Wednesday, November 20, 2013

Sejak Kita Bertemu : Bab 7



Bab 7
Kuala Lumpur.
BLOK B di kawasan Flat Seri Mastura sudah jauh berubah. Begitu juga dengan Blok A, C dan D. Kesemuanya sudah dicat baru dan segala kerosakan telah dibaikpulih sepenuhnya. Lif tidak lagi rosak, alat permainan di taman permainan pun sudah ditukar ganti. Pendek kata, kawasan itu kini sudah kembali ceria setelah bertukar pemaju. Penduduk juga sudah ramai, tidak seperti waktu dahulu.
Di bawah flat itu, kafé milik Mak Ani mula dikunjungi pelanggan yang rata-ratanya adalah penghuni di sekitar flat itu juga. Waktu makan tengah hari adalah waktu yang paling sibuk walaupun hari itu adalah hari Sabtu. Antara yang sibuk membantu ialah Maria.
“Mana Joe? Kenapa tak turun?”
“Tidurlah agaknya tu. Kadang-kadang tu, dia lebih lelap daripada Daniel. Daniel dah bangun, dia belum lagi.” Maria tersenyum namun tangannya tetap ligat menceduk nasi untuk pelanggan.
Mak Ani hanya menggeleng, dia menyimpan kain yang digunakan untuk mengelap meja yang baru dikosongkan pelanggan sebentar tadi.
“Tak apalah, mak. Malam tadi dia overtime sampai pukul 11.00 malam. Letih lagilah tu agaknya.”
“Maria pun letih juga. Bukannya Maria duduk goyang kaki?” balas Mak Ani.
Maria tersenyum tenang. Dia bimbang ibu mertuanya menyangkakan yang bukan-bukan terhadap suaminya. Dia faham Joe penat bekerja sepanjang minggu. Ditambah kerja lebih masa hingga ke tengah malam, dia boleh melihat sendiri betapa penat suaminya mencari nafkah untuk dia dan Daniel.
“Saya kan ada tolong mak? Biarlah dia berehat,” katanya dengan lembut.
Mak Ani tidak menjawab. Dia duduk sahaja di atas kerusi di tepi kaunter.
Maria pun mendekat. Dengan teragak-agak dia berkata, “Mak… semalam Anis telefon saya.”
“Tak ajak dia ke mari?” tanya Mak Ani pula.
Maria terdiam sebentar. Bukan dia tidak mahu mengajak, malah jika dia tidak mengajak pun… Anis sepatutnya sudi datang ke situ. Mereka semua bukannya orang lain, semuanya sudah seperti satu keluarga walaupun kedudukan mereka sudah berbeza.
“Dia ke Melaka, mak,” jawab Maria. Mungkin itulah jawapan yang paling selamat. “Saya ingat… saya pun nak ke sana jumpa dia. Mak nak ikut sekali?”
“Kedai ni siapa nak jaga? Nak harapkan Abang Mat kau tu… ada yang hangus kat dapur tu. Nanti lauk ke mana, kedai ke mana,” balas Mak Ani sebelum ketawa kecil.
Nampaknya ibu mertuanya menolak dan sekaligus memberikan alasan yang konkrit. Sememangnya di kedai itu bukanlah ramai sangat pekerja yang boleh diharapkan. Abang Mat pula lebih banyak di dapur kerana kerjanya hanyalah sebagai seorang tukang masak.
“Bila nak pergi? Nak bawa Daniel sekali ke nanti?” tanya Mak Ani pula apabila Maria asyik termenung.
“Belum tahu. Tunggu Anis SMS. Dia pun baru sampai ke sana hari ni,” terang Maria kelam kabut. Hilang sudah segala yang difikirkan tadi.
“Di Melaka tu… dia tinggal di mana? Di hotel?”
Maria menggeleng. “Rumah dia sendiri. Tan Sri yang belikan untuk dia.”
