Tuesday, April 5, 2011

Teaser JANJI JULIA : Bab 8


KENDERAAN itu berhenti tidak sampai 20 meter dari tempat Julia dan Mimi bersembunyi. Beberapa orang penjenayah turun dari pacuan empat roda itu dan mula menyelongkar beberapa buah kenderaan di situ. Ternyata mereka belum berpuas hati. Beberapa das tembakan juga dilepaskan walau entah kepada siapa. Tidak lama selepas itu kenderaan itu bergerak semula menuju ke utara. Julia dan Mimi tercungap-cungap menghela nafas.

Beberapa minit telah berlalu. Keadaan di situ kembali senyap sunyi daripada suara-suara manusia. Yang ada hanyalah suara burung dan serangga dari ladang yang semakin rancak menyambut ketibaan malam.

"Kau okey?” bisik Julia ke telinga Mimi.

Mimi mengangguk.“Kita dah selamat?”

“Mungkin. Biar aku jenguk,” balas Julia seraya bangkit berdiri tetapi ditahan oleh Mimi. “Tak apa, mereka dah pergi. Biar aku tengok,” kata Julia seraya melepaskan pegangan tangan Mimi. Dia memanjat naik ke tepi tebing lalu mengintai ke lebuh raya. “Tak ada sesiapa. Mereka dah pergi.” Dia lantas menggelongsor turun semula ke bawah. Dia menghela nafas sepuas-puasnya.

“Apa kita nak buat sekarang?” tanya Mimi.

“Takkan kita nak tunggu di sini ataupun tinggal di lebuh raya? Aku tak sanggup tinggal dengan mayat-mayat tu,” jawab Julia. Bulu tengkuknya mula meremang dengan tiba-tiba.

Mimi terdiam seketika. “Habis, kita nak pergi ke mana?”

“Kita bermalam di ladang tu sementara dapat cari jalan lain ataupun minta pertolongan daripada penduduk kampung di sekitar sini,” jawab Julia sambil memuncungkan mulut ke arah ladang yang kelihatan gelap-gelita.

Dahi Mimi berkerut. “Ladang tu?”

“Habis, takkan kita nak tunggu di sini? Buatnya malam nanti mereka meronda lebuh raya lagi, macam mana? Kalau siang, lagi bahaya. Nampaknya mereka macam tak boleh tengok manusia.”
Mimi termenung. Mereka tidak ada pilihan kedua. “Gelaplah. Aku tak pernah masuk ke dalam tempat yang gelap macam tu,” rengek Mimi.

Julia juga memandang ke arah ladang kelapa sawit itu. Dia juga sedar apa yang ditakuti oleh Mimi. Namun buat masa sekarang, dia lebih risaukan penjenayah-penjenayah itu berbanding kegelapan yang belum tentu apa isinya.

“Marilah, kita bersembunyi di sana. Mungkin kegelapan tu yang terbaik untuk kita sekarang,” katanya sambil menarik lengan Mimi.

*****

Dalam hutan di kaki gunung...

Simon terus sahaja bersiul. Walaupun perutnya berkeroncong, namun malam yang mula tiba memaksanya segera ke sungai untuk membersihkan diri. Dia mengerling ke arah bangsal. Dua mangkuk mi sudah siap di atas meja. Cuma mi kosong dengan beberapa helai daun pegaga yang dikutip di tepi hutan. Jangan bermimpilah ada ayam ataupun sotong. Kedua-duanya sudah berbulan-bulan tidak dirasa. Ayam dan sardin dalam tin pun sudah lama habis. Yang tinggal kini hanyalah sedikit beras, sedikit tepung dan beberapa bungkus mi segera.

Setelah menutup mangkuk dengan piring, Simon melangkah ke arah sungai dengan tenang. Namun langkahnya terpaku dengan tiba-tiba.

“Idzham!” Dia berlari selaju mungkin apabila menyedari apa yang telah berlaku. Tidak tahu berapa kelajuan dia melangkah tetapi sekejap sahaja dia sudah tiba di pinggir sungai. “Macam mana boleh jatuh?” Dia mula menggelabah.

