Bab 2
Keesokan harinya…
ANIS
baru sahaja selesai mengemas meja bersama Mak Bija di dapur. Walaupun Mak Bija
pembantu rumah yang sudah bertahun-tahun bekerja di rumah ayah mertuanya, dia
tetap rasa perlu untuk turun tangan membantu apa yang mampu. Sedang dia
membasuh cawan di sinki, Mak Bija memanggilnya.
“Puan,
Tan Sri panggil.”
“Tan
Sri panggil? Kenapa dia belum pergi kerja lagi?”
Mak
Bija angkat bahu dengan wajah tidak tahu apa-apa.
Melihatkan
reaksi Mak Bija, Anis segera mengeringkan tangannya. Terdetik di hatinya bibit
kerisauan, seandainya kelengahannya menyusahkan orang lain. Setibanya di ruang
tamu, dia tergamam. Dilihatnya, selain Damien, ayah mertuanya turut berada di
situ menunggunya dengan wajah yang serius. Berderau darahnya.
“Ada
apa, abah?” Dia bertanya sambil mengambil tempat duduk di sebelah Damien di
atas sofa. Entah kenapa terasa tubuhnya seram sejuk sahaja. Mungkin kerana
debaran yang sedang mengasak dada.
“Anis
tak sihat ke malam tadi? Cepat betul balik?” Tan Sri Dzairil terus bertanya
walaupun dia belum menjawab pertanyaan Anis.
Air
muka Anis terus berubah. Adakah Damien sudah memberitahu ayah mertuanya tentang
apa yang telah berlaku pada malam tadi? Dia menggeletar halus. Risau sekiranya
hal itu menjadi besar.
Damien
pula hanya mendiamkan diri.
“Kalau
tak sihat, pergilah jumpa doktor,” sambung Tan Sri Dzairil lagi apabila Anis
terus tidak menjawab pertanyaannya.
“Sihat
cuma malam tadi… Anis penat sikit,” balas Anis.
Dia
benar-benar berharap tindakannya malam tadi tidak mengundang rasa marah atau
jengkel di hati ayah mertuanya. Dia mula berasa takut. Rasa yang tidak pernah
hadir sebelum ini. Dia takut ayah mertuanya membencinya pula. Sudahlah dia
tidak dapat memberikan cucu yang diharap-harap selama ini.
“Kalau
macam tu, tak apalah. Abah ingat Anis sakit. Pia pun ada cari Anis malam tadi.”
“Nanti Anis telefon Kak Pia minta maaf,”
jawabnya walaupun dia masih merasakan seperti ada sebab lain dia dipanggil ke
situ.
Tan
Sri Dzairil menyeluk kot yang dipakainya. Segugus kunci dikeluarkan dari poket
lalu diletakkan di atas meja kopi di antara dia dan Anis. Kemudian dia
mengangkat muka memandang wajah Anis dan Damien pula.
Anis
terpinga-pinga. Namun dia terasa berat mulut untuk bertanya.
“Ambillah.
Itu untuk Anis,” kata Tan Sri Dzairil lagi sambil memandang wajah Anis dengan
tenang.
“Untuk…
untuk Anis?” Anis seolah-olah tidak percaya. Dia menoleh ke arah Damien, namun
Damien hanya buat tidak tahu.
Tan
Sri Dzairil angguk.
“Ya,
untuk Anis. Ambillah. Abah belikan Anis sebuah rumah di tepi laut. Abah harap
Anis suka.”
Ha?
Anis benar-benar tergamam. Sebuah rumah di tepi laut? Sedar-sedar sahaja
bahunya dipaut Damien. Dia terpinga-pinga.
“Abah
hadiahkan sebuah rumah untuk Anis. Hadiah perkahwinan kita,” terang Damien pula
sambil tersenyum panjang.
Rasa
tergamam Anis mula hilang. Perlahan-lahan dia dapat menerima kejutan itu.
Akhirnya dia tersenyum dan berkata, “Terima kasih, abah. Besar sungguh hadiah
abah, tak terbalas oleh Anis.”
