Tuesday, August 22, 2017

Cerpen Seram; GILA


GILA oleh Maria Kajiwa

SEKEJAP-SEKEJAP dia menangis sampai terguling-guling di lantai. Sekejap-sekejap dia ketawa bagai digeletek seseorang. Mandi lupa. Makan pun lupa. Apa yang dia ingat, nama sendiri, nama adik-beradik, nama mak ayah dan nama tunang dia, Syafik. Yang lain dia lupa.
“Zie... ingat ALLAH, nak.”
Hati Adam rasa tersiat-siat. Melihatkan anak sulungnya yang dibesarkan elok-elok akhirnya jadi begitu sejak tiga bulan yang lalu. Dia sudah habis ikhtiar. Apa yang tinggal hanyalah keyakinan kepada kuasa ALLAH. Semua itu ujian untuk anaknya dan mereka juga.
Intan, ibu Azizah sudah lama jadi seperti orang bingung. Apa yang menimpa Azizah amat mengejutkan mereka seisi keluarga. Malah Syafik juga tidak percaya dengan perubahan diri Azizah sejak mereka bertunang.
Azizah pandang ayahnya. Air matanya meleleh-leleh di pipi. Hatinya pedih. Dia bukan gila walau semua kata dia gila. Dia normal. Dia tidak gila.
“Ramai sangat malam ni, abah. Penuh rumah kita ni. Suruhlah dia orang balik, abah.” Azizah pegang tangan ayahnya kuat-kuat.
“Zie... ingat pesan ustaz. Istighfar banyak-banyak. Zikir.”
Adam mengingatkan sekali lagi. malah dia rasa sudah penat hendak mengingatkan hal yang sama. Azizah masih begitu juga. Asyik bercakap entah apa-apa.
“Mereka... naik atas meja makan, abah. Dia orang jalan-jalan. Langkah lauk atas meja. Dia orang kencing abah. Abah halau!” Suara Zie makin meninggi. Malah apabila pegangan tangan ayahnya terlepas, Azizah berkejar ke arah meja.
‘Shh! Pergi! Pergi!’ Dia menghalau dengan suara dan kedua belah tangan. habis barang di atas meja dicapai dan dibaling ke serata arah.
Adam, Intan hanya mampu mengeluh. Sejak Azizah jatuh sakit, rumah itu memang huru-hara. Kadang-kadang, Azizah terpaksa dikurung di dalam bilik.
“Zie, berhenti!” Akhirnya Adam menempik. Botol air yang dibaling Azizah hampir lagi mengenai kepala isterinya.
“Jangan kurung Zie, abah. Zie tak mahu! Dalam tu lagi ramai. Dia orang kacau, Zie, abah!” Azizah menjerit apabila Adam memegang tangannya. Dia sudah tahu ke mana dia akan dibawa.
“Zie... jangan macam ni, nak.” pujuk Adam. Dia sendiri tidak mahu melakukan begitu.
“Abah!”
Azizah menjerit sewaktu Adam mengunci pintu bilik. Yang terdengar bunyi tangisan Azizah yang sayu dan ketukan pintu bertalu-talu hingga senyap sendiri menjelang pukul tiga pagi.
*****
KEESOKAN harinya rumah Azizah dikunjungi Syafik dan sepupunya Amri. Adam dan Intan menyambut baik kedatangan bakal menantu meskipun hati sentiasa risau mengenangkan masa hadapan Azizah.
“Malam tadi dekat nak subuh baru diam,” cerita Adam. Pada wajahnya sudah lama hilangnya raut gembira. Apa yang ada cuma raut keletihan dan kesedihan.
Syafik cuma mengeluh sendiri. Semua yang berlaku sungguh di luar jangka. Perhubungan yang sudah menjangkau 10 tahun bukan satu jangka masa yang pendek. Dia tidak snagka dnegan tiba-tiba sahaja Azizah berubah laku.
“Apa kita nak buat ni, pak cik?’
Dia buntu. Tarikh perkahwinan yang ditetapkan antara dua keluarga semakin hampir sayangnya tidak ada satu pun persiapan yang dibuat lagi.
“Pak cik akan ikhtiar cari orang yang boleh mengubat dia. Tapi mungkin akan ambil masa.”
Itu sahaja yang mampu dijawab Adam. meskipun timbul pelbagai tanggapan dalam hatinya namun ditahan agar tidak meluncur di mulut. Bimbang kalau tersilap, dia hanya mengukir ribuan fitnah.  

 “Abah! Tolong, Zie! Dia orang tarik kaki!” Secara tiba-tiba, Azizah menerpa ke ruang tamu mencari Adam.


