Friday, July 13, 2012

Cerpen : Sekering Sahara...


“Ramainya orang hari ni…”
Azmi lemparkan pandangan matanya ke tempat parkir pasaraya. Sudah beberapa kali dia berpusing di tempat parkir itu tetapi masih tidak ada petak yang kosong. Apa kenanya dengan semua orang? Kenapa terlalu ramai ke situ walaupun malam itu bukanlah malam hujung minggu? Dia tertanya-tanya.
Zue turut terjenguk-jenguk sama. Sama-sama mencari jika ternampak petak kosong yang boleh direbut. Anak-anak mereka Aina dan Shafiq sudah senyap sunyi di tempat duduk belakang. Wajah-wajah mereka cemas seperti bimbang jika rancanagn untuk berbelanja di pasaraya itu tidak jadi.
“Tu ada satu!” Zue berteriak sambil jarinya diluruskan ke arah sebuah kereta yang baru sahaja meninggalkan petak parkir.
Azmi segera menekan minyak. Berdecit bunyi tayar keretanya bergesel dengan tar. Dia tidak peduli, petak parkir harus direbut segera.
“Kenapa orang ramai sangat ni?” Azmi masih terasa pelik. Akalnya masih belum dapat mencari sebab kenapa orang ramai bertumpu ke pasaraya yang akan dikunjungi sebentar lagi. Sudah terbayang di matanya, suasana yang sesak dan barisan yang panjang di setiap kaunter bayaran. Rasa menyesal pula datang ke situ malam itu.
“Abang dah lupa ke?”
Zue tutup pintu kereta. Dia tarik tangan Aina dan Shafiq. Kini mereka berempat sudah bersedia untuk ke pasaraya membeli barangan dapur.
“Lupa apa?” Azmi masih belum faham. Mungkin juga dia terlupa apa-apa.
“Seminggu lagi kan dah nak puasa, bang?” Zue pandang mata Azmi.
Azmi diam. Dia tahulah seminggu lagi bulan Ramadhan akan menjelang tetapi apa kena-mengena kedatangan bulan itu dengan orang ramai yang seolah-olah berpesta di pasaraya?
“Orang dah mula beli baju raya,” sambung Zue sebelum menundukkan pandangan mata ke arah lain.
Azmi tidak berani memandang ke arah Zue lagi. Dibiarkan sahaja Zue berjalan dengan Aina dan Shafiq di hadapan. Dia jalan lambat-lambat di belakang. Kata-kata Zue itu bagaikan membuat harga dirinya jatuh ke gaung yang paling dalam.
*****

