Friday, April 20, 2012

Novel DATANG PADA WAKTUNYA : Bab 10


10
HUJAN panas masih mencurah-curah. Cuaca tetap terang namun di sekitar situ sudah basah. Edri menjangkakan tentu hujan itu hanya turun sebentar dan jangkaannya tepat. Setelah beberapa minit, hujan itu berhenti dan Adam masih tercegat di luar, menanti gadis-gadis itu mendekat.
Debaran di dada Edri semakin kuat. Nampaknya awal-awal lagi malang sudah jatuh bertimpa-timpa. Awal-awal lagi, dia terpaksa meminta bantuan penduduk kampung di situ. Apa makna semua itu? Kebetulan atau sememangnya petanda? Ah! Dia tersandar.  Segala hasutan negatif yang melemahkan semangatnya cuba disingkir jauh-jauh. Dia bukan mudah mengalah. Dia hanya berserah kepada Tuhan. Kalau itu ujian yang ditimpakan kepada dia, dia bersabar sahaja walaupun agak berat untuk meninggalkan keretanya di situ. Siapa tak sayang kereta?
Dia yakin, keretanya dalam keadaan baik. Sejak dia merancang untuk ke situ lagi, dia telah membuat persiapan yang rapi. Kereta sudah dihantar servis seteliti yang mungkin. Tapi kalau sudah ditakdirkan terjadi, akan terjadi juga. Sedikit sebanyak, dia menyalahkan pemandu yang menghentam keretanya tadi. Dia mula terasa marah.
Dia melihat jam di tangan. Sudah melepasi waktu asar. Mereka perlu meninggalkan tempat itu sebelum malam. Di sekeliling mereka hutan tebal. Tentu tidak selamat bermalam di situ. Dia cuba memerhati dengan teliti, namun tidak ada rumah yang kelihatan. Hairan juga. Bahkan selama keretanya tersadai di situ, sebuah kenderaan pun tidak melalui jalan itu. Bas atau teksi apatah lagi. Jalan itu bagaikan jalan mati. Begitu sepi.
Untuk berpatah balik juga tidak mungkin. Daripada jangkaan dia, mereka tentunya lebih hampir ke bandar Durian Lima berbanding simpang masuk tadi. Mereka sememangnya tidak ada pilihan lain dari terus ke sana juga. Harap-harap, kedua-dua gadis yang sedang melintasi keretanya dapat membantu menunjukkan jalan.
Adam menggosok matanya berulang kali. Akhirnya, dalam samar-samar dia mula dapat melihat dua orang gadis genit yang sedang berpayung, berjalan ke arah mereka. Dia tergamam seketika.
“Tanyalah cepat! Kenapa tercegat macam patung pula?” sergah Edri dari dalam kereta.
Adam hampir terlompat. Dia menyapu mukanya yang sudah basah dengan air hujan. Dengan teragak-agak dia melangkah ke hadapan dan menyapa kedua-dua gadis itu. “Dik! Dik! Boleh tumpang tanya tak?”
Langkah kedua-dua gadis itu terhenti. Perlahan-lahan mereka berpaling ke arahnya, namun masih malu-malu untuk memandang.
“Ya, saudara. Apa yang kami boleh bantu?” tanya salah seorang daripada mereka. Rambutnya tersisir rapi dan bersanggul manis. Bibirnya merah bak biji saga.
“Macam ni, dik. Kereta kami rosak. Di sini ada bengkel kereta tak?”
Kedua-dua gadis itu saling pandang-memandang.
“Bengkel kereta? Apa itu bengkel kereta, saudara?” tanyanya pula dengan wajah yang serius. Alis keningnya terbentuk melentik, makin cantik bila hampir bertaut rapat.
Adam menggaru kepala. “Alah…tu kedai betulkan kereta. Takkan tak tahu?”
Kedua-dua gadis itu menggeleng hampir serentak.
Adam mengeluh lalu menggamit Edri keluar dari kereta. Dia mundar-mandir di situ. Hujan panas sudah berhenti, yang tinggal hanya titisan hujan yang menitis dari atas pokok-pokok yang memayungi jalan.
