melihat
ibunya menangis apabila dilawan, dibentak, ditengking dan dihina oleh
gadis-gadis itu ketika mula sampai di situ.
Maka, dia tidak
hairan kalau diam-diam ibunya didapati menghidap pelbagai jenis penyakit.
Ibunya banyak memendam perasaan demi melihat mereka kembali ke jalan yang
benar. Dia sendiri tidak pasti adakah dia akan setabah ibunya nanti.
“Kenapalah keadaan
semakin teruk?” tanya Tengku Mazwin.
“Nak buat macam mana,
umi? Dah akhir zaman,” balas Sofia perlahan. Dia sendiri tidak ada jawapan
untuk semua masalah yang semakin teruk itu.
“Kalau dah tahu kita
berada di akhir zaman, makinlah kita kena buat baik. Kiamat dah dekat.”
“Tak semua orang
fikir macam kita.” Itu sahaja jawapan yang boleh diberikan Sofia.
“Umi harap, semasa
bertemu dengan mereka nanti umi boleh ingatkan hal ini. Kalau dulu mereka buat
silap, umi harap mereka dapat menghalang anak-anak mereka dari mengulangi
kesilapan yang sama. Kalau tidak sia-sialah usaha umi.”
“Saya akan pastikan,
mereka semua datang.”
Sofia tersenyum. Dia
tidak mahu ibunya berasa bimbang. Dia mahu impian ibunya itu menjadi kenyataan
kerana dia tahu perkara itu sangat penting kepada ibunya. Tidak kiralah
bagaimana impian itu akan dilaksanakan, walaupun terpaksa berkeras dan
mengugut. Dia akan lakukan.
BEBERAPA jam selepas
itu, Sofia duduk berhadapan dengan Mak Wiyah. Sambil mengunyah nasi lemak dalam
mulut, dia memeriksa buku catatannya. Masih ada beberapa perkara yang belum
diselesaikan dan dia berasa bimbang.
“Sarapan untuk umi
dah hantar?” Dia menjeling ke arah Mak Wiyah seketika.
“Dah, sebelum Datin
turun lagi tadi. Tapi umi Datin kata tak nak makan roti pagi ni, dia nak makan
bubur nasi pula.”
“Mak Wiyah dah tanak
ke belum?” Kali ini Sofia menumpukan perhatian kepada kata-kata Mak Wiyah. Dia
bimbang kalau ibunya lapar pula sementara menanti bubur nasi masak.
“Ada atas dapur.
Rosni sedang jaga.”
“Jangan letak garam
banyak sangat.”
“Ya, Mak Wiyah
ingat,” balas Mak Wiyah dengan cepat.
Sofia kembali
menekuni buku catatannya.
“Kita ada banyak
kerja nanti, Mak Wiyah. Nak tak nak, saya terpaksa juga susahkan Mak Wiyah.”
Sofia tutup buku catatannya.
“Mak Wiyah pun
berdebar-debar ni, maklumlah ada yang dah dekat dua puluh tahun tak jumpa.”
“Mereka datang bukan
sebab nak jumpa kita, Mak Wiyah. Ini pun… kalau tak dipaksa, jangan harap
sorang pun nak tunjuk lagi muka ke rumah ni.”
Mak Wiyah terus
terdiam, riak wajahnya yang teruja tadi terus pudar.
Sofia sedar dia telah
mematikan harapan Mak Wiyah. Dia juga tahu selama ini, selain dia dan ibunya,
penghuni rumah itu sangat rapat dengan Mak Wiyah. Bahkan Mak Wiyah acapkali
membantu gadis-gadis itu tanpa pengetahuan ibunya sendiri. Dia tahu tetapi
hanya buat tidak tahu.
“Tapi kita memang tak
pernah buat jamuan sebesar ini di sini. Harap-harap tak adalah masalah
apa-apa.”
“Rasanya tak ada
masalah besar. Saya cuma amanahkan kepada Mak Wiyah dan Rosni untuk bantu saya
uruskan jamuan. Walaupun kita buat secara buffet,
tapi kita tak upah pelayan. Jadi Mak Wiyah dan Rosni kena pastikan semua
makanan dan minuman cukup untuk semua. Saya dan Datuk kena uruskan hal
kehadiran jemputan. Selain tu, saya juga kena perhatikan umi.”
“Datin jangan risau.
Tahulah saya dan Rosni uruskan nanti.”
“Lagi satu, bunga ros
yang saya tempah akan sampai pagi Sabtu. Pagi tu juga, Mak Wiyah dan Rosni kena
gubah untuk hiasan meja tetamu dan meja utama. Soal khemah, saya dah tempah.
Mereka akan pasang pada petang Jumaat.” Sofia ingatkan Mak Wiyah sekali lagi.
“Selain tu malam nanti, kita bertiga kena siapkan cenderamata untuk mereka. Ada
tiga puluh beg lagi yang belum disiapkan.”
Mak Wiyah angguk
berulang kali.
“Mak Wiyah dah kemas
barang-barang Mak Wiyah? Kalau dah, petang nanti saya boleh suruh pemandu
angkut ke rumah.”
“Semua dah siap,”
jawab Mak Wiyah.