Idzham berkerut muka. Tulang pahanya berasa sangat sakit, bahkan pinggulnya sungguh ngilu apabila digerakkan. Dia mengerang apabila Simon cuba menariknya ke atas.

“Kaki kau patah?” tanya Simon lagi seraya memeriksa betis Idzham. Kini tubuh Idzham kotor semula. Pasir dan tanah menyelaputi tubuh Idzham yang masih basah.

Idzham terus mengerang sambil mengetap gigi. Dia menahan sakit sekuat yang dia mampu, namun air matanya terhambur juga. Dia mencengkam lengan Simon apabila Simon cuba membengkokkan kakinya. Dia menggeleng.

“Kau boleh bangun tak? Aku papah kau ke khemah ya,” ujar Simon seraya menarik bahu Idzham sekuat hati.

Idzham mengerang lagi. Namun dia tetap menggagahkan dirinya untuk berdiri sambil berpaut kepada Simon. Dia berdiri dengan sebelah kaki. Kaki kanannya tidak boleh dicecah ke tanah langsung. Itu pun matanya terasa berpinar kerana nafasnya menjadi sesak. Dahinya berpeluh menahan rasa sakit.

“Jalan perlahan-lahan,” kata Simon sambil memapah Idzham.

Idzham terjengket-jengket ke arah khemah yang hanya kira-kira 50 meter dari pinggir sungai. Namun bagi Idzham, jarak itu berganda-ganda jauhnya. Dia melangkah setapak demi setapak sambil menahan sakit.

*****

“Baring dulu,” Simon merebahkan tubuh Idzham ke tempat tidurnya.

Idzham tidak membantah. Sebaik-baik sahaja pinggulnya mencecah lantai, dia mengerang dengan nyaring. Dia segera mengiringkan tubuhnya ke sebelah kiri. Nafasnya tercungap-cungap. Peluh memercik dari setiap liang roma tubuhnya yang berkulit sawo matang.

Simon ternganga. “Aku kesiankan kau tapi aku tak tahu nak buat macam mana,” katanya. Dia mula tidak senang duduk melihat Idzham begitu. “Nak aku urut? Tapi aku tak tahu urut,” katanya lagi sambil memicit-micit kaki Idzham.

Idzham menolak tangan Simon. Dia segera menggeleng. Kesakitan tidak berkurangan, malah bertambah-tambah.

“Aku bersihkan badan kau dulu ya. Nanti basah pula tempat tidur ni,” kata Simon sambil mencari tuala dan T-shirt Idzham yang kering. Sehelai kain pelekat yang tergantung pada tali khemah juga ditarik masuk.

Belum sempat dibantah, Simon sudah mula mengelap tubuh Idzham yang bersalut pasir sungai. Sehelai baju disarungkan ke leher Idzham dan ditarik masuk dengan berhati-hati. Selepas itu dia menyarungkan pula kain pelekat ke kaki Idzham. Cuma kali ini Idzham tersentak dan menendang.

“Argh!” Idzham mengerang.

Simon tidak peduli. Dia terus sahaja menarik kain pelekat itu hingga ke atas dan akhirnya Idzham terlentok lemah. Dia hampir pengsan.

“Sorry, sorry. Sakit?” Simon duduk termenung di sisi Idzham.

Idzham menggenggam tangan Simon kuat-kuat. Dia tahu Simon sedang bersusah hati kerananya.

“Kau makan sikit ya,” kata Simon sambil memegang bahu Idzham.

Idzham menggeleng.

“Mana boleh tak makan. Kau kena makan sikit, lepas tu makan ubat tahan sakit. Sekurang-kurangnya mungkin kau tak sakit sangat sampai pagi esok,” kata Simon. Tanpa menunggu jawapan Idzham, dia segera bangkit melangkah keluar dari khemah. Mi yang ada di atas meja dibawa masuk ke dalam khemah berserta segelas air kosong. “Aku suap ya,” katanya lagi.

Idzham terkelip-kelip. Cahaya lampu kalimantang mudah alih yang terletak di tepi pintu masuk khemah menyilaukan matanya. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Simon. Wajah Simon yang cemas itu membuatkan dia berasa terharu. Bukan niatnya hendak menyusahkan Simon. Dia memberi isyarat jari.

