Tuesday, July 10, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 23 dan Bab 24


JAM sudah hampir ke pukul 7.00 malam. Suasana di bandar itu semakin sunyi. Sudah tidak banyak kenderaan di atas jalan raya, sudah tidak banyak orang yang berjalan-jalan. Yang ada hanyalah burung-burung yang sudah riuh pulang ke sarang.
“Kami pergi dulu Cik Hanisa,” kata Intan sambil mengambil beg tangannya dari bawah kaunter. Terkocoh-kocoh dia mahu mengikut Mei Lin dan Richard yang sudah meninggalkan kedai.
Dengan perasaan yang berat Hanisa mengangguk. “Kalau awak tak pergi, tak boleh ke?”
Langkah Intan yang sudah hampir sampai ke pintu terhenti. Dia kelihatan resah dan teragak-agak. “Tak bolehlah, Cik Hanisa. Inilah peluang saya masuk ke rumah besar macam tu. Lagipun apa kata Encik Borhan pula? Dia dah jemput berbuka puasa, takkan saya tak mahu datang pula?”
“Pergilah,” katanya perlahan walaupun masih berat hati tinggal di situ berseorangan. Bukan dia takut, bukan dia sunyi tetapi entah kenapa dia seperti rasa ditinggalkan oleh semua orang. Dia benci perasaan itu.
“Makanan Cik Hanisa untuk berbuka saya dah letakkan di kaunter belakang. Richard yang belanja hari ni,” kata Intan lagi sambil menjeling ke wajah Hanisa.
“Tak perlu risaukan saya, saya berbuka dengan air sejuk pun boleh,” balas Hanisa dengan geram. Mula timbul rasa marah kerana mereka bertiga sanggup berpakat dengan Borhan untuk mengenakan dia petang itu. Dia bukan tidak tahu, itu cara Borhan membalas dendam di atas sikapnya. Tetapi kenapa lelaki itu tidak mahu mengalah? Adakah… Ah! Tak mungkin. Pipinya panas.
Masa terus berlalu, azan Maghrib sayup-sayup berkumandang dari situ. Alhamdulillah… selesai sudah puasa hari itu, mungkin tinggal esok sahaja lagi. Tidak sedar, air matanya menitik ketika kenangan lama menjelma.
“Betul kau nak tinggal sorang-sorang ni, Hani? Kalau kau nak, kau ikutlah aku balik kampung. Bahaya kau tinggal sorang macam ni dekat rumah. Jiran-jiran yang lain pun semua dah balik raya. Kalaulah orang jahat tahu kau tinggal sorang macam ni…,” pujuk Imah teman serumahnya pada tahun pertama dia tidak balik beraya ke rumah Ikram.
“Kau tak perlu risaukan aku. Aku boleh jaga diri,” balasnya angkuh.
“Memang kau boleh jaga diri tapi boleh kau jaga perasaan kau?” balas Imah.
“Perasaan aku, aku punya pasal.”
Imah menggeleng. Sambil mengeluh panjang, dia menarik bagasinya keluar dari rumah sewa untuk pulang ke kampung berhari raya selama seminggu. Seminggu juga Hanisa terpaksa tinggal di situ berseorangan.
Dalam tempoh itu, dia telah melalui satu tempoh yang cukup menekan jiwa. Dia menangis bagaikan orang gila, dia menjadi marah kepada semua. Sejak itu kemarahan itu seolah tidak pernah meninggalkan dia. Dia dan kema-rahannya seolah bersatu menjadi satu.
Nasi yang dikunyah terasa kesat. Air sirap yang diminum terasa tawar, dia menangis untuk sekian kalinya. Setelah selesai bersolat Maghrib, dia duduk menulis di dalam diarinya:
Dear Diary,
Petang ini mereka sepakat meninggalkan aku keseorangan di kedai. Aku tahu mereka semua ingin menghukum aku tetapi mereka tidak tahu… keinginan yang menggila dalam jiwaku untuk berada di sana terutamanya berada di sisi dia adalah hukuman yang paling menyakitkan.
Ya, mereka semua berjaya.
N
SEMENTARA itu di rumah Borhan suasana sungguh meriah. Selain Richard, Mei Lin, Intan, Adam, Liana, Aiman ramai staf Wisma Gempita turut hadir di majlis berbuka puasa itu.
“Dia tak apa-apa ke?” tanya Borhan kepada Richard. Di sebalik kemeriahan dan keriuhan tetamu yang hadir berbuka puasa dan bermain bunga api di halaman rumahnya, dia teringatkan Hanisa yang bersendirian di kedai. Sukar dimengertikan perasaan risaunya pada waktu itu. Menyesal pula kerana tidak menjemput Hanisa sekali.
“Aiyaaa… jangan risaulah. Dia boleh survive punya. Dia harimau, kan?” balas Richard sambil mengunyah sebiji biskut bangkit kelapa.
