Sunday, March 20, 2011

Teaser CAFE CINTA: Bab 5

Hari ini kita akan mengikuti Cafe Cinta : Bab 5 (Chicklit)
sebagai bacaan hujung minggu yang santai.
*Chicklit ini menggunakan gaya penulisan Chicklit santai*

*************
SELESAI saja mesyuarat, aku balik ke pejabatku. Hari itu kepalaku pening dengan pelbagai perbincangan dengan pelanggan dan disusuli pula oleh mesyuarat selama dua jam tanpa henti. Sedar-sedar sahaja waktu sudah beranjak ke petang dan aku belum sempat menjamah sebutir nasi pun.

“Tasha, kau dah makan?” Suara Nina muncul dari telefon bimbitku.

“Belum. Aku tak sempat langsung nak singgah ke mana-mana. Ni pun kerja berlambak lagi. Pagi esok dah ada mesyuarat lagi.” Aku membebel pada Nina pula tapi kepalaku terasa lega sedikit kalau tak tadi, dah rasa nak meletup.

“Petang ni kau datang sini tak?” tanya Nina.

Aku memicit kepalaku yang mula berdenyut-denyut. Hidungku pula sudah mula rasa kembang semacam. “Tak tahulah, Nina. Kalau aku sempat, aku singgahlah ya.”

“Janganlah kerja kuat sangat. Masa makan, makanlah. Ikutkan kerja tu, sampai beruban pun tak habis,” leter Nina pula.

Aku ketawa sendiri. “Yalah, nek. Nanti cucu pergi makan,” balasku main-main. “Kau telefon aku ni, nak tanya soal makan saja ke?”

“Hari ni kan, genap sebulan café aku tu. Jadi, hari ni aku lancarkan nasi asam pedas. Kau tak nak rasa ke?”

“Ya ke? Ni yang buat perut aku main orkestra ni. Ada lagi tak? Simpan aku sikit,” rengekku tanpa malu-malu. Sebab aku bukan main-main, dengar saja asam pedas, terus perut aku terasa pedih. Air liur pula, macam tak pandai nak duduk dalam mulut.

“Aku tahulah, kau gila asam pedas, sebab itu aku tanya ni. Nanti dah habis, jangan nangis,” usik Nina.

“Simpan aku semangkuk. Sekarang juga aku datang,” kataku sambil menutup fail. Aku jeling jam di atas meja, baru pukul 3.30 petang. Alah, balik awal sikitlah hari ini, papa tak marah punya. Kelam-kabut aku mematikan komputer dan mengemaskan fail-fail di atas meja. Semuanya aku masukkan ke dalam beg, konon-kononnya nak siapkan di rumah malam nanti. Harap-haraplah, kalau tak terlelap.

“Tadi kata, banyak sangat kerja.” Suara Nina masih menemani langkahku menuju ke lif.

“Kerja tu mana nak habis-habis. Asam pedas boleh habis,” jawabku.

Terdengar suara Nina ketawa di hujung talian. Setelah panggilan itu dimatikan, aku tersenyum sendiri. Pandai sungguh Nina mengumpan aku supaya makan. Aku terharu.

*****
DARI ofis papa ke café Nina perlu mengambil masa kira-kira sejam juga. Oleh kerana aku keluar lebih awal, jalan raya belum begitu sesak lagi. Di sepanjang perjalanan, perutku asyik terasa pedih. Berganda-ganda pula rasa kesal kerana tak jaga waktu makan. Sebaik sahaja aku tiba di café Nina, aku hampir menerpa nasi yang sudah disediakan Nina di atas meja.

“Tulah, buat lagi. Dah tahu ada gastrik, perut tak nak jaga.”

Suara Nina menemani aku makan bagai alunan lagu pula. Hendak ditutup, tak boleh. Jadi terpaksalah aku dengar dia berleter fasal makan macam biasa. Sejujurnya semasa kami bekerja di ofis yang berhampiran, dialah yang kerap menelefon aku setiap kali waktu makan tengah hari. Tanpa dia, aku rasa, aku tak terurus lagi.
“Sibuklah hari ni, meeting tak habis-habis,” jawabku sambil mengunyah nasi bersulam asam pedas daging tetel kegemaranku.

“Bagi sini telefon kau tu,” pinta Nina.

Aku tercengang sambil memandang dia mengambil telefon bimbitku dan mula menekan-nekan skrin sesentuh. “Kau nak buat apa?”

