Tuesday, August 22, 2017

Cerpen Seram; GILA


GILA oleh Maria Kajiwa

SEKEJAP-SEKEJAP dia menangis sampai terguling-guling di lantai. Sekejap-sekejap dia ketawa bagai digeletek seseorang. Mandi lupa. Makan pun lupa. Apa yang dia ingat, nama sendiri, nama adik-beradik, nama mak ayah dan nama tunang dia, Syafik. Yang lain dia lupa.
“Zie... ingat ALLAH, nak.”
Hati Adam rasa tersiat-siat. Melihatkan anak sulungnya yang dibesarkan elok-elok akhirnya jadi begitu sejak tiga bulan yang lalu. Dia sudah habis ikhtiar. Apa yang tinggal hanyalah keyakinan kepada kuasa ALLAH. Semua itu ujian untuk anaknya dan mereka juga.
Intan, ibu Azizah sudah lama jadi seperti orang bingung. Apa yang menimpa Azizah amat mengejutkan mereka seisi keluarga. Malah Syafik juga tidak percaya dengan perubahan diri Azizah sejak mereka bertunang.
Azizah pandang ayahnya. Air matanya meleleh-leleh di pipi. Hatinya pedih. Dia bukan gila walau semua kata dia gila. Dia normal. Dia tidak gila.
“Ramai sangat malam ni, abah. Penuh rumah kita ni. Suruhlah dia orang balik, abah.” Azizah pegang tangan ayahnya kuat-kuat.
“Zie... ingat pesan ustaz. Istighfar banyak-banyak. Zikir.”
Adam mengingatkan sekali lagi. malah dia rasa sudah penat hendak mengingatkan hal yang sama. Azizah masih begitu juga. Asyik bercakap entah apa-apa.
“Mereka... naik atas meja makan, abah. Dia orang jalan-jalan. Langkah lauk atas meja. Dia orang kencing abah. Abah halau!” Suara Zie makin meninggi. Malah apabila pegangan tangan ayahnya terlepas, Azizah berkejar ke arah meja.
‘Shh! Pergi! Pergi!’ Dia menghalau dengan suara dan kedua belah tangan. habis barang di atas meja dicapai dan dibaling ke serata arah.
Adam, Intan hanya mampu mengeluh. Sejak Azizah jatuh sakit, rumah itu memang huru-hara. Kadang-kadang, Azizah terpaksa dikurung di dalam bilik.
“Zie, berhenti!” Akhirnya Adam menempik. Botol air yang dibaling Azizah hampir lagi mengenai kepala isterinya.
“Jangan kurung Zie, abah. Zie tak mahu! Dalam tu lagi ramai. Dia orang kacau, Zie, abah!” Azizah menjerit apabila Adam memegang tangannya. Dia sudah tahu ke mana dia akan dibawa.
“Zie... jangan macam ni, nak.” pujuk Adam. Dia sendiri tidak mahu melakukan begitu.
“Abah!”
Azizah menjerit sewaktu Adam mengunci pintu bilik. Yang terdengar bunyi tangisan Azizah yang sayu dan ketukan pintu bertalu-talu hingga senyap sendiri menjelang pukul tiga pagi.
*****
KEESOKAN harinya rumah Azizah dikunjungi Syafik dan sepupunya Amri. Adam dan Intan menyambut baik kedatangan bakal menantu meskipun hati sentiasa risau mengenangkan masa hadapan Azizah.
“Malam tadi dekat nak subuh baru diam,” cerita Adam. Pada wajahnya sudah lama hilangnya raut gembira. Apa yang ada cuma raut keletihan dan kesedihan.
Syafik cuma mengeluh sendiri. Semua yang berlaku sungguh di luar jangka. Perhubungan yang sudah menjangkau 10 tahun bukan satu jangka masa yang pendek. Dia tidak snagka dnegan tiba-tiba sahaja Azizah berubah laku.
“Apa kita nak buat ni, pak cik?’
Dia buntu. Tarikh perkahwinan yang ditetapkan antara dua keluarga semakin hampir sayangnya tidak ada satu pun persiapan yang dibuat lagi.
“Pak cik akan ikhtiar cari orang yang boleh mengubat dia. Tapi mungkin akan ambil masa.”
Itu sahaja yang mampu dijawab Adam. meskipun timbul pelbagai tanggapan dalam hatinya namun ditahan agar tidak meluncur di mulut. Bimbang kalau tersilap, dia hanya mengukir ribuan fitnah.  

 “Abah! Tolong, Zie! Dia orang tarik kaki!” Secara tiba-tiba, Azizah menerpa ke ruang tamu mencari Adam.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.