Wednesday, April 9, 2014

Rahsia Gadis VIP : Bab 6



Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4


~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~


*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Bab 6

Dua minggu selepas itu...
HARI yang ditetapkan sudah tiba, Linda membaca semula salinan e-mel ketiga yang diterima daripada Sofia. Dalam e-mel tersebut tercatat beberapa arahan termasuklah di mana dia harus meletakkan keretanya. Setelah menghafal nombor pendaftaran kereta yang perlu dinaikinya, dia segera keluar dari kereta dan menguncinya.
Di tempat letak kereta di atas bumbung pasaraya itu, dia tercari-cari sebuah kereta Honda Accord. Itu pun dia, kata hatinya apabila terpandang sebuah kereta Honda Accord yang memiliki nombor pendaftaran yang telah diberikan oleh Sofia.
“Cik Melinda?” tanya pemandu kereta tersebut yang keluar sebaik sahaja ternampak Linda menghampiri keretanya.
Linda menelan air liur. Semua prosedur itu membuatkan dia berasa cemas. Terlalu kompleks. Siapakah yang dia akan jumpa di sana nanti?
“Ya, saya,” jawabnya.
“Nombor kod,” balas pemandu tersebut.
“99111.”
“Sila masuk.” Pemandu itu membukakan pintu kereta untuk Linda. Di tempat duduk belakang, Linda terpandang sebuah sampul surat besar yang tertera namanya di situ. Dia lantas membukanya dan mendapati ada sebuah topeng muka di dalamnya.
Bijak betul Sofia, kata hatinya.
Perjalanan ke Kurt’s Hill berjalan lancar. Di sepanjang perjalanan, dia hanya berdiam diri sambil menyaksikan permandangan di tepi-tepi jalan. Baginya kawasan itu tetap tidak jauh berubah walaupun masa sudah berganti masa.
Jalannya tetap kecil dan berbengkang-bengkok dan sesekali mereka tersua dengan tanah runtuh di kiri-kanan jalan. Kecut juga rasa perutnya. Cuma fikirannya lebih tertumpu kepada apa yang akan ditemui di Raphael’s Cottage nanti.
Setelah kira-kira dua jam setengah meninggalkan bandar raya, kereta yang membawanya sampai di luar sebuah pintu besi setinggi tujuh kaki. Dadanya berdebar kencang. Lalu tergesa-gesa dia memakai topeng.
Kereta yang membawanya meluncur masuk apabila pintu besi dibuka. Lalu bergerak di atas sebuah jalan kecil yang bertar elok membelah sebuah hutan di kiri-kanannya sejauh satu kilometer.
Dia tidak melihat sesiapa pun di situ namun jantungnya sudah hampir lucut dek debaran yang menggila. Timbul rasa menyesal sehinggakan dia mula berpeluh sejuk.
Akhirnya apabila kereta itu melepasi hutan itu, mereka tiba pula di suatu kawasan lapang yang hanya dipenuhi rumput yang pendek. Hanya apabila kereta menaiki sebuah bukit, mereka bertemu dengan sebuah lagi pintu masuk. Apabila pintu itu dibuka, dia boleh melihat sebuah rumah agam berwarna putih berdiri megah. Itulah Raphael’s Cottage.
Kereta yang dinaikinya bergerak laju mendekati rumah agam itu. Dari jauh lagi sudah kelihatan beberapa buah kereta berhenti menurunkan jemputan dan ada yang berpatah balik, mungkin untuk menjemput jemputan yang lain.
Bagi Linda, itu semua bak mimpi ngeri. Semakin dekat dia dengan rumah itu semakin dia tidak percaya yang dia akan mengunjungi rumah itu lagi.


