Kita sambung slot bacaan hujung minggu kita
dengan Bab 4 : Cafe Cinta (Chicklit)
Sambil mendoakan halaman di sana tu pulih dengan segera.
************************
“NINA, are you alright?” tanyaku dengan berhati-hati. Pintu pejabat aku tutup dengan perlahan di belakangku. Walau aku lega kerana semuanya sudah selesai tapi aku mahu tahu apa pendapat Nina mengenai tindakanku itu. Marahkah dia? Malukah dia?
Nina angguk tanpa menoleh sedikit pun ke arahku. Dia pura-pura leka memerhati bil-bil pembelian di atas meja kerjanya.
Selalunya kalau dia macam tu, maknanya ada perkara yang sedang difikirkan dan tentunya dia tak mahu beritahu aku! “Sorry, sebab aku hilang kawalan tadi.” Aku cuba mengendurkan suasana. Aku tahu, bukan mudah nak mencungkil rahsia hati dia.
Nina mengeluh, kini dia bersandar di kerusi sambil merenung dinding bilik yang dijadikan pejabat untuk menyimpan segala dokumen dan inbois. “Tak apalah, I’ll get stronger,” jawabnya.
“Anything you want to share?” kataku mengumpan. Sempat aku menjeling jam tanganku, belum masuk tengah hari lagi, masih banyak masa jika Nina nak buka cerita.
Tapi Nina hanya menggeleng. Tanpa diduga dia menoleh ke arahku dan tersenyum. “Thanks, sebab tolong aku tadi.”
Aku tersenyum lega. Nina tak marah rupanya. “Relax lah, kadang-kadang kita kena tunjuk kuat. Walau di dalam, kecut macam apa,” kataku. Serentak kami ketawa. Hatiku senang, melihat Nina begitu. “Guy dua orang tadi tu… macam biasa tengokkan?” Aku cuba pula memesongkan cerita.
“Ya ke? Tak kenal pun,” balas Nina. Matanya terkebil-kebil seolah meminta aku bercerita lebih lanjut.
“Dia ada beri kad nama tadi. Ni dia.” Aku tunjukkan kad nama itu kepada Nina. “Kau kenal tak?”
Nina melihat kad nama itu lama-lama. “Tak kenallah,” katanya. Kad nama itu diserahkan semula ke tanganku. “Kau kenal ke?”
Aku hampir ketawa. Nampaknya umpanku belum disambar. “Aku pun tak kenal.” Aku tersengih sahaja. Nina terlalu cerdik untuk diumpan semudah itu. Aku kena cari jalan lain.
“Yang lagi sorang tu… kau kenal?” tanya Nina.
Gulp! Inilah yang aku tunggu. “Yang tu tak beri pulak kad nama dia. Tapi kalau kau nak tahu, aku boleh tanya.”
Nina ketawa. “Nak buat apa?” Dia bertanya tanpa memandang aku.
“Nak buat apa? Nak buat jeruk,” jawabku geram.
Nina tergamam. Kami ketawa lagi.
Dalam ketawa aku menyedari sesuatu. Nina sudah pandai menyembunyikan rahsia dari aku. Mungkinkah terlalu awal untuk dia membuka rahsianya atau aku yang terlalu cepat ingin tahu? Tapi, apa-apapun aku juga sedar yang Nina sudah mula berubah. Lebih pendiam dan seperti lebih banyak berfikir. Dan adakalanya aku seperti terasing di pulau lain. Adakah aku bukan kawan baik yang baik?
*****
AKU sampai di rumah, kira-kira pada pukul 6.00 petang. Sewaktu aku menutup pintu kereta, aku rasa nak baring sahaja di hadapan pintu. Nak panjat tangga ke bilik pun aku sudah tak larat lagi. Penatnya tak terkata.
“Cepat balik, hari ni?” sapa mamaku di muka pintu.
“Dah tak larat,” jawabku sambil menggeleng.
“Ramai orang juga ke hari ni?”