“Kalau macam tu, berapa jauh lagi Durian Lima dari sini?” tanyanya pula sementara Edri tiba ke situ.
“Durian Lima? Apakah saudara berdua mahu pergi ke sana?”
Adam dan Edri yang baru tiba di situ serentak mengangguk. “Ya, kami mahu ke sana. Jauh lagi ke dari sini?”
Kedua-dua gadis itu hanya tersenyum lebar lalu menggeleng. “Sudah tidak jauh lagi, saudara. Kira-kira sebatang rokok sahaja.”
Adam terkulat-kulat, dia menoleh pula kepada Adam. “Sebatang rokok? Macam mana?”
Edri terdiam seketika. Dia menoleh ke belakang semula. Namun yang dilihat hanyalah jalan yang seolah-olah tidak berpenghujung. Dengan nafas berat, dia membuat keputusan. “Kita jalan kaki sajalah ke sana. Lepas tu cari orang tarik kereta ni.”
“Boleh juga. Takkan kita nak tidur di sini pula. Kita ikut sajalah budak berdua ni. Mereka pun nak ke sana agaknya.”
“Kau tanyalah, aku segan.” Dahi Edri berkerut.
“Sejak bila pula jadi penyegan ni?”
“Kau tanya sajalah. Aku tak biasa dengan cara di sini. Nanti aku tercakap entah apa-apa pula.”
“Yalah, yalah. Kau pergi ambil beg aku,” balas Adam sambil mencampakkan kunci kereta kepada Edri dan Edri segera kembali ke keretanya sambil berlari anak.
“Dik, adik berdua nak ke pekan tu juga?” tanya Adam.
Mereka mengangguk. “Kami tinggal di sana, saudara.”
“Di sana ada hotel tak?”
“Hotel?” Gadis bersanggul manis itu kehairanan sekali lagi.
Adam mengeluh.
“Hotel tu macam tempat tinggal, tapi kita bayar untuk duduk di situ,” terang Adam satu per satu. Kenapalah bodoh sangat budak-budak di kampung ni? Bengkel tak tahu, hotel tak tahu.
“Kalau saudara mahu menumpang tidur, apa kata saudara menumpang di rumah tok empat?”
“Rumah tok empat? Seganlah. Lebih baik kalau ada hotel, kecil pun jadilah,” balas Adam pula. Dia faham apa itu tok empat. Itu panggilan untuk ketua kampung di situ.
“Tempat sebegitu tidak ada di sana, saudara.”
“Susahnya nak bercakap. Nama aku Adam, itu kawan aku, Edri. Kami dari Kuala Lumpur,” terang Adam sambil menghulur salam. Dia mula rimas dalam keadaan yang terasa begitu formal dan kaku. Macam bercakap ikut skrip.
Huluran salamnya disambut dengan perlahan oleh gadis yang bersanggul manis itu. “Nama aku, Saleha. Ini kawan baikku, namanya Murni.” Sinar matanya bercahaya.
Adam tersenyum lebar. Matanya sempat merenung tajam ke arah Murni yang lebih kecil molek daripada Saleha.
“Ha, Edri, mari kenal dengan kawan baru kita. Yang bersanggul kecil ni, namanya Sally yang itu Moon,” kata Adam sambil ketawa.
Saleha dan Murni terpinga-pinga. “Maaf, saudara. Nama aku Saleha, bukan Sally. Yang ini namanya Murni, bukan Mun.”
Edri yang baru tiba hanya menggeleng. “Maaflah, kawan aku ni memang macam tu. Lain orang cakap, lain dia dengar,” tempelak Edri sambil menjeling tajam ke arah Adam yang belum habis-habis ketawa. “Sudahlah tu. Nama orang kau buat main-main pula. Marah ayah dia nanti baru tahu.”
“Tak adalah. Cuma aku teringat rakan sekerja aku, namanya Sally. Nama sebenarnya entah apa, aku pun dah tak ingat. Mungkin Salmah, mungkin juga Saleha.” Adam ketawa lagi.
“Sudahlah tu. Tak baik ketawakan nama orang,” tegur Edri mula melangkah mengekori Saleha dan Murni yang sudah mula meneruskan perjalanan.