“Nak pasang alarm,” jawabnya selamba. “Telefon canggih tapi tak tahu guna,” bebelnya lagi sambil menjeling.

Aku diam saja. Aku lebih menumpukan perhatian kepada nasi dan semangkuk asam pedas tetel di hadapanku. Rasanya sangat menyelerakan. Walaupun aku waswas juga, sudahlah gastrik tapi makan makanan yang masam dan pedas. Silap-silap boleh terpusing tali perut. Tapi nasib baiklah, perutku okey saja lagi.

“Dah siap! Lepas ni kau jangan gatal-gatal nak ubah pulak. Aku dah set, setiap empat jam sekali telefon ni bernbunyi. Waktu tu kau kena makan,” kata Nina dengan wajah yang serius.
Aku tak terkata apa-apa. Aku hanya dapat mengangguk saja. Jadi, mulai hari ini, aku akan ada alarm sebagai pengganti mulut Nina. Mungkin bagus juga, hatiku ketawa dalam diam. Tiba-tiba nasiku rasa nak tersembur.

“Kenapa? Kau tercekik ke?” tanya Nina. Wajahnya cemas sekali. Dia menghulurkan aku air suam.

Aku menolak. Sebenarnya aku terkejut kerana Zaki dan Mohamad tiba-tiba saja masuk ke dalam kedai itu. Aku rasa kulit mukaku, tiba-tiba saja menjadi merah padam. Zaki pula merenungku seperti menuntut janji.

*****
“MAKAN elok-eloklah,” rungut Nina.

Aku terasa bagaikan budak kecil yang perlu diajar cara makan. Tapi, aku tahu Nina tak bermaksud macam tu. Dia hanya risaukan aku. “Nina… guy yang dua orang tu datang,” kataku perlahan.

Nina menoleh ke belakang. Lantas memberi isyarat kepada seorang pelayannya agar mengambil pesanan. Dia tak bangun pun dari kerusi.

Aku terkejut. Aku renung wajah Nina yang begitu selamba menonton perlawanan badminton di kaca TV. Aku cuba baca di sebalik ketenangan yang ditunjukkan. Mungkin aku dapat mengagak. Tapi yang sukarnya, bagaimana nak buat dia mengaku? “Yang kawan dengan Zaki tu, namanya Mohamad.” Aku meneruskan suapan. Dengan perlahan-lahan.

Tapi Nina buat tak dengar saja walaupun aku perhatikan dadanya berombak juga. Dia menarik nafas dan meneruskan tontonannya.

Aku mula rasa seperti bercakap sorang-sorang. Tadi, Nina riuh sangat, tapi apabila sedar kehadiran Zaki dan Mohamad di situ, dia terus saja menikus. Sangkaan aku makin kuat. Mesti ada apa-apa. “Malam tadi, aku call Zaki,” sambungku lagi.

Kali ini, aku lihat anak mata Nina bergerak ke arahku. Perlahan-lahan dia menoleh dan merenungku tajam.

“Kenapa?” Aku ingin dengar sangat dia berkata sesuatu.

“Kau call dia? Buat apa?”

Dahiku berkerut. Dengan wajah yang serius aku berkata, “Saja, borak-borak. Tanya dia apa pendapat dia fasal café ni kan. Mereka berdua kan pelanggan tetap kau. Manalah tahu, kalau ada benda yang mereka tak puas hati atau apa-apa yang kau boleh perbaiki.”

Nina masih tak berkelip. Wajahnya macam tak percaya saja dengan cerita aku tu. “Jadi? Apa yang dia complaint?”

Aku hampir tersedak. “Conplaint? Tak ada apa-apa. Maklumlah kan, kami pun baru sekali bercakap. Mungkin dia takut aku mandikan dia dengan Macchiato,” balasku lancar. “Tapi, kalau dah biasa nanti, tak tahulah.”

“Kalau dia complaint, beritahulah aku,” kata Nina pula. Lemah saja bunyinya.

“Apa kata kau tanya dengan pelanggan yang kau kenal? Dah sebulan, kau buka café ni, tentu ada yang sudah kau kenal baik,” umpanku sekali lagi.

Nina menggeleng. “Kenal muka je.” Dia tunduk merenung jarinya.

Aku renung dia pula. Kesuraman pada wajahnya, membuat aku tak senang hati. Aku kenal Nina sejak kecil. Kalau dia banyak termenung dan berdiam diri, maknanya ada sesuatu yang bertentangan antara fikiran dan hatinya. Jika dicampur dengan apa yang ditakutinya sejak di sekolah menengah, aku rasa aku tahu apa yang berlaku. Tapi aku tak berdaya untuk bercakap depan-depan. Aku takut Nina terus menafikannya.