“Saya nak ke bandar
ni, ambil baju umi. Mak Wiyah jangan lupa pula hantar bubur umi. Pastikan juga
umi makan ubat.” Sofia bangun meninggalkan meja makan. Dia terus menuju ke muka
pintu rumah agam yang mempunyai dua belas buah bilik itu.
Mak Wiyah pandang
sahaja sebelum bergegas ke dapur memeriksa bubur.
SEBAIK sahaja bubur
nasi masak, Mak Wiyah bawa ke bilik Tengku Mazwin. Dia letakkan dulang yang
mengandungi semangkuk bubur nasi dan segelas air suam di atas meja bulat. Dia
mendekati Tengku Mazwin yang tekun membaca Al-Qur’an di atas katil.
Menyedari kehadiran
Mak Wiyah, Tengku Mazwin menyudahkan bacaannya di penghujung sebuah ain. Lalu
kitab suci itu diletak baik-baik di sebelah katilnya.
“Puan nak makan
sekarang?” Mak Wiyah bertanya.
“Boleh juga,” jawab
Tengku Mazwin. Cermin mata yang dipakainya tadi ditanggalkan lalu diletakkan di
atas meja sisi. Dia membetulkan duduk sementara Mak Wiyah mengangkat dulang.
“Sofia dah keluar?”
“Dah, puan.” Pendek
sahaja balasan Mak Wiyah sewaktu menyerahkan mangkuk bubur ke tangan Tengku
Mazwin. Setelah mangkuk bertukar tangan, dia merebahkan punggung di birai katil
sambil memegang gelas.
“Kenapa Mak Wiyah
macam sedih aje? Ada masalah ke?”
Pertanyaan itu
membuatkan Mak Wiyah tersenyum tawar. Bukan dia sengaja mempamerkan wajah
sedih, dia memang sedih.
“Macam mana tak
sedih, puan? Bukan sehari dua saya tinggal di rumah ni. Dah dekat 30
tahun.”
Mendengarkan jawapan
Mak Wiyah, Tengku Mazwin terus faham. Dia sendiri rasa apa yang Mak Wiyah rasa.
Malah sejak rumah itu siap dibina sebelum Sofia lahir lagi, dia tidak pernah
berpisah lama dengan rumah itu. Itulah satu-satunya lambang cinta antara dia
dan suaminya, Raphael.
“Kita pindah sekejap aje.
Selepas rumah baru siap, kita pindahlah balik ke sini. Kata Razif dalam enam
tujuh bulan aje.”
“Mungkin bukan masa
yang jadi masalah. Tapi nak melepaskan apa yang dah biasa, itulah yang susah.”
“Kalau ikutkan saya,
saya pun tak berapa setuju Razif nak runtuhkan rumah ni. Tapi kata dia, rumah
ni dah buruk sangat. Dia nak bina yang baru yang lebih banyak bilik dan
berbentuk moden. Setiap bilik akan ada bilik air sendiri, bukan macam sekarang,
bilik air di luar bilik. Nak ditambah-tambah aje, kata dia lebih rumit.”
“Tak apalah, puan.
Saya ni orang gaji aje. Di mana puan letak, di situ saya anak-beranak tidur.”
Tengku Mazwin
tersenyum. Sambil mengacau bubur nasi dia berkata, “Kita dah lama hidup bersama
di rumah ni. Saya dah anggap awak dan anak-anak awak semua tu ahli rumah ini
juga. Kalau tak ada awak yang menolong saya menguruskan budak-budak tu dulu,
Raphael’s Cottage takkan berjaya mengubah mereka.”
“Saya risau, puan.
Puan nak teruskan juga rancangan puan tu?” Mak Wiyah renung muka Tengku Mazwin
lama-lama.
Tengku Mazwin
membalas.
“Hati saya tak tenang
kalau saya tak tahu hal yang sebenarnya.”
“Kenapa mesti
sekarang?”
“Awak pun tahu yang
saya dah tak ada masa. Saya tak nak pergi dalam keadaan yang macam ni. Lagipun
saya tak boleh sabar lagi. Saya nak tahu juga,” balas Tengku Mazwin. “Antara
mereka bertiga, siapa yang punya kerja.”
“Tapi perkara ni dah
terlalu lama, puan. Kan lebih elok kalau kita diamkan aje?”
“Saya bukan nak hebohkan
perkara ni. Cukuplah kalau salah seorang daripada mereka bertiga mengaku kepada
kita.”
Mak Wiyah terdiam
lama. Perasaannya berbelah bahagi.
“Saya juga rasa
bersalah. Saya mahu tahu apa salah saya sampaikan mereka sanggup buat macam tu
pada saya,” tambah Tengku Mazwin sambil menahan perasaan marah dan kecewa.
Itulah perasaan yang cuba dibendung bertahun-tahun.
Melihatkan keadaan
itu, Mak Wiyah usap tangan Tengku Mazwin dengan perlahan. Dia faham. Dia
sendiri sehingga kini turut tertanya-tanya. Antara Linda, Shereen dan Jasmina siapa
yang melakukannya? Yang dia pasti bukan Jasmina.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.