Simon yang sibuk meniup mi terhenti. “Jangan cakap macam tu. Benda dah nak jadi, bukan kita minta,” kata Simon sambil menyuakan sesudu mi ke mulut Idzham.

Idzham teragak-agak untuk membuka mulut. Namun Simon tetap menunggu dan memaksa. Dan akhirnya dia beralah juga seperti budak kecil. Dia berasa sangat serba salah. Sudahlah sakit, sekarang menyusahkan orang lain pula.

“Jangan bimbang, kita kan kawan. Susah senang kita bersama-sama,” kata Simon sambil menyuakan air pula ke mulut Idzham. “Batu tu ada yang licin. Kau patut berhati-hati mandi di situ.”

Idzham mengangguk. Sememangnya dia tidak pernah mandi di kawasan itu. Cuma entah mengapa tergerak pula hatinya petang tadi untuk ke situ. Perkara sudah mahu terjadi dan dia sedar, dia kena reda. Di sebalik kesakitan itu, dia pasti akan ada hikmahnya. Namun buat seketika segala kesakitan itu terpaksa juga ditelan. Kaki kanannya terasa sejuk dan kebas. Pinggul kanannya masih terasa ngilu.

“Jangan fikir apa-apa dulu. Lepas makan ubat, kau tidur. Esok pagi, baru kita buat keputusan,” jawab Simon apabila terpandangkan isyarat jari Idzham.

Idzham cuma merenung atap khemah. Bagaikan ternampak-nampak pokok Setuah Biru dalam genggaman. Namun apa daya, entah bila saat itu akan menjadi nyata. Dia mencuit paha Simon.
“Okey, kau jangan bimbang. Biar aku yang buat semua tu. Kau makan ubat ni,” jawab Simon sambil menghulurkan sebiji pil tahan sakit berwarna oren.

Kali ini Idzham malas berbantah-bantahan lagi. Pil yang dihulur segera ditelan. Mungkin itulah yang terbaik pada waktu itu walaupun dia tahu tidak selamanya sakit itu akan hilang.

“Tidur. Jangan banyak fikir,” kata Simon seraya mengangkat mangkuk dan gelas keluar.

Lampu kalimantang mudah alih dijauhkan sedikit. Suasana di situ menjadi remang-remang sahaja. Khemah bersaiz 10 kaki kali 8 kaki itu cukup selesa untuk mereka berdua selama ini. Namun malam itu, ia menjadi saksi ke atas air mata Idzham yang tumpah kerana menahan rasa sakit yang bukan sedikit.

*****


Idzham cuba memejamkan matanya. Dia cuba mengalihkan mindanya jauh daripada rasa sakit yang mencucuk-cucuk di pinggulnya. Namun dia gagal. Dia sedar, satu demi satu perkara malang yang menimpa mereka. Ada rasa khuatir yang mengganggu jiwanya. Bagaimana jika esok kakinya masih sakit? Bagaimana jika kecederaan itu sebenarnya lebih parah atau bertambah teruk? Fikirannya ligat berfikir, namun terimbau ke masa lalu.

“Setuah Biru, pusaka hutan untuk kita. Kemampuannya tak ada tandingan. Namun kewujudannya perlu dirahsiakan. Sebab itu tak tercatat dalam mana-mana buku perubatan baik Herbalogi, Homeopati mahupun Allopati.” Suara datuknya terngiang-ngiang di telinganya dengan tiba-tiba.

‘Saya bukan nak dedahkan kepada dunia luar, tok. Cuma keadaan begitu mendesak,’ jawabnya dalam hati. Kalau tidak disebabkan wabak Rhyto99, dia sendiri tidak akan ke situ. Entah mengapa hatinya kuat merasakan yang Setuah Biru mampu menewaskan virus Rhyto99, ataupun sekurang-kurangnya dia telah berusaha membantu negara. Ingatannya terlontar jauh ke belakang semula. Wajah dan suara datuknya jelas terbayang.

“Pokok ini juga dipanggil pokok ‘Tujuh Beradik’. Ia hidup berkelompok di suatu kawasan. Jika terjumpa salah sebatang pokok, pasti akan jumpa pokok yang lain. Namun yang mana satu yang boleh menjadi penawar, itu soal lain. Itu, Am kena cari.”

