Wednesday, December 4, 2013

Sejak Kita Bertemu : Bab 9



Bab 9
SETELAH kesedihannya reda, Anis bangkit meninggalkan Damien di sofa itu. Dia menuju ke arah beg pakaian yang diletakkan Damien di tepi almari.
“Kalau masih penat, malam nantilah kemas,” tegur Damien yang seolah-olah tidak mahu bangun dari sofa. Dia kini sudah mula berbaring dan meluruskan kaki di situ. Matanya mula pejam celik untuk menahan rasa kantuk yang mula terasa.
“Anis nak cari telekung,” jawab Anis.
Dia yakin waktu solat Zuhur sudah pun masuk waktu. Dia sememangnya tidak suka melewatkan waktu solat. Baginya biar solat dahulu sebelum dia melakukan apa-apa pun. Dia takut terleka sehinggakan waktu solat terlewat ataupun terlepas. Namun tidak disangka, kata-katanya membuatkan Damien terus bangkit meninggalkan sofa pula lalu duduk di sisinya.
“Biarlah abang tolong,” kata Damien sambil menarik beg itu pula rapat ke sisinya.
“Kalau abang nak tidur, pergilah tidur sekejap. Nanti pukul 2.00 petang Anis kejutkan,” balas Anis. Kasihan pula dia melihat wajah Damien yang lesu di sebelahnya. Mungkin suaminya kepenatan setelah hampir tiga jam memandu dari Kuala Lumpur ke situ tadi.
“Tak naklah, nanti malam susah nak tidur pula,” kata Damien.
“Ikut abanglah,” balas Anis. Dia sudah malas menyuruh apa-apa namun dengan tiba-tiba sahaja terlintas sesuatu di fikirannya.
“Abang….” Dia pandang muka Damien. Apabila Damien membalas pandangannya dia langsung berkata, “Semalam… Anis telefon Maria.”
“Abang patut rasa pelik ke?” Damien memerli.
Anis ketawa kecil. Dia tahulah, dia dan Maria berhubung hampir setiap hari. “Anis beritahulah yang kita nak ke sini.”
“Abang boleh agak perkara seterusnya,” balas Damien sambil menahan tawa.
“Apa dia?”
“Tentu Maria pun nak datang ke sini, kan?”
“Pandai pun. Tapi Anis nak minta izin abang dulu. Kalau abang izinkan mereka bertiga datang, barulah Anis benarkan.”
“Terpulang pada Anislah. Ini rumah Anis. Kalau Anis rasa nak terima tetamu di sini, abang tak kisah. Boleh juga mereka bercuti di sini, kan? Ada juga teman abang memancing malam-malam nanti.”
Anis menjeling. Dia sudah bayangkan yang Damien akan banyak menghabiskan masa bersama Joe dan batang kail. Dia mula rasa tersisih. Dia mula meragui rancangannya untuk mengajak Maria dan Joe ke situ pula.
“Abang gurau sajalah. Rumah Anis ni, campak kail dari beranda ni pun boleh.”
“Jangan nak kutuk rumah Anis.” Anis tarik muka.
“Siapa kutuk? Abang puji tu.”
Anis sudah malas melayan gurauan Damien. “Jadi abang izinkan?”
“Ya, ajaklah. Ajak Mak Ani sekali.”
“Tak mahulah ajak Mak Ani,” bantah Anis pula.
“Kenapa pula? Nanti orang tua tu merajuk baru tahu.”
Anis menggeleng. “Tak laratlah dengar segala macam petua Mak Ani tu. Suruh cari daun tu, suruh cari buah ni… hisy!”
Damien ketawa sahaja.
“Cepatlah. Tadi kata nak tolong kemas,” tegur Anis apabila Damien leka sangat mengusap rambutnya seperti tidak ada kerja lain.
“Yes, mem,” balas Damien sebelum ketawa kecil. Sambil membetulkan sila, dia mula mengasingkan baju-bajunya.
Anis melihat sahaja gelagat suaminya tetapi dalam fikirannya mula membayangkan pertemuan dia dan Maria nanti. Tentu banyak perkara yang perlu diceritakan. Dia mula rasa tidak sabar pula.
*****
SEBAIK sahaja Anis masuk ke bilik air, Damien keluar ke beranda. Tubuhnya segera disambut tiupan angin laut yang menderu-deru. Lalu dia melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi rehat yang tersedia di situ sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Ada sesuatu yang ingin dipastikan.
“Aku ni…,” katanya sebaik sahaja salamnya disambut oleh satu suara.
“Dah sampai di Melaka?”
“Baru saja sampai. Aku ada perkara nak tanya…,” katanya berterus-terang sahaja kepada Joe. Selama ini pun, di antara mereka boleh sahaja bercerita apa sahaja perkara. Pada dia, walaupun Joe dan Maria hanya dikenali setelah peristiwa di Flat Seri Mastura itu berlaku, namun mereka berdua adalah kawan yang baik. Begitu juga dengan Mak Ani, ibu Joe yang peramah dan baik hati.
“Pasal apa?”
“Maria ada beritahu apa-apa pasal Anis?”
“Pasal kau orang nak ke Melaka tu sajalah. Kenapa?”
“Itu saja?” tanya Damien lagi. Dia ingin tahu kalau Anis ada bercerita tentang soal yang lain kepada Maria.
“Setahu aku itu saja. Entahlah kalau Maria tak cakap pula pada aku,” balas Joe.
Damien menarik nafas. “Tapi ini pun sudah cukup baik, kan? Tadi dia cakap, nak ajak kau orang semua ke sini nanti. Datanglah.”
“Semakin baik dah tu. Kami sedang usahakan cuti. Kalau dapat kami datang bawa Daniel,” balas Joe.
“Aku benar-benar berharap rancangan ni berjaya, Joe. Kalau kau orang datang bawa Daniel tinggal di sini lagi bagus.” Damien berasa lega.
“Aku dan Maria dah bincang soal tu. Kami dah buat keputusan nak tinggalkan Daniel pada kau orang berdua selama seminggu nanti. Boleh tak?” tanya Joe pula.
“Hah?” Damien benar-benar tersentak. “Boleh ke?”
“Jangan beritahu Anis dulu. Kita tengok dulu dia macam mana nanti. Kalau dia boleh terima Daniel, kita teruskanlah.”
Damien tersenyum. Dia tidak ada masalah dengan rancangan itu, malah dia rasa amat terharu kerana Joe dan Maria sudah merancang hingga ke situ.
 “Terima kasihlah tapi jangan tak datang pula,” katanya sebelum beralih ke topik lain. Bagaimanapun perkhabaran itu membuatkan dia berasa sangat gembira. Tidak sabar rasanya mahu menghabiskan masa bersama Anis dan Daniel nanti.
“Abang bercakap dengan siapa?” Dengan tiba-tiba sahaja Anis menegur.
“Staf abang,” jawab Damien kelam kabut.
“Bercuti tu, buatlah cara bercuti….” Anis berpaling dan masuk semula ke dalam bilik.
Damien tersenyum. Perlahan-lahan, ditinggalkan beranda itu.


No comments:

Post a Comment