500 tahun dahulu
Di sempadan
wilayah Kanchanaburi
DI HUJUNG jambatan
yang merintangi Sungai Chao Phraya, Ply Kaew menghentikan kuda putih yang
ditunggang. Dia menoleh ke belakang sebentar untuk memerhati kota yang baru
ditinggalkan. Pada saat itu rasa kecewa, marah dan malu menghempas-hempas dada.
Ternyata segala
bakti dan taat setianya selama ini belum cukup untuk raja mempercayai dirinya.
Segala pengorbanan meninggalkan isteri dan ibu, segala penat lelah, darah dan
peluh di medan perang hanya dibalas dengan penghinaan dan seratus kali sebatan
yang hampir memisahkan daging dari tulang. Dan kini dia dihalau pergi dari
tempat lahirnya sendiri.
Ketika itu bulan
mengambang penuh. Setelah penat menunggang kuda tanpa henti, Ply Kaew berhenti
di tepi sebatang sungai yang jernih. Ditambat kuda yang ditungganginya pada
sebatang pokok lalu dia merebahkan diri di gigi air sambil melontar jauh
pandangan matanya ke arah biasan cahaya bulan yang menari-nari di atas air.
Keindahan malam
itu cuba dinikmati namun fikirannya tetap tidak tenteram. Rasanya lebih baik
dia mati di medan perang daripada hidup dalam keadaan yang memalukan itu.
Dia berfikir di
mana silapnya dan apa yang boleh dilakukannya lagi. Akhirnya dia membuat satu
kesimpulan. Jawapannya tidak lain dan tidak bukan, dia perlu menjadi yang
terbaik walau dengan apa cara sekalipun. Dia perlu membuktikan dirinyalah yang
terbaik dari segi apapun.
Hanya dengan itu
dia dapat membalas dendam dan mendapatkan semula semua yang telah dirampas dari
hidupnya.
Dia langsung
terbangkit dan duduk semula. Sambil merenung air sungai yang mengalir deras,
dia teringat akan segala ilmu yang pernah dituntut dari Sami Kong; seorang
pakar ilmu hitam di Kanchanaburi. Mungkin sudah sampai masanya dia menggunakan
segala apa yang dia tahu.
MASA berlalu, Ply
Kaew masih tinggal menyendiri di hutan itu. Namun dendam dan azamnya masih
membara. Setiap hari dia menekuni tiga buah buku yang pernah diserahkan kepada
dia semasa belajar di Kuil Pailalai dahulu. Satu demi satu ilmu hitam ditekuni.
Dia mula menyediakan dirinya sedikit demi sedikit.
“Neraka menjadi
saksi, aku bangkitkan roh Sri Mok yang sakti!” Mantera itu dibaca sambil
mencurahkan darahnya yang ditadah di atas sehelai daun ke muka kuda
tunggangannya.
Kudanya terlompat
dan berdiri tegak. Kakinya menguis-nguis angin. Matanya menjadi merah seperti
biji saga. Serentak dengan itu, hutan diterpa angin hitam yang kuat. Kuda Ply
Kaew meringkik dan meronta-ronta. Akhirnya tali pengikat terputus, lalu kuda
Ply Kaew menerjah anak sungai dan lari jauh ke dalam hutan.
Ply Kaew cuba
mengejar namun gagal. Hanya setelah hampir pagi kudanya pulang mencium kaki.
Akan tetapi kudanya yang pulang itu sudah tidak sama lagi.
“Sri Mok,” panggil
Ply Kaew.
Dia sedar ilmu
hitamnya berjaya. Sri Mok bukan kuda biasa. Sri Mok, kuda yang boleh berlari
kencang bagaikan terbang di atas angin. Sri Mok juga tidak lut senjata dan
sangat berani.
Dia gembira
memiliki Sri Mok; akan tetapi dia juga tidak lupa satu perkara. Lantas dia
pergi memburu binatang liar. Darah dan daging binatang itu disajikan kepada Sri
Mok kerana itulah makanan Sri Mok mulai sekarang.
Sejak itu, dia dan
Sri Mok, terus mengembara untuk melengkapi diri dengan ilmu hitam. Semakin hari
semakin ramai yang tunduk dan gerun kepada dia. Akan tetapi hatinya tetap tidak
berasa puas.
Ada satu lagi ilmu
hitam yang ingin dikuasainya. Ilmu hitam yang belum pernah dikuasai oleh
mana-mana sami sebelum ini. Ilmu hitam yang sangat ampuh di medan perang iaitu
gumanthong.
Masalahnya, sudah
puas dicari, sudah puas ditelek setiap kali bertemu dengan wanita hamil, namun
belum diketemukan dengan seorang bayi yang mampu dipuja rohnya. Bayi yang
istimewa dan memenuhi syarat-syarat ilmu tersebut.
Sehinggalah satu
hari dia melepaskan penat di tepi sebuah sungai. Takdir menemukan dia dengan
apa yang dia cari.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.