Tan
Sri Dzairil tersenyum nipis.
“Abah
tak harapkan apa-apa balasan material. Cukuplah kalau Anis dan Damien dapat
hidup berdua baik-baik. Saling mempercayai. Saling menjaga. Saling menghormati.
Dalam rumah tangga, kepercayaan adalah asas. Kalau hilang kepercayaan,
hilanglah pertahanan. Kalau hilang pertahanan, macam-macam perkara boleh
berlaku. Anis kena tabah. Anis kena jaga rumah tangga Anis betul-betul. Jangan
dengar sangat cakap orang.”
Anis
tertelan air liur. Terasa benar dia disindir.
Mujurlah
selepas itu ayah mertuanya beredar. Tinggal dia bersama Damien, sama-sama
merenung segugus kunci di atas meja.
*******
“ANIS
buat keputusan.” Dengan tiba-tiba Damien berkata. Suasana ruang tamu yang sunyi
sepi tadi pun berakhir.
“Anis
tak tahu,” balas Anis perlahan.
Matanya
masih merenung gugusan kunci yang berada tidak jauh daripadanya. Sejak
diletakkan di situ, dia belum lagi menyentuhnya. Bukan dia tidak teringin
tetapi dia gementar.
“Itu
kan Anis punya? Anislah yang kena buat keputusan.”
Anis
tahu, ingin sahaja dia menjawab begitu tetapi bukan semudah itu untuk dia
membuat keputusan. Ada sesuatu yang menghalang jiwanya daripada terus sahaja
melompat dan mengambil kunci itu.
“Pada
abang, ia tiba tepat pada waktunya.” Damien berkata dengan selambanya.
Anis
menoleh ke arah Damien. Entah kenapa dia mula berasa curiga.
“Abang
ada kena-mengena dengan soal ni?”
Damien
menggeleng pula.
Jadi
Damien pun tidak tahu apa-apa mengenai kunci itu? “Kalau abang pun tak tahu …
kenapa abang cakap macam tu?”
Damien
menghela nafas panjang. Kemudian dia tersenyum pula. “Apa kata kalau kita
anggap saja yang kita pergi bercuti di sebuah resort?”
“Maksud
abang?”
“Perkara
ni bukan tak boleh dibawa berbincang lagi. Kalau kita pergi sana dan Anis rasa
tak suka rumah tu, kita mungkin boleh buat sesuatu. Ubahsuai ke, atau jual saja
dan beli yang lain,” jawab Damien.
“Boleh
ke?” Anis hairan. Damien seolah-olah menganggap perkara itu begitu mudah.
Sepertinya harga rumah itu hanya seseringgit dua.
Damien
angguk. “Yang pentingnya, kita pergi tengok dulu rumahnya macam mana. Lagipun
kalau Anis tak pergi tengok langsung, apa pula kata abah, kan?”
Anis
terus terdiam. Rasa serba tidak kenanya timbul semula.
Menyedari
hal itu, cepat-cepat Damien berkata, “Abang… abang tak paksa. Cuma itu saranan
abang. Jangan Anis rasa terpaksa pula.”
Anis
geleng. Entah kenapa sejak mendengar kata-kata Maisara semalam, hatinya mudah
sahaja berasa cuak dan mencurigai semua perkara. Dia mula berfikir dan melihat
keadaan keluarga itu dari sudut yang lain. Malah kini dia mudah berasa takut
jika apa-apa yang dilakukannya di rumah itu mengundang rasa marah dan benci di
hati ayah mertuanya.
“Kita
pergi,” katanya perlahan.
“Macam
kena paksa saja? Nak pergi tengok rumah sendiri kenalah gembira sikit.” Damien
menegur.
“Sukalah
ni…,” jawab Anis sambil cuba melindungi rasa serba-salahnya lagi. “Tapi abang
perlu tolong Anis kemaskan baju.”
“Beres!
Tak ada hal.” Damien tarik lengan Anis. Mereka berdua melangkah bersama naik ke
tingkat atas.
******
BEBERAPA
minit selepas itu, Damien meluru turun ke dapur. Ada sesuatu yang ingin
dilakukannya.
