Saturday, April 14, 2012

Novel DATANG PADA WAKTUNYA : Bab 2


Satu KUIZ soalan terkumpul akan diadakan (bermula pada 16/4-20/4) berdasarkan bab-bab novel DATANG PADA WAKTUNYA yang tersiar di blog ini. Ia terbuka kepada semua ahli MKFC sahaja dan menawarkan 5 buah novel ini secara PERCUMA. 
Untuk menjadi ahli MKFC tekan SINI
Jangan lepaskan peluang ini! Hanya untuk yang tinggal di Malaysia sahaja ya!

2
Kuala Lumpur, Jun 2010
KERJA! Kerja! Kerja! Edri menolak beberapa buah fail ke tepi meja dengan sikunya. Sambil mengeluh kasar dia bersandar semula ke kerusi, bersilang tangan di kepala.
Dia memejamkan matanya yang terasa pedih. Kepalanya pening, hatinya pedih. Siap satu, tambah satu. Kadang-kadang belum siap satu, sudah tambah dua tiga lagi fail dan projek. Huh! Mengalahkan kerja kuli ladang tebu! Dia merungut lagi di dalam hati. Walaupun jari-jemarinya terasa sejuk tapi hatinya sentiasa panas. Panas! Tiba-tiba, pintu pejabat dikuak lebar. Rakan sekerjanya, Azim, masuk sambil tersengih-sengih.
“Relaks betul? Dah habis kerja?”
Pintu ditutup semula. Pejabat yang semak dengan pelbagai kertas itu menjadi sunyi dan hambar.
“Tunggu habis kerja, sampai kepala aku botak pun tak dapat,” balas Edri.
Azim ketawa kecil. “Kau dah siap semak pelan yang aku hantar tu?”
Tanpa mengangkat muka Edri bersuara. “Aku sedang semaklah ni. Buka-buka saja terus nampak salah. Apa yang kau buat, aku pun tak tahu. Dulu kau habis belajar ke tak?”
Sindiran Edri membuatkan wajah Azim bertukar merah padam. “Salah?”
Dia menggaru kepala. Dengan perlahan dia menarik kertas pelan yang sedang terbentang lebar di atas meja kerja Edri.
“Kau dah pergi periksa mata? Atau cermin mata kau dah habis power? Bukankah kawasan di sebelah Tenggara ni berbukit?” Lurus telunjuk Edri menunjuk ke bahagian Tenggara pelan perancangan bandar baru itu. Matanya menatap tajam ke wajah Azim yang terkulat-kulat bagaikan budak kecil yang tahu dirinya bersalah.
“Bukit?” Azim tercengang. Dia membetulkan kedudukan cermin matanya yang terlondeh ke atas batang hidung.
“Ya. Kau tak pergi periksa, kan?”
“Tak cukup kakilah. Pembantu aku yang pergi.” Azim terkulat-kulat cuba membela diri.
“Kau nak cari masalah? Kau harapkan pembantu kau dan juruukur pergi periksa kemudian rujuk pada sekeping peta? Macam-macam boleh jadi di pertengahan jalan. Kawasan ini bertindih dengan sekolah lama di atas bukit itu. Baik kau pergi periksa betul-betul. Kalau runtuh sekolah tu nanti, macam mana kau nak ganti nyawa anak orang?”
“Mana kau tahu ni, Ed?”
“Aku ada kawan yang buka business di situ. Aku telefon dan dia sahkan di situ ada sebuah sekolah lama.”
“Macam mana penanda penting macam tu boleh tak wujud pada peta aku?”
Edri cuma menggeleng. “Kau mesti faham, banyak benda yang boleh hilang sebelum sampai ke tangan kita. Sebab tu kau mesti lebih peka. Jangan cepat percaya pada semua laporan dan data-data yang sampai ke meja kau.”
Azim terdiam. Matanya terpaku lagi kepada pelan tersebut. Daripada raut mukanya, dia seolah-olah mengakui kesilapan besar yang telah dilakukan. Tanpa bersuara dia bangkit semula. Riak bengang terpalit jelas pada wajahnya.
