Sunday, March 13, 2011

CAFE CINTA: Bab 3

Kita sambung slot bacaan hujung minggu kita
dengan Bab 3 : Cafe Cinta (Chicklit).
*Kira pembaca di blog Elara lebih advance dari pembaca di Penulisan2U 2 bab nanti.

******
SEJAK hari pembukaan itu, Café Cinta belum pernah ditutup walaupun pada hari cuti umum. Nina berkeras untuk terus berniaga walau terpaksa membayar gaji lebih kepada pekerjanya. Nampaknya dia benar-benar komited untuk membuktikan yang dia boleh berjaya kepada keluarganya. Aku hanya dapat melihat kerana aku yakin, kalau ditegah sekalipun, Nina tidak akan ambil peduli. Dia memang keras hati.

Hari itu hari Ahad. Dan seperti kelazimannya pada setiap hari Sabtu dan Ahad, aku akan menghabiskan masa di situ menemani dan membantu Nina serba-sedikit. Walau aku masih tak berani masuk ke dapur memegang kuali dan periuk, aku menyingsing lengan juga menyiang ikan bilis sambil duduk-duduk berbual dan memerhati pelanggan.

“Sedar tak sedar, dah dekat dekat sebulan café’ ni dibuka kan?” kataku, sebaik Nina melabuhkan punggung di sebelahku. “Rasanya macam baru semalam aje kau buka café ni,” keluhku tanpa bermaksud apa-apa.

Nina memerhati aku yang leka membersihkan ikan bilis sedari tadi. Tugas itu sebenarnya membuat aku leka walau sesekali jariku terasa pedih dicucuk tulang. “Ha’ah, esok dah genap sebulan. Aku fikir esok nak sediakan menu special untuk pelanggan. Biar mereka terkejut,” balas Nina. Sesekali tangan kanannya menumbuk-numbuk peha.

“Menu special? Apa?” Aku bertambah minat mendengar perancangan Nina. Tak sangka, dia banyak idea. Aku, kalau fasal makan memang sentiasa bersemangat, asalkan sedap dan boleh diterima tekakku.

“Kau tahu kan, pakej nasi instant aku tu. Selain nasi lemak dan nasi beriyani, aku juga nak sediakan nasi kari dan nasi asam pedas. Simple, fast and affordable,” jawab Nina dengan bersemangat sekali.

“Sedapnya! Lebih banyak pilihan dan mudah nak disiapkan. Tak payah masak banyak lauk,” jawabku. Hidup di bandar besar macam tu, cuma ada dua pilihan. Cepat sebab tak ada masa atau lambat sebab nak berborak. Selalunya pun, café macam tu cuma dijadikan tempat berhimpun dan menghabiskan masa, bukan untuk berjamu selera sampai penuh semeja. Hidangan perlu ringkas dan cepat.

“Ya, aku sedang kaji banyak menu dari seluruh negeri. Kalau boleh aku nak tambah menu baru setiap bulan. Aku mahu, café ni ada menu dan imejnya sendiri.”

Aku terangguk-angguk. Cadangan Nina itu aku lihat sebagai satu bentuk innovasi, itu yang aku suka. Dari makanan yang manis hingga masin semuanya ada. Dari kopi Macchiato hinggalah ke kopi O beng. Dari apple pie hinggalah ke lempeng kelapa. Semuanya dalam bentuk yang mudah disediakan untuk gaya hidup yang serba cepat.

“Aku nak cadangkan kat kau untuk buat pakej harijadi sekali. Manalah tahu kalau kawan-kawan kita tak ada masa dan tempat, boleh order saja kat sini. Kau siapkan tempat dan makanan, kan simple.”

“Okey, nanti aku rangka menu dan pakej. Kalau kau ada cadangan beritahu saja aku.”

Aku angguk saja. Tapi renungan Nina yang panjang, membuat hatiku terasa sesuatu. “Ada masalah ke? Kau nampak macam letih aje.”

“Kau bukan tak tahu yang aku tak cukup pelayan. Ini pun buat kerja terkejar-kejar, kalau waktu peak hours lagilah teruk.”