“Macam biasa je, ma.” Aku hempaskan tubuhku ke kerusi di ruang tamu. Apabila pinggangku terasa lenguh, aku terus saja berbaring. Rasanya amat melegakan. Tapi fikiranku masih melayang ke café. Macam manalah Nina boleh bekerja tanpa berehat macam tu?
“Nina macam mana? Boleh dia handle?” tanya mamaku lagi sambil menyambut huluran air nescafe dari pembantu rumah.
Aku angguk. Bunyinya macam mamaku sendiri tak yakin pada kebolehan Nina. “Kenapa mama tanya macam tu pulak?”
Mama mengeluh, dia merenung aku pula. “Tadi, Datin Azizah ada datang sini. Kami borak-borak fasal café Nina tu. Dia kata, Tasha selalu ke sana tolong, Nina.”
“Jadi? Mama marah ke?”
“Kenapa mama nak marah pulak? Eloklah Tasha tolong dia. Cuma itu buat, mama terfikir pula, Tasha tak nak ke buka bisnes sendiri?”
Aku ketawa. Sungguh tak disangka, ke situ pula fikiran mamaku. Tapi, sebelum itupun ramai kawan-kawan yang menyarankan hal yang sama. Aku bukan tak mahu, tapi aku belum rasa nak buka apa-apa bisnes lagi. Aku lebih senang kerja makan gaji dengan papa. Tak berat kepala aku!
“Datin Azizah ada kata pada mama tadi… kalau Tasha nak jadi business partner Nina, dia nak undur diri.”
“Tasha tahu, dah berapa kali mak Nina cakap kat Tasha perkara tu. Tapi Tasha belum mahu lagilah, ma. Kerja kat syarikat papa pun berlambak-lambak.”
“Mama dan datin tak paksa. Manalah tahu, kalau tiba-tiba aje Tasha pun macam Nina tu nak tukar angin, bolehlah beli share kedai tu nanti. Tasha pun dah biasa ke situ.”
“Okey, tengoklah nanti. Macam kata mama, hari esok belum tentu panas kan? Kalau Tasha rasa nak tukar-angin nanti, Tasha beritahulah.”
“Tak sangka jugakan. Berani juga Nina ni…” komen ibuku pula.
Aku angguk sambil memejamkan mata. Nina memang berani dari dulu tapi kadang-kadang ada juga perkara yang dia takutkan. Tapi nampaknya, sekarang Nina tak boleh lari lagi. Aku ketawa sendiri. Mungkin betul kata orang, kalau benci sangat, itulah yang kita dapat. Kalau kita takut sangat, itulah yang kita jumpa. Agaknya itulah yang sedang berlaku kepada Nina.
*****
SUDAH beberapa minit aku merenung kad nama itu. Sebelah hitam dan sebelah pula putih krim. Aku belek-belek, aku lambung-lambung. Aku masih berfikir. Nak telefon ke tidak? Akhirnya setelah puas berfikir, aku menarik nafas untuk mengumpul kekuatan. Demi Nina… aku mengambil kad itu semula.
“Helo… Encik Zaki Hamdan?” Suaraku serius saja. Bunyinya macam sedang menelefon klien aku aje. Bezanya kali ini, degup jantungku sangat laju. Tak pernah pula jadi begitu.
“Ya, siapa yang bercakap ni?” Lembut saja suara pemuda berambut ikal itu menjawab. Mentang-mentanglah perempuan yang menelefon, fikirku pula.
“Er… Tasha.”
“Tasha? Tasha yang mana ni?”
“Tasha yang mana?” Aku tersenyap sekejap. Betul juga soalannya, manalah dia tahu Tasha yang mana. Dia bukannya kenal aku. “Tasha yang di café tadi,” jawabku. Serentak itu aku terasa seperti ada lampu spotlight sedang tersuluh ke arah mukaku. Aku tak boleh berundur lagi.
“Tasha di café? Café yang mana? Banyak café aku singgah tadi,” balas pemuda itu pula.
Aku mengeluh geram. Dia dah mulalah tu… “Ingat tak, di Café Cinta?” Dadaku terus saja berdebar apabila aku menyebut nama café itu, mungkin kerana ada perkataan ‘cinta’ di hujungnya yang buat aku sedikit alergi.