Edri hanya mengekori langkah Azim meninggalkan bilik itu dengan ekor mata. Percaya lagi kepada orang, sendiri susah. Hatinya mengomel. Matanya kembali khusyuk membaca laporan kajian perancangan bandar yang sedang diperiksa. Dengan tiba-tiba bunyi penanda SMS masuk menerjah gegendang telinganya. Dia mengeluh sebaik terbaca SMS daripada Adam, rakan serumahnya.

Balik kerja nanti jemput aku di ofis. Kereta aku rosak. Masuk bengkel.

“Adam! Kau balik naik teksilah.” Edri menyergah Adam sebaik sahaja panggilannya bersambung. Jarinya masih lagi memicit-micit tengkuknya yang terasa berat. Bagaikan sebaldi air tergantung di situ.
“Lecehlah. Kau datanglah jemput aku.”
“Aku lagi leceh nak ke Gombak sana jemput kau.”
“Alah, Ed, bukan selalu. Sini kalau petang-petang susah dapat teksi. Selalu hujan pula tu.”
“Itu yang aku tak suka tu, tersangkut kereta aku dalam banjir tu macam mana?”
“Apalah kau ni, Ed. Aku baru cakap hujan kau dah cakap banjir. Aku tak kira. Petang nanti kau jemput juga,” kata Adam sebelum mematikan panggilan.
Edri terdiam. Ingat aku kuli dia agaknya. Dia mula merungut-rungut. Hatinya makin sakit. Sudahlah kerja macam air banjir, melimpah-limpah tidak surut-surut, ini lagi tambah satu lagi beban. Hendak dibuat tidak tahu, kesian pula kalau Adam ternanti-nanti hingga ke malam.
Matanya merenung meja kerjanya. Timbul perasaan mual yang bergelora. Di atas meja itu pelan-pelan baru berlambak-lambak. Kertas kajian masih banyak belum disemak. Dia segera tahu tekanan darahnya sudah mula naik.
Rasa menyesal mula menerjah fikirannya. Menyesal menerima tugas di situ sebagai Pegawai Perancang Bandar, tujuh bulan yang lalu. Walau gajinya lebih besar, kerjanya tiga kali ganda lebih banyak. Bila difikir-fikir balik, seperti tidak berbaloi juga walau syarikat itu sungguh gah namanya sebagai syarikat perunding yang terkenal.
Ya, siapa yang tidak kenal dengan Syarikat Perunding Aorora dalam sektor pembangunan dan hartanah. Tiba-tiba deringan telefon menyentak tumpuan fikirannya.
“Edri, petang ni awak jangan tinggalkan pejabat. Saya ada hadiah untuk awak.”
Dahi Edri berkerut. Hadiah? Jari-jemarinya sudah beralih dari tengkuk ke dahi pula. Apa yang nyata, tekanan darahnya semakin naik.

EDRI menarik laci meja di sebelah kanannya. Dia mengeluarkan satu papan ubat darah tinggi berwarna merah hati. Ditelannya sebiji bersama air mineral yang sememangnya tersedia di tepi mejanya. Tidak dapat tidak, fikirannya sedikit terganggu.
Agak-agaknya apa yang mahu diberikan oleh Encik Amin kepada dia? Edri mula mencongak-congak. Hadiah apa dan kerana apa? Hendak dikatakan hadiah hari jadi, rasa-rasanya Encik Amin tersilap tarikh. Hendak dikatakan hadiah lain, tidak ada pula yang istimewanya. Suara Encik Amin pun tidaklah terlalu gembira atau mengucapkan apa-apa. Dia mengeluh lagi. Permainan seperti itulah yang sangat dibencinya selama ini. Meneka dan menunggu.
Jangan-jangan…Encik Amin hendak berkongsi duit kopi? Isy! Hatinya terasa tidak sedap. Dia memang pantang kalau dihulurkan duit haram macam itu. Bukannya dia tidak pernah ditawarkan tetapi dia belum gelap mata. Pesanan daripada ibunya dulu sentiasa dijadikan azimat. Jangan makan duit haram! Jangan beri mak makan duit haram! Rasa hendak mengalir air matanya apabila dikenang nasihat itu.
