Sunday, March 6, 2011

JANJI JULIA : Bab 5




Bunyi tembakan dan letupan bom semakin jelas kedengaran. Semakin lama, bunyi-bunyi itu semakin dekat. Asap dari beberapa buah kenderaan di hadapan mereka mula naik berkepul-kepul ke langit. Suara hingar-bingar dan suasana yang kelam-kabut itu seolah-olah menampar pipinya daripada terus tergamam di situ. Julia tercungap-cungap dengan tiba-tiba.

“Cepat! Kita mesti keluar dari sini. Cepat!” Julia menjerit sambil menolak Mimi keluar. Dia lantas membuka pintu dan berlari ke sebelah Mimi.

Mimi pula terkial-kial membuka tali pinggang keselamatan. Puas ditekan-tekan, namun tidak terbuka. Air matanya sudah merembes. “Tolong aku, Ju. Tolong aku!” Dia meronta-ronta.

Julia menjenguk Mimi yang semakin panik. Dengan sekali tekan, tali pinggang itu terbuka. Mimi melompat keluar ke arahnya. Tanpa berfikir, dia menarik lengan Mimi. Mereka berlari sepantas yang mungkin mengikut arus orang ramai. Sesekali Julia menoleh ke belakang. Penyerang itu semakin laju mengejar dan menembak ke arah mereka yang lari menyelamatkan diri.

Setelah berlari beberapa meter, mereka berdua sudah keputusan nafas. Julia terpandang ke seberang jalan. Tanpa berlengah, dia menarik Mimi melompat palang halangan di tengah jalan. Dari situ dia menyeberangi jalan di laluan sebelah kanan kereta yang lengang. Julia tidak berhenti di situ lalu menggelongsor menuruni tebing dan meloloskan diri ke dalam lubang yang menghala ke sebuah longkang kecil.

Mimi terpinga-pinga melihat kelakuan Julia tetapi tetap menuruti tanpa bersuara. Dia juga menggelongsor turun ke celah lubang. Jatuh terduduk di tepi parit.

“Ikut sini!” kata Julia sambil mengheret lengan Mimi yang kebingungan. Dari situ, dia meredah parit kecil dan berlari selaju yang mungkin menuju ke ladang sawit tanpa menoleh ke belakang lagi. Tangan Mimi tetap tidak dilepaskan.

*****

Suasana di dalam ladang kelapa sawit itu agak gelap. Daun-daun kelapa sawit yang merendang dan tumbuh rapat-rapat menjadikan keadaan di situ lebih redup daripada di luar sana. Ladang itu agak semak dan terbiar. Lalang sudah tumbuh setinggi kira-kira tiga kaki. Semuanya diredah sahaja oleh Julia dan Mimi. Pedih dan miang tidak dihiraukan lagi.

Setibanya di sebatang pokok kelapa sawit yang tumbang, Julia berhenti. Dia segera menarik Mimi agar berlindung di situ. Kedua-duanya tercungap-cungap menghela nafas. Julia berpaling semula. Dari celahan pokok itu dia memberanikan diri mengintai lebuh raya untuk mengamati keadaan. Debaran di dadanya masih laju.

Dalam jarak kira-kira 100 meter, dia dapat melihat segalanya. Suasana di atas lebuh raya masih lagi kelam-kabut. Masih ramai yang panik dan tidak melarikan diri. Mereka dikejar dan ditembak dari jarak dekat. Ada juga yang ditetak sesuka hati. Sebahagian daripada penyerang itu terus melepaskan tembakan bertalu-talu sambil mengejar orang awam sementara yang lainnya menyelongkar kenderaan yang ditinggalkan. Julia hampir termuntah apabila melihat lebuh raya itu bermandi darah.

Mimi memaut badan Julia rapat-rapat sambil tunduk memandang tanah. Julia terus mengangkat muka memerhati. Bukan kerana dia berani, namun kerana dia perlu tahu demi keselamatan mereka berdua. Tiba-tiba bunyi letupan bom kedengaran lagi. Kali ini lebih hampir. Dia dan Mimi serta-merta menekap telinga mereka.

“Ya, Allah!” Itu sahaja yang terucap. Terasa bumi yang dipijak turut bergegar sama.

Sebuah bas yang berada di hadapan kereta Mercedes tadi pula menjadi sasaran penyerang kali ini. Asap hitam naik berkepul-kepul. Api menjulang tinggi. Bau hangit kesan terbakar mencucuk hidung. Bau petrol, bau plastik dan bau mayat manusia bercampur baur. Tekak Julia semakin loya.

Setelah hampir sejam huru-hara di kawasan itu berlaku, akhirnya kumpulan penyerang itu berpecah kepada dua. Sebahagian daripadanya berjalan kaki manakala sebahagian yang lain berlalu dengan menaiki beberapa buah pacuan empat roda menuju ke arah selatan. Riuh dan hiruk-pikuk dengan sorakan kegembiraan.

