Tuesday, April 12, 2011

Teaser JANJI JULIA : Bab 9


Ladang kelapa sawit di pinggir Lebuh Raya Utara-Selatan…

Senja sudah berakhir. Malam sudah melabuhkan tirai. Dengan tekad, mereka berdua melangkah masuk semula ke dalam ladang itu. Suasana di situ gelap-gelita. Tidak pernah dilihat kegelapan seperti itu dalam hidup mereka. Terlalu gelap seperti hitam pekat sehinggakan mereka tidak mampu melihat antara satu sama lain.

“Ju, gelap sangat ni…” rengek Mimi. Jarinya tetap memegang hujung baju Julia dengan kejap.

Julia tidak bersuara. Dia teringatkan sesuatu lalu membelek beg sandangnya. “Ada pun,” katanya sambil mengeluarkan sebuah lampu suluh kecil.

“Hah, ada pun lampu! Sesak nafas aku dalam gelap macam ni,” rungut Mimi.

“Aku pun dah lupa. Dah lama sangat aku tak guna lampu ni. Nasib baik pakai kuasa solar. Harap-harap dapatlah bertahan sampai esok pagi,” balas Julia sambil memeriksa lampu suluhnya.

“Apa tu?” jerit Mimi. Dia sudah semakin rapat ke badan Julia.

Julia memerhati sekeliling. Semenjak masuk ke situ lagi, telinganya sudah menangkap 1001 bunyi yang pelik-pelik. Cuma dia sengaja tidak memberitahu Mimi. Nanti Mimi cabut lari pula.

“Biasalah, dalam ladang kelapa sawit macam ni memang mereka bela burung hantu,” jawab Julia bersahaja walaupun hatinya turut berasa cuak. Bukan burung hantu yang dirisaukan, malah lebih daripada itu.

Mimi masih belum melepaskan lengan Julia. “Ke mana kita nak pergi dalam gelap ni?” Dia bertambah resah apabila nyamuk-nyamuk mula berdengung di telinganya.

“Elok kita cari tempat yang jauh sikit dari lebuh raya. Aku tak nak mereka nampak cahaya dari lampu suluh ni ataupun apa-apa tanda yang mungkin kita tinggalkan,” jawab Julia sambil terus melangkah.

“Ke dalam lagi?” tanya Mimi.

“Haah,” jawab Julia. Tiba-tiba dia tersadung tunggul kayu lalu tertiarap ke dalam semak. Mimi tertarik ke hadapan lalu jatuh menghempap Julia.

“Aduh!” Mimi terjerit. “Ju, kau tak apa-apa?”

“Sakitnya,” jawab Julia sambil menyuluh tunggul yang membuat dia tersadung. Nasib baik lampu suluhnya tidak terlepas. Dia menyuluh pula ke arah lututnya. Dia menggeleng. Seluarnya terkoyak di bahagian lutut. Darah mula naik ke permukaan kulit yang terkopek. Walaupun dia pernah masuk ke ladang kelapa sawit beberapa kali, tetapi suasananya pada waktu malam sangatlah berbeza. Tidak sama seperti pada waktu siang. Ataupun sememangnya tempat itu sudah lama terbiar kerana ketiadaan pekerja ladang. Dia tidak mahu tahu. Yang pentingnya mereka berdua harus keluar dari semak samun itu secepat mungkin. Tubuh dan mukanya semakin miang dan gatal-gatal.

“Boleh bangun tak?” tanya Mimi sambil menarik lengan Julia semula.

Julia cuba bangkit walaupun lututnya terasa perit dan pedih. “Kita ke depan sana,” katanya sambil menyuluh ke hadapan. Dia melihat kawasan yang sedikit lapang.

*****

Julia dan Mimi meninggalkan kawasan semak itu. Dengan penuh berhati-hati, Julia melangkah ke hadapan. Dia tidak mahu merempuh tunggul sekali lagi. Seketika kemudian, dia berhenti di suatu kawasan yang lapang dan berumput hijau. Beg pakaian yang dibawa segera dicampakkan. Kedua-duanya terduduk sambil termengah-mengah menarik nafas. Dengan wajah yang berminyak-minyak dan pakaian yang sungguh kotor, mereka semakin tidak selesa.

“Kita tidur sini ke?” tanya Mimi. Dia duduk semakin rapat dengan Julia.

“Begitulah. Harap-harap esok kita jumpa jalan keluar dari ladang ni. Mungkin juga ada kampung ataupun rumah pekerja estet dekat-dekat sini,” kata Julia sambil matanya menerobos kegelapan malam di sekitar mereka.

“Aku pun harap macam tu. Mungkin kita dapat tumpang lori ataupun apa-apa untuk ke utara. Mesti ada jalan bawah selain jalan ikut lebuh raya tu,” balas Mimi.

Julia cuma mengangguk meskipun dia tidak fikir keadaan akan menjadi semudah itu. Namun, dia tidak mahu Mimi putus harapan. Biarlah Mimi tetap bermimpi indah. Sekurang-kurangnya itu akan membuatkan gadis itu tetap bersemangat.

