Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Imbas kembali. 10 tahun yang lalu di Raphael’s Cottage…
KICAUAN burung-burung
hutan riuh-rendah pagi itu. Mak Wiyah yang sedang menjemur pakaian di ampaian,
melemparkan pandangan sesekali ke arah pokok-pokok besar yang tumbuh
berselerakan di belakang rumah itu.
Suasana itu amat
berbeza dengan suasana di Raphael’s Cottage yang kini kembali sunyi sepi
setelah penghuni sementara di situ berangkat pulang ke rumah masing-masing pagi
semalam.
Setelah siap kesemua
pakaian yang diampai dengan elok, dia membawa baldi kosong masuk semula ke
bilik mandi. Tanpa mengambil masa yang lama, dia bergegas pula mencari
majikannya Tengku Mazwin yang berada di bilik perpustakaan, me-nyusun
buku-buku.
“Puan,” tegurnya.
“Semua kerja saya dah siap.”
Tengku Mazwin
menoleh. Buku dalam tangannya diletakkan sahaja di atas para. “Awak nak balik
kampung berapa hari?”
“Dua hari. Petang
esok saya balik ke sini semula,” jawab Mak Wiyah.
“Kalau macam tu,
pergilah.” Tengku Mazwin berpaling
semula ke arah rak buku. Masih banyak buku-buku yang perlu disusunnya semula
mengikut nombor siri.
“Puan,” panggil Mak
Wiyah lagi. “Sebelum saya balik, boleh saya ambil sikit daun inai dan daun
sireh di belakang tu? Boleh juga dipakai pengantin kalau perlu.”
Tengku Mazwin
tersenyum nipis. Permintaan Mak Wiyah tidak langsung menimbulkan masalah kepada
dia. Selama ini pun, pokok inai dan pokok sireh yang ditanam sekian lama
langsung tidak berusik. Entah bila dia hendak menggunakannya pun dia tidak
pasti.
“Ambillah, Mak Wiyah.
Saya bukan pakai pun. Ambillah banyak mana nak,” balasnya tanpa berpaling. Dia
yakin sebanyak mana sangat yang boleh dibawa Mak Wiyah balik ke kampungnya.
Tidak akan menjadi kudis pun kepada kedua-dua batang pokok itu, menambah subur
mungkin.
Mendengarkan jawapan
Tengku Mazwin, Mak Wiyah segera mengangguk sebelum berpaling semula ke arah
dapur bagi mencari plastik kosong.
Sepeninggalan Mak
Wiyah, Tengku Mazwin terus leka menyusun semua buku-buku yang ada. Sedang dia
terkial-kial meletakkan sebuah ensaiklopedia setebal empat inci ke atas para
yang paling tinggi, Mak Wiyah menerjah masuk dengan wajah pucat.
“Puan!” katanya
dengan dada yang berombak kencang.
“Ada apa, Mak Wiyah?
Macam orang nampak hantu aje?’
Mak Wiyah tidak
menjawab, sebaliknya terus menarik tangan Tengku Mazwin ke arah dapur. Dalam
tidak sampai dua minit, Tengku Mazwin dan Mak Wiyah sudah berada di belakang
rumah.
“Apa halnya, Mak
Wiyah?” Tengku Mazwin mula resah apabila Mak Wiyah begitu menggelabah.
“Puan,” panggil Mak
Wiyah. Dia tunjukkan selonggok tanah basah yang seperti baru digali. Di tepi
lubang sedalam satu kaki itu, terdapat
sebungkusan benda yang berbalut dengan surat khabar yang basah.
Tengku Mazwin pun
memandang.
“Ada mayat bayi!”
kata Mak Wiyah.
UNTUK beberapa saat,
Tengku Mazwin terpaku ke tanah. Apa yang diberitahu dan apa yang dilihatnya
membuatkan semangatnya terbang seketika. Tubuhnya ketar walaupun ini bukan kali
pertama dia melihat bayi manusia.
