Saturday, July 4, 2015

Gumanthong : Bab 3

FATIN menyusun semula kertas-kertas peperiksaan yang baru selesai ditanda. Semuanya disusun elok-elok lalu diletakkan di atas fail yang akan dibawa ke sekolah esok. Apa pun yang berlaku, tugasnya sebagai seorang guru tetap dijalankan juga. Itulah sahaja punca rezekinya sekiranya apa-apa terjadi kepada perkahwinannya dengan Luqman.
Dalam kelesuan, dia padamkan lampu bilik yang kini menjadi tempat kerjanya saban malam. Bilik itu juga menjadi bilik bacaan dan bilik belajar Wani. Namun sebelum itu, bilik itu adalah bilik tidur Amran, anak sulungnya yang sudah meninggal dunia sejak dua tahun yang lalu.
Dari bilik itu dia singgah sebentar di bilik tidur Wani. Melihatkan wajah Wani yang begitu polos, air matanya bergenang. Betapa dia berharap keluarganya seperti keluarga yang lain juga. Bahagia, mesra dan saling ambil berat. Namun dia sedar, tiada perkahwinan yang tidak diduga dengan masalah. Setelah perasaannya lega sedikit, dia berjalan perlahan ke bilik tidurnya sendiri.
Sewaktu dia tiba, Luqman sudah lama lelap. Malah sesekali kedengaran bunyi dengkuran yang kuat. Dengan perlahan-lahan, diangkat kedua belah kaki yang sudah membengkak ke atas tilam. Diurut-urut sebentar sebelum merebahkan kepala di atas bantal.
Nafas dihela panjang. Cuba dipujuk hatinya yang sedih namun perasaannya bagai dibuai-buai. Akhirnya air mata menitik juga di pipi. Baru hendak diseka, seekor lalat hinggap di pipi kiri.
Dia segera menguisnya tetapi lalat itu tetap menghurung kepalanya sambil mengeluarkan bunyi dengung yang aneh.
Spontan Fatin mengangkat kepala. Dia pandang ke sekeliling bilik yang hanya diterangi oleh lampu tidur, namun lalat itu tidak kelihatan lagi. Dia hempas nafas lega lalu berbaring semula. Baru hendak memejamkan mata, bunyi berdengung kedengaran lagi. Malah kali ini lebih kuat sehingga dirasakan seolah-olah memenuhi satu bilik. Apabila dia mendongak ke atas, matanya terbeliak.
Siling bilik tidurnya dipenuhi sekawan lebah sehingga membentuk setompok warna hitam. Belum sempat dia menyebut apa-apa, lebah-lebah itu meluru turun dan mengerumuninya dari kepala hingga ke kaki.
Fatin menjerit dan meronta-ronta.
Bisa sengatan lebah itu terasa seperti cucuhan api yang berbisa. Dia ingin bangun tetapi tidak mampu. Kaki dan tangan membengkak dan keras bagaikan batu. Dia ingin memanggil Luqman namun lidahnya kebas. Akhirnya dia pasrah, mengharungi detik-detik yang sungguh menyakitkan itu sambil terketar-ketar tubuhnya menahan seksa yang seolah-olah tidak ada penghujungnya.
Dalam keadaan tidak berdaya dan mamai, Fatin hanya ingatkan ALLAH. Dia memohon agar walau apa pun yang berlaku; nyawa Wani dan anak dalam kandungannya selamat. Sayangnya semua itu mengakibatkan, perutnya menjadi bertambah senak seperti dihempap sesuatu yang besar lagi berat.
Nafasnya jadi sesak. Mulutnya ternganga. Namun penderitaannya belum habis setakat itu. Beribu-ribu ekor lebah pula berebut-rebut masuk ke dalam mulutnya; menyengat dan menggigit dinding tekak hingga ke dalam perut. Natijahnya, darah membuak-buak keluar dari mulut, hidung dan telinga.
Nafas Fatin bertambah nipis. Dia menanti ajal dengan pasrah.

“Fatin! Fatin!” Luqman menggoyang bahu Fatin beberapa kali tanpa menyedari yang dia telah menyelamatkan nyawa Fatin pada malam itu.