“APA KHABAR, Linda?” kata Sofia yang menyambutnya sebaik sahaja pintu keretanya dibuka dari luar. Dia tidak memakai sebarang topeng.
Linda tergamam seketika. Dia keliru. Dan dalam masa yang sama dia terpegun melihat wajah Sofia yang bertambah anggun, selayaknya seorang wanita yang sudah berusia 27 tahun.
“Jangan bimbang. Aku tahu kau yang datang hanya daripada nombor pendaftaran kereta yang bawa kau ke sini. Kalau tak, aku pun tak cam siapa kau di balik topeng itu.” Sofia begitu ramah sambil mengajak Linda masuk ke dalam Raphael’s Cottage.
Begitu ke? Hati Linda berasa lega sedikit sehinggalah mereka masuk ke dalam rumah dan menuju ke pintu belakang yang terbuka lebar. Dari situ, Linda dapat melihat khemah-khemah putih yang tersedia menanti tetamu.
Tubuhnya terasa sejuk. Berdiri di situ seolah-olah melihat jauh ke belakang. Satu persatu kenangan di situ mula terbayang.
“Kenapa tercegat lagi? Pergilah,” tegur Sofia. “Meja kau di meja nombor 10. Shereen dah ada di sana.”
Sedar tidak sedar, Linda sudah berdiri di belakang Raphael’s Cottage yang menghadap tasik. Di situ ada tanah lapang tempat dia selalu bermain badminton ataupun duduk-duduk bercerita menghabiskan masa bersama Shereen dan Jazz satu ketika dahulu.
Petang itu, tanah lapang itu dipenuhi khemah, kerusi, meja dan tetamu yang mula berkumpul. Dia terpaksa meyakinkan diri bahawa semuanya sudah berubah dan dia tidak perlu takut lagi.
Sewaktu dia melangkah mencari mejanya, dia melihat ada banyak meja dan kerusi yang kesemuanya bertemakan warna putih. Begitu juga dengan khemah-khemah yang dipasang dan juga meja utama di sebelah kanan taman itu.
Kesemuanya serba putih dan ada sedikit warna merah terang mencuri tumpuan dengan kehadiran jambangan bunga ros segar di mana-mana. Setahu dia, itu kombinasi warna kesukaan umi.
“Dah lama sampai?” Linda menegur Shereen sebaik sahaja menarik kerusi rapat dengan gadis itu. Mujurlah tidak sukar mencari meja itu yang terletak di bahagian sebelah tepi.
Dari apa yang dipandang, sudah ada lebih kurang tiga puluh orang di situ tetapi dia tidak mengenali mereka langsung di sebalik topeng masing-masing. Sedikit sebanyak dia sendiri berasa lega. Tentu mereka juga tidak mengenalinya.
“Kau kenal aku?” Shereen spontan menoleh ke arah Linda. Dia cam suara Linda.
“Ingatan aku masih kuat. Lagipun, beberapa hari makan nasi di Malaysia belum berjaya mengubah susuk tubuh kau yang kurus cengkung tu,” balas Linda main-main.
Selain tahu yang duduk di meja nombor 10 itu ialah Shereen melalui Sofia tadi, bagi dia topeng yang dipakai Shereen tidak banyak mengubah penampilan Shereen yang sterotaip dan boleh dicam dengan mudah. Mungkin juga kerana mereka pernah tinggal sebilik di rumah itu dahulu dan Shereen amat gemar memakai cincin berbatu merah di jari kanannya.
“Kau boleh cam aku?” Shereen terkejut.
Linda ketawa kecil. Tidak sampai hatinya untuk menambah kerisauan hati Shereen. “Aku main-main ajelah. Sofia yang beritahu tadi.”
“Mujurlah dia beri kita topeng ni, kan? Kalau tak susah juga aku nak duduk di sini sambil berpura-pura aku tak kenal sesiapa. Bersih suci bak Sinderella yang sedang menunggu putera berkuda.”
“Apa salahnya?” Linda ketawa kecil. “Tapi aku setuju. Sofia bijak. Sekurang-kurang untuk beberapa jam lagi, kita tak perlu risau kalau ada orang yang kenal kita.”
“Jazz mana?”
“Entah. Tiga hari lepas, dia beritahu dia dah dapat tiket balik. Aku yakin dia akan datang juga.”
“Aku pun harap dia dapat datang. Aku nak minta autograf.  Dengan kawan, takkan Jazz nak kedekut juga?”
“Shhh… lebih baik kalau kita tak sebut nama itu,” balas Linda. “Kita sebut aje nama asalnya, Jasmina.”
Shereen angguk. Sedang mereka berbual-bual mengenai majlis itu, mereka ditegur seorang gadis.