Saturday, August 12, 2017

Cerpen Seram: TULIS


SUDAH beberapa hari hati Qiah berdebar-debar. Setiap kali matanya terpandang mengenai tawaran untuk menulis cerita seram dari sebuah rumah penerbitan, perasaannya melonjak-lonjak. Dia rasa tak senang duduk. Malah tidur pun tak berapa lelap.
Dia asyik terbayang namanya dipaparkan di atas muka hadapan buku dan juga kehidupan yang berubah selepas itu. Dia juga terbayangkan populariti dan sanjungan pembaca yang tidak putus-putus. Selain membayangkan duit yang akan mengalir masuk ke dalam akaun bank dan apa yang dia mampu beli dengan duit itu. Oleh itu kali ini dia nekad untuk mencuba nasib.
“Engkau buat apa tu, Qiah? Dari tadi menghadap laptop.” Zarin yang baru siap membasuh baju di dapur menegur. Dia hairan kerana mulai awal pagi tadi lagi Qiah tak henti-henti menekan papan kekunci. Mandi tidak. Makan pun tidak. Keluar dari bilik pun tidak. Asyik dengan laptop.
“Jangan kacaulah. Aku tulis cerita ni.” Qiah rasa marah. Bebelan Zarin membuatkan tumpuannya terjejas.
“Cerita?” Suara Zarin mati setakat itu. Jawapan Qiah amat mengejutkan. Setahu dia selama ini Qiah tak pernah menulis cerita. Setakat menulis mesej dalam WhatApps memang pernah. Itu pun typho setiap lima huruf.
“Kenapa? Engkau ingat aku tak boleh tulis cerita seram? Belum cuba belum tahu.” Sikap Zarin semakin menaikkan kemarahan Qiah. Semangatnya semakin berkobar-kobar untuk menyiapkan cerita seram yang ditulis sejak pagi tadi. Kalau orang lain boleh tulis, dia pun boleh juga; itulah fikirnya.
“Engkau tulis cerita seram?” Suara Zarin semakin kuat. Hampir hendak memekik. Dia fikirkan Qiah tulis cerita cinta macam dalam novel-novel yang banyak bertimbun di ruang tamu rumah sewa mereka. Rupanya cerita seram.
Qiah ketawa kecil. Hati semakin berbangga. Baru Zarin tahu keupayaan dia.
“Engkau tak takut ke tulis cerita macam tu?”
Dahi Zarin berkerut-kerut. Dia terbayangkan beberapa novel seram yang pernah dilihat di kedai-kedai buku. Semua kisahnya melibatkan syaitan, jin, iblis dan hantu.
“Ish! Jadi penulis cerita seram mana boleh takut? Hati kena sado, beb. Kalau takut... macam mana nak tulis?” balas Qiah. Matanya masih terpaku ke skrin. Jari-jemarinya laju menekan papan kekunci meskipun banyak typho. Pedulilah. Janji siap.
“Berani engkau ya? Engkau tahu ke benda apa yang engkau tulis ni? Engkau tak takut ke benda ni datang kacau engkau balik?”
Qiah ketawa mendengar pertanyaan Zarin.
“Menulis cerita seram ni bukan untuk orang yang penakut macam engkau. Orang yang berani aje boleh tulis. Nanti dia datang duduk sebelah engkau, baru engkau tahu.” Qiah mengusik Zarin.
“Memang. Aku pernah dengar cerita macam tu. Ada seorang penulis novel cerita seram pernah tulis di Facebook dia. Selama dia menulis, benda tu ada temankan dia di sebelah. Kalau tak nampak pun, dia boleh rasa benda tu ada dekat dia. Kalau bulu roma tegak aje tu, adalah tu dekat-dekat.”
“Jadi penulis cerita seram memang macam tu. Hati kena kental. Kalau diri sendiri tak boleh kawal, macam mana nak kawal cerita?”
“Begitu...” kata Zarin sebelum angkat punggung. Dia teringat masih ada baju yang belum berjemur. “Kalau macam tu, engkau tulislah ya elok-elok. Esok-esok kalau dah terkenal, jangan buat-buat tak kenal aku pulak.”
Dengan spontan ketawa Qiah terburai. Kata-kata Zarin buat dia tambah bersemangat.
Di muka pintu, Zarin menoleh ke arah Qiah dengan wajah prihatin. “Eh! Tadi aku goreng mi tau. Aku tinggalkan sikit untuk engkau kat atas meja.”
“Alright!” Qiah angguk. Meskipun perut sudah mula pedih, dia masih tak mahu berganjak. Dia takut idea dia hilang.
*****
“DAH mandi ke belum ni? Serabut macam orang tak mandi aje?” Zarin menegur Qiah yang duduk di hadapan televisyen sambil makan mi goreng dengan gelojoh. Sebelum ini tak pernah pula dilihat Qiah macam itu.
“Nantilah... aku lapar ni.” Qiah menjawab. Mi disuap laju ke mulut. Apabila tercekik, dia lalukan dengan air sejuk.
“Dah lepas zuhur ni, kak oi. Ingat pagi lagi ke? Ni mesti solat pun tak buat.”
Qiah tergamam. Dia mendongak memandang jam pada dinding. Baru dia sedar, waktu sudah hampir ke pukul dua petang. Patutlah dia lapar sangat.
“Haahlah... aku ingat baru pukul berapa.” Qiah teguk air sejuk dengan laju. Kemudian dia bangun meletakkan pinggan dan gelas di atas meja makan.
“Basuhlah oi.” Zarin menegur sikap Qiah yang semakin pengotor. Entah-entah hari itu Qiah langsung tak gosok gigi atau basuh muka. Hal lain tak usah cakaplah. Semua pasal teruja sangat hendak menulis cerita seram.