Kalau itulah hadiah yang dimaksudkan Encik Amin, dia lebih rela untuk tidak masuk campur. Manusia tidak sama. Warna rambut pun sudah tidak sama warna, apatah hati di dalam. Kalau Encik Amin menganggap dia sama dengan pekerja yang makan suap, Encik Amin memang tersilap. Kerana dia lelaki yang ada prinsip dan Encik Amin mesti menghormati prinsip dia.
Setelah penat mencongak-congak daripada segala sudut, dia cuba menumpukan fikiran kepada kerja-kerjanya semula. Sebuah perancangan bandar baru di sekitar Shah Alam. Sudah hampir tiga bulan dia mengerjakan kajian perancangan itu. Sudah jenuh dia pergi balik melawat kawasan dan berjumpa pihak-pihak lain. Tidak banyak lagi kerja yang harus dibuat. Cuma untuk benar-benar melepaskan kajian projek itu, dia belum bersedia kerana dia seorang yang teliti. Masih ada beberapa aspek kecil yang masih belum memuaskan hatinya.
“Kenapa muka kau macam orang kalah judi?” Azim melangkah masuk semula. Kali ini di tangannya tergenggam beberapa helai peta dan kertas pelan.
“Macam mana aku boleh kalah, kalau aku tak main?”
Azim tergelak. Dia segera melambakkan kertas-kertas yang dibawa ke atas meja kerja milik Edri, di sebelah kanan bilik itu. “Aku kata macam, bukan kata kau main.”
“Kau tak nampak ke yang bilik aku ni dah macam bilik pengumpulan kertas terpakai? Yang kau longgok lagi dengan kertas-kertas tu kenapa? Nak buat tempat ayam bertelur ke?” Edri merenung tajam ke arah Azim.
“Dua tiga helai sajalah. Encik Amin suruh aku siapkan juga perkara ini menjelang hari esok. Silap-silap mahu aku terus tidur di sini malam ini. Kau tolonglah aku sikit.”
“Kalau kau nak tidur sini, itu kau punya pasal. Aku nak balik macam biasa. Aku dah tak larat dah ni. Lagipun aku kena ambil Adam petang nanti.”
“Adam? Mana pergi kereta dia? Dah kena tarik ke?”
Edri ketawa kecil. “Rosak. Masuk bengkel.”
Azim hanya mengangguk seraya melangkah untuk mengambil pelan bandar yang sedang disiapkan.
“Berapa lama kau dah kerja di sini?” tanya Edri sebaik Azim menarik kerusi di hadapannya.
“Lima tahun yang gilang-gemilang.”
Edri menggeleng perlahan. “Aku tanya betul-betul ni, bukan bergurau.”
Kali ini giliran Azim pula ketawa. “Kau ingat aku tipu ke?”
“Pernah tak Encik Amin beri kau hadiah?”
“Hadiah? Orang ketua kedekut tu? Setakat pemegang kunci bila dia ke luar negara tu pernahlah sekali dua. Kenapa?”
Edri hanya termenung jauh. Mungkin Encik Amin hanya bergurau. Entah-entah dia nak beri satu projek lagi untuk diuruskan. Otaknya sudah mula berasap bagaikan asap keretapi. Akhirnya dia menggeleng.
“Kau macam ada masalah saja. Encik Amin ada kata apa-apa?”
“Dia ada telefon tadi kata nak beri aku hadiah petang nanti. Entah apalah yang dia nak kenakan aku tu.”
Azim terdiam seketika. “Hadiah? Kau tak tanya untuk apa atau benda apa?” Azim menjeling curi-curi.
Edri menggeleng. Matanya terkebil-kebil memandang Azim yang tiba-tiba berubah laku. Azim cemburukah?
Azim menelan liur. “Aku…nak keluar sekejap. Aku…nak jumpa pelukis pelan. Nak betulkan perkara-perkara ni semula,” kata Azim lagi seraya bangkit, menolak kerusi. Dia kelam-kabut membuka pintu.
Edri tersentak. Belum sempat dia membalas kata-kata Azim, rakan sekerjanya itu sudah pun hilang di balik pintu. Tinggal dia terpinga-pinga. Nampaknya tentu besar sungguh hadiah yang akan diberikan Encik Amin petang nanti. Belum apa-apa pun sudah ada yang cabut lari. Dia menggeleng. Sedikit kesal jika hal itu boleh menimbulkan rasa cemburu antara dia dan pekerja lain di situ. Tapi bukan dia yang meminta, Encik Amin yang beri. Kenapa dia yang harus dipersalahkan?