Julia yakin, pesta pembunuhan mereka akan berterusan di sepanjang lebuh raya. Apabila mereka berlalu, Julia seakan tersedar daripada mimpi. Dia teringatkan sesuatu. Dengan jari yang menggigil, dia menekan butang-butang di telefon.

“Ayah!” jeritnya sambil berhamburan air mata. “Ayah! Ada tembak-menembak di lebuh raya,” jeritnya lagi apabila panggilan itu tiba-tiba tersambung. Sesungguhnya pada saat itu jiwanya meronta-ronta untuk mendengar suara ayahnya walaupun sekali.

“Ju! Ju! Lari dari situ!” Suara ayah Julia sayup-sayup kedengaran.

“Ayah!” panggilnya lagi. “Ayah!” Panggilannya tidak berjawab. Talian telah terputus. Isyarat telefon tiba-tiba menghilang semula. Dia menangis teresak-esak. Dan tatkala dia menoleh ke arah Mimi, Mimi terjelepok di atas tanah. “Mimi! Mimi!”


*****

Sudah beberapa minit Julia menunggu. Mimi masih belum sedar. Muka Mimi pucat lesi dan pipinya sejuk seperti air batu.

“Mimi! Mimi! Bangunlah,” Julia menggoncang-goncang tubuh Mimi. Pipi Mimi ditepuk-tepuk berulang kali. Namun, Mimi tetap tidak bereaksi. Perasaan Julia semakin gelisah. Dia termangu keseorangan. Ketar di seluruh tubuhnya masih bersisa. Lututnya juga terasa lembik tidak bertulang. Dia terduduk di sisi Mimi sambil memangku kepala gadis itu. Dia terasa sunyi. Dia terasa seperti ditinggalkan oleh semua orang. Dia mula menangis tersedu-sedu. “Mimi, bangunlah cepat. Jangan macam ni.”

Mimi tetap juga tidak membuka matanya. Pipinya tetap juga sejuk membeku. Setelah air matanya kering, dia mengangkat muka. Dengan perlahan dia memerhati ke sekeliling. Ladang itu sunyi. Lebuh raya pula sepi. Jika ada pun hanyalah bunyi api yang membakar kenderaan dan sesekali bunyi letupan kecil entah dari mana. Yang nyata, Julia keseorangan di situ. Tidak ada sesiapa pun yang dapat membantunya. Tubuhnya mula terasa seram sejuk. Bulu romanya tegak berdiri.

“Mimi, bangunlah,” rayunya sekali lagi. Julia menghela nafas. Sebentar lagi senja akan berlabuh di situ. Dia sedar dia tidak boleh menunggu lagi. Tubuh Mimi direbahkan ke atas rumput. Kepala Mimi dialas dengan beg sandang miliknya. Mahu tidak mahu, dia menggagahkan dirinya untuk bangun. Dengan langkah yang berhati-hati dia menuruni kawasan ladang itu menuju ke parit kecil di tepi tebing lebuh raya.

Apabila tiba ke tepi parit, dia mula memerhati. Sehelai bungkusan plastik kecil dikutip dari celah semak. Dibersihkan seketika lalu diisi dengan air parit yang sejuk dan jernih. Air itu dibawa pulang dengan berhati-hati ke tempat Mimi terbaring.

“Mimi, bangun!” katanya sambil membasahkan muka Mimi dengan air parit. Pipi itu ditepuk-tepuk lagi.

Akhirnya setelah berulang kali dikejutkan, Mimi mula tersedar. Mimi bingkas duduk dan memeluk Julia dengan erat. Tubuhnya menggeletar. Matanya masih terpejam rapat.

“Kita dah selamat, Mimi. Mereka dah pergi,” bisik Julia. Dia mengucap rasa syukur berulang kali dalam hati. Dia tahu Mimi sangat tertekan dan terkejut. Dia juga begitu. Namun, entah mengapa semangatnya masih ada. Mungkin kerana sebuah janji yang harus ditunaikan.

Perlahan-lahan Mimi melepaskan rangkulannya. Dia merenung wajah Julia dengan tajam. “Nanti mereka tembak kita.” Bibir Mimi menggeletar semula.

“Mereka dah pergi. Kita selamat sekarang,” kata Julia lagi. Tangan Mimi yang sejuk diramas-ramas.

Mimi terdiam. Riak wajahnya semakin tenang. Namun pekikan burung kuang dari tengah ladang hampir membuatkannya terlompat semula.

“Cuba bawa bertenang dulu. Cuba mengucap,” nasihat Julia sambil duduk termenung di sebelah Mimi. Akhirnya, kedua-duanya terpaku di situ. Kebingungan.