“Nantilah...” Qiah bergegas masuk ke dalam bilik semula untuk sambung menulis. Sedar-sedar sudah masuk waktu maghrib.

SAMBUNGANNYA BOLEH DIBACA DI SINI (TEKAN)

Thursday, August 10, 2017

Cerpen Seram: SIRIH PELUPA

UMIE memerhati kerja-kerja penggalian dari tingkap bilik tidurnya di tingkat 2. Tanah yang digali oleh beberapa orang anggota polis di hadapan pagar rumahnya semakin menampakkan sesuatu yang tidak sanggup dipandang. Semakin lama semakin jelas terbujur seorang budak lelaki yang sudah mati di dalam lubang itu. Semakin lama semakin menjalar rasa ngeri ke hulu hati.

Semua itu menghadirkan rasa takut yang bukan kepalang. Lalu tanpa sedar tubuhnya terundur ke belakang sehingga terjatuh ke lantai.

Hentakan itu membuatkan Umie terjaga dari mimpi. Untuk sejenak dia menghela nafas lega seraya menyapu peluh yang merenik ke muka. Namun dalam keheningan subuh itu dia tetap dipaut rasa bingung. Kenapa mimpi seperti itu kerap datang bertandang?
*****
“KENAPA sekarang baru cakap?” tegur Ana. Baru dia tahu masalah Umie.
Umie mengeluh. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia hanya membiarkan hal itu berlarutan selama ini. Tetapi baru kebelakangan inilah, mimpi itu kerap datang berulang kali. Malah adakalanya datang tiga malam berturut-turut.
“Entahlah, Ana. Aku pun tak tahu. Bingung rasanya.”
“Kalau aku cakap engkau jangan marah,” kata Ana.
“Aku bagitahu engkau perkara ini maknanya aku bersedia menerima apa saja,” balas Umie. Dia sedar dia mesti berlapang dada mendengar saranan Ana. Dia sudah tidak tahan lagi diganggu mimpi serupa itu. Mungkin Ana ada jalan keluar.
“Aku percaya mimpi itu terjadi kerana ada sesuatu yang menggangu fikiran engkau. Engkau ada masalah ke? Engkau ada sesuatu yang engkau takut orang tahu?” Ana pandang muka Umie lama-lama.
Umie terdiam  seraya menundukkan muka. Memang ada rahsia masa lalu yang disembunyikan dalam-dalam. Dia tidak mahu mengingatinya dan tidak mahu sesiapapun tahu atau membangkitkan hal itu semula.
Melihatkan Umie tidak menjawab pertanyaan itu, Ana menyambung. “Selagi engkau tak selesaikan masalah itu, ia akan tetap menganggu fikiran engkau. Dan aku percaya mimpi itu akan terus berulang. Satu-satunya cara ialah dengan menghadapinya.”
Umie terus tidak menjawab. Hal itu terlalu berat untuk diungkapkan semula meskipun kepada Ana.
“Ana... engkau tahu tak sesiapa yang boleh mengubat. Aku rasa aku perlukan bantuan.” Akhirnya Umie bersuara semula. pada pendapatnya itulah jalan yang terbaik. Mungkin usaha itu boleh membantu dia menghentikan mimpi-mimpi itu.
“Baik, esok aku bawa engkau ke sebuah tempat. Mungkin mereka boleh bantu engkau,” balas Ana..
*****.
Keesokan harinya, mereka pergi ke sebuah rumah yang dijadikan pusat perawatan islam seperti yang dijanjikan Ana. Ketika mereka tiba, ramai pesakit memenuhi ruang tamu dan bacaan rukyah sedang dibacakan melalui pembesar suara. Bermacam gelagat yang mereka lihat namun sebaik sahaja Umie memijak lantai rumah itu, perutnya rasa bergelora dan mual. kepalanya pening dan hampir gelap mata.