Pada waktu itu Idzham masih menjadi pelajar jurusan Herbalogi di sebuah universiti tempatan. Segala ilmu perubatan herba turut diperturunkan kepada Idzham oleh datuknya kerana hanya Idzham, satu-satunya cucu yang meminati bidang itu. Sama seperti datuknya, seorang pengkaji tumbuhan herba lulusan luar negara.

Dia masih ingat, apa yang pernah ditanya kepada datuknya dan apa yang pernah ditunjukkan kepadanya pada waktu itu. Sebuah balang kaca yang mengandungi minyak wangi. Wangiannya seakan terbau-bau lagi ke hidungnya sehingga kini.

Balang kaca berwarna hitam itu dibuka oleh datuknya dengan berhati-hati. Semerbak bauan wangi mencucuk hidung apabila penutup balang terbuka lebar. Datuk Idzham menyeluk tangannya ke dalam balang lalu menyuakan tapak tangannya kepada Idzham. “Inilah rupanya Setuah Biru itu.” Sebatang pokok herba yang terawet baik berlingkar di tapak tangannya.

Dia juga masih ingat, apabila saat jarinya menyentuh buah pokok itu yang sebesar anggur hijau, buah itu masih kelihatan segar!

“Jangan ganggu pokok ni. Biarkan ia hidup aman kecuali jika berlaku malapetaka dan tak ada penawar lain yang ditemui. Setuah Biru juga tidak dibenarkan dicatat dalam mana-mana buku herba ataupun didokumentasikan dalam bentuk gambar ataupun apa-apa saja demi memastikan spesies ini hidup tanpa gangguan dan daripada jatuh ke tangan pihak lain yang akan menyalahgunakannya. Ini amanat tok. Simpan baik-baik,” kata datuknya lagi sambil menyerahkan balang itu kepada Idzham.

Sejak itu, balang itu disimpan sebagai kenangan. Namun pokok yang ada itu tidak dapat digunakan sebagai ubat lantaran kesannya telah ‘ditawarkan’ dengan minyak attar itu.

“Macam mana nak kenal yang mana satu Setuah Biru? Bila direbus, air rebusannya berwarna biru muda. Itulah dia.” Itulah pesanan terakhir datuknya, sebulan sebelum dia meninggal dunia enam tahun yang lalu. Sejak itu, dia tidak pernah membuka mulut kepada sesiapa pun sehinggalah wabak Rhyto99 melanda negara dan dia berasa terpanggil untuk membantu.

‘Tapi tok tak ajar macam mana nak guna dan berapa banyak nak diberi makan,’ kata hatinya pula. ‘Bahagian mana yang paling mujarab?’ Pelbagai persoalan menghantui benaknya.

Dalam menungan, dia mula membayangkan. Jika pokok Setuah Biru telah ditemui, dia akan bekerjasama dengan Simon untuk mengkajinya dengan lebih mendalam. Mungkin dari situ mereka akan tahu sesuatu yang lebih penting. Jika mahu dirujuk pun, sememangnya tidak ada kajian yang telah dibuat. Sesekali dia berasakan seperti meraba-raba dalam gelap. Semuanya pakai agak-agak.

Tiba-tiba, khemah diselak dari luar. Simon menjengah masuk. “Pokok tu bukan Setuah Biru, kena cari nombor empat,” katanya hampa.

Idzham tergamam. Jarinya pantas membuat isyarat.

“Aku dah rendam dalam air panas tapi airnya tak bertukar biru,” jawab Simon.

Idzham menghela nafas. Perasaan kecewa dan bimbang mula bercampur baur menjadi satu. Bagaimana dia dapat mencari Setuah Biru dalam keadaan sebegini?

“Tak apalah, esok aku pergi cari. Mesti ada dekat-dekat situ,” kata Simon dengan yakin sambil mengangkat punggung dan keluar dari khemah.

Mata Idzham membesar. ‘Cari? Simon nak pergi cari seorang diri?’ tanya hati kecilnya. Hatinya bertambah-tambah risau.



No comments:

Post a Comment