“Ewah! Bukan main laju pula dia,” tegur Adam sambil mengejar Edri. Tetapi jauh di sudut hatinya terasa gembira.
Kalaulah Edri boleh bertenang sedikit apabila bertemu perempuan, tidak menghairankan jika satu hari nanti ada yang akan jatuh hati kepada kawannya itu. Ini tidak, setiap kali ada perempuan yang menegur, wajah Edri akan pucat lesi!
Mana tahu juga kalau-kalau kedatangan mereka ke situ akan merubah nasib Edri. Mungkin ada yang akan balik berdua nanti. Dia tersenyum lagi. Tetapi salah seorang daripada gadis itu segera mencuri perhatiannya. Ternyata tidak sia-sia dia menuruti keputusan Edri tadi. Segala kerunsingannya telah hilang, diganti rasa bahagia dengan tiba-tiba.


HARI mula beranjak ke lewat petang. Langit yang biru beransur menjadi kelabu. Suasana di situ suram dan lembap. Jalan yang dilalui pula becak dan basah. Edri sesekali menjeling ke arah jalan yang dilalui. Tidak banyak kesan kenderaan di situ. Fikirannya mula bercelaru dan kepalanya asyik berdengung sedari tadi. Mungkin kerana kena hujan panas tadi, fikirnya lagi.
Selain daripada mereka berempat, tidak kelihatan sesiapa yang melalui jalan itu. Saleha dan Murni berjalan di hadapan sambil berbual. Dia dan Adam sekadar mengikuti.
“Habis kasut aku.” Edri merungut. Setiap kali dia mengangkat kaki, langkahnya terasa semakin berat. Semakin lama, semakin banyak pula tanah merah yang melekat ke tapak kasutnya. Mahu melangkah pun semakin sukar.
“Pakai lagi kasut mahal-mahal masuk kampung,” balas Adam sambil tersengih. Kasutnya juga sudah berlumuran dengan tanah merah.
“Kenapa engkau tak cakap awal-awal? Lebih sesuai pakai kasut but getah sahaja kalau macam ni.” Edri menepuk kepala Adam.
“Aku pun dah lupalah. Rasa-rasanya dulu tak seteruk ini. Mungkin jalan ni tidak dinaik taraf,” balas Adam mempertahankan dirinya.
Edri terdiam. Dia menoleh ke belakang untuk melihat keretanya. Dia hanya dapat berdoa agar keretanya tidak apa-apa di situ. Risau dan sedih bercampur baur.
“Janganlah bimbang sangat. Nanti kita cari orang tarik kereta tu ke bandar,” pujuk Adam.
Edri hanya mengeluh. Sambil membawa beg sandang, dia melangkah ke hadapan. Dia tidak punya pilihan lagi. “Kampung engkau teruk macam ni juga ke?”
“Kampung datuk aku canggihlah. Line Internet pun ada.” Adam ketawa kecil.
“Tapi kenapa tempat ni mundur sangat?” Edri berbisik.
Adam mengangkat bahu. “Selamat datang ke kampung. Engkau pun mana pernah tinggal di tempat macam ni.”
“Yalah, padan muka aku.” Edri ketawa lagi. Anak matanya menjeling ke arah Saleha dan Murni yang berjalan kira-kira semeter daripada mereka.
Entah kenapa, sejak bertentang mata dengan gadis bersanggul kecil itu, dia rasa tertarik. Sinaran mata gadis itu seumpama tarikan besi berani. Dia terasa begitu ingin menatapnya lagi. Ada debaran yang tidak dapat ditafsirkan dengan kata-kata.
Adam tersenyum lalu menegur, “Adik berdua pergi ke mana tadi?”
Murni hanya tersenyum. Dia menjeling pula ke arah Saleha. Jari halusnya mencubit-cubit lengan Saleha.
Saleha segera menjawab.
“Kami berdua mengunjungi rumah saudara kami di sebelah sana,” tunjuk Saleha ke arah hutan di sebelah kiri jalan.
Adam terangguk-angguk. Matanya sempat menjeling ke arah hutan di kiri kanan jalan itu. Tidak kelihatan sebuah rumah pun di situ. Dia menggaru kepala.
