Saturday, March 26, 2011

Teaser CAFE CINTA: Bab 6

Hari ini kita akan mengikuti Cafe Cinta : Bab 6 (Chicklit)
sebagai slot hujung minggu.

***********


SEJUJURNYA aku terpegun. Aku terpegun melihat keramahan ‘Mohamad’ yang baru aku tahu nama sebenarnya ialah Hafiz. Dia, yang selama ini hampir saja kusangkakan bisu, rupa-rupanya banyak mulut apabila bersama kawan-kawannya. Dia becok bercerita dan tak kekok bergurau senda dengan dua orang gadis yang baru tiba ke meja itu.

Dari Zaki, aku mengenali mereka sebagai Jiji dan Ain. Jiji berambut lurus paras bahu. Keletah dan suka ketawa. Pendek kata, sikit-sikit ketawa. Pantang ada peluang, ketawa. Sampaikan aku tak tahu apa yang lucunya lagi. Yang istimewanya, Jiji ni manis orangnya. Lesung pipit di kedua belah pipi yang membuat senyumannya menjadi perhatian. Mungkin sebab itulah dia suka sangat ketawa. Dia sedar kelebihan dia di mana.

Ain pula bertudung pendek. Wajahnya bujur sireh. Dia dengan Hafiz, macam kakak dengan adik sebab badannya dua kali ganda saiznya daripada Hafiz. Dia lebih pendiam daripada Jiji tapi, diam-diam berapi. Sekali dia bercakap, pedasnya sampai ke hulu hati. Aku lebih rela jika dia tak membuka mulut. Tapi aku lihat Hafiz dan Zaki sudah lali dengan perangai kedua orang gadis itu. Mungkinkah ada apa-apa?

“Siapa ni Zaki?” tanya Ain sambil merenung Zaki. Aku tahu dia maksudkan aku.

Zaki senyum. Dia memandang aku sekilas sebelum menjawab. “Kawan aku, Tasha. Kenal-kenallah.”

Ain hanya angguk tanpa mahu menyapa aku. Kemudian dia mengalihkan perhatian pula kepada Jiji dan Hafiz yang sedang rancak bercerita fasal tempat kerja.

Aku hanya menghela nafas. Oleh kerana aku rasa seperti tersalah rumah, maka aku sedar diri. Dengan perlahan aku bangkit meninggalkan meja itu. Biarlah mereka berempat berbual tanpa rasa kekok. Tapi, sebaik saja aku bangun dari kerusi, Zaki terus bangun sama.

“Tasha,” panggilnya lunak.

Ini yang aku lemah ni! Serba-salah sekali untuk aku berpaling. Aku buat tak dengar, lantas meneruskan langkah. Tapi ternyata muslihatku itu tak menjadi. Zaki mengejarku sampai ke kaunter.

“Tasha! Sekejap,” pintanya.

Aku tersenyum sekilas. Aku berpura-pura melihat-lihat bil di situ padahal tak pernah sekalipun aku kira bil di café itu. Aku cuba menyembunyikan perasaanku yang berkocak bagai ribut di dalam cawan.

“Sorry sebab…” Dia ketawa.

Dan aku tak dapat menahan rasa lucu yang tersimpan lalu aku juga ketawa. “Tak apalah,” kataku ringkas. Rasa lucuku, kutelan dalam-dalam. Jika Zaki rasa dengan menipu nama Hafiz itu lucu, dia belum tahu bahawa aku tak punya seorang kawan pun yang bernama Amy. Kalau dia tahu, dia tidak akan rasa itu lucu lagi. Sebab itu aku tak rasa marah pun dengan tindakan dia malam tadi sebab aku pun dua kali lima.

Entah kenapa, dia renung aku. Aku mula resah. Nasib baiklah petang itu, tak ramai pelanggan di Café Cinta. Kalau ramai, macam ada drama sebabak pula di antara aku dan dia di tepi kaunter. “Tak apalah, aku tak marah pun,” kataku untuk menamatkan hal itu di situ dan pada masa itu.

Dia tersenyum. Matanya masih merenung tajam ke wajahku. “Jadi, siapa nama kawan kau tu?”

Aku tersentak. Dalam masa yang sama aku nak ketawa. Rupa-rupanya dia sudah syak yang aku juga mempermainkan dia. “Nama siapa?” Aku mula buat bodoh saja. Pandang dia pun tak.