“Kalau macam tu, apa kata aku buatkan satu borang survey yang ringkas untuk pelanggan kau. Bila mereka isi borang tu, kau belanjalah minum. Macam mana?” saranku setelah berfikir sambil lalu.

Tanpa diduga, Nina mengangguk. “Okey, kau tolong buatkan. Aku tak ada masa nak menghadap komputer. Kadang-kadang, tangga rumah pun aku dah tak nampak.”

Aku tersenyum. Itu saja yang aku harapkan sekarang. Moga-moga rancanganku berjaya. Ketakutan Nina itu perlu disembuhkan.

*****

SETELAH Nina masuk ke dapur, aku melangkah mendekati Zaki dan Mohamad. Dari jauh lagi, Zaki sudah melemparkan senyuman. Aku semakin resah tapi rasanya tak patut pula kalau tak menegur dia langsung.

“Dari ofis ke?” tanya Zaki. Matanya melekap ke tubuhku yang masih mengenakan blaus ungu dengan skirt khaki kelabu.

Aku menarik kerusi kayu di hujung meja lalu mengangguk saja. “Kau orang pun cepat balik kerja? Ofis dekat-dekat sini ke?” Aku pandang Zaki yang asyik tersenyum.

“Taklah jauh sangat. Tapi dalam setengah jam juga kalau tak jem.” Zaki menjawab sambil mematikan rokok. Mungkin sedar yang aku hampir semput dek asap yang keluar dari mulutnya.

“Ofis Tasha kat mana?”

“Dekat Ampang,” jawabku tanpa mahu menerangkan tentangnya dengan lebih lanjut. Sejujurnya aku tak rasa itu penting.

“Kerja apa?”

Aku terkelip-kelip. Serba salah pula untuk menjawab. Jika aku terangkan apa kerja aku dan jawatan aku, mungkin mereka terus terdiam, jadi lebih baiklah aku cuma jawab secara umum. “Kerja pejabat aje,” balasku sambil tersenyum.

“Kawan tu tak datang ke?” Zaki bertanya sambil menghabiskan airnya yang masih tinggal sedikit. Selepas itu dia merenung wajahku pula.

Aku rasa pipiku panas. “Tak ada,” jawabku dengan cepat. Aku sempat menjeling ke arah Mohammad yang asyik tersenyum tapi tak pernah bersuara atau cuba menyampuk perbualan kami. Namun kaca mata hitamnya tetap tak tinggal. Rasa ganjil juga.

Zaki berdehem. Mungkin tak senang aku pandang Mohamad lama-lama.

Aku merah muka. Rasa seperti tertangkap pula. Walaupun Mohamad bertubuh lebih kecil berbanding Zaki, malah dengan lelaki lain sekalipun, dia ada satu kelebihan yang ketara. Dia ada rupa dan ada gaya. Dengan sikapnya yang tenang dan suka tersenyum aku tak hairan jika Nina jatuh hati diam-diam. Bahkan dia dan Nina bagai memang dijadikan sepasang. Sama-sama kecil dan comel! Aku sendiri kagum apabila menyedari hakikat itu.

“Mohamad, tak makan ke petang ni?” Aku memberanikan diri untuk bertanya. Manalah tahu, kalau aku boleh berbaik-baik dengan dia. Mungkin dengan itu Nina berani mendekati Mohamad juga nanti.

Tapi anehnya, Mohamad buat tak dengar saja apa yang aku tanya. Tak sepatah pun dia menjawab. Dia asyik memandang ke seberang jalan, aku terpinga-pinga.

Zaki ketawa. Makin lama, makin kuat.

Aku kerut dahi. Tak patut dia ketawakan aku. Dia patut rasa bersalah sebab kawan dia layan aku macam tu. Belum sempat aku bangun dari situ, tiba-tiba kami disergah oleh suara-suara yang begitu kecoh sekali.

“Fiz! Puas aku cari kau kat rumah. Kat sini kau rupanya,” kata salah seorang gadis itu sambil bercakap dengan Mohamad.

Aku yang duduk di hujung meja terlopong. Fiz? Bukan Mohamad? Dan apabila aku memandang ke arah Zaki. Zaki sedang ketawa sambil menekan perut. Terang-terang aku dah kena.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.