Thursday, April 12, 2018

TAKRUT -novel terbaharu saya


Assalamualaikum dan salam sejahtera

Alhamdulillah, dengan izin-Nya novel terbaharu saya yang bertajuk TAKRUT akan berada di pasaran mulai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bermula pada 27 April-6 May 2018 bertempat di PWTC, Kuala Lumpur.

Buku juga boleh dibeli secara online melalui Puan Zully Azizan (WhatApps 012- 331 2141)

Harga buku = RM 28.00   dan kos pos laju RM 8

Buku ini mengandungi 2 buah cerita yang berasingan dalam 1 buku.

Random teaser TAKRUT:


Nakhon Sawan
Tahun 1590

DARI pelantar rumahnya, Ukrit melontar pandang ke tengah sungai. Rumahnya yang menghadap titik pertemuan antara Sungai Nan dan Sungai Ping bagaikan saksi kepada titik permulaan terbentuknya Sungai Chao Phraya yang lebar dan keruh. Sungai yang menjadi paksi kepada sebuah negara yang kedaulatannya sedang dipertahankan daripada pencerobohan dan penjajahan pihak luar. Namun, hari ini hatinya diterpa tanda tanya. Wajah ayahnya lebih keruh daripada keruh air di Sungai Chao Phraya.
“Tentu ayah akan bertolak esok.” 
Keyakinan itu timbul memandangkan begitulah sikap ayahnya sebelum ke medan perang. Ayahnya akan mengasingkan diri dan berpuasa. Sebagai anak sulung kepada seorang pahlawan kepercayaan raja, dia juga harus bersedia sepanjang masa. Harus berani menerima apa sahaja kemungkinan termasuklah soal kematian. Cuma kali ini entah kenapa, apa yang terlakar pada wajah ayahnya tampak kusut benar. Dia jadi bimbang.

Random teaser STESEN TERAKHIR:
“Ikat orang ni dulu. Aku mahu melihatnya mati dulu!” Jenderal Tokuda meludah muka Dollah.
Arahan yang dikeluarkan segera dipatuhi. Anum meraung apabila mendapat tahu apa yang sedang berlaku. Begitu juga dengan orang kampung. Kesemuanya bertolak-tolak ke tepi landasan untuk melihat dengan lebih jelas.
Dollah dibawa turun ke landasan dan dipaksa berbaring menelungkup. Kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang. Dollah akur akan nasibnya. Dia tidak kesal. Di matanya hanya terbayang wajah Mayang dan Rashid.
“Tok...” Musa yang diikat di sebelah Dollah mula meracau. Air matanya membasahi pipi. Dia meronta tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan lagi.
Dollah tidak membalas. Kalau ada satu-satunya kekesalan dalam hati hanyalah apabila melihat orang kampung lainnya tersiksa. Apa yang telah dilakukan sudah jelas memberi kesan buruk. Namun untuk meminta maaf, hatinya belum terbuka.

Jemput dapatkan buku ini nanti. We Bring Experience To You.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.