“Saudara ke sini mahu menziarahi siapa?” tanya Saleha. Antara dia dan Murni, dia kelihatan lebih matang dan lebih berani bersuara.
“Kami cuma nak…” Edri mengangkat kening ke arah Adam. Dia segera teringat pesan Adam tadi. Masih terlalu awal untuk mereka berdua mendedahkan tujuan kedatangan mereka ke kampung itu.
“Berjalan. Kami nak tengok-tengok kampung ni, juga nak kenal dengan orang-orangnya,” sampuk Adam dengan cepat. Dia tersenyum lebar.
Saleha terdiam seketika. Mata galaknya agak redup sedikit, seolah-olah sedang berfikir. “Saudara datang dari Kuala Lumpur? Saudara tahu tentang Radio Malaya?” Dia menoleh ke arah Edri.
Edri tersentak. Mata yang cantik itu sedang merenungnya. Dia jadi khayal seketika, bagai larut dalam lautan yang tidak bertepi.
“Ehem! Orang tanya tu, Ed,” tegur Adam dengan selamba.
“Radio Malaya? Apa benda tu? Stesen radio baru ke? Macam Era dan Hot FM?” Edri menggelabah. Dahinya berpeluh.
Saleha dan Murni kelihatan kaget sehingga langkah mereka terhenti seketika.
“Ada banyak radio lain?” tanya Saleha pula.
Edri menggaru kepala walaupun tidak gatal. Dia menjeling ladang getah di kiri kanan jalan itu. Mungkin sebab kampung itu dikelilingi hutan tebal maka siaran radio di situ sukar diterima agaknya. Dia membuat kesimpulan mudah.
“Ada banyak siaran radio tapi mungkin di sini susah nak dapat,” jawab Edri dengan tenang.
Kedua-dua gadis itu hanya terangguk-angguk puas hati. Riak wajah mereka tetap berseri-seri, seolah-olah mendapat maklumat yang baru.
Edri tersenyum melihat gelagat Saleha dan Murni. Ada sesuatu yang menarik tentang mereka berdua. Mereka nampak terlalu polos dan jujur. Tiba-tiba Murni menjerit. Gadis berdua itu kelam-kabut melarikan diri sambil menyingsing kain. Beberapa biji batu kecil terbang melayang ke arah mereka berempat.
Edri dan Adam tersentak. Entah dari mana datangnya batu-batu itu, mereka tidak dapat mengagak. Cuma mereka tahu, kedatangan mereka tidak disenangi.
Edri tergamam seketika. “Apa hal ni?”
Dia menoleh ke arah Adam pula. Tanpa berlengah, dia segera mendekati Murni dan Saleha yang kelihatan begitu cemas. “Kau okey?”
Murni terkebil-kebil seketika. Wajahnya masih lagi pucat kerana terkejut. “Baik, aku baik-baik sahaja,” jawabnya teragak-agak sambil menarik tangan Saleha.
Mereka meneruskan langkah semula. Ada usik-mengusik antara mereka.
Edri dan Adam hanya memandang. Masing-masing masih cuba mentafsir kejadian yang baru berlaku.
“Nakal betul budak-budak di sini,” rungut Edri. Dia masih berdiri di situ memerhati dengan teliti, tetapi dia gagal melihat siapa pelakunya.
Tempat itu dipagari semak samun di kiri kanan jalan. Pokok kapal terbang, senduduk dan balik angin tumbuh rapat-rapat. Agak sukar untuk dia melihat apa-apa di sebalik semak itu. Dan juga sukar menjangka apa-apa yang boleh melompat keluar dari situ.
“Biarkan sajalah. Mungkin budak-budak nakal. Kau tak apa-apa?” tanya Adam sambil memegang bahu Edri yang sudah tertunduk. “Dahi kau berdarah.”
“Siapa punya kerja ni? Nak bunuh orang ke?” Edri menepis tangan Adam lalu meluru ke tepi semak.
Kali ini dia sudah dapat menduga dari arah mana batu itu melayang. Tetapi bentakannya tidak bersahut. Kawasan itu terus senyap sunyi daripada suara manusia, yang ada cuma bunyi unggas yang menyambut petang tiba. Dia bertambah bengang. Tidak sangka, dia pula yang menjadi mangsa lontaran batu itu.