Aku mengeluh perlahan. Aku memang bersimpati pada Nina. “Aku tahu. Tapi, kau pun kena rehat juga. Esok, kalau kau tumbang, apa aku nak buat?”

Nina tak terus menjawab. Dia berpura-pura leka menonton perlawanan bola sepak di televisyen. Tapi aku tahu dia dengar rungutanku itu. “Baru sebulan, Tasha. Aku ada lima bulan lagi sebelum aku angkat bendera kemenangan aku. Aku nak pacak atas katil abang aku.”

Kan betul? Dia bukannya pekak cuma berdendam dengan kata-kata abangnya dulu. “Relax lah, dia main-main saja tu,” pujukku.

Aku juga masih ingat yang Shah pernah sebut fasal enam bulan pertama café itu beroperasi. Kalau survive, dia akan angkat tangan dengan Nina. Punyalah Shah tak percaya kepada kemampuan Nina, aku terasa hati juga. Tapi bagi Nina pula, tentulah itu akan menjadi minyak pembakar semangat juangnya. Tiba-tiba anak mataku menangkap kelibat dua orang pemuda yang selalu datang minum-minum di situ sejak hari pertama lagi. “Eh! Nina, aku tengok guy dua orang tu selalu datang sinikan?”

Nina menoleh sekejap, kemudian mengangguk dan menyambung tontonannya.

Aku memandang ke arah kedua pemuda itu yang sudah terjenguk-jenguk ke arah mejaku. Aku pun menepuk lengan Nina. “Kenapa buat tak kisah saja ni? Pergilah layan mereka tu.”

“Kau tolong layan, boleh tak?”

“Ha? Aku ke?” Mataku bulat memerhati Nina.

Nina ketawa kecil, mungkin seronok melihat mukaku pucat sekejap. Sambil mengeluh dia bangkit dari kerusi. “Aku ambil order. Kau pula hantar.”

Aku yang tinggal di situ mula menggelabah. Tak mungkin Nina serius dengan kata-katanya, kerana aku belum pernah sekali pun mengambil pesanan daripada pelanggan. Menghantar pesanan, apatah lagi. Tapi keluhan yang aku dengar keluar dari bibir Nina tadi membuat aku terfikir, mungkinkah Nina tak suka dengan kehadiran dua orang pemuda itu? Ada masalah di belakang aku ke?

******
NINA tiba di meja kedua pemuda itu. Seperti biasa, kulihat Nina bersedia dengan pen dan buku pesanannya. “Ya, encik nak minum apa?” Dia tetap tunduk merenung buku kecil itu seperti biasa. Sekali lihat, dia tak ubah macam patung.

“Hai… dah sebulan kami minum di sini, awak masih tak tahu apa yang kami suka minum?” sergah pemuda yang berambut ikal sambil tersenyum. Nakal sungguh riak wajahnya mengusik Nina.

Aku yang mendengar rasa tersentap. Kulihat, wajah Nina sudah berubah merah padam. Aku rasa kasihan sekali. Ingin saja aku masuk campur tapi tak patut pula, kerana Nina sedang berniaga. Jadi, dari jauh, aku doakan Nina cukup tabah. Biasalah pelanggan lelaki, sesekali memang datang nakalnya juga.

“Saya tahu tapi saya tak berani nak memandai-mandai. Lainlah encik dah ikat kontrak minum Nescafe Ais dan Macchiato selama enam bulan di sini,” balas Nina, sama lancang walau tetap tak menolehkan mukanya.

Pemuda berambut ikal itu terbatuk-batuk kecil. “Wah! Hari ini dia ada mulut pula….” sanggahnya. Temannya yang selalu berkaca mata hitam itu kulihat asyik tersenyum.

Nina tidak menjawab lagi, dia hanya menunggu dengan sabar di meja itu. Sesekali dia melemparkan pandangan ke arah kenderaan yang lalu lalang di luar café itu. Entah apa difikirkan, mungkin bosan.

“Air macam biasalah, cik adik,” jawab pemuda itu selepas puas membiarkan Nina berdiri di tepi mejanya.