Friday, July 3, 2015

GUMANTHONG - Bab 2


500 tahun dahulu
Di sempadan wilayah Kanchanaburi

DI HUJUNG jambatan yang merintangi Sungai Chao Phraya, Ply Kaew menghentikan kuda putih yang ditunggang. Dia menoleh ke belakang sebentar untuk memerhati kota yang baru ditinggalkan. Pada saat itu rasa kecewa, marah dan malu menghempas-hempas dada.
Ternyata segala bakti dan taat setianya selama ini belum cukup untuk raja mempercayai dirinya. Segala pengorbanan meninggalkan isteri dan ibu, segala penat lelah, darah dan peluh di medan perang hanya dibalas dengan penghinaan dan seratus kali sebatan yang hampir memisahkan daging dari tulang. Dan kini dia dihalau pergi dari tempat lahirnya sendiri.
Ketika itu bulan mengambang penuh. Setelah penat menunggang kuda tanpa henti, Ply Kaew berhenti di tepi sebatang sungai yang jernih. Ditambat kuda yang ditungganginya pada sebatang pokok lalu dia merebahkan diri di gigi air sambil melontar jauh pandangan matanya ke arah biasan cahaya bulan yang menari-nari di atas air.
Keindahan malam itu cuba dinikmati namun fikirannya tetap tidak tenteram. Rasanya lebih baik dia mati di medan perang daripada hidup dalam keadaan yang memalukan itu.
Dia berfikir di mana silapnya dan apa yang boleh dilakukannya lagi. Akhirnya dia membuat satu kesimpulan. Jawapannya tidak lain dan tidak bukan, dia perlu menjadi yang terbaik walau dengan apa cara sekalipun. Dia perlu membuktikan dirinyalah yang terbaik dari segi apapun.
Hanya dengan itu dia dapat membalas dendam dan mendapatkan semula semua yang telah dirampas dari hidupnya.
Dia langsung terbangkit dan duduk semula. Sambil merenung air sungai yang mengalir deras, dia teringat akan segala ilmu yang pernah dituntut dari Sami Kong; seorang pakar ilmu hitam di Kanchanaburi. Mungkin sudah sampai masanya dia menggunakan segala apa yang dia tahu.


MASA berlalu, Ply Kaew masih tinggal menyendiri di hutan itu. Namun dendam dan azamnya masih membara. Setiap hari dia menekuni tiga buah buku yang pernah diserahkan kepada dia semasa belajar di Kuil Pailalai dahulu. Satu demi satu ilmu hitam ditekuni. Dia mula menyediakan dirinya sedikit demi sedikit.
“Neraka menjadi saksi, aku bangkitkan roh Sri Mok yang sakti!” Mantera itu dibaca sambil mencurahkan darahnya yang ditadah di atas sehelai daun ke muka kuda tunggangannya.
Kudanya terlompat dan berdiri tegak. Kakinya menguis-nguis angin. Matanya menjadi merah seperti biji saga. Serentak dengan itu, hutan diterpa angin hitam yang kuat. Kuda Ply Kaew meringkik dan meronta-ronta. Akhirnya tali pengikat terputus, lalu kuda Ply Kaew menerjah anak sungai dan lari jauh ke dalam hutan.
Ply Kaew cuba mengejar namun gagal. Hanya setelah hampir pagi kudanya pulang mencium kaki. Akan tetapi kudanya yang pulang itu sudah tidak sama lagi.
“Sri Mok,” panggil Ply Kaew.
Dia sedar ilmu hitamnya berjaya. Sri Mok bukan kuda biasa. Sri Mok, kuda yang boleh berlari kencang bagaikan terbang di atas angin. Sri Mok juga tidak lut senjata dan sangat berani.
Dia gembira memiliki Sri Mok; akan tetapi dia juga tidak lupa satu perkara. Lantas dia pergi memburu binatang liar. Darah dan daging binatang itu disajikan kepada Sri Mok kerana itulah makanan Sri Mok mulai sekarang.
Sejak itu, dia dan Sri Mok, terus mengembara untuk melengkapi diri dengan ilmu hitam. Semakin hari semakin ramai yang tunduk dan gerun kepada dia. Akan tetapi hatinya tetap tidak berasa puas.
Ada satu lagi ilmu hitam yang ingin dikuasainya. Ilmu hitam yang belum pernah dikuasai oleh mana-mana sami sebelum ini. Ilmu hitam yang sangat ampuh di medan perang iaitu gumanthong.
Masalahnya, sudah puas dicari, sudah puas ditelek setiap kali bertemu dengan wanita hamil, namun belum diketemukan dengan seorang bayi yang mampu dipuja rohnya. Bayi yang istimewa dan memenuhi syarat-syarat ilmu tersebut.

Sehinggalah satu hari dia melepaskan penat di tepi sebuah sungai. Takdir menemukan dia dengan apa yang dia cari.