“Ed, baik kita jangan layan. Kita kena cepat sampai ke Durian Lima kalau macam ni. Entah apa-apa lagi yang yang jadi nanti. Jom,” pujuk Adam. Lengan Edri ditarik dengan lembut.
Edri mendengus. Kata-kata Adam tidak dijawab. Dia menyandang beg pakaiannya semula lalu mengekori Saleha dan Murni yang sudah jauh berjalan di hadapan. Padanya itu bukan gurauan lagi, itu tentangan. Mungkinkah itu salah satu sebab pegawai-pegawai dulu gagal menjalankan tugas? Adakah penduduk kampung itu sangat membenci kedatangan orang luar? Hatinya bertambah panas.
“Biasalah, budak-budak kampung. Nampak orang luar saja, sukalah kenakan kita. Nanti kalau jumpa kat kedai, kita ajak mereka minum teh lepas tu boleh buat geng tangkap ikan,” kata Adam sambil ketawa kecil.
Edri hanya mendengar. Kata-kata dan gelak tawa Adam belum dapat memadamkan rasa sakit di dahinya apalagi sakit di hati yang mula mendidih. “Dahlah kena jalan kaki, kena baling batu lagi. Hai…patutlah tak ada pegawai yang nak ke bandar ni.”
“Shh…cakap perlahan sikit. Nanti bukan setakat batu yang melayang ke kepala kita, silap-silap, dengan peluru senapang patah sekali. Kau jangan main-main.”
Edri hanya mendengus lagi. Dia sudah tidak terluah apa yang terbuku di hatinya kepada Adam. Mungkin dia terlalu cepat marah atau dia mula terasa menyesal ke situ. “Apa yang sebatang rokoknya? Ini dah dekat sekotak rokok jauhnya.”
Gelak Adam tersembur.
“Kau percaya ke? Mereka pandai cakap saja, Ed. Rokok pun mereka tak pernah hisap. Macam mana? Nak teruskan juga?” Adam mengangkat kening.
Edri menarik muka. “Engkau ada pilihan lain ke?”
Dia terus melangkah. Setapak demi setapak langkah diayun. Derap tapak kaki yang melanyak becak, semakin lama semakin tidak kedengaran. Baju Edri sudah basah dengan peluh. Lututnya sudah lenguh. Jalan yang dilalui seolah-olah tidak berpenghujung. Hutan di kiri kanan jalan seolah-olah tidak bersempadan.
“Betulkah jalan ni, Dam?”
“Betullah agaknya. Dari simpang masuk tadi, kita sepatutnya terus sahaja.”
“Kenapa tak ada bas masuk sini?”
“Ini bukannya Kuala Lumpur. Kalau dah nak senja macam ni, bas dah malas masuk tempat macam ni.”
“Boleh malas-malas pula?”
“Yalah. Siapa nak keluar ke Temerloh lagi?”
Edri akhirnya terdiam. Itu pengetahuan baru kepada dirinya yang tidak pernah tinggal di kampung yang begitu terpencil.
“Tapi bukankah tempat yang kita nak pergi ni namanya bandar? Tentu ramai orang di sana. Bandar kecil pun penduduknya antara 50 ribu hingga ke 100 ribu orang.” Terbayang di fikirannya bandar kecil seperti Bentong atau Batu Gajah di Perak.
Adam hanya mengangkat bahu. “Aku dah lama tak ke sana. Dulu aku dibawa nenek aku untuk ke pekan sari.”
“Pekan sari?”
“Ya, pekan sari tu macam pasar malam tapi dibuat dari pagi sehingga tengah hari. Seronok tau. Engkau boleh jumpa segala sayur-sayuran kampung, ikan dan kuih-muih yang jarang kau jumpa. Semuanya resipi asli. Tak guna pewarna atau perasa tiruan.” Perbualan menjadi rancak semula.
Kali ini wajah Edri berubah tenang sedikit. “Kuih?” Senyumannya lebar.