“Kenapa Umie?” Ana perasan tubuh Umie seperti lembik dan hendak jatuh. Muka dan bibir Umie pucat lesi.

BACA SAMBUNGANNYA DI SINI (TEKAN)


Sunday, August 6, 2017

Cerpen Seram: KUNCI




Tajuk:KUNCI
Penulis: Maria Kajiwa
Struktur : Kronologi
“HEI!” Ayuni menjerit seraya meluru ke kaki lima.
Aku yang terdengar jeritan itu terus berlari keluar sambil diikuti pekerja yang lain. Setibanya di situ aku melihat Isya menangis dalam pelukan Ayuni. Ayuni pula memaut Isya agar menjauhi Zam.
“Eh! Jangan masuk campurlah!” bentak Zam kepada Ayuni seraya cuba menarik tangan Isya.
“Hei! Apa ni?” Aku pula yang menengking Zam, lelaki bertubuh kurus dan tinggi lampai. Aku tahu dia teman lelaki Isya kerana aku selalu melihat lelaki itu menghantar dan menjemput Isya balik kerja tetapi aku tidak akan membenarkan dia bertindak kasar sebegitu.
“Argh!“ Zam bertempik seperti orang hilang akal. Selepas itu terus beredar ke arah motorsikal dan terus meninggalkan tempat itu.
Aku terpinga-pinga dan Isya semakin kuat menangis.
“Mari masuk dalam.”
Untuk mengelakkan hal itu menjadi perhatian orang ramai yang mula berkumpul aku cepat-cepat mengajak kesemuanya masuk sahaja ke dalam semula. Walaupun waktu kerja sudah tamat tetapi rasanya elok kalau Isya dibenarkan bertenang sebentar. Lagipun aku ingin tahu apa sebenarnya yang telah terjadi.
****   
“Saya nampak Zam hayun helmet ke arah Isya.” Setibanya di ofis Ayuni terus membuka mulut.
Aku tergamam. Zam nak pukul Isya? Wah! Sudah melampau!
“Ambilkan Isya air dulu,” kataku sambil membawa Isya duduk di atas sofa. Hal tadi masih terbuku dalam hati. Tak sangka Zam sanggup mengasari Isya sampai sebegitu sekali. Mujurlah Ayuni ternampak tetapi tentu ada puncanya.
“Cuba cerita pada saya...” Aku memujuk setelah Isya berhenti menangis. Kini tinggal kami bertiga di situ. Aku, Ayuni dan Isya. Staf yang lain semua sudah balik kerana malam sudah semakin tua..
Isya diam. Dia hanya tunduk dengan wajah murung.
“Cakaplah Isya. Mungkin puan boleh tolong.” Ayuni pula memujuk.
Tiba-tiba Isya menangis sampai tersengguk-sengguk. Aku dan Ayuni hanya mampu berpandangan. Bimbang tersilap desak akan memburukkan keadaan.
“Kalau engkau nangis saja macam ni sampai bila nak selesai?” Ayuni mula naik angin aku hanya memberikan renungan tajam. Aku tahu Ayuni dan Isya agak rapat tetapi aku tidak tahu serapat mana.
Tanpa dijangka, Isya tarik kain yang dipakai ke atas sambil air matanya menitik. Maka terserlah kesan lebam sebesar pinggan di peha kanannya.
“Ya Allah! Zam buat ni?” Suara Ayuni meninggi. Buntang matanya.
Aku terkedu. Kesan lebam kehitaman itu sangat mengejutkan. Tambah menyedihkan aku ialah semasa bekerja Isya tidak sedikitpun menunjukkan tanda sakit cuma agak diam kebelakangan ini.

“Isya... cubalah cerita apa yang sebenarnya berlaku.” 