Wednesday, July 1, 2015

GUMANTHONG : Bab 1


Sebuah novelet seram yang akan dimasukkan ke dalam sebuah antologi seram.


“ENCIK LUQMAN, lori barang dah sampai.” Lina menerpa ke pintu ofis sebaik sahaja ternampak sebuah lori tiga tan berhenti di hadapan kedai.
Perkhabaran itu membuatkan Luqman spontan mengangkat muka dan punggung. Ditinggalkan pen di atas meja lalu keluar ke ruang hadapan; tempat dia mempamerkan perabot-perabot terpakai yang dijual semula. Setibanya di kaki lima kedai; dia tersenyum lega. Barang yang ditunggu-tunggu sudah pun tiba dari kampung halamannya sendiri di Padang Besar.
“Kenapa?” Dia perasan seperti ada yang tidak kena dengan pemandu dan kelindan lori yang sedang menurunkan barang-barang. Muka masing-masingnya berkerut.
“Tak padan kecil. Beratnya bukan main.” Pemandu lori menyapu peluh di dahi dengan tuala kecil. Dia mengajak kelindannya mencuba sekali lagi.
Di bawah, Luqman memerhati dengan rasa bimbang. Dia sendiri rasa tidak percaya apabila meja sebesar itu boleh mendatangkan masalah.
“Boleh? Kalau tak boleh. Biar saya tolong.”
Rasa risaunya memuncak. Walaupun sudah berkali-kali dicuba namun meja kecil berlaci tiga itu tetap tidak banyak bergerak.
“Kita turunkan perabot lain dulu.” Pemandu lori membuat usul setelah usahanya tidak banyak membuahkan hasil.
“Okeylah.”
Tanpa berlengah kelindan lori mula menurunkan barang-barang yang lain. Sebuah meja bulat beralas marmar, empat buah kerusi kayu redwood, sebuah kerusi panjang kayu jati dan sebuah almari hiasan yang sudah hilang kacanya.
Luqman yang masih berada di bawah memerhati dengan teliti barang-barang yang dibawa turun. Mujurlah kesemuanya berada dalam keadaan elok walaupun setelah menempuh perjalanan yang jauh.
“Tadi pun macam ni juga. Nak angkat bawa masuk ke dalam lori punyalah susah.”
Pemandu lori merungut lagi. Meja kecil berlaci tiga masih tidak bergerak dari sisi lori bagaikan keempat-empat kakinya terpateri ke lantai. Kelindan pula sudah bercekak pinggang dan mengeluh.
Melihatkan keadaan itu, Luqman memanjat dan masuk ke dalam lori untuk membantu. Dia tidak tahu apa masalahnya. Akan tetapi dia lebih merisaukan soal lori besar itu yang diparkir di tengah jalan. Tidak mustahil kesesakan lalu lintas akan berlaku dan mereka disergah oleh pihak polis. Oleh itu dia harus cepat bertindak.
“Mari saya tolong.”
Dia sinsing lengan baju kemeja yang dipakai hingga ke siku. Lalu mereka bertiga mula mengangkat meja itu sekuat tenaga. Yang anehnya bagi Luqman meja itu tidaklah berat mana. Biasa sahaja.
“Aik?” Pemandu lori dan kelindan sama-sama tercengang apabila meja kecil itu mudah dialihkan.
Luqman ketawa kecil. Setelah meja itu dapat dibawa turun, dia menepuk bahu pemandu lori lalu mengusik; “Itulah. Lain kali... baca Bismillah dulu, bang.”
Mujurlah gurauan itu disambut dengan gelak ketawa. Namun sewaktu pemandu lori mahu beredar dari situ, dia terlihat sesusuk makhluk hitam yang tingginya mencecah siling dan badannya hampir memenuhi separuh kedai; duduk di sisi meja kecil itu. Apabila dia menoleh kali kedua, telinganya berdesing seperti ditampar dengan kuat di kedua-dua belah.Berpinar matanya.
Dia cepat-cepat menggerakkan lori. Sekujur tubuh terasa mahu demam.