Senyuman nipis terbit di bibir Borhan. Harimau, harimau juga tetapi Hanisa tu cuma harimau jadian yang ada hati dan perasaan. Dia yakin sedikit sebanyak hati Hanisa akan terasa sedih dan sakit.
“Dia sudah banyak buat hati awak sakit, kalau saya… perempuan macam tu saya sudah cancel dari senarai perempuan yang mahu dijadikan bini,” sambung Richard.
Kali ini Borhan tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa. “Kalau orang lain saya mungkin sakit hati tapi dia… lagi dia marah lagi saya suka. Itu menunjukkan dia makin takut dengan saya.”
“Saya sokong!” kata Richard sebelum mengambil biskut tat nanas pula. “Lemang tak ada ke?” Dia pandang ke kiri dan ke kanan meja.
“Hari rayalah baru ada lemang,” sampuk Mak Yah yang tiba di meja makan itu bersama sebekas lagi kuih siput. Bekas yang pertama sudah dihabiskan Richard dan Mei Lin.
“Saya suka makan lemang dengan dia punya rendang, Mak Yah. Ketupat pun saya suka,” jawab Richard.
“Kalau macam tu, raya pertama nanti datang. Kita makan sama-sama. Nanti Mak Yah masak banyak-banyak.” Mak Yah tersenyum. Begitu juga Borhan.
“Awak tak balik kampung?” tanyanya pula kepada Borhan.
Borhan menggeleng. “Inilah kampung saya.”
“Di sini?”
“Saya lahir di Melbourne. Tapi ini rumah datuk saya yang saya warisi. Inilah kampung saya sekarang. Nak balik ke mana lagi?”
“Macam Hanisa juga. Dia bukan orang sini tapi sekarang sudah jadi orang sini.”
“Dia dari mana?”
“Kalau tak silap, orang KL.”
“Kenapa dia tak balik raya di KL?”
Richard angkat bahu. “Dia harimau yang penuh misteri.”
“Oh! Harimau! Mak kau rimau!” Mak Yah terlatah apabila dentuman bunga api yang kuat kedengaran. Serentak itu Richard, Borhan dan mereka yang ada di situ tergelak besar.
Borhan memandang Mak Yah yang nampak gembira malam itu, tidak dinafikan dia sendiri berasa lebih gembira dengan kehadiran Richard dan semua yang ada di situ malam itu. Tetapi alangkah baiknya… jika Hanisa juga ada bersama.
N
“NAH! Ini ada makanan untuk awak.”
Richard meletakkan satu mangkuk tingkat yang agak berat di hadapan Hanisa. Serentak juga bau lauk-pauk tercium dek hidung Hanisa.
“Tak payahlah nak tunjuk baik,” jawab Hanisa. Dia sememangnya sudah mahu balik kerana jam sudah pun hampir ke pukul 9.00 malam.
“Tak ada siapa nak tunjuk baik, tapi Mak Yah beria-ia mahu saya berikan mangkuk tingkat ini kepada awak tadi. Dia ajak awak datang ke rumah raya nanti.”
Mak Yah? Siapa pula Mak Yah ni? Ibu dia ke? “Awak bawa baliklah. Saya tak mahu.”
Air muka Richard berubah. “Saya sudah tolak tadi tapi Mak Yah kata tak baik tolak rezeki Tuhan.”
Sekarang air muka Hanisa pula yang berubah. “Yalah. Yalah.” Mangkuk tingkat itu diambil tanpa membantah lagi. Dia tidak ada mood mahu bergaduh panjang dengan Richard malam itu.
“Rugi Cik Hanisa tak pergi tadi. Ramai orang datang, seronok main bunga api. Makanan pun sedap-sedap.” Riuh Intan bercerita sambil disokong pula oleh Mei Lin.
“Rumah dia cantik betul,” kata Mei Lin pula. “Dia punya orang gaji banyak baik. Dia layan orang gaji dia macam ibu sendiri.”
Erm… Hanisa menggumam dalam hati. Tidak dapat disorok lagi, ingatannya kepada Mak Som terus datang bertandang. Sedikit sebanyak rasa cemburunya tiba.
“Esok jangan lupa kemas kedai. Kemas daripada depan sampai belakang. Semua rak lap bersih-bersih. Kosongkan tong sampah, cuci toilet sekali.” Terus dia keluar dari situ sebelum sempat Intan dan Mei Lin menjawab. Puas hatinya. Seronok sangat ya…



Bab 24

DI DALAM pejabat yang berukuran empat meter kali lima meter itu, Adam termenung jauh. Sayup-sayup kedengaran suara alunan bacaan Al-Quran dari masjid yang berhampiran. Perasaan Adam ikut terbuai dengan rasa sayu dan syukur.