“Macam
mana? Menjadi tak?” Menerpa sahaja pertanyaan dari bibirTan Sri Dzairil sewaktu
dihubungi melalui telefon.
“Nampaknya,
okey. Dia sedang kemas baju kat atas.” Damien masuk ke ruang dapur, alasannya
yang diberikan kepada Anis tadi ialah dia haus. Jadi dia ke situ untuk
mendapatkan segelas air.
“Alhamdulillah.
Abah harap gembira kat sana.”
“Mujur
rumah tu dah siap,” balas Damien.
“Itulah
abah ingat nak serahkan pada hari jadi dia nanti. Tapi dah jadi macam ni, lebih
baiklah kita serahkan sekarang saja.”
“Saya
harap dia faham kita sayangkan dia,” balas Damien.
Dia
teringatkan apa yang telah terjadi pada malam tadi. Dia benar-benar tidak sangka,
hingga ke tahap itu hati Anis terluka. Tetapi satu perkara yang orang lain
mungkin tidak sedar, luka di hati Anis, luka juga di hati dia.
“Ini
mesti kerja keluarga mak cik kamu. Kalau tak mak cik kamu, mesti mulut si
Maisara tu. Mulut macam apa saja,” balas Tan Sri Dzairil.
“Itulah
masalahnya, abah. Yang sudah tu, sudahlah. Saya dah pun berkahwin dengan Anis.
Kak Pia pun dah kahwin, tak payahlah nak ungkit atau pandai-pandai aturkan
jodoh orang. Lebih baik mereka sibuk carikan jodoh untuk Maisara tu pula.”
“Mereka
ada cakap apa-apa ke pada Dami?”
“Pantang
jumpa,” balas Damien. “Cuma saya kesiankan Anis. Kita mungkin dah biasa dengan
Maisara dan keluarga dia tapi Anis tak.”
“Tak
apalah. Nanti abah cuba nasihatkan mereka apa yang boleh. Tentang Anis tu,
cubalah Dami pujuk dan yakinkan dia. Abah tak nak benda ni jadi luka, kemudian
menanah.”
“Terima
kasih, abah. Saya cuba,” balas Damien.
“Cuba
itu sebahagian saja daripada ikhtiar, sebahagian lagi ialah doa. Usaha tanpa
doa itu sombong namanya.”
“Baik,
abah. Tapi kerja-kerja saya macam mana pula? Saya tak tahu abah nak serahkan
kunci tu hari ni,” kata Damien semula sambil menjeling ke arah Mak Bija, yang
sesekali mengangkat muka memerhati tingkah lakunya di dapur. Dia memberikan
isyarat meminta segelas air sejuk untuk diminum. Sementara itu dia duduk di
meja makan menunggu.
“Itu
kamu jangan risau. Abah akan suruh penolong pengurus atau Maisara uruskan
mana-mana yang penting dulu. Kamu ambillah cuti dua minggu.”
“Dua
minggu?”
“Tak
cukup? Berapa lama Dami nak?”
Damien
ketawa kecil. Terasa di hatinya, betapa sayang ayahnya kepada Anis. Maklumlah
menantu tunggal. Sejenak hatinya sebak. Kalaulah kembarnya, Danny masih ada…
“Dami! Kenapa senyap? Berapa lama nak cuti?”
“Cukuplah
dua minggu tu, abah. Itu pun Anis mesti terkejut, entah-entah dua hari saja dia
dah nak balik ke sini,” jawab Damien kelam kabut.
Tadi
semasa Anis bertanya berapa banyak baju yang perlu dibawa ke sana, dia hanya
kata untuk tiga hari. Kalau sudah dua minggu, mungkin mereka perlu bawa lebih
banyak.
“Pujuklah
dia tinggal kat situ lama sikit. Tempat tu cantik. Tepi laut.”
“Abah
pernah ke situ ke?”
“Pernah,”
balas Tan Sri Dzairil. “Tapi dah lama dulu. Semasa abah dengar Anis suka rumah
di tepi laut, abah terus teringatkan rumah tu. Mujurlah rumah tu pun memang nak
dijual.”