“Aku tak percaya nama dia Amy,” katanya separuh berbisik.

Tanpa dapat ditahan aku ketawa. Mukaku merah padam. “Lain tahun sajalah aku cakap,” kataku sambil melarikan diri ke dapur dan hampir terlanggar Nina yang baru keluar mengangkat air.

Zaki hanya dapat mengeluh. Nina terpinga-pinga. Aku berlari ke dapur sambil menekan perut.

*****
SEBELUM pulang ke rumah malam itu, aku sempat makan bersama Nina sekali lagi. Sambil mengisi perut dengan makaroni berkeju, aku mula bercerita. Yang pastinya, aku cuba mengumpan dia untuk jadi lebih berani dan lebih terbuka tentang rasa hatinya yang begitu dirahsiakan.

“Makin ramailah pelanggan kau nanti. Kawan-kawan Hafiz pun dah ramai ke sini,” kataku sambil berlagak biasa.

“Hafiz?” Nina kebingungan. Matanya terkelip-kelip.

Aku ketawa kecil. Aku terlupa yang aku belum lagi memberitahu dia nama sebenar Mohamad adalah Hafiz. “Kawan Zaki tu lah. Nama sebenarnya, Hafiz.”

“Yang Mohamad tu datang dari mana pulak?”

Aku angkat bahu dan buat bodoh saja. Sebenarnya aku tak tahu macam mana nak ceritakan hal yang sebenarnya pada Nina. Aku masih belum berani.

“Apa hal tadi tu?” tanya Nina. Renungannya makin tajam, seolah dia sudah syak sesuatu.

Aku kerut dahi, berpura-pura tak faham dengan apa yang ditanyakan. Padahal hati di dalam sudah melonjak-lonjak ingin bercerita. “Yang mana?”

“Alah… yang ada Zaki tunggu kau kat kaunter tadi. Lepas kau lari ke dapur, dia terus bayar bil.”

Puas juga aku menahan diri dari ketawa. “Ooo…tadi tu? Tak ada apa,” kataku bersahaja.

“Aku tengok kau dah rapat dengan dia.” Nina mula menyoal-siasat. Anak matanya seperti cuba mencari-cari sesuatu di wajahku.

Aku tahu, pasti lambat laun aku terpaksa juga bercerita tentang Zaki pada dia. “Taklah rapat, borak-borak aje tadi. Aku borak juga dengan kawan dia, Hafiz tu.” Aku jeling Nina.

Dia tak mengangkat muka pula. Matanya tunduk memandang nasi goreng dalam pinggannya bagai mencari emas.

“Mereka tu okey,” tambahku lagi. “Dulu mereka berdua kerja di tempat yang sama, tapi sekarang Hafiz dah kerja di WES. Kau pernah dengar nama company tu?”

Nina geleng. Nampak benar, dia memasang telinga. “Yang girls dua orang tadi tu sapa? Makwe dia orang ke?” Dia toleh sekejap ke arahku.

Aku dah agak dah soalan tu akan keluar. Cuma sama ada dia berani atau tak saja untuk menyuarakannya. Tapi, kalau cemburu yang jadi api pemangkin, aku tak hairan langsung. “Entahlah, tapi setahu aku, Zaki kata Hafiz tak ada makwe lagi. Kawan tu ramailah.”

Nina tak bereaksi apa-apa. Lega tidak, suka pun tidak. Dia bagai patung lilin di Madame Tussauds, keras dan beku. “Yang Zaki tu? Dah ada makwe?” Tiba-tiba dia tersenyum sambil menjeling.

Dan entah kenapa, jelingan itu membuatkan pipiku terasa hangat. Soalan itu seperti menyentuh salah satu urat di jantungku. Aku jadi seperti tak tentu rasa. Marah ada, cemburu ada dan selebihnya rasa bingung. Akhirnya aku angkat bahu.

“Hati-hati… buaya di Kuala Lumpur ni pandai bawa kereta,” kata Nina.

Aku gelak saja. Nak umpan dia, dia umpan aku balik.