HARI yang awalnya cerah dan panas kini berubah mendung. Sebagai peniaga hal itu sedikit sebanyak merunsingkan hati. Sudahlah hasil jualan sebulan dua kebelakangan ini tidak seberapa; cuaca pula seperti tidak membantu. Sedang termenung memandang keadaan cuaca yang berubah tiba-tiba, dia ditegur Lina.
“Encik Luqman, meja ni... laci dia hanya dua buah sahaja yang boleh dibuka ya?”
Lina terkulat-kulat di tepi meja kecil yang dimaksudkan tadi. Di tangannya ada sehelai kain lembap yang telah dicelup dengan air rendaman teh. Seperti biasa, setiap kali barang baru tiba, dia akan mengelap sampai bersih dan memeriksa sekiranya ada bahagian yang rosak dan perlu diperbaiki.
Pertanyaan itu tidak terus dibalas Luqman kerana dia sendiri tidak pasti. Walaupun meja kecil itu mempunyai tiga buah laci, dia sendiri tidak tahu sama ada lacinya benar-benar boleh dibuka ataupun sekadar hiasan semata seperti yang terdapat pada sesetengah perabot.
Dia bergumam. Setelah mencuba beberapa kali, ternyata laci yang di tengah tidak boleh dibuka. Berbeza sekali dengan dua buah laci di kiri dan kanan. Akhirnya dia membuat kesimpulan.
“Bukan laci. Perhiasan sahaja.”
Dia berdiri semula namun matanya tidak lekang dari memerhati meja itu. Sejak kali pertama melihat meja itu di dalam stor milik datuknya, dia sudah jatuh hati. Bagi dia, meja itu mempunyai keunikan dari segi bentuk dan rupa. Tentu harga yang boleh diletakkan tinggi. Tetapi sebelum itu dia mahu membuat sedikit penyelidikan untuk mendapatkan anggaran harga dan sedikit panduan. Mungkin boleh juga dia bertanya kepada beberapa orang kawannya yang merupakan peminat barangan antik.
“Tak ada apa-apa yang rosak. Semuanya elok.”
Setelah membuat pemeriksaan dengan teliti, Lina membuat kesimpulan. Sememangnya meja kecil itu tidak ada cacat cela kecuali warnanya agak kusam dan mempunyai aura yang gelap.
“Cuma mungkin perlu digilap sikit supaya berkilat. Kalau macam ni... nampak macam...” Lina tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan. Setiap kali dia memandang lama meja itu, seperti fikirannya ditarik masuk ke alam yang gelap gelita. Hatinya rasa tidak selesa dan tidak suka.
Luqman tidak membantah pendapat Lina. Dia juga mempunyai pendapat yang sama.
“Kita angkat ke belakang dulu.”
Tanpa berlengah, Luqman pegang buju meja. Pada waktu itu dia berharap masalah tadi tidak berulang lagi. Mujurlah keadaan baik-baik sahaja cuma sewaktu mereka bergerak; meja itu berbunyi seperti ada sesuatu di dalam laci. Spontan Luqman menurunkan meja itu ke lantai.
“Bunyi apa tadi tu?” Dia pandang Lina.
“Macam ada benda dalam laci tapi...” Lina buka kedua-dua buah laci tetapi kedua-duanya kosong. Akhirnya dia mendongak memandang Luqman.
Luqman dapat menangkap maksud pandangan Lina. Itu bermakna ada sesuatu di dalam laci tengah yang tadi disangkakan hanyalah perhiasan semata.
Dia terus duduk bertinggung di sebelah Lina. Laci tengah diperiksa semula dan cuba dibuka buat sekian kalinya tetapi tetap gagal.
“Baca Bismillah dulu, bos.” Lina mengusik.
Hati Luqman tercuit. Dibaca Basmallah namun laci itu tetap begitu juga. Kemudian dia terperasan sesuatu.
“Laci ni dah digam.” Itulah penemuannya. Baru kini dia tahu kenapa laci itu tidak boleh dibuka.
“Digam?” Lina kehairanan. Dia menjeling Luqman. “Habis tu... apa kita nak buat? Umpil?”
Luqman termenung. Dia tidak sangka akan berhadapan dengan masalah itu.
“Letak dulu dalam bilik saya. Nanti saya cuba buka.” Dia terpaksa ketepikan dahulu soal itu. Dia perlu menyelesaikan beberapa masalah lain yang lebih ringan.
Dengan bantuan Lina, meja itu dipindahkan pula ke dalam ofis Luqman.
Sewaktu Lina mahu menutup pintu ofis, dia terdengar bunyi kanak-kanak ketawa. Spontan dia tergamam. Bulat matanya menerawang ke sekeliling ofis mencari sumber bunyi; namun tidak kedengaran apa-apa pula. Apabila dia mahu menutup pintu buat kali kedua, bunyi itu kedengaran lagi. Kali ini ketawa dan mengekek kuat.
Cepat-cepat dia menjauhi bilik itu. Menggermang bulu tengkuknya.