Serta-merta perutnya terasa lapar. Maklumlah sesi minum teh sudah terlepas. Apa yang dimakan tengah hari tadi pun sudah lama ditukar jadi tenaga. Mungkin sudah tidak bersisa.
“Wah! Kalau sebut pasal kuih, baru cerah mata kau ya? Tapi aku percaya, engkau mesti suka nanti. Banyak makanan yang engkau tak pernah jumpa pun di Kuala Lumpur tu.”
“Aku tak kisah sangat, janji tak kebuluran di sana nanti cukuplah. Yang pentingnya kerja aku siap.” Tiba-tiba Edri terperasan sesuatu.
“Kenapa budak berdua tu berhenti di situ?” Matanya mengerling ke kiri ke kanan, tetapi belum nampak bandar yang dicari. Ada apa pula ni?
Adam dan Edri saling menjeling. Dengan tenang, mereka melangkah mendekati kedua-dua gadis itu.
“Kenapa berhenti? Dah sampai ke?” tanya Adam sambil tersengih.
Saleha dan Murni mengangguk. “Selepas selekoh ini, kita akan sampai ke Durian Lima. Saudara mahu ke jeti atau ke rumah tok empat?”
“Tok empat?” Edri menoleh ke arah Adam. Dia merasakan yang Adam dan kedua-dua gadis itu sudah merencanakan sesuatu.
“Tok empat tu macam ketua kampunglah,” terang Adam kepada Edri.
“Ooo…Kenapa nak ke rumah dia? Kena lapor diri ke?”
“Bukan lapor dirilah. Saleha kata kalau nak tumpang bermalam, dia suruh kita ke sana dulu.”
“Hotel?”
“Hotel tak ada. Itulah, aku ajak kau tidur rumah datuk aku malam ni, kau tak nak. Sekarang kereta dah tersadai kat tepi jalan, macam mana kita nak ke sana lagi?”
“Kalau macam tu, tidur sajalah di mana-mana. Masjid pun boleh,” balas Edri. Dia seolah-olah tidak percaya sebuah bandar tidak mempunyai walaupun sebuah hotel kecil. Dia juga tidak senang dalam hal tumpang-menumpang ini. Terasa dirinya akan menyusahkan orang pula.
“Masjid? Masjid terletak di seberang sungai. Sekarang sudah petang, tidak ada yang berani ke seberang kerana paras air juga sedang naik,” balas Saleha dengan teratur. Sesekali anak mata hitamnya mengerling ke arah Edri.
“Seberang sungai? Macam mana, Dam?” Edri mengangkat kening ke arah Adam pula.
“Kalau macam tu, kita ke rumah tok empat sahajalah. Mungkin aku boleh minta dia tolong hantarkan kita ke rumah datuk aku,” jawab Adam.
Edri mengangguk. “Elok juga. Marilah.”
Saleha dan Murni tersenyum senang. Mereka segera mengatur langkah semula ke arah yang dituju.
“Apa nama tok empat tempat ini?” tanya Adam pula kepada Murni.
“Tok Empat Manap,” jawab Murni sambil tersenyum simpul. Dia menjeling ke arah Saleha.
“Kalau begitu, bawalah kami ke rumah dia. Harap-harap tok empat tu tak kejar kami dengan senapang patah.” Adam tersenyum kepada Edri.
Dahi Edri berkerut. “Kenapa? Orang sini garang-garang ke?”
“Taklah garang, cuma kita ni berlenggang masuk ke tempat orang sambil ditemani anak dara mereka. Kau tak rasa cuak ke?”
“Tak. Kita bukan buat apa-apa pun. Berjalan aje,” jawab Edri dengan jujur.
Adam ketawa. Setelah mereka memasuki selekoh terakhir, mereka berempat tiba ke sebuah pekan kecil di tepi sungai. Saleha dan Murni melangkah tenang namun Edri dan Adam sama-sama terpaku.
“Takkan ini tempatnya?” tanya Edri kepada Adam.
Adam berkerut dahi. Lidahnya kelu.

1 comment:

  1. http://najwazahid94.blogspot.my/2016/01/review-novel-datang-pada-waktunya.html

    saya dah baca novel nya dan review di sini

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.