SAMBUNGANNYA BOLEH DIBACA DI MKFC (TEKAN)


Friday, August 4, 2017

Cerpen SERAM: CINCIN

“Apa benda tu, Min?” Zai tertarik dengan apa yang dibelek Amin sejak balik dari bandar petang tadi. Macam menarik benar.
“Cantik tak, kak? Amin beli kat pasar malam Jalan Bendahara.” Amin menayangkan cincin di jari manis. Sebentuk cincin berbatu biru. Di atas batu itu ada jalur-jalur kehitaman.
“Min beli ke? Berapa ringgit?” Zai pandang sahaja. Dia tidak minat langsung cincin berbatu besar seperti itu.
“Murah aje, kak. Rm 50,” balas Amin.
“Buat apa nak membazir? Rm 50 tu banyak boleh beli benda lain yang lebih penting.” Zai cuba menyedarkan Amin. Meskipun dia tidak pernah berkira dengan Amin dalam soal duit tetapi dia tidak mahu Amin membazir pula.
“Pak cik tu kata dia jual murah aje kat Amin. Kalau tak harganya RM 300.”
Mulut Zai terlopong. Daripada apa yang dilihat, dia sendiri rasa cincin itu mahal harganya.   
“Habis tu kenapa dia jual murah sangat kat Amin?”
“Rezeki Amin kut?” Amin tersengih.
Zai terdiam. Malam itu dia tidak dapat tidur lena. 
*****
KIPAS sudah berputar dengan kelajuan maksima. Di luar pula hujan sedang mengguyur bumi dengan lebat tetapi di dalam rumah seakan-akan berbahang. Zai rasa rimas.
Oleh kerana tidak boleh tidur, dia keluar dari bilik. Dia mahu ke dapur untuk mengambil air sejuk. Sewaktu melintasi bilik Amin, dia terdengar bunyi orang sedang meratib. Bunyinya berdengung-dengung dan aneh sebutannya.
Dia hairan.
Langsir bilik Amin disingkap. Daun pintu yang tidak tertutup rapat ditolak sedikit. Bilik Amin gelap tetapi cahaya dari bilik air membuatkan Zai mampu melihat serba sedikit. Dia nampak Amin sedang tidur di atas katil. Manakala di atas lantai, ada seorang lelaki berkepala botak sedang duduk meratib
Semena-mena dia terjerit.
Amin bingkas bangun dan melompat turun dari katil.
“Kenapa, kak? Kenapa?”
Zai hanya menggeleng kepala. Lelaki berkepala botak tadi sudah hilang.
*****
HARI demi hari berlalu. Zai lihat Amin semakin banyak berubah. Daripada seorang adik yang baik kini berubah menjadi seorang yang panas baran dan bermulut celupar. Amin juga semakin jauh dari sejadah dan Al-Quran. Apabila ditegur Amin akan melenting.
Zai sedih. Sebagai kakak dia amat merisaukan keadaan Amin tetapi dia tidak tahu apa puncanya sehinggalah kedatangan seorang penjual kain ke rumahnya pada satu petang Ahad.
“Kenapa biarkan, nak?” kata penjual kain. Orangnya sudah berumur.
“Biarkan apa, mak cik?”
Sebenarnya Zai tidak bercadang hendak membeli kain yang dijual cuma dia rasa kasihan melihat mak cik itu. Dia bercadang hendak beri mak cik itu berehat sebentar dan minum air buat penghilang haus tetapi itu pula yang didengar.
“Ada benda dalam rumah ni. Anak punya ke?” Mak cik itu memandang ke arah televisyen.
Zai pandang ke arah yang sama tetapi tidak melihat apa-apa. Jantung sudah berdetak laju. Dia rasa dia tahu apa yang mak cik itu maksudkan. Sejak kebelakangan ini dia asyik didatangi mimpi-mimpi yang menakutkan.
“Saya tak faham apa yang mak cik tanya,” katanya. Bimbang kalau tersalah teka.
“Jauh datangnya ni. Dah tua sangat. Ada duduk beratib kat depan televisyen tu,” kata mak cik itu lagi.
Zai sudah menelan air liur. Dia jeling ke arah televisyen. Yang dia nampak cuma televisyen yang sudah dipadam. Yang lain tidak ada. Dia semakin resah. Sekujur tubuh rasa seram sejuk. Tidak sedar dia mengesot semakin rapat ke arah mak cik penjual kain. Tidak terbayang apabila mak cik itu balik nanti dan dia tinggal berseorangan. Patutlah kebelakangan ini dia selalu rasa seperti ada orang lain di rumah meskipun Amin tidak ada.
“Mak cik...” Dia tidak tahu bagaimana mahu meluahkan.

“Dah lama ke dia dekat sini?” tanya mak cik itu pula.

SAMBUNGANNYA DI MKFC (TEKAN)