Nina mengangguk lalu bergerak pergi.

“Eh! Takkan itu saja, cik adik? Tak nak tanya kami nak makan apa? Mana menu?”

Permintaan pemuda itu membuatkan Nina menarik nafas. “Nanti saya ambilkan menu.” Dia melangkah ke kaunter dan kembali ke situ bersama dua keping menu. Menu itu diletakkan di hadapan kedua pemuda itu. “Encik nak order apa lagi?” tanya Nina, kembali bersedia dengan pen dan buku pesanannya.

“Aku cuma nak baca menu, bukannya nak order,” jawab pemuda itu sambil ketawa besar. Di wajahnya tergambar perasaan puas kerana telah dapat mengenakan Nina.

Nafas aku terus saja tertahan. Gelak tawa pemuda itu terasa seperti kepingan besi yang berceracakan di hati, sakit dan pedih. Dan aku yakin, itulah juga yang sedang dirasakan oleh Nina yang sedang berlari laju ke dapur.

*****
AKU termenung di situ. Hendak dimarah, mereka berdua pelanggan. Hendak dibiarkan, mereka sudah melampaui batas. Walau tak sakit secara fizikal, sakit di hati itu juga satu bentuk penderaan mental. Aku mula geram. Hilang sudah segala hormatku kepada mereka. Setelah tetunggu-tunggu di situ, Nina tak juga muncul-muncul. Aku jadi hairan, lalu aku bangkit mencari Nina di belakang kedai.

“Kenapa, Nina?” tanyaku setelah menemui Nina teresak-esak di dalam pejabat kecilnya di sebelah dapur. Pintu pejabat aku tutup rapat-rapat. Rasanya tak manis jika pekerja lain nampak apa yang sedang berlaku pada Nina di situ.

Nina cuma menggeleng tanpa mengangkat muka dari meja. Bahunya terhenggut-henggut. Hatiku rasa pilu.

Aku menarik nafas. Aku percaya Nina bukan saja telah letih dari segi fizikal malah mental juga sehingga kesabarannya sudah tak terbendung lagi. Itu baru seorang, yang lain mungkin aku tak tahu. “Mereka buli kau ya? Mereka buat apa? Mereka sentuh kau tak?”

Nina menggeleng lagi. “Mereka…” Hanya sampai di situ sahaja ceritanya. Selepas itu dia kembali teresak-esak.

“Mereka selalu buli kau ya? Kenapa kau tak cakap dengan aku? Kalau tak pun cakap dengan Shah.”

Nina menggeleng lagi.

Erm… aku mula faham. Kalau dengan aku pun, Nina tak mengadu apa-apa, apalah lagi kalau dengan Shah. Sudah terbayang, bagaimana Shah akan mengejek dan mempermainkan Nina. Tentu saja dia akan kata Nina sombong, tak pandai melayan, tak pandai senyum, tak pandai ambil hati pelanggan dan 1001 lagi alasan. Yang buruknya Nina juga.

Aku belai rambut Nina. Rambut yang selalu aku tolong ikatkan masa kami kecil dulu, semakin panjang. Aku bisik dekat telinga dia, “Kalau macam tu, biar aku yang layan mereka.”

“Jangan! Nanti kau pula yang kena. Ini masalah aku, biar aku buat,” pintas Nina sambil mengangkat kepala.

Aku menggeleng keras. “Hey! Pelayan kedai makan pun manusia juga. Mereka yang lapar, bukannya kita. Mereka yang haus, bukannya kita,” kataku geram. Kesabaranku pula yang hilang entah ke mana. Aku memang tak boleh melihat Nina menangis, terasa aku pula yang dibuli sama. Serentak dengan itu, aku meluru keluar dari bilik itu. Aku menuju ke kaunter minuman dan mengangkat minuman ke meja pemuda tadi.

Aku tahu, Nina sedang mengintai dari celah pintu.