Setelah berfikir masak-masak, dia sudah buat keputusan. Apa pun yang akan diberi oleh Encik Amin nanti, dia akan selesaikan dengan cara baik. Kalau duit kopi, dia akan tolak walaupun dia suka minum kopi. Duitnya masih cukup. Kalau projek baru, dia juga akan tolak. Kerana dia bukan mesin, dia manusia yang ada had. Apa yang sudah sedia bertimbun di atas mejanya itu sudah cukup banyak. Tidak perlu menjadi tamak sehingga tidak terlayan.
Dia berasa lega. Dia cuba menumpukan semula perhatiannya kepada kerja-kerjanya sementara menanti tibanya hadiah yang dimaksudkan Encik Amin tadi. Agak-agaknya apa ya? Dia tetap berdebar dan tertanya-tanya.

“ENCIK EDRI pernah melihat hantu?”
“Hantu?” Edri menggeleng. Namun anak matanya masih merenung wajah ketuanya dalam-dalam. Dengan perlahan, dia mengukir senyuman bersahaja. Nak kenakan akulah ni, bisik hatinya pula. Otaknya ligat bersedia, cuba berfikiran positif. Bimbang terkena.
“Saya ada hadiah untuk awak,” kata lelaki yang kepalanya hampir botak, sindrom Propecia. Gejala kebotakan yang hampir melibatkan 95 persen kaum lelaki apabila mendekati umur 50-an.
Edri tetap tenang. Sudah dua kali dia mendengar ayat yang sama. Dia cuba untuk tidak terperanjat atau terlalu teruja dengan kata-kata Encik Amin itu. Namun hatinya tetap tertanya-tanya. Selain sebuah fail, tidak pula kelihatan Encik Amin masuk membawa apa-apa yang lain. Pena mata bulatnya diletak ke tepi. Kini dia memberi segenap perhatian.
“Hadiah? Bukan hantu, kan?”
Encik Amin tidak menjawab apa-apa. Namun sebuah fail berwarna biru yang berlilit kemas diletakkan di atas meja kerja Edri. Fail yang kelihatan sarat dan berat dengan dokumen. Berikat kemas dengan seutas tali yang berwarna kekuningan. Sejurus itu, Encik Amin menarik sebuah kerusi di hadapan meja Edri lalu duduk tanpa membuang masa.
Edri masih terpinga-pinga. Sebagai orang yang agak baru di situ, dia kebingungan dengan tingkah laku Encik Amin.
“Fail? Fail apa ni, encik? Projek baru?” tanyanya sambil cuba menyentuh fail itu. Namun sebelum sempat tapak tangannya mendarat, fail itu sudah dipegang kemas oleh Encik Amin semula. Edri tambah terkulat-kulat.
“Sebelum awak buka fail ini, saya mahu awak jawab soalan saya.” Encik Amin menatap tajam ke wajah Edri bagaikan renungan sang helang terhadap mangsanya.
“Apa jawapan yang Encik Amin maksudkan?”
“Encik Edri pernah melihat hantu?” tanya Encik Amin sekali lagi.
Edri tergamam. Sudah dua kali juga soalan itu ditanyakan kepada dia. Dia semakin keliru.
“Apa kena-mengena kerja saya dengan hantu, Encik Amin? Saya bukan Ghostbusters.” Dalam ketawa yang dibuat-buat, dia cuba berseloroh.
“Jawab soalan saya dulu.” Kali ini suara Encik Amin semakin garau dan dalam walaupun tidak sampai membentak.
Senyuman Edri memudar. Dengan perlahan-lahan dia menggeleng. Kepalanya mula pening. Hendak diteruskan kerja atau melayan celoteh Encik Amin yang sibuk dengan hantu? Dia semakin tertekan kerana masanya mula terasa dibuang begitu sahaja.
“Tak pernah? Tapi awak percaya tak yang hantu wujud?”