Keesokkan harinya…
“Dah sampai ke London ke?”
Sindiran dan tepukan yang hinggap di bahu kanannya mengejutkan dia dari menungan yang panjang. Azmi berhenti berfikir buat sesaat.
Osman yang baru melabuhkan punggung di sebelah Azmi tersengih.
“Aku nampak kau monyok saja dua-tiga hari ni? Tak sihat?” Dia pandang muka Azmi lagi, cuma kali ini tanpa secalit senyuman. Seperti sedar Azmi benar-benar sedang bermasalah.
Azmi geleng. Mulutnya masih terkatup rapat. Jika diluahkan kepada seisi dunia sekalipun, siapakah yang mahu membantu? Along? Dia bertanya sendiri, jawab sendiri.
“Ceritalah…” desak Osman lagi. Air yang dibawa ke meja itu disedut seketika. Tatkala bibirnya terpisah daripada straw minuman, dia berkata lagi, “Mana tahu kalau aku boleh tolong kau.”
“Biasalah… dah dekat nak puasa ni, masalah pun datanglah.” Akhirnya Azmi menjawab juga sambil mengacau teh dalam cawannya. Padahal sudah berapa kali teh itu dikacau dan sudah pun hampir sejuk.
Osman hanya menggelengkan kepala. “Roadtax?”
“Roadtaxlah, itulah, inilah….” Tidak tercerita segala masalahnya yang berderet-deret. Kesemuanya memerlukan duit sedangkan duit tidak juga berderet-deret datang seperti masalahnya itu.
“Sabar,” kata Osman.
“Aku sabarlah ni…” Azmi rasa dalam dirinya hanya tinggal perkataan ‘sabar’. Yang lain sudah kering kontang.
“Kau boleh lalui… Tuhan berikan ujian setakat apa yang kau boleh tanggung saja. Percayalah.” Osman menambah dengan tenang.
Azmi angguk bersama satu tarikan nafas yang dalam. Dia boleh sabar, dia boleh lalui cuma dia bimbangkan Zue. Dia bimbangkan anak-anaknya…
*****
Pada malam itu….
“Tadi kat ofis kan, bang… ada kawan jual kuih raya,” kata Zue sambil melipat kain di ruang tamu. Aina dan Shafiq pada masa itu sedang belajar di bilik.
Azmi tidak membalas tetapi apa yang dibacanya di dada akhbar bagaikan berubah menjadi bahasa yang tidak difahami. Entah apa-apa yang dibaca sekarang. Dia tidak faham langsung.
“Kita nak tempah kuih apa tahun ni, bang? Kuih tat nenas yang abang suka tu pun ada.” Zue rancak berceloteh. “Kita tempah banyak sikit tahun ni boleh, bang?”
Azmi dengar sahaja dari balik surat khabar yang dipegang. Apa yang patut dijawab? Dia kelam kabut berfikir.
“Tak payahlah tempah banyak-banyak… Nanti tak habis,” katanya.
“Tak habis? Bukan ke tahun lepas tak cukup? Abang makan saja dah berapa biji? Baru dua hari raya, semua dah kontang,” balas Zue sambil memandang suaminya. Tetapi apa yang dia nampak hanyalah muka depan akhbar yang melindungi wajah Azmi. Dia mengeluh perlahan.
Kata-kata Zue diakui diam-diam. Memang benar, dia sukakan kuih tat nenas yang dibuat oleh rakan sepejabat Zue tetapi tahun ini, dia rasa dia harus berkorban rasa. Kalau beli pun mungkin hanya sebalang sahaja. Tidak sebanyak selalu. Sayangnya… dia tidak sampai hati mahu memberitahu Zue.
“Kita belilah banyak sikit, bang. Kuih tu sedap, mak abang kat kampung pun suka,” Zue bersuara lagi.
Surat khabar dilipat semula. Rasanya tidak guna lagi dia menatap helaian akhbar yang tidak difahami langsung. Semuanya sudah nampak kosong seperti helaian kertas putih.
“Bang…” Zue memanggil lagi. “Tahun ni kita ganti langsir ya, bang. Tahun lepas kita tak ganti, abang kata tahun ni.”
Nafas Azmi rasa tertahan. Tidak terhela, tidak juga terlepas. Semuanya bagaikan bersesak-sesak dalam dada. Lama dia terdiam. Makin buntu fikirannya apabila melihat senyuman di wajah Zue.
“Abang nak ke mana tu?” Zue bertanya sewaktu dia mengangkat punggung dan menuju ke bilik tidur.
“Nak solat,” balasnya. Hanya itu yang boleh membuat dia tenang. Tiada jalan lain.
*****
Sehari selepas itu semasa  Azmi di pejabat…
“Ini Encik Azmi?” Seorang wanita bersuara di hujung telefon. Nadanya begitu serius.
“Ya, saya. Ini siapa?” Dada Azmi berdebar-debar. Dia seperti dapat menghidu masalah yang sedang mengintai-intai hidupnya.
“Saya dari OPK cawangan ibu pejabat. Berkenaan rumah yang encik beli dulu di Semenyih,” jawab wanita itu.
OPK? Bagaikan dilanggar lori 5 tan, segala pancainderanya terhenti sesaat. Dia memejamkan mata.
“Kami dah nak failkan notis kebankrapan kepada encik. Encik ada hutang sebanyak 72 ribu dengan kami pasal rumah tu.”
Notis kebankrapan? Jantungnya pula terasa sakit. Dia terdiam agak lama. Bukan dia tidak tahu masalah itu tetapi dia hanya mengharap agar mempunyai masa untuk menjelaskannya. Dia baru sahaja bangkit dari masalah hidup yang menimpanya tujuh tahun lalu. Mengapa? Mengapa di saat-saat seperti itu perkara itu harus dibangkitkan? Kenapa tidak datang selepas hari raya?
“Kalau encik boleh bayar 6 ribu dalam minggu ni, saya boleh bertolak ansur. Saya boleh tarik notis ni.” Wanita itu terus bersuara lagi.
“6 ribu? Kurang lagi tak boleh, puan?”
“Sebab dah lama sangat. Tapi apa-apa pun boleh tak Encik Azmi datang ke pejabat kami untuk berbincang dengan kami?”
“Bila?”
“Selewat-lewatnya tiga hari lagi.”
“Tapi saya tak ada duit sebanyak tu,” balas Azmi. Dari mana dia boleh dapatkan duit sebanyak itu dalam masa 3 hari?
“Berapa agaknya encik boleh bayar?”
“2 ribu?” Rasa tercekik lehernya. Duit sebanyak itu pun dia tidak ada sebenarnya.
“2 ribu?”
“2 ribu… selepas tu saya ansur lima ratus ringgit sebulan.”
“Macam nilah, encik datang sini dulu berbincang dengan kami.”
“Baiklah, lagi tiga hari saya datang,” balas Azmi setelah mendapatkan nama pegawai yang perlu ditemuinya nanti. Dia termenung di hadapan telefon. Yang tinggal pada dirinya benar-benar adalah nyawa.
******