*****
 “JAS… Jasmina?” Linda terus berdiri apabila didekati seorang gadis yang berblaus putih dengan skarf merah di rambutnya. Di balik topeng itu, dia yakin itu Jazz.
Mereka berpelukan sekejap sebelum Linda menarik Jazz duduk di sebelahnya. Kini mereka bertiga duduk rapat-rapat menghadap sebuah meja bulat yang hanya dihiasi sejambangan bunga ros merah segar.
“Bila kau sampai?” bisik Linda sambil diperhatikan oleh Shereen.
“Semalam. Cuma… kau tahu ajelah, kan? Sekejap masuk toilet, sekejap keluar. Sekejap masuk.”
Linda ketawa lagi. Dia faham. “Aku pun tadi…  hampir-hampir aje tak datang,” katanya.
“Aku aje yang teruja sangat nak ke sini,” sampuk Shereen.
Jazz dan Linda spontan menoleh ke arah Shereen.
“Maksud aku, aku nak bersemuka dengan Sofia selepas ini. Aku nak tanya dia kenapa dia buat kita macam ni. Kan umi dah sain surat sumpah menyimpan rahsia kita? Dia tak tahu ke akibatnya?”
“Aku pun terfikir hal yang sama cuma aku tak mahu ambil risiko yang terlalu besar. Kita tak tahu sejauh mana Sofia tahu dan sejauh mana dia akan bertindak,” balas Jazz pula.
“Apa-apa pun kita kena tunggu majlis ni selesai dan kita boleh balik,” balas Linda. “Aku sebenarnya ada majlis lain pada malam ni.”
“Aku pun sama. Habis sahaja ucapan, kita balik, nak?” kata Jazz pula.
“Tak sangka pula,” kata Shereen.
“Apa yang kau tak sangka?” tanya Linda.
“Mungkin aku mengharapkan terlalu banyak. Aku sangkakan kau orang berdua dah berubah tapi rupa-rupanya masih mementingkan diri sendiri.” Shereen merungut.
“Mementingkan diri sendiri?” Suara Jazz sudah tinggi namun sempat dihalang oleh Linda.
“Apa kata kalau kau pun terus balik macam kami?” Linda mencadangkan.
Baginya apa yang penting, mereka mesti meninggalkan Raphael’s Cottage itu secepat mungkin. Soal ugutan Sofia itu boleh diselesaikan di luar sahaja. Risikonya terlalu tinggi untuk berada lama di situ, pada bila-bila masa sahaja identiti mereka semua boleh terbocor.
“Aku tak boleh sabar dengan sikap Sofia tu. Esok lusa entah apa yang diugutnya kita lagi.”
“Kalau kau nak berdepan dengan harimau pun, bukan di kandang harimau. Fahamlah sikit,” balas Linda.
Shereen terdiam.
“Eh! Tu suami dia ke?” Jazz melemparkan pandangan matanya ke arah seorang lelaki yang berada di sisi Sofia, tidak jauh dari meja utama. Sejak tiba di majlis itu, dia perasan lelaki yang tidak memakai topeng itu.
“Dia dah kahwin ke?” tanya Linda pula. Dia ingat-ingat lupa soal itu.
“Hisy! Kan dia ada hantar kad jemputan ke rumah hari tu?” balas Shereen.
“Ada ke? Aku tak ingat apa-apa pun.”
Linda turut memandang ke arah lelaki yang bertubuh sedang-sedang itu. Dari pandangan matanya, lelaki itu dalam lingkungan usia 40-an. Segak juga orangnya, sesuailah dengan Sofia yang berbadan besar.
“Aku dengar… suami Sofia tu seorang Datuk,” sambung Shereen tanpa memandang.
Linda merenung wajah Shereen yang kelihatannya tahu banyak perkara. Jazz pula hanya mendengar.
“Baguslah, tertunailah hasrat umi nak bermenantukan orang yang berkedudukan,” kata Linda.
Mendengarkan kata-kata Linda, Jazz dan Shereen sama-sama tersenyum pahit.
“Tak nampak pun, Arif.” Perlahan sahaja kata-kata itu meluncur dari bibir Jazz.
Linda segera menampar peha Jazz, sebagai isyarat nama itu tetap tidak boleh disebut-sebut.
Sedang mereka berbual, majlis pun dimulakan. Tengku Mazwin ditolak ke meja utama dengan kerusi roda.
Linda, Shereen dan Jazz sama-sama terpaku melihatnya.
“Apa dah jadi pada umi?” tanya Jazz.
“Surprise… surprise,” balas Linda. Dia sendiri terkejut melihat betapa uzurnya Tengku Mazwin sekarang. Patutlah anak ular sudah jadi naga, fikirnya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.