Pemuda itu ketawa. “Ooo… yang nak mandikan aku dengan Macchiato tadi ya?” Dia terus menyambung tawa. “Nama kau Tasha ya?”
Pipiku terasa panas. “Ha’ah, yang tu,” jawabku lemah. Macam mana dia tahu aku nak mandikan dia tadi? Ni mesti, sebab lakonan aku failed, macam di kolej dulu. “Sorry sebab call malam-malam,” kataku lagi. Aku sedar suaraku bergetar kerana aku tiba-tiba rasa gementar bergayutan di telefon malam-malam begitu dengan seorang lelaki. Kalau dengan kawan perempuan, tak kisahlah.
“Dah hampir 12 jam aku tunggu,” balasnya lembut.
Kini, suaranya kedengaran serius dan bersungguh-sungguh sehingga hatiku berdebar. Terasa juga darah dari jantungku menderu naik ke muka, terus ke kepala.
Aku jadi nanar seketika. Kenapa aku rasa macam ni pula? Aku bingkas duduk dari berbaring di atas katil. Aku tarik nafas dalam-dalam. “Aku call ni sebab nak tanya sikit. Boleh?” Aku cuba fokus semula tentang masalah Nina dan apa tujuan aku menelefon dia tadi.
“Sikit? Banyak pun boleh.”
“Aku cuma nak tanya fasal kawan kau.” Akhirnya berjaya juga aku berterus-terang dengan dia. Terasa seperti sesuatu telah terlepas dari dadaku. Lega sekali walau aku tak pasti apa penghujungnya nanti.
Dia diam sebentar seperti sedang berfikir. “Kawan? Kawan yang mana satu?”
“Yang selalu dengan kau tu. Yang tak lekang dari cermin mata hitam dia tu,” jawabku selamba. Makin lama, rasa gugupku makin hilang walau jantungku masih berdegup laju.
Dia ketawa. “Yang tu… kenapa kau nak tahu?”
Banyak soal pulak dia ni, aku merungut dalam hati. “Adalah.” Aku jual mahal sekarang. Kalau dia tak nak memberi, buat apa aku keluar modal?
“Okey… apa yang kau nak tahu? Nama dia? Umur dia? Alamat rumah atau dia dah ada makwe ke belum?”
Bukan main! “Aku cuma nak tahu nama dia dan dia kerja di mana. Itu saja,” jawabku ringkas.
“Okey… sebelum aku jawab, aku nak tahu kenapa. Kalau kau beritahu, aku akan jawab semua soalan kau termasuk satu maklumat extra. How is it?”
Aku garu pipi. Sekarang aku serba-salah pula. Kalau aku beritahu semuanya kerana Nina, seperti aku memburuk-burukkan Nina pula. Silap-silap, nanti orang kata Nina gadis tak tahu malu. Lagipun, kalau Nina tahu apa yang aku buat, mungkin teruk aku kena marah. Kepalaku tiba-tiba jadi serabut.
“Aku boleh beritahu kau kenapa tapi kau kena janji dulu dengan aku,” pintaku sepenuh hati. Nak berundur pun dah tak boleh.
“Janji? Sampai kena janji pulak?”
“Kau nak tahu ke tak?” Sesekali terasa macam sedang tawar- menawar pula dengan dia. Tapi aku sebenarnya berani-berani takut. Manalah tahu jika dia hanya mahu mempermainkan aku.
“Nak. Kalau macam tu… aku janji. Tapi janji apa?”
Aku ketawa. Nampaknya dia lebih beria daripada aku. “Janji, hal ni kita dua orang aje yang tahu. Kawan kau tu pun tak boleh tahu,” kataku bersungguh-sungguh. Tiba-tiba terasa seperti kami sudah seia sekata.
“Okey… taklah susah sangat kalau macam tu. Cakaplah kenapa?” Dia mula mendesak.
Aku diam seketika untuk mengambil nafas. Akhirnya aku memecahkan rahsia itu juga. “Sebab aku rasa kawan aku suka kat kawan kau tu.”
