Sunday, July 22, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 30 dan terakhir


PADA tengah hari Ramadhan yang terakhir itu, Borhan mengajak Adam bertemu. Kali ini dia memilih untuk bertemu di Pantai Batu Hitam, kira-kira 10 kilometer dari bandar Kuantan.
“Kenapa jauh sangat ni, encik?” tegur Adam sebaik sahaja tiba di situ dan disambut angin laut yang menderu-deru.
“Dah nak balik kampung ke?” tanya Borhan pula. Dia tahu petang itu Adam sekeluarga akan berangkat balik ke kampungnya untuk beraya tetapi dia juga tidak boleh menunggu lagi.
“Petang nanti. Tunggu orang rumah balik kerja pukul 3.00 petang,” balas Adam pula.
“Anak siapa jaga?”
“Di rumah pengasuh,” jawab Adam. “Tapi tentu bukan sebab itu encik panggil saya ke sini, kan?”
Borhan ketawa kecil. Lantas dia mengajak Adam duduk di bawah sepohon pokok yang rendang.
“Saya pun tak tahu macam mana nak cakap dekat awak perkara ni tapi… saya dah tak ada orang lain yang saya percaya boleh membantu saya selain awak.” Borhan meluahkan isi hatinya sejujur-jujurnya.
“Berat sangat bunyinya tu, encik.”
Borhan angguk lalu mula menceritakan segala yang berlaku beberapa hari kebelakangan ini.
Adam hanya mendengar dengan teliti dan kemudiannya termenung jauh.
“Pada pendapat awak, apa yang saya harus buat sekarang?” tanya Borhan setelah habis bercerita.
“Saya ada dengar kes tembakan tu. Tak sangka pula encik terlibat.”
“Saya sendiri pun tak sedar jika tak diberitahu oleh Pak Harun.”
Adam mengeluh panjang. Dia tunduk memandang pasir di hadapannya. “Saya rasa kita kena dapatkan maklumat untuk mengesahkannya.”
“Awak ada cara?”
Adam angguk. Memang dia ada cara. “Saya akan dapatkan secepat mungkin. Kalau benar tuanlah sasarannya, kita kena fikirkan cara untuk memintas rancangan tersebut. Tapi yang pentingnya sekarang ialah mencari siapa dalangnya dan apa motifnya.”
“Saya terpaksa serahkan pada awak. Saya tak tahu apa-apa,” kata Borhan lagi.
“Setahu saya arwah datuk encik seorang ahli perniagaan yang baik.”
“Awak bercakap seperti awak mengenalinya.” Borhan sebenarnya terkejut dengan kenyataan yang lahir dari bibir Adam.
Adam menggeleng. “Saya tak kenal dia, cuma pernah dengar nama dia sesekali dua tapi… siapa yang tak ada dalam senarai hitam, bermakna dia dalam senarai putih.”
Borhan merenung wajah Adam lama-lama. Dia tidak faham langsung apa yang Adam bebelkan.
“Jangan bimbang. Maksudnya arwah datuk encik tak terbabit dalam kerja-kerja yang melibatkan kongsi gelap atau lain-lain aktiviti haram. Kalau ada, saya pasti tahu.”
“Macam mana awak tahu?”
Adam tersenyum sahaja. “Kerja macam saya ni, encik. Perlu banyak contact.”
“Jadi awak boleh tolong saya?”
“Insya-Allah,” balas Adam lagi.
Borhan memandang jauh ke laut. Dia tidak pasti apa yang sedang menantinya sekarang.
“Encik,” panggil Adam sewaktu mereka mahu meninggalkan tempat itu.
Borhan berpaling ke arah Adam.
“Saya akan hubungi encik sebaik saja dapat maklumat,” tambah Adam. “Tapi sementara tu kalau boleh… jangan keluar rumah sangat.”
Borhan angguk daripada jauh. Dia juga berharap tekaan mereka semua tidak tepat.