“Biar betul ni, Mak
Wiyah?” Akhirnya, mulut yang kelu tadi dapat digerakkan semula.
“Saya dah periksa,
memang ada mayat bayi dalam kertas surat khabar tu,” kata Mak Wiyah lagi sambil
mengangkat dagu ke arah bungkusan yang basah dengan air hujan dan darah.
Tengku Mazwin menarik
nafas panjang. Pelbagai persoalan menerpa ke benaknya. “Siapa punya?”
Mak Wiyah menggeleng
tidak tahu.
Spontan, Tengku
Mazwin tahu. Mayat bayi itu tentunya kepunyaan salah seorang daripada tiga
orang gadis yang baru sahaja meninggalkan rumahnya pagi semalam. Masalahnya
sekarang, yang mana satu? Shereen? Linda? Atau Jasmina?
“Apa kita nak buat
ni, Mak Wiyah?”
“Bayi tu dah cukup
sifat, puan. Mungkin dah dekat enam tujuh bulan usianya tapi kecil.”
“Ish!” Makin ribut
fikiran Tengku Mazwin. Terbayang-bayang di matanya wajah Linda, Shereen dan
Jasmina yang pernah tinggal di situ sejak enam bulan yang lalu. “Ini mesti
kerja Linda ataupun Shereen,” katanya.
“Kita kebumikan
ajelah, puan. Kita uruskan baik-baik ikut cara Islam.”
“Kenapalah mereka
sanggup buat macam ni?” Tengku Mazwin mula rasa marah. Buat penat sahaja dia
mengajar agama dan memberi didikan moral kalau begitu juga hasil yang dia
dapat.
“Saya tak boleh
jawab. Tapi saya rasa lebih baik kalau kita diamkan dulu.”
“Kenapa? Kalau
ikutkan saya, saya baru terfikir nak panggil mereka semua balik ke sini.”
“Janganlah, puan.
Kesianlah pada budak-budak tu,” pujuk Mak Wiyah.
Tengku Mazwin
memasamkan muka. Dia betul-betul tidak boleh menerima tindakan sebegitu. Itu bayi
manusia, bukan bangkai haiwan yang boleh ditanam sesuka hati.
“Eloknya mereka
ditanam sekali dengan bayi tu, baru mereka insaf agaknya.”
“Mereka baru nak bina
hidup baru, puan. Kesianlah pada mereka.”
“Itu akan buat kita
bersubahat, Mak Wiyah. Menyembunyikan kematian satu kesalahan.”
“Apa yang pentingnya,
kita kena uruskan bayi ni dulu. Baru kita cari siapa pelakunya.”
Kali ini Tengku
Mazwin tidak membantah lagi. Rasa kasihannya melihat mayat bayi yang sudah
dihurung semut membuatkan dia mengalah.
“Lagipun… kalau
sampai jadi kes polis, panjang kisahnya. Tentu puan tak mahu orang yang tak
berkenaan tahu pasal Raphael’s Cottage ini, kan?”
Tengku Mazwin terdiam.
Selama ini Raphael’s Cottage terus kekal bak bayang-bayang. Hanya orang
tertentu yang mengetahui kewujudan rumah itu sebagai tempat pemulihan akhlak
anak-anak V.I.P.
Kalau hal itu
terdedah, dia akan berdepan dengan saman oleh ibu bapa yang telah menghantar
anak-anak mereka ke situ. Tekanan pasti lebih besar.
“Mak Wiyah tahu apa nak dibuat, kan? Uruskan.
Saya tanggung perbelanjaannya,” katanya. “Tapi biarlah kita aje yang tahu hal
ini. Sofia pun tak boleh tahu. Saya nak salah seorang daripada mereka mengaku
pada saya satu hari nanti.”
Mak Wiyah angguk
sahaja.
Setelah keputusan
dibuat, Tengku Mazwin berpaling pergi. Namun setiap kali dia memijak tanah dia
berazam; siapa pun yang telah membuang bayi itu, dia akan cari sampai dapat.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.