Thursday, April 26, 2018

Karya Maria Kajiwa


Kehadiran novel TAKRUT melengkapkan lagi koleksi karya Maria Kajiwa. 
Semuanya bermula di blog ini satu ketika dahulu.
Terima kasih atas sokongan kawan-kawan.

yang benar,
Maria Kajiwa


Monday, April 16, 2018

Blurb TAKRUT-STESEN TERAKHIR


Blurb TAKRUT:

Seutas tangkal yang dipangggil Takrut Agung menjadi rebutan dua negara. Tangkal yang telah mengubah sejarah peperangan dan mengorbankan ribuan nyawa. Menyedari betapa besarnya kuasa tangkal tersebut, seorang sami menguncinya dengan mentera bersama nyawanya sendiri.

Masa berlalu, seorang pemuda bernama Wafiq dihantui penampakan yang menyerupai arwah ayahnya di mana-mana. Takut dan gelisah memaksa dia dan pembantu ayahnya mencari punca dan penyelesaian. Usaha itu membawa mereka ke Melaka demi mencari sebuah kitab lama. Rahsia demi rahsia terbongkar. Namun usaha mereka diancam dan dihalang banyak pihak.
“Lelaki yang pakai kain kuning. Badan dia penuh kudis. Muka dia macam muka ayah. Mana dia pergi?” 
“Muka macam ayah?” Kening Hamid terangkat tinggi. Dia ikut memerhati kawasan rumah itu. “Di mana Wafiq nampak?”

Apakah kaitan antara Wafiq dan tangkal yang telah berusia ratusan tahun itu?

Blurb STESEN TERAKHIR:

Pada tahun 1942, terdapat sebuah stesen keretapi di sebuah kampung lama di Melaka. Namun satu kejadian telah menyebabkan stesen itu terkubur dari sejarah dan dimansuhkan dari peta.

Tiga orang anak muda ke kampung itu untuk menjejak stesen keretapi yang terakhir itu namun secara tidak sengaja telah membuka pagar yang mengunci puaka tempat itu. Sejak itu hujan darah kembali turun dan pelbagai kejadian aneh berlaku. Penduduk kampung juga hilang seorang demi seorang.

“Air yang turun sudah bercampur darah, Awa. Sudah 50 tahun hal ini tak berlaku.” Pak Ismail.

Pak Ismail dan anaknya Imdad cuba menyelesaikan masalah itu dengan bantuan seorang gadis misteri bernama Muhayya. Namun dapatkah mereka menyelamatkan penduduk kampung sebelum terlambat? Apakah rahsia yang tersimpan di stesen keretapi tersebut?

Dapatkan buku ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan berlangsung di PWTC pada 27 hb April-6 May 2018 atau hubungi saya melalui e-mel : pnmaria1@gmail.com

Thursday, April 12, 2018

Antologi Puisi -Katil 21



Antologi Katil 21 - antologi puisi-puisi persahabatan yang didedikasikan khas buat seorang pemuisi Puan Norjannah MA. Buku ini mengandungi puisi-puisi daripada 73 orang penyair.

Saya juga telah menyumbangkan dua buah puisi di dalamnya sebagai tanda persahabatan dan sokongan kepada satu usaha yang murni.


TAKRUT -novel terbaharu saya


Assalamualaikum dan salam sejahtera

Alhamdulillah, dengan izin-Nya novel terbaharu saya yang bertajuk TAKRUT akan berada di pasaran mulai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bermula pada 27 April-6 May 2018 bertempat di PWTC, Kuala Lumpur.

Buku juga boleh dibeli secara online melalui Puan Zully Azizan (WhatApps 012- 331 2141)

Harga buku = RM 28.00   dan kos pos laju RM 8

Buku ini mengandungi 2 buah cerita yang berasingan dalam 1 buku.

Random teaser TAKRUT:


Nakhon Sawan
Tahun 1590

DARI pelantar rumahnya, Ukrit melontar pandang ke tengah sungai. Rumahnya yang menghadap titik pertemuan antara Sungai Nan dan Sungai Ping bagaikan saksi kepada titik permulaan terbentuknya Sungai Chao Phraya yang lebar dan keruh. Sungai yang menjadi paksi kepada sebuah negara yang kedaulatannya sedang dipertahankan daripada pencerobohan dan penjajahan pihak luar. Namun, hari ini hatinya diterpa tanda tanya. Wajah ayahnya lebih keruh daripada keruh air di Sungai Chao Phraya.
“Tentu ayah akan bertolak esok.” 
Keyakinan itu timbul memandangkan begitulah sikap ayahnya sebelum ke medan perang. Ayahnya akan mengasingkan diri dan berpuasa. Sebagai anak sulung kepada seorang pahlawan kepercayaan raja, dia juga harus bersedia sepanjang masa. Harus berani menerima apa sahaja kemungkinan termasuklah soal kematian. Cuma kali ini entah kenapa, apa yang terlakar pada wajah ayahnya tampak kusut benar. Dia jadi bimbang.

Random teaser STESEN TERAKHIR:
“Ikat orang ni dulu. Aku mahu melihatnya mati dulu!” Jenderal Tokuda meludah muka Dollah.
Arahan yang dikeluarkan segera dipatuhi. Anum meraung apabila mendapat tahu apa yang sedang berlaku. Begitu juga dengan orang kampung. Kesemuanya bertolak-tolak ke tepi landasan untuk melihat dengan lebih jelas.
Dollah dibawa turun ke landasan dan dipaksa berbaring menelungkup. Kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang. Dollah akur akan nasibnya. Dia tidak kesal. Di matanya hanya terbayang wajah Mayang dan Rashid.
“Tok...” Musa yang diikat di sebelah Dollah mula meracau. Air matanya membasahi pipi. Dia meronta tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan lagi.
Dollah tidak membalas. Kalau ada satu-satunya kekesalan dalam hati hanyalah apabila melihat orang kampung lainnya tersiksa. Apa yang telah dilakukan sudah jelas memberi kesan buruk. Namun untuk meminta maaf, hatinya belum terbuka.

Jemput dapatkan buku ini nanti. We Bring Experience To You.