Di rumah…
“Tahun ni… baju raya kita warna apa, abah?” tanya Aina semasa semuanya duduk di ruang tamu.
Azmi hanya terkebil-kebil. Dalam kepalanya sudah tidak ingat warma apa yang wujud di atas muka bumi ini. Semuanya nampak hitam sahaja, sehitam masa depannya sekarang.
“Kawan Aina dah beli baju raya. Dia cakap warna merah. Kita beli warna merah juga, nak?” Aina sambung celotehnya apabila Azmi terus mendiamkan diri.
“Abah kau tu mana nak pakai sedondon macam keluarga lain? Tengok tahun lepas. Kita semua pakai biru, dia sorang pakai kelabu,” sampuk Zue pula.
Aina dan Shafiq yang mendengar perbualan itu hanya terlopong. Mereka berdua memandang wajah ibu bapa mereka silih berganti.
“Tahun ni kita semua pakai baju warna ungu.” Zue buat keputusan lagi. “Yang dah siap, banyak kat pasaraya tu. Kita beli saja, tak payah tempah-tempah.”
“Tak payahlah beli baju abang. Abang pakai baju lama tu sajalah.” Azmi rasa dia perlu juga menyampuk perbualan itu. Dia tidak boleh berdiam diri.
Zue menoleh ke arah Azmi. Berkerut dahinya, redup matanya. “Baju tu dah tiga kali raya abang pakai. Abang tak malu ke? Macam kita ni tak ada duit sangat sampai baju melayu sehelai pun tak berganti.”
Panas nafas yang dirasa. Ingin sahaja dia menjawab, Ya, Ya! Ya! Ya, kita dah miskin. Kita dah tak ada duit nak raya malah nak teruskan hidup sehingga hujung bulan nanti pun, belum tahu bagaimana. Mujurlah beras sebulan sudah dibeli, tetapi tidak mungkin anak-anaknya mahu makan beras semata-mata. Tetapi dia hanya menghela nafas berat sebelum mengangkat punggung meninggalkan tempat itu.
*****
Sehari selepas itu…
“Nah!” Osman hulurkan sepucuk sampul surat yang agak kembung rupanya kepada Azmi.
“Terima kasih,” balas Azmi. Menggigil tangannya menerima sampul surat yang mengandungi wang sejumlah dua ribu ringgit. Duit yang harus dibayar kepada OPK esok hari.
Osman angguk sahaja. Wajahnya tetap tenang.
Azmi mengeluh panjang. Dia bukannya jenis yang suka meminjam-minjam duit orang. Dia rasa segan yang bukan kepalang kepada Osman. Sekarang, mengangkat muka memandang muka Osman pun dia rasa tidak sanggup. Tetapi notis kebangkarapan itu harus dihentikan, jika berlaku hidupnya akan menjadi lebih gelap.
“Jangan susah hati sangat,” tegur Osman.
Dia tidak tahu mahu membalas apa. Memang dia susah hati. Ansuran yang bertambah akan menyebabkan kewangannya semakin sempit. Ada perbelanjaan yang harus dipotong sedangkan selama ini pun segalanya sudah cukup-cukup sahaja, tidak berbaki. Kerana itu dia tidak ada duit simpanan. Zue juga begitu.
“Berdoalah pada Tuhan kerana dia yang memegang rezeki kita, mengadulah pada Dia Jangan sekali-kali putus harap. Kalau tak diberikan pertolongan dari segi duit, mohon diberi ketenangan akal dan perasaan. Insya-Allah dari situ kau akan nampak jalan,” pujuk Osman lagi.
Azmi tarik nafas lagi. Akhirnya dia angguk.
******
Malam itu di atas sejadah, Azmi menadah tangan berdoa. Dia akui kesilapannya, dia akui dosa-dosanya, dia mohon dibantu dengan ketenangan hati. Dia mohon diberi ketabahan untuk berdepan dengan segala masalah yang melanda akhir-akhir ini sehingga sesak jiwanya. Akhirnya dia menangis tersedu-sedu. Dia sujud sekali lagi.