*****



DENGAN segala gelora di hati, aku cuba berjalan dengan tenang. Sampai di meja itu, aku letakkan dulang dengan perlahan. Aku angkat gelas-gelas tersebut dengan tertib sekali walaupun jariku menggigil. Hampir saja aku menjiruskan air-air itu ke kepala pemuda berdua itu jika tidak akal warasku menegah. “Boleh tanya sikit?” Aku bertanya dengan lembut, walau hatiku mendidih di dalam.

Pemuda yang berambut ikal itu tak habis-habis melopong sejak kedatanganku ke situ. Dan soalanku itu pun seperti tak berbekas dalam hatinya. Dia tetap terlopong memandang ke arahku dari atas ke bawah. Mungkin dia tak sangka aku berani mendekati mejanya.

“Encik berdua ada masalah ke dengan pelayan tadi?” tanyaku lagi. “Cakaplah, encik. Kalau ada masalah, nanti saya uruskan dia,” pujukku. Terasa tak sia-sia kelas teater yang aku ambil semasa di kolej dulu. Ada juga gunanya.

“Eh! Tak… Dia, okey, cuma garang sikit aje.” Akhirnya pemuda berambut ikal itu bersuara sambil tersenyum mesra. Mungkin sangkanya aku sekadar mahu beramah mesra dengannya.

“Kalau tak ada apa-apa masalah, mengapa dia menangis di belakang? Encik buat gangguan seksual pada dia ke?” tanyaku dengan lantang sehingga beberapa orang pelanggan mula berpaling dan tersenyum-senyum.

Air muka pemuda itu berubah kelat. Malah senyuman di wajah rakannya juga sirna. “Eh! Tak! Saya main-main saja tadi. Sengaja usik dia, lagipun dah biasa ke sini kan? Takkan tak boleh bergurau sikit?” jawabnya bersahaja.

Aku mengangguk perlahan. “Ooo… bergurau. Kalau macam tu, tak apalah. Salah faham aje. Tunggu sekejap,” kataku sambil menonong ke belakang kedai.

Aku tolak pintu pejabat itu kuat-kuat, aku heret Nina keluar dari bilik itu secara paksa. Sedar-sedar saja, kami sudah berdiri di hadapan pemuda berdua itu. “Minta maaf sekarang!” kataku lantang. Aku sudah tak kira apa pun yang bakal terjadi di situ. Aku sudah geram benar. Nina sedang menangis, mereka pula ketawa-ketawa.

Pemuda itu terpinga-pinga. Pandangan matanya berlari-lari di antara wajahku dan wajah Nina. Tapi aku tetap tak berganjak dengan permintaanku. Dan akhirnya dia membuka mulut. “Maafkan saya, cik adik. Saya cuma bergurau…”

“Apa cik adik, cik adik?” sergahku pula. “Dia ada nama, nama dia Nina. Dia tauke kedai ni,” sambungku lagi sambil menarik muka.

“Apa?” Pemuda itu kembali terlopong. “Dia tauke kedai ni? Tapi…” Dia merenung Nina pula.

Rakannya tertawa, aku juga. Nampaknya dua-dua pihak saling berhutang antara satu sama lain. Aku toleh ke arah Nina, air matanya telah kering. Dia mula tersenyum semula, mungkin teringatkan ‘hutangnya’ kepada kedua pemuda itu.

“Maaflah, tauke,” kata pemuda berambut ikal itu. “Jangan ambil hati,” katanya lagi kepada Nina. Kali ini lebih lembut dan kedengarannya ikhlas.

Nina angguk. “Aku pun minta maaf,” balas Nina, cukup ringkas. Dia bergerak pergi dari meja itu.

Aku menarik nafas lega dan bertukar senyum dengan kedua pemuda itu. Nampaknya peperangan kami telah tamat sebelum pun bermula. Nasib baik juga sebenarnya kerana aku bukanlah berani sangat. Acah saja tadi tu. Sebelum aku berpaling, tiba-tiba saja aku dihulurkan sekeping kad nama dari pemuda berambut ikal itu.

Aku tergamam tapi tak menolak. Kerana dalam kepalaku ribut memikirkan hal yang lain. Jelingan Nina kepada pemuda bertubuh kecil tadi membuat aku terfikir sepuluh kali. Mungkinkah Nina ada masalah lain?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.