Hari semakin gelap. Langit sudah bertukar kemerahan. Remang senja sudah terlihat di lebuh raya. Namun, di dalam ladang kelapa sawit itu lebih gelap daripada di luar sana. Julia menilik jam tangannya. Sudah hampir pukul 7.00 malam. Tidak sedar masa berjalan begitu pantas.

“Apa kita nak buat, Ju?” bisik Mimi. Dia langsung tidak menoleh ke arah lebuh raya. Suaranya juga perlahan dan tenggelam timbul.

Julia menelan air liur.

“Kita tidak ada pilihan, Mimi. Kita kena bermalam di sini.”

Wajah Mimi semakin keruh. Air matanya bercucuran semula. Julia menggenggam tangan Mimi.
“Aku tahu kau sedih dan takut. Aku pun takut. Tapi takkan kita nak mati ketakutan di sini pula? Selagi kau tak jumpa dengan keluarga kau, aku takkan mengalah, Mimi.” Dia tahu apa yang bersarang di hati Mimi saat itu. Semoga kata-katanya mampu membuatkan Mimi sedikit tenang.

“Apa kau nak buat?” tanya Mimi pula. “Macam mana kita nak balik? Kereta dah tak boleh jalan lagi,” Mimi kembali teresak-esak.

“Jangan fikir singkat, Mimi. Walau mengambil masa bertahun-tahun sekalipun, aku akan pastikan kau sampai juga ke Ipoh,” tegas Julia. Sesungguhnya hatinya turut menangis. Namun, dia sedar semua itu tidak ada gunanya.

“Ha?” Mimi separuh ternganga. Dahinya berkerut.

“Kau mesti sedar, Mimi. Kita takkan sampai ke Ipoh malam ni mahupun malam esok. Aku tak pasti bila tapi aku janji aku akan hantar kau. Pernah ke aku tak tunaikan janji aku?” Pertanyaan Julia membuatkan Mimi tertunduk.

“Aku tak suka macam ni, Ju,” dia menggeleng.

“Ya, aku tahu. Tapi bersabarlah. Reda sajalah apa yang telah berlaku. Walau aku sendiri tak tahu apa hikmah di sebalik kejadian ni, tapi kita kena ingat, Tuhan sentiasa ada.” Satu kenyataan yang mudah untuk diucapkan oleh sesiapa sahaja tetapi agak sukar dihayati walaupun oleh dirinya sendiri.

Mimi mengeluh panjang. “Maafkan aku, Ju.” Dia termangu lagi.

Julia menarik nafas lalu cuba bangkit berdiri. “Dahlah, aku nak balik ke kereta kita.”
Mata Mimi membesar semula. Dia segera memaut lengan Julia sekuat hati. “Jangan! Nanti mereka tembak kau, Ju.”

“Tak apa, mereka dah tak ada,” Julia cuba memujuk. “Macam mana kita nak hidup tanpa apa-apa, Mimi? Aku nak balik ambil barang-barang kita. Tolonglah faham. Benarkan aku pergi sebelum hari menjadi sangat gelap. Nanti lagi susah.”

“Aku nak ikut kau,” kata Mimi pula.

“Kau nak ikut?” tanya Julia. “Kau sanggup?”

Mimi segera mengangguk. “Aku sanggup apa-apa saja asalkan kau tak tinggalkan aku di sini. Tolonglah, jangan tinggalkan aku.”

“Okey, tapi kau kena janji yang kau takkan pandang apa-apa di atas lebuh raya tu. Kau terus pergi ke bonet kereta dan ambil beg pakaian kita. Lepas tu terus lari balik ke seberang sini. Jangan tunggu aku,” ujar Julia dengan lembut. Dia tahu Mimi tidak akan membenarkan dia pergi sendirian tetapi dia juga tidak pasti sama ada Mimi akan mengikut arahannya yang penting itu ataupun tidak.

“Habis kau? Kau nak pergi ke mana?”

“Aku nak ambil barang-barang dalam kereta dulu, lepas tu aku akan tolong kau ambil beg. Tapi janji, jangan pandang apa-apa di atas lebuh raya itu selain barang-barang kita,” pesan Julia lagi.
Mimi mengangguk lalu mereka berdua bangkit meluruskan pinggang. Dengan perlahan, Julia mendahului langkah sekali lagi sambil diikuti oleh Mimi menuju ke lebuh raya semula. Detak jantungnya kembali laju. Dia sendiri tidak pasti adakah dia mampu melihat segala yang ada di situ nanti. Tetapi dia terpaksa. Jari-jarinya mula terasa sejuk.

Langkah Julia tangkas dan tegas. Mereka meranduk parit yang sedalam buku lali dan meloloskan diri melalui lubang longkang ke tebing lebuh raya. Di situ mereka berdua berhenti. Julia memerhati sekeliling dan merapatkan telinganya ke atas jalan. Tiada getaran yang terasa. Dia yakin keadaan sudah selamat. Dia menoleh ke arah Mimi. “Jom! Cepat!”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.