Lagi sekali Edri terkelip-kelip. Dia mengeluh perlahan. Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Nampaknya cerita pasal hantu akan berpanjangan petang itu. “Sebagai seorang Muslim, saya percaya terdapatnya mahkluk lain selain manusia, Encik Amin. Walaupun saya bukanlah orang yang berpeluang atau bernasib baik untuk melihat atau bertemu dengan mereka.”
Terasa seram sejuk sebaik sahaja dia menuturkan kata-kata itu. Adakah dia angkuh atau besar diri? Isy! Dia tidak bermaksud pun begitu. Tetapi kalau terjumpa, dia tidak akan lari.
“Awak takut tak kepada mereka?”
“Kita orang Islam, Encik Amin. Mana boleh kita takutkan mereka? Kita hanya takut kepada Tuhan sahaja.”
Encik Amin mengangguk. “Kalau macam itu, tentu awak tak tolak kalau saya arahkan awak menguruskan satu tugas khas ini, kan?” katanya sambil menepuk-nepuk fail biru itu.
“Tugas khas?” Edri mula dapat menangkap maksud Encik Amin sedikit sebanyak. Itulah hadiah yang disebut-sebut dari pagi tadi. Hadiah? Itu bukan hadiah, itu beban namanya.
“Tapi, Encik Amin, saya dah tak menang tangan dengan projek-projek lain tu. Macam mana nak tambah satu lagi projek besar macam ni?” Kali ini dia memberanikan diri mempertahankan dirinya. Dia hanyalah pekerja bukannya kuli atau merelakan dirinya dibuli.
“Kan saya dah kata, ini tugas khas? Saya tak serahkan kepada Azim atau orang lain. Awak faham tak?” Kini Encik Amin merenung Edri dengan dahi yang berkerut. Pada wajahnya terbayang kehampaan. Mungkin kecewa dengan jawapan Edri tadi.
“Projek yang lain tu, macam mana?” Edri menggaru kepalanya yang terasa bagaikan mahu meletup. Sememangnya sudah mencapai tahap maksima kapasiti keupayaannya waktu itu. Kalau ditambah lagi, dia mungkin pengsan terus.
“Ini tugas khas. Keutamaan untuk kes ini adalah sepuluh kali ganda daripada projek mega tu.” Suara Encik Amin begitu tegas. Rupanya seperti mahu menelan Edri hidup-hidup di situ.
“Ha?” Edri ternganga. Sukar untuk dia mempercayainya apa yang dia dengar. Kenapa sampai begitu sekali? Apa yang istimewa sangat dengan kes itu? Hatinya jadi tertarik.
“Awak bukan sahaja dapat gaji, malah syarikat sanggup bayar awak bonus bila kes ini dapat diselesaikan,” pujuk Encik Amin lagi. “Lagipun bila kes ini selesai, saya mahu cadangkan nama awak untuk menggantikan tempat saya. Saya mahu bersara.”
Edri tambah terlopong. Kulit mukanya terasa membahang di bawah alat hawa dingin. Benarkah apa yang didengarnya?
“Kenapa awak diam? Awak tak percaya?”
“Bukan tak percaya, Encik Amin. Cuma terkejut. Tinggi betul kepercayaan Encik Amin kepada saya.”
Wajah Encik Amin tetap bersahaja. “Awak mahu terima atau tidak?”
“Saya melihatnya sebagai cabaran. Saya akan terima jika ada kelonggaran tugas-tugas yang lain,” jawabnya dengan yakin walaupun masih berdolak-dalik.
“Bagus. Semangat itulah yang saya mahu. Jadi saya serahkan tugas dan fail ini kepada awak. Minggu hadapan awak pergi ke sana dan cari jawapan yang saya minta.”
“Pergi ke mana? Jawapan? Saya tak faham.”
“Ke Bandar Durian Lima. Sebuah bandar kecil, di tepi Sungai Pahang. Projek pembinaan jambatan ini sepatutnya sudah 41 tahun lalu dibina di bandar itu, tetapi sampai sekarang projek itu terbengkalai. Padahal peruntukan sudah diluluskan. Syarikat perunding sudah bertukar-tukar, namun projek itu tetap tidak boleh dilaksanakan sampai sekarang. 15 tahun yang lalu kerajaan menyerahkan projek ini kepada syarikat kita namun tidak ada pegawai yang mampu menguruskannya sampai sekarang.”