Hari raya semakin dekat, rasa rindu kepada sanak saudara di kampung semakin terasa. Walau orang tuanya sudah lama tidak ada namun kerinduan tetap juga membuak-buak kepada kampung halaman. Terasa tidak sabar-sabar pula untuk menjengah ke sana. Namun di sebalik perasaan itu dia teringatkan Borhan.
Di majlis berbuka puasa tadi, dia tidak begitu sempat berbual panjang dengan Borhan tetapi daripada pemerhatiannya anak muda itu menyimpan kesedihan yang dalam. Mungkinkah setelah misteri kehilangan bapa saudaranya selesai, anak muda itu akan gembira semula?
“Abang, buat apa duduk dalam gelap ni? Tak ada nyamuk ke?” tegur Liana yang tiba-tiba menjengah. Suis lampu segera dipetik. Serentak itu bilik yang tadinya gelap dan suram kini terang benderang.
“Tak ada apa, cuma berfikir. Aiman dah tidur?” balas Adam ringkas. Cermin mata yang dipakainya ditanggalkan lalu diletakkan semula di dalam kotak plastik. Disimpan ke dalam laci dengan cermat dan tersusun.
“Dah tidur. Penat sangat bermain bunga api tadi,” balas Liana. “Kaya sungguh Encik Borhan tu ya, bang? Besar betul rumah banglo dia tu. Lengkap dengan kolam renang lagi. Puas saya memegang Aiman tadi. Dia nak sangat mandi dalam kolam tu.”
Adam diam sahaja sambil mengangguk perlahan.
“Kes baru ni susah sangat ya?” Liana menarik kerusi di hadapan meja suaminya lalu duduk. Matanya tidak lepas dari memandang ke wajah suaminya yang kelihatan agak muram.
“Rumit juga, maklumlah orang yang dah lama hilang,” jawab Adam.
Liana turut sama menjadi muram. “Boleh ke abang selesaikan?”
Adam tersengih. “Abang dah kata, semuanya seperti soalan Matematik. Sesukar mana pun pasti ada jalan penyelesaian yang memuaskan.”
“Abang sepatutnya jadi guru Matematik di sekolah dulu,” jawab Liana sambil ketawa kecil.
“Ya, kalau abang boleh lulus semua subjek lainnya. Abang cuma lulus Matematik sahaja. Tak boleh jadi juga.” Adam turut ketawa. Sememangnya dia tidak pernah bercita-cita untuk menjadi guru. Dia cuma mencintai ilmu itu dan falsafah di sebaliknya.
“Cakaplah betul-betul, bang. Boleh ke tak boleh?” Liana kembali serius. Seperti ada sesuatu yang menganggu jiwanya di saat itu.
“Abang tak tahu macam mana penghujungnya nanti. Abang cuma boleh memulakan pencarian ini. Seperti soalan Matematik juga, tersilap satu saja langkah, pasti jawapannya salah atau terus tak jumpa jawapan,” jawab Adam beria-ia. Cuba menyakinkan isterinya dan secara tidak langsung juga cuba meyakinkan dirinya sendiri.
“Matematik lagi,” sungut Liana. “Kalau gagal bagaimana?”
“Kalau gagal, bermakna ada 99 lagi cara lain untuk menjawabnya. Salah satu mesti betul,” jawab Adam cepat. Matanya menatap wajah isterinya yang kelihatan tidak begitu yakin kepadanya. “Lagipun, seperti soalan Matematik juga, ada yang jalan penyelesaiannya pendek saja, ada yang rumit serta panjang. Tapi, selagi ada soalan, adalah jawapan.”
Liana menggeleng. “Entahlah, bang. Saya tak faham cara abang berfikir. Tapi saya doakan agar abang berjaya selesaikan secepat mungkin.” Dia sudah mengangkat punggung mahu beredar dari situ.
Adam tersenyum tawar. “Ya, doakan abang. Abang benar-benar perlukan doa yang baik-baik sekarang. Jalannya masih terlalu kabur, tapi abang pasti salah seorang dari 72 orang rakan sekelas dia pasti boleh membantu.”
“72 orang? Rakan sepengajiannya dia 31 tahun yang lalu?” Mata Liana terjengil.
Adam mengangguk.
“Seperti menangguk ikan di laut,” komen Liana perlahan.
Adam mengangguk lagi. “Sekurang-kurangnya kita pasti, ikannya ada di dalam sana.”
“Abang berusahalah ya, saya nak masuk tidur dulu,” jawab Liana yang kelihatan semakin pening. “Jangan lupa tutup lampu.”
“Pergilah tidur, abang masih ada kerja,” jawabnya perlahan. Matanya hanya melotot melihat isterinya berlenggang pergi. Setelah kelibat isterinya hilang di balik pintu, dia kembali menekuni semula catatannya.
72 orang, hatinya berbisik. Mengikut jadual yang disusunnya, pada hari raya kedua lagi dia akan mula menjejaki nama yang pertama di dalam senarai itu. Ya Tuhan, permudahkanlah usahaku! Adam berdoa.

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.