Sunday, June 10, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 10

Pengumuman:
Novel penuh SETEGUH ILALANG
akan diterbitkan pada bulan Julai 2012

SEPERTI kelaziman, Adam termenung sendirian di dalam pejabatnya yang hanya diterangi oleh cahaya daripada skrin komputer. Dalam kere- mangan suasana dia duduk berfikir dan melayani rasa hampanya yang belum hilang.
Dia menyemak semula fail-fail penyiasatan yang pernah dijalankan sebelum ini. Semuanya masih tersimpan kemas dalam komputer ribanya. Kebanyakannya kes-kes intipan dan pencarian bukti. Juga beberapa kes mencari orang yang menghilangkan diri.
Cuma satu kes yang melibatkan hal kehilangan anak yang lari dari rumah. Akhirnya gadis itu ditemui di negara Thailand, baru selesai berkahwin di sana. Rupa-rupanya kes cinta yang terhalang. Adam ingat benar kes itu. Kekecohan di antara dua keluarga yang akhirnya terpaksa meminta polis campur tangan. Secara keseluruhannya tidak ada kes yang tidak dapat diselesaikan olehnya. Dia cukup berasa bangga.
Namun kini, semua kes itu akan menjadi kenangan sahaja. Mungkin kariernya sebagai penyiasat persendirian akan berakhir sampai di situ. Adam termenung jauh. Jika kes yang baru ini tidak menjadi kenyataan, nampaknya dia tidak ada pilihan lain.
Hidup perlu diteruskan dengan apa cara sekalipun. Dapur masih perlu berasap, anak tetap perlu dibelikan susu dan janjinya pada Liana perlu ditunaikan.
Dia menghempaskan keluhan. Sekurang-kurangnya dia pernah melalui saat-saat yang manis walaupun mungkin ia akan menjadi sekadar pembakar semangat di kemudian hari.
Bersama rasa kecewa yang menggila, dia membelek telefon bimbit miliknya semula. Semua mesej yang dihantar tidak berbalas. Dia menekan nombor Borhan lalu menunggu. Lagi sekali hanya suara operator yang menjadi halwa telinganya. Hampir sahaja telefon itu dicampakkan ke luar tingkap.
Dia semakin buntu. Segalanya terlalu samar. Siapakah lelaki yang bernama Borhan itu? Dari mana dia memperolehi nombor telefon bimbitnya? Mengapa dia tiba-tiba menghilangkan diri? Segala-galanya membuatkan Adam semakin tertanya-tanya.
Tetapi esok dia akan berbuat sesuatu. Walau apa pun yang akan terjadi, dia tetap mahukan penjelasan. Sesukar mana pun, lelaki yang bernama Borhan itu akan tetap dicari. Dia mahu hidupnya kembali tenang. Supaya segalanya tidak menjadi misteri yang tidak mampu diselesaikan. Dia benci hidup diselubungi tanda tanya.
“Abang tak nak tidur lagi?” Liana tiba-tiba membuka pintu. Cahaya dari ruang tamu terus sahaja menerobos masuk hingga ke kaki meja.
“Tidurlah dulu. Abang ada kerja sikit lagi.” Adam menjawab acuh tak acuh. Jam di bawah skrin komputer sudah menunjukkan pukul 11.00 malam.
“Macam mana dengan kes baru abang? Apa yang perlu abang siasat pula kali ini?” Liana semakin mendekat.
“Belum tahu. Tadi, orang yang nak jumpa abang tu ada hal lain.” Dia menghela nafas.
“Bila boleh tahu? Bila abang akan jumpa dia?”
Adam hampir tersedak. Air sirap yang diteguknya diletakkan ke tepi.
“Tak pasti lagi,” jawabnya perlahan. Dia berdeham beberapa kali bagi melicinkan tekaknya yang kesat.
“Sudahlah, bang. Kalau orang tu tak mahu pakai khidmat abang, lupakan sajalah.” Liana mula menarik kerusi lalu duduk di hadapannya.
Adam mula gelisah. Dia sedar dia tidak boleh lagi menyembunyikan perkara yang sebenar daripada isterinya. Isterinya terlalu bijak untuk dibohongi walaupun secara halus. “Sabarlah, abang kena beri dia masa untuk menjelaskan segalanya.”
“Orang kaya memang macam tu. Senang-senang saja berjanji. Lepas tu tangguhkan.”
“Mengapa nak bangkitkan soal orang kaya orang miskin pula? Orang yang tak kaya pun selalu bersikap macam tu.” Adam tersenyum melihat wajah Liana yang mula masam mencuka. Muncung sudah sedepa.
“Orang miskin, tak pakai penyiasat persendirian macam abang. Tentulah orang kaya, kan?” Liana cuba mempertahankan hujahnya.
“Mungkin. Tapi biasanya pelanggan abang, bukan semuanya kaya. Ada yang biasa-biasa sahaja. Cuma kerana ada kepentingan tertentu, mereka terpaksa mengupah penyiasat persendirian juga.”
Isteri Adam mengangkat bahu. “Saya tahu abang sangat sukakan kerja abang tapi kadangkala kita perlu berfikir lebih jauh. Fikirkan tentang masa depan anak kita, Aiman.”
Adam terdiam. Kalau dijawab, pasti panjang lebar jadinya nanti.
“Carilah kerja tetap, bang. Susah jika bergantung dengan kerja yang tidak tentu masa macam ni. Kalau menoreh getah pun, sudah tentu ada pokok getah yang menunggu di ladang.”
“Abang tahu.” Itu sahaja jawapan Adam.
Melihatkan Adam tidak mahu melayan cakapnya, Liana bangkit berdiri. “Saya nak masuk tidur dulu. Abang buatlah kerja abang.”
“Sekejap lagi, abang masuk tidur,” jawab Adam. Matanya berpura-pura leka memerhati skrin. Sebaik sahaja tubuhnya isterinya hilang, dia kembali merenung bintang di langit.
Bulan semakin mengecil, tidak lama lagi Syawal akan menjelang tiba. Baju baru Aiman masih belum dibeli. Perasaannya mula sebak.
 Attribution: Jon Sullivan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.