N
DENTUMAN mercun masih kedengaran di sana sini. Rumah-rumah terang benderang dengan lampu pelbagai warna dan pelita yang berderet-deretan. Kanak-kanak riang berlari-lari di hadapan rumah. Berebut bunga api atau sekadar bermain pelita yang setahun sekali dapat dilihat. Hanisa hanya memerhati dari jauh.
Malam itu malam raya. Sayup-sayup kedengaran orang bertakbir raya di masjid-masjid. Namun di pangsapuri Hanisa sunyi sepi. Tidak ada bau rendang dan tidak ada bau lemang. Tidak ada bunga api, apa lagi pelita. Semuanya gelap dan sunyi. Sesunyi hatinya pada setiap malam menjelangnya hari raya.
Hanisa menghempaskan tubuhnya ke atas sofa mewah berwarna krim. Dia menelentang memandang siling. Sebelah tangan kanannya diletakkan ke atas dahi. Dia termenung jauh sambil meleraikan keletihan bekerja.
“Kenapa Hani nak tinggalkan rumah ni? Ini rumah Hani juga, nak,” pujuk Mak Som hampir lapan tahun yang lalu. Waktu itu Hanisa sedang mengemaskan segala pakaian dan buku-bukunya untuk dibawa pindah ke rumah sewa.
“Tidak, Mak Som. Dulu mungkinlah sebab ayah dan ibu masih ada. Sekarang mereka dah tak ada. Siapalah Hani untuk mengaku ini semua milik Hani.”
“Tapi rumah ini tempat Hani membesar,” bantah Mak Som. Masih cuba mencegah Hanisa daripada meninggalkan rumah besar itu.
“Itu dulu. Sekarang Hani dah besar, dah boleh berdikari dan hidup sendiri. Biarlah anak-anak abang Ikram yang membesar di sini pula.” Hanisa memegang tangan Mak Som kuat-kuat. Cuba meyakinkan atau cuba membuat Mak Som menyedari sesuatu yang penting.
“Ini semua pasal Kak Farah, kan?” Suara Mak Som kedengaran lembut tetapi penuh bermakna.
Hanisa tidak menjawab. Soalan itu terlalu rumit untuk dijawab dengan sekadar ya ataupun tidak. Biarlah dia sahaja yang tahu.
“Mak Som tahu apa yang berlaku di belakang Ikram. Farah selalu tanya-tanya pasal Hani. Dia sibuk menghasut Mak Som dengan pelbagai cerita. Tapi dia lupa, Mak Som yang mengasuh Hani sejak kecil. Mak Som lebih kenal Hani daripada dia.”
“Biarlah, Mak Som. Lagipun kata-kata Kak Farah tu betul. Siapalah Hani untuk tinggal di sini. Makin lama nanti, makin habis pula harta ayah masuk ke perut Hani ni,” jawab Hanisa pantas. Hatinya mula gelisah bila teringatkan sindiran Farah, isteri Abang Ikram.
“Ikram tahu tak ni? Mak Som pasti dia tak tahu, kan?”
“Tahu ataupun tak, dua-dua tak menjadi soal, Mak Som. Abang Ikram tak boleh menghalang Hani keluar dari rumah ini.”
Mak Som mengeluh. “Hani jangan lupakan Mak Som ya.” Air mata Mak Som mula mengalir di pipinya yang berkedut seribu.
“Saya takkan lupakan, Mak Som. Mak Som juga ibu Hani. Halalkan segala apa yang termakan dan terminum. Maafkan segala salah dan silap Hani kepada Mak Som dari kecil hingga sekarang.” Hanisa tunduk mencium tangan Mak Som. Insan yang menjaga dan mengasuhnya sejak kecil. Betapa besarnya jasa insan mulia itu, di tangan Mak Somlah dia membesar menjadi seorang manusia.
“Nak ke mana pula ni, Hani?” Tiba-tiba terdengar suara lembut menegurnya dari belakang.
Hani menoleh sekilas. Dia kenal benar pemilik suara itu. “Hani nak pindah rumah sewa dekat dengan kolej,” jawab Hanisa sambil berdiri menarik zip beg pakaiannya.