“Berapa….”
“Itu
Dami tak payah tahu,” sampuk Tan Sri Dzairil dengan cepat. “Asalkan Anis
gembira semula, abah tak kisah.”
Damien
tersenyum sebelum meneguk air sejuk yang dibawakan Mak Bija sebentar tadi. Sejuk
tekaknya sesejuk jiwanya. Dia bersyukur kerana mendapat seorang ayah yang
sangat memahami masalah mereka berdua.
“Terima
kasih, abah.”
“Ingat
pesan abah. Pujuk dia dengan lembut. Luka di luar kita boleh nampak, luka di
dalam kita tak tahu berapa besarnya.”
Damien
menarik nafas perlahan-lahan.
******
DI
DALAM bilik tidur di tingkat atas, Anis membuat satu panggilan. Setelah tiga
kali menekan nombor yang sama, barulah panggilannya dijawab.
“Maria!”
katanya setelah Maria habis menjawab salamnya di hujung sana.
“Aku
baru nak telefon kau,” balas Maria.
“Habis
tu? Kenapa tak telefon?”
“Nak
telefonlah ni tapi banyak benar pula kerja pagi ni. Sementara Cik Pia cuti
kahwin kan, semua perkara aku yang kena handle.”
“Nasib
engkaulah, Maria,” balas Anis.
Walaupun
dia bersimpati dengan kesibukan Maria namun apa dayanya untuk menolong. Dia
sudah pun berhenti kerja di situ sejak berkahwin dengan Damien enam bulan yang
lalu.
“Apa
hal engkau telefon ni?” tanya Maria pula.
“Aku
nak beritahu, esok aku nak ke Melaka.”
“Buat
apa? Damien ada mesyuarat di sana ke?”
“Taklah.
Aku pergi bercuti.”
“Berdua
saja?”
“Habis
tu? Takkan nak angkut semua orang pula kut?”
Maria
melepaskan tawa. “Manalah tahu, kalau-kalau ayah mertua kau pun ikut sekali.
Selalunya kau orang jarang berenggang. Kemana-mana pun selalu pergi bertiga.”
Anis
tersenyum. Kata-kata Maria memang betul. “Kali ni kami pergi berdua saja sebab
ada hal lain sebenarnya.”
“Hal
apa pula?”
“Sebenarnya
aku nak pergi tengok rumah aku kat sana,” jawab Anis.
“Rumah
kau? Bila masa pula kau beli rumah di Melaka? Kau tak pernah cerita pada aku
pun.”
“Memanglah
aku tak beli. Tapi tadi… ayah mertua aku hadiahkan aku sebuah di rumah di situ.
Jadi aku kenalah pergi tengok. Kalau aku buat bodoh saja… nanti apa pula kata
dia, kan?”
“Really? Wah, bertuahnya
kau! Jadi kau nak ke rumah itulah ya? Mesti cantik, kan?”
“Kata
suami aku tadi, rumah tu di tepi laut. Kalau rumah tak cantik, laut tetap
cantik.”
“Haah.
Bestnya…. bolehlah aku bercuti ke sana juga nanti,” balas Maria lagi.
“Aku
kena minta izin Damien dulu. Selepas tu, aku SMS kan alamat rumah tu pada kau.
Bolehlah kau bawa anak kau sekali ya.” Anis sedar suaranya sedikit bergetar
apabila menyebut soal anak.
“Tak
ada masalah. Daniel pun dah lama tak jumpa mak angkat dia. Entah kenal entah
tidak lagi,” jawab Maria sambil bergurau.
Anis
hanya ketawa kecil menyambut gurauan Maria itu walau dalam hatinya cukup terasa
pahit.
“Okeylah
aku bukan nak ganggu kau kerja, aku cuma
nak bagitahu itu saja,” katanya untuk menamatkan perbualan.
“Anis,”
panggil Maria. “Apahal semalam tu?”
Anis
terdiam seketika. Kemudian dia menarik nafas panjang.
“Nantilah
aku cerita,” katanya sebelum termenung jauh.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.