Saturday, April 19, 2014

Rahsia gadis VIP: Bab 15 (Terakhir di Blog)


Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~


*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery


HAMPIR tengah malam, baru Jazz sampai ke bilik hotelnya semula. Kunci kereta sewa dicampak sahaja di atas meja solek. Dia segera menanggalkan skarf dan jaket yang dipakainya. Perlahan-lahan dia berbaring di atas katil sambil menelentang. Lesu sungguh rasanya.
“Kau ke mana sepanjang hari ni? Kenapa tak angkat panggilan? SMS pun tak jawab.”
Dia teringatkan pertanyaan Remy yang bertubi-tubi masuk ke telinganya sebaik sahaja dia membuat panggilan ke London dua jam yang lalu. Pada waktu itu dia berhenti di sebuah stesen minyak.
“Aku dah telefon ni, kan? Tak payahlah bising lagi,” balasnya.
“Kau dah janji akan sentiasa berhubung dengan aku, kan? Kenapa kau buat aku macam orang bodoh dekat London ni?”
“Bukan salah aku kalau kau rasa bodoh. Aku tahulah apa yang aku patut buat. Lainlah kalau aku dah hilang selama tiga hari. Ini, baru beberapa jam.”
“Beberapa jam pun penting juga,” bidas Remy. “Ni dah sampai dekat telinga aku, ada orang nampak kau di sana.”
Jazz tergamam. “Hantu betul! Siapa yang cakap?”
“Itu tak penting tapi hati-hatilah sikit. Teruk aku nak menjawabnya nanti. Itu pun entah esok lusa keluar dalam paper cerita yang entah apa-apa.”  
“Kau ingat aku sengaja nak tunjuk muka?” Jazz mula rasa panas hati.
“Aku dah cukup bertolak-ansur dengan kau, Jazz. Tapi kalau kau tak mahu ikut cakap aku, aku pun tak boleh selamatkan kau kalau apa-apa hal berlaku.”
Jazz tarik nafas dalam-dalam.
“Okey, I’m sorry,” katanya. Dia sedar buat masa itu mereka berdua tidak patut bermusuh dan bertelagah, sebaliknya harus bersatu menyelesaikan apa sahaja masalah yang timbul. “Tapi aku dah hati-hati.”
“Okey, aku percaya,” balas Remy. “Tiga hari lagi aku balik ke sana. Tolong book bilik untuk aku.”
“Aku dah uruskan.”
“Jazz,” panggil Remy. “Kau ke mana tadi? Apa semua ni?”
Jazz diam sahaja. Dan hingga ke saat itu pertanyaan Remy masih tidak dijawabnya tapi dia percaya Remy tetap akan mendesak dan bertanya selagi dia tidak tahu. Itu memang sifat Remy. Dia cuma bimbang kalau-kalau dia tidak dapat bertahan dengan desakan itu.
Baginya, Remy juga tidak patut tahu.

SELEPAS berendam hampir sejam dalam tab, Jazz meninggalkan bilik mandi. Dengan rambut yang masih basah, dia berbaring semula di atas katil. Dia tidak kisah lagi kalau bantalnya basah akibat sikapnya itu dia cuma mahu melepaskan segala lelah dan resah yang melandanya sejak seminggu yang lalu. Sekarang, hal itu sudah selesai dan dia boleh meneruskan hidupnya dengan aman.
Sayangnya, baru sahaja mimpinya mahu berlayar jauh, telefon bimbitnya berbunyi pula.
“Kau belum tidur, kan?” Suara Sofia bergema melalui telefon sebaik sahaja dijawab Jazz.
“Macam mana kau dapat nombor telefon ni?”
Sofia hanya ketawa kecil.
“Hantu kau, Sofia! Kau buka telefon aku ya?” tambah Jazz. Dia baru teringat yang telefon miliknya telah berada dalam tangan Sofia beberapa jam yang lalu. Ah! Dia ingin menjerit kerana di dalam telefon itu terkandung banyak gambar peribadinya. Kalaulah Sofia…
“Well… aku tengok gambar kau, baca e-mel kau dan…salin semua nombor telefon yang ada dalam tu.”
 “Kau memang licik, Sofia.” Dada Jazz sudah sesak.
“Terima kasih atas pujian tu.”
“Apa kau nak?”
“Kau pun tahu apa yang aku nak, kan?”
Jazz menggeleng. Dia tidak sangka dia akan bertemu dengan manusia sekejam Sofia dalam hidupnya.
“Apa kena-mengena dengan aku pula? Kau pun tahu aku tak terlibat dengan hal tu.”
“Memanglah tapi…”
“Aku tak tahu apa-apa,” sampuk Jazz. Kepalanya jadi sakit akibat deruan darah yang menggila.
“Kalau aku boleh terima alasan tu, tak perlulah aku call engkau tengah-tengah malam ni…,” balas Sofia. “Buat habis kredit aku aje.”
“Sofia… kau pun tahu aku tak terlibat, kan? Kenapa kau nak ganggu aku? Tolonglah… jangan libatkan aku dengan masalah ni. Ini bukan masalah aku.”
Sofia ketawa lagi.
“Selagi aku tak dapat satu nama… anggap aje kau berhutang dengan aku. Selagi kau tak bayar hutang kau, aku akan tuntut dengan apa cara aje yang aku tahu.”
“Kau ugut aku, Sofia?”
“Taklah…aku cuma tuntut hutang aku.”
“Seingat aku, aku tak ada buat salah pada engkau. Kenapa kau nak ganggu hidup aku?”
“I love my mum very much. That’s why.”
Jazz mengeluh. Dia tahu tidak gunanya lagi dia berbincang apa-apa dengan Sofia. Perempuan itu sungguh nekad dan licik. Kepala batu. Hati kayu.
“Ingat… aku nak kau beritahu aku satu nama dalam masa seminggu. Macam mana caranya aku tak tahu. Kalau tak… gambar-gambar kau dengan Remy dan beberapa orang kenamaan akan menjadi tajuk utama akhbar. Aku sangat yakin, wartawan akan berebut-rebut untuk dapatkan semua gambar tu. … kau juga tahukan apa yang aku tahu?”

Jazz cuma menggelengkan kepala. Air matanya menitik ke bantal yang sudah sedia basah. Sekarang, dia akui kata-kata Linda tadi betul. Sofia memang tidak akan lepaskan dia.



Novelnya sudah siap. Untuk pesanan sila hubungi saya di:
pnmaria1@gmail.com


No comments:

Post a Comment