Dia benar-benar berserah. Dia benar-benar menyerah. Dia benar-benar tidak ada yang lain selain Allah SWT dan hanya pada-Nya dia serahkan kembali segala-galanya. Dia sudah tidak berdaya, dia sudah tidak ada apa-apa selain yang diberikan kepadanya. Dia sudah rasa sekering Sahara… Lama dia begitu, sehinggalah dia bertemu dengan satu detik di mana segalanya berakhir. 
“Abang…” tegur Zue yang rupa-rupanya sudah lama duduk di belakangnya.
Apabila terdengar suara Zue yang memanggil, Azmi bangkit semula dari sujudnya. Dia keringkan air mata sebelum menoleh.
“Abang… abang bising ke hingga Zue terjaga?” Dia lipat sejadah semula. Dia tidak sangka Zue menyedari perbuatannya. 
Tangan Zue hinggap di bahunya. Cukup erat.
“Sudah beberapa malam Zue lihat abang bangun solat tengah malam. Abang … ada masalah ke?”
Azmi tidak membalas terus.  Dia mengharap Zue memahami bahasa diamnya.
“Apa masalahnya, bang? Kenapa tak beritahu Zue?”
Azmi telan air liur.
“Abang tak mahu Zue susah hati. Zue kan ada sakit jantung? Abang tak nak beri tekanan pada Zue.” Dia berterus-terang juga akhirnya, sekaligus mengakui ada masalah yang sedang wujud.
Mendengarkan jawapan Azmi, Zue seperti terkedu sehinggakan terdiam.
“Tapi abang tak boleh tanggung masalah sorang-sorang. Mana tahu kalau Zue boleh bantu berikan cadangan,” katanya setelah mampu bersuara.
Tetapi Azmi menggeleng.
“Tak apalah, abang boleh tanggung lagi. Cuma… cuma… kali ni kita terpaksa beraya ala-kadar. Abang rasa abang tak mampu nak tanggung perbelanjaan seperti tahun lalu. Abang harap Zue boleh faham dari segi itu….”
Zue tundukkan pandangan matanya ke bawah.
“Zue faham. Tapi… kalau abang perlukan duit, Zue ada lima belas ribu dalam bank.”
Azmi angkat muka dan memandang Zue. Dia tidak faham dari mana datangnya duit sebanyak itu. Setahu dia, Zue tidak ada duit simpanan. Hidup mereka berdua cukup-cukup sahaja.
“Duit jual tanah pusaka dekat kampung Zue. Baru saja Abang Long masukkan siang tadi. Zue tak sempat lagi nak beritahu abang.”
“Tapi tu duit Zue.”
“Duit Zue, duit abang juga. Kalau abang nak pakai duit tu untuk bayar apa-apa, gunakanlah, Zue izinkan,” kata Zue.
Azmi tersenyum. Dia sentuh kepala Zue dengan lembut, kemudian ditarik rapat ke bibirnya. Dia mengalirkan air mata lagi. Dia bersyukur pertolongan Tuhan datang tepat pada masanya… Dia bersyukur.

TAMAT

8 comments:

  1. Ish3x... macam pernah lalui situasi macam ni. Memang sesak nafas dan semput. Tapi Alhamdulillah! Pertolongan Allah sentiasa datang tanpa diduga...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rasanya semua orang akan mengalami satu detik yang betul-betul rendah dalam hidupnya...kalau tak kuat, itu yang membawa kepada keputusan yang salah kan. Pada along kita perlu sentiasa berpegang kepada tali Allah SWT sebab kita tak tahu bila detik itu akan sampai...

      Delete
  2. Satu masa dulu kami sekeluarga pernah mengalaminya. Dapat relate betul dengan cerita akak ni. *skg ni akak selalu buat air mata saya bergenang2* huhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak pun pernah alaminya... hanya tinggal Tuhan. Masa tu masih bujang, hidup sebatang kara..

      Delete
  3. Spt biasa, akak berjaya menyentuh hati...

    ReplyDelete
  4. Betul2 Tersentuh dgn cerita ni.. Terima kasih kak Maria.. - Zieha Alias

    ReplyDelete
  5. betul.....selain Allah, kerjasama antara suami dan isteri amat penting bila menempuh hari2 yg sukar begini.

    ReplyDelete