“41 tahun yang lalu? Sekitar tahun 1969? Mengapa pula tertangguh begitu lama?” Edri tambah tertarik. Bahkan setiap fakta yang disampaikan selepas ini adalah sangat penting kepadanya.
Encik Amin menggeleng. “Entahlah, setiap kali pegawai kita dihantar ke sana, macam-macam hal yang berlaku. Akhirnya fail ini terperuk sahaja tanpa diusik. Ada orang kata, bandar itu berhantu. Tapi saya percaya itu semua cerita yang dibuat-buat untuk menakut-nakutkan orang luar.”
“Bandar berhantu? Tidak pernah pula saya dengar ada bandar macam tu di negara kita, Encik Amin. Kalau di negara lain macam Taiwan tu, saya pernahlah baca tentang bandar San Zhi. Sebuah bandar futuristik yang telah diabaikan kerana berlaku banyak kematian semasa pembinaannya.”
Encik Amin hanya mengangkat bahu. “Kalau awak berjaya menyiapkannya, saya pasti pihak kerajaan sendiri berterima kasih kepada awak. Awak pergilah ke sana secepat mungkin.”
“Tapi bagaimana dengan projek bandar baru di Shah Alam Goldenplex yang sedang saya usahakan ini?”
“Saya dah kata. Kes ini adalah keutamaan kita. Kes itu tangguhkan dulu. Lagipun awak bukannya pergi lama sangat. Seminggu sahaja. Jika awak berjaya selesaikan kes ini nanti, kes-kes lain tu akan nampak remeh sahaja.”
Edri mengangguk. Dia terasa teruja dengan tiba-tiba. Kalau Encik Amin sendiri sudah memberi pelepasan tugas, apa yang hendak dirisaukan lagi? Dia tidak ada hal. Apa yang susah sangat sampai 41 tahun tergendala? Dengan perlahan-lahan dia menarik fail plastik warna biru itu. Hatinya semakin teruja untuk tahu. Apa yang susah sangat dengan projek jambatan antara dua kampung itu? Dia tidak sabar-sabar untuk meneliti isi kandungan di dalamnya.
“Encik Edri, selamat berjaya,” ucap Encik Amin sebelum bangkit berdiri.
“Encik Amin! Bagaimana kalau…” Edri terkebil-kebil.
Encik Amin seakan-akan mengerti. “Awak hantar fail itu balik ke meja saya dengan surat peletakan jawatan sekali ya.”
Pintu bilik ditutup. Encik Amin hilang entah ke mana.
Wah! Sampai begitu sekali? Ada emas ke di kampung itu? Hati Edri tertanya-tanya. Untuk seketika, Edri merenung daun pintu pejabatnya macam orang bodoh. Apa yang aku dah buat? Fikirannya kembali waras. Fail biru di atas meja, ditarik rapat ke hadapannya. Cuba dibuka namun tali pengikatnya begitu ketat. Ah! Nantilah, di rumah aku baca. Fail dibiarkan sahaja. Fikirannya berbolak-balik. Kenapa aku yang dipilih? Aku bukannya lama sangat kerja di sini. Kenapa tak pilih Azim? Setiap pertanyaan yang terlintas, tidak ada jawapannya.
Kalau gagal? Kalau ditolak? Baru dia tersedar, jawatannya juga sedang menjadi taruhan. Kalau begitu besar taruhannya untuk kes itu, pasti ada sesuatu. Dia berdebar. Beranikah dia menyahut cabaran yang besar ini? Dia berasa terperangkap. Terasa getaran halus sehingga ke hujung kuku.
Ah! Peluang bukan datang selalu. Pergi sana, selesaikan dan balik. Hatinya pula memujuk. Duit dapat, pangkat dapat. Apa yang dimahukan lagi? Dia termenung jauh. Kalau semudah itu, sudah lama kes itu diselesaikan. Tidak perlu menunggu sehingga dia muncul di pejabat itu, bantah akalnya pula. Dia mengeluh panjang. Akhirnya dia bangkit meninggalkan pejabat itu bersama fail biru. Terasa-rasa kepulangannya kali ini bersama beban yang teramat berat. Sedikit sebanyak hatinya berasa kesal kerana terperangkap dalam situasi itu.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.