Dia ketawa panjang.
Aku mula geram. “Kenapa ketawa?”
“Okey… cakap dulu kawan kau yang mana satu? Aku tengok dalam café tu, ramai kawan kau yang datang.” Nada suaranya agak tenang.
“Mana boleh macam tu? Tadi kau cuma nak tahu kenapa kan?” tanyaku pula. Nampaknya muslihatku tak menjadi.
“Habis? Aku beritahu nama dia, tapi sebagai ganti aku pun nak tahu satu nama juga.”
Aku mengeluh. Makin lama, makin teruk jadinya. “Tapi macam mana aku nak tahu nama yang kau beri tu betul? Kalau kau tipu aku?”
“Dengan kau aku takkan tipu,” jawabnya dengan nada yang serius semula.
Tak semena-mena, bulu romaku merinding jadinya. Walau hanya bercakap dalam telefon, getar suaranya mampu membuat perasaanku tak keruan. Aku seperti terumbang-ambing dan terawang-awang. Setelah tenang, aku bertanya, “Kenapa?”
“Sebab kita akan bercakap lagi. Esok, lusa dan seterusnya.”
Aku diam berfikir. Begitu ke? Bukan sekali ini saja ke? “Baiklah, aku percaya. Nama kawan aku tu … Amy. Nama kawan kau pulak?”
“Mohamad,” jawabnya laju.
Aku terangguk sorang-sorang. Sekurang-kurangnya malam itu aku sudah dapat nama. “Dia kerja kat mana?”
“Di WES, company telemarketing.”
“Satu tempat kerja ke?” Tak sengaja, soalan itu terluncur. Tapi nak ditarik balik pun dah terlambat. Kenapa aku jadi berminat pula nak tahu tentang dirinya, aku pun tak tahu.
“Sekarang, tak. Dulu memang ya. Dia tukar kerja ke WES tapi aku masih di tempat lama,” terangnya panjang lebar pula.
Tiba-tiba saja aku mati idea. Aku tak tahu lagi nak soal apa. Mungkin kerana niatku malam itu hanya untuk mendapatkan nama Mohamad maka, otakku tiba-tiba jadi kosong lalu aku terdiam.
“Tasha.” Dia memanggil. Lagi sekali suaranya kudengar bergetar. Aku jadi resah.
“Dah malam ni, elok kita tidur saja,” jawabku untuk mengelakkan diri. Sejujurnya aku takut jika perbualan itu tersasar dari tujuannya.
“Tak nak tuntut janji?” tanyanya pula.
Aku terdiam seketika. Janji apa pula ni? “Janji?”
“Aku kan kata tadi. Jika kau jawab soalan aku, aku beri extra info fasal… Mohamad. Kau nak tahu tak?” Dia menunggu.
“Boleh juga,” jawabku dalam waswas. Entah kenapa, diriku seperti takutkan sesuatu walau aku tak tahu apa.
“Dia belum ada makwe tapi ramai kawan perempuan.” Begitu mendatar sekali suaranya. Sukar untuk aku mentafsirkan sama ada itu berita gembira atau berita sedih.
“Oh! Okey… Thanks,” kataku sambil mematikan telefon. Aku termenung. Sedar-sedar saja, baju tidurku basah lencun dek peluh. Cemasnya macam dikejar penyamun. Tiba-tiba telefonku berbunyi.
“Helo!” kataku sambil lewa.
“Takkan terus lari aje?” Suara dia bergema semula.
Aku tersentak. Menyesal pula kerana tak memerhati dengan teliti nombor yang terpapar di skrin. “Aku kan dah ucap terima kasih tadi.”
“Tapi belum ucap selamat malam.”
“Kena ke?” tanyaku bodoh.Sejujurnya fikiranku sedang bingung.
“Selamat malam. Esok aku tunggu di café,” katanya sebelum memutuskan talian.
Aku tinggal tertanya-tanya. Is it a date? Aku terus tak dapat tidur, dadaku panas di sepanjang malam. Lain yang aku cari, lain yang aku dapat!
next..next..hihihi
ReplyDelete