Farah, yang sedang hamil enam bulan itu hanya terpinga-pinga melihat wajah Mak Som yang kelat. “Tak tunggu Abang Ikram balik dulu? Nanti dia tertanya-tanya pula.”
“Tak payahlah, Hani dah panggil teksi. Dah sampai pun di bawah tu.” Hanisa mengangkat beg pakaian berodanya ke bawah. Kotak yang berisi buku-bukunya sudah lama dihantar ke halaman rumah.
Farah dan Mak Som mengekori Hanisa ke bawah sambil membisu.
“Mak Som telefon Ikram dulu ya,” kata Mak Som keresahan.
    “Hisy, Mak Som ni, buat apa diganggu Abang Ikram tu? Dia sedang mesyuarat,” tegah Farah cepat.
Hanisa tersenyum sinis. “Yalah, Mak Som. Jangan ganggu Abang Ikram. Mak Som jaga diri baik-baik ya. Jangan kerja kuat sangat nanti sakit tulang belakang tu. Jangan lupa makan Kalsium dan multivitamin.” Hanisa menyampaikan amanat terakhirnya. Teksi sudah menunggu di luar pagar.
Hanya anggukan lemah yang diberikan Mak Som sebagai jawapan. Anggukan daripada seorang yang tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Dan itulah kali terakhir dia melihat wajah Mak Som lagi.
Air mata Hanisa meleleh perlahan menuruni kedua belah pipinya. Rindunya pada Mak Som telah membawa ingatannya jauh ke belakang. Sakit di hatinya tak dapat dihilangkan. Rasa rindu yang bertapak itu semakin menyeksakan.
Namun dia tahu tiada penawarnya. Apa yang telah berlalu telah berlalu. Mustahil kehidupan indah itu akan berulang lagi.
Lalu tangisannya jadi bertambah kuat. Air matanya bercurahan sehingga menyebabkan kedua belah matanya bengkak. Takbir raya yang berkumandang di kaca televisyen, merentap dan mengoyak tangkai hatinya. Luluh dan pilu tak dapat ditahan lagi. Rindunya pada kehidupan yang lalu membuat dia terjatuh lesu.
Dear diary,
Sampai ke saat ini, aku masih tak percaya dengan apa yang telah aku alami hari ini. Aku ke rumah dia untuk memulangkan hamper tetapi berakhir dengan menganyam sarung ketupat.
Di saat itu, segala perasaanku yang telah terkambus kini muncul semula. Betapa aku merindui Syawal bersama keluargaku seperti dahulu… 
Sehingga kini aku masih melayaninya dengan dingin, aku tak mahu dia salah sangka. Sedangkan hakikatnya kami tidak ada harapan walaupun sama-sama anak yang kesepian di malam Syawal ini.
 ******************************
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pembaca setia cerita SETEGUH ILALANG yang sudah pun sampai ke bab 30.
Seperti yang sudah saya maklumkan sebelum ini, kisah ini akan disiarkan setakat ini sahaja dan kisah sepenuhnya sepanjang 100+ bab  dan 720+ muka surat.
Novel ini sedang dicetak dan dijangka siap pada hujung bulan ataupun awal Ogos nanti.
Sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya boleh hubungi saya terus melalui e-mel pnmaria1@gmail.com.
Kisah ini akan terus  menyelongkar misteri kehilangan bapa saudara Borhan dan punca mengapa Hanisa melarikan diri daripada kehidupan lamanya. Ia juga akan mencari jawapan siapakah yang mahu menghapuskan Borhan, apa motifnya 
dan juga apakah yang terjadi kepada perhubungan di antara Hanisa dan Borhan sendiri.
Jawapannya hanya ada dalam novel SETEGUH ILALANG.

Seperti yang saya maklumkan dulu juga, selepas ini saya akan menyiarkan sebuah manuskrip baru yang bertajuk GLAS...Z di sini.
Semoga anda terus sudi memberikan sokongan.

salam sayang dari meja.
MK

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.