Mak Ani seolah-olah tergamam mendengarnya. “Bertuahlah dia. Tan Sri anak-beranak tu memang baik orangnya.”
Maria tidak menafikan langsung. Malah dia dan Joe sendiri telah mendapat sebuah rumah percuma di kawasan itu sebagai hadiah perkahwinan mereka berdua. Cuma dia tetap tidak mahu tinggal di Blok C yang banyak menyimpan kenangan dia bersama Anis, lalu dia memilih sebuah rumah di Blok B juga cuma berlainan tingkat dari rumah Mak Ani. Jadi dia tidak hairan jika Tan Sri Dzairil ataupun Damien menghadiahkan Anis sebuah rumah yang lebih besar dan gah. Mereka mampu.
“Tengoklah apa dia buat pada flat kita ni kan, mak?”
“Sebab arwah Danny dulu memang nak ambil alih tempat ni daripada pemaju yang lama. Tan Sri hanya tunaikan hajat tu walaupun anaknya tu dah tak ada,” jawab Mak Ani.
Mereka berdua seolah-olah tenggelam dalam kenangan lama. Masing-masing teringatkan arwah Danny, kembar Damien yang rangkanya ditemui oleh Anis di atas bumbung Blok C hampir tiga tahun yang lalu. Disebabkan peristiwa itulah mereka semua menjadi rapat namun mereka juga tidak pernah menyangka bahawa Tan Sri Dzairil begitu baik dan pemurah kepada mereka sekeluarga.
 “Jadi mak setuju kami pergi ke sana?”
“Asalkan jangan pergi lama sangat, sudahlah. Mak rindu cucu mak sorang tu,” balas Mak Ani ambil tersenyum memandang Daniel yang sedang didukung Joe masuk ke dalam kafe itu.
Maria diam sahaja. Terus tidak sampai hati untuk memberitahu rancangannya.
*****
PETANG itu, semasa Maria cuba memujuk Daniel tidur, dia dihubungi oleh Cik Pia dari Mauritius.
“Ingatkan, dah lupa kita kat sini,” usik Maria.
“Mana boleh lupa? Ofis macam mana?” tanya Cik Pia.
“Semuanya okey.”
“Slow saja jawab ni? Ada masalah ke?”
“Cik Pia jangan risaulah. Semuanya okey,” tegas Maria.
“Habis tu bunyi macam sedih saja ni?” pintas Cik Pia.
“Tak ada apa, Cik Pia. Cuma saya nak ke Melaka beberapa hari, agak-agaknya boleh tak saya ambil cuti? Kalau dapat dua hari pun tak apa.” Maria luahkan juga permintaannya. Sememangnya perkara itu pun menyesakkan kepalanya juga. Bagaimana kalau dia tidak dapat bercuti sementara Anis berada di Melaka? Hancur sahajalah rancangannya.
“Nak ke Melaka? Ada apa kat sana?”
“Nak ke rumah Anis.” Maria pun menceritakan hal yang sebenar.
“Kalau macam tu, ambil sajalah cuti. Asalkan tak kena dengan waktu cuti umum, tak apalah. Kalau tak, nanti kelam-kabut. Pengunjung ramai waktu tu,” balas Cik Pia lagi.
“Nanti saya periksa kelendar. Kita cuti hari Isnin, kan? Saya cubalah cuti Isnin sampai Rabu ke. Nanti saya maklumkan pada Cik Pia lagi.” Di kepalanya terbayang kesibukan pengunjung yang mandi-mandi di Taman Air Vienna (TAV) yang diuruskan sekarang. Betul juga kata Cik Pia, dia harus mencari hari yang sesuai untuk bercuti. “Cik Pia jangan risaulah pasal TAV, honeymoon sajalah di sana puas-puas.”
Cik Pia tergelak di hujung talian.

Setelah telefon bimbitnya menjadi senyap, Maria terbayangkan wajah ibu mertuanya. Dia masih tidak dapat mencari kekuatan untuk memujuk wanita itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.