*****

MALAM itu, aku masuk tidur lewat. Walau jam di skrin telefon bimbitku sudah hampir ke pukul 1.00 pagi, aku masih lagi menyiapkan kerja-kerja pejabat yang perlu dibentangkan esok pagi. Tapi disebabkan rasa mengantuk yang semakin kuat, aku bercadang untuk berhenti setakat itu sahaja. Sedang aku sibuk mengemaskan meja, telefon bimbitku berbunyi. Nada lagu Justin Bieber, yang bertajuk ‘Baby’ bergema dalam bilik tidurku.

Tatkala jariku menyentuh telefon itu, aku tergamam. Nama Zaki terpampang di skrin. Macam tahu-tahu saja yang aku belum tidur. Aku benar-benar berperang dengan hatiku. Separuh kata mahu dan separuh lagi kata jangan. Tapi entah kenapa, yang kata mahu itu menang dan jariku lantas menekan butang. “Helo!”

“Belum tidur?”

“Dah. Hantu yang jawab ni.” Aku duduk di birai katil. Telefon itu aku lekapkan ke telinga rapat-rapat. Jantungku dug dag dug dag sentiasa laju.

“Ya ke? Boleh tak tolong kejutkan Tasha sekejap?” katanya dengan serius sekali.

“Kenapa nak ganggu dia pulak? Biarlah dia tidur, pagi esok dia ada mesyuarat tau,” kataku main-main.

“Sebab aku nak tuntut hutang. Kalau dia tak bayar, selagi tu dia tak boleh tidur.”

“Mengalahkan Along.” Aku ketawa. “Malam-malam pun nak tuntut hutang.” Aku tarik bantal dan meletak kepala. Lampu tidur pun aku padamkan. Kini, aku berbual dalam gelap dan hanya disinari cahaya dari telefon bimbit. Ah! Terasa romantis pula, aku peluk bantal peluk.

“Kalau tak buat macam tu, dia asyik lari aje.”

Aku ketawa lagi. Sudah tak tahu nak cakap apa. Sama ada dia akan benar-benar kotakan kata-katanya, aku tak pasti tapi aku tak mahu mengalah dengan cepat. Lalu aku putuskan talian dan aku tunggu.

Sesaat demi sesaat berlalu dan akhirnya telefon aku berbunyi lagi. Aku ketawa. Nampaknya Zaki benar-benar akan menuntut hutangnya. “Jangan ganggulah, aku nak tidur ni.”

“Bukan nak ganggu, aku nak tahu saja,” balasnya lembut.

Seperti biasa, setiap kali dia bersuara begitu, terasa seolah nafasnya terhembus di cuping telingaku. Tubuhku jadi gementar. Akhirnya aku cuba menumpukan perhatian. “Susah aku nak cakap,” keluhku perlahan.

“Apa susahnya. I just need a name.”

“Yalah, itu yang susahnya.” Aku masih berdolak-dalik. Sebenarnya aku risau untuk membocorkan rahsia itu.

“Sebut sajalah. Bukan susah sangat tapi… janganlah tipu lagi.”

“Tapi kau juga pegang janji kan?” tanyaku walau hatiku masih berat untuk menyebut nama Nina. Aku rasa bersalah kerana seolah membocorkan rahsia Nina kepada orang lain. Sedangkan aku tak pernah buat begitu. Aku rasa terperangkap dan mula menyesali tindakanku yang terburu-buru.

“Kau boleh percayakan aku,” balas Zaki.

Aku diam. Kepalaku berdenyut. Sebenarnya bukan aku tak mahu percayakan dia, cuma aku masih bimbang. Aku benar-benar serba-salah.

Menyedari yang aku masih tak dapat membuat keputusan, dia menjawab.“Tak apalah, aku faham. Kau cakaplah bila kau dah bersedia. Tapi, aku nak kau tahu, kau boleh bercerita apa saja dengan aku selepas ni.”

“Thanks,” balasku. Terasa aku telah menghampakan dia tetapi aku terpaksa membuat pilihan. Dan aku telah memilih untuk mempertahankan nama baik Nina.

“Sweet dreams.” Suaranya hilang perlahan-lahan dan akhirnya terus senyap.

Yang tinggal, hanyalah aku yang sedang terawang-awang. Sebahagian daripada diriku terasa kosong, bagaikan aku sedang berada di penghujung jalan mati. Mungkinkah Zaki marah atau kecewa dengan sikapku? Mungkinkah aku akan mendengar suaranya lagi? Kenapa pula aku kisah pada semua tu? Tiba-tiba tubuhku menggigil, what’s happening to me?


2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.