“Ada air?” tanya Julia.

Mimi menoleh ke arah beg lalu menyelongkar. “Tak adalah,” katanya perlahan.

Julia menyelongkar beg pakaiannya pula lalu terjumpa sebotol air mineral yang separuh penuh. Penutup dibuka dan dia mula meneguk. Jika dikutkan hati, ingin sahaja dia membasahkan mukanya yang sudah berminyak-minyak itu. Namun, air itu lebih berharga untuk diberikan kepada Mimi.

“Ini saja yang ada, minumlah,” katanya sambil menghulurkan botol.

Mimi tidak menjawab. Botol itu diambil dengan segera.

“Lapar?” tanyanya pula.

“Janganlah tanya macam tu. Dari pagi tadi kita cuma makan sebuku roti manis, mustahil boleh kenyang sampai ke malam,” jawab Julia.

“Aku pun lapar,” jawab Mimi sambil menghulurkan sebuku roti coklat yang masih berbungkus.
Yang lainnya entah ke mana hilangnya.

Julia mengoyakkan bungkusan plastik itu. Roti manis itu dibahagikan kepada dua bahagian. “Nah! Sikit sama sikit,” katanya pula sambil menghulurkan semula kepada Mimi.

Mimi tertunduk. Air matanya bergenang.

“Esok kita nak makan apa, Ju?”

“Insya-Allah, kalau ada rezeki kita esok, pasti akan ada makanan untuk kita,” jawab Julia perlahan walaupun dia sendiri tidak tahu bagaimana tetapi dia yakin Tuhan mengetahui apa yang sedang berlaku. “Lebih baik kita salin baju. Pakai baju dua tiga lapis. Tempat macam ni biasanya sejuk bila pagi,” katanya cuba untuk mengalih kerisauan Mimi.

Kali ini Mimi tidak membantah. Dia segera menyelongkar beg pakaiannya dan mengeluarkan bajunya dan baju Julia yang sudah bercampur aduk.

Tap!

Tap! Tap! Bunyi semakin hingar.

“Hujan?” Julia menadah tangan. Dia menoleh ke arah Mimi yang mula cemas.

“Hujan?” tanya Mimi pula.

Julia mengangguk. Dia segera menarik kain batik dan tuala lalu mereka berdua berselubung di bawahnya.

“Ju, kenapa nasib kita macam ni?” tanya Mimi. Air matanya keluar lagi.

Julia menahan sebak.

“Tuhan hanya menduga kita. Sabarlah ya,” jawab Julia ringkas. Air matanya juga tumpah. Hujan semakin lebat.

*****


Di dalam hutan di kaki gunung…

Idzham bangkit duduk dengan susah payah. Dia menyelak sedikit pintu khemah. Suasana di dalam hutan di bawah kaki gunung itu masih gelap dan hening. Cahaya pagi yang mencuri masuk melalui dedaunan yang merendang meyakinkannya yang waktu pagi sudah pun bermula. Dia tahu hutan itu akan diselubungi kabus sehingga ke pukul 10.00 pagi kebiasaannya. Tanahnya akan tetap lembap dan dingin di bawah tapak kaki. Pada waktu itulah dia terasa sangat tenang dan damai.

Dia menoleh ke arah Simon. Nampaknya Simon belum ada tanda-tanda akan terjaga. Dia merenung wajah pemuda berketurunan Cina itu. Terbit rasa kasihan di hatinya. Semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh Simon membuatkannya terharu. Sudah beberapa kali dia menyuruh Simon pulang sahaja ke pangkuan keluarga, namun Simon tetap berdegil menemani ekspedisinya. Dan ternyata keputusan Simon adalah tepat.

Dia menggerakkan kaki kirinya yang sudah terasa kebas sebelah. “Argh...” Tidak sengaja bunyi itu terluncur dari bibirnya. Pinggul dan kaki kanannya masih terasa sakit dan bisa-bisa. Air matanya hampir terkeluar, namun sampai bila dia harus begitu? Sampai bila dia harus menyerah kepada rasa sakit? Tetapi rasa sakit itu adalah petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada tubuh badannya. Dia serba salah.

Dia cuba bangkit sekali lagi. Dahinya berkerut. Tubuhnya terasa seram sejuk. Bukan disebabkan oleh kesejukan pagi di hutan itu tetapi daripada tubuhnya sendiri yang panas membahang. Kepalanya juga terasa berat dan matanya berpinar. Idzham kembali merebahkan tubuhnya ke tempat tidur. Sejenak dia berasa hampa. Air mata yang mengalir di pipinya terasa panas.

“Dah jaga?” tanya Simon sambil mencuit bahu Idzham. Apabila Idzham berpaling ke arahnya, soalan itu diulang semula sekali lagi. Tanpa berlengah, dia menyentuh dahi Idzham. “Kau demamlah.” Simon lantas bangkit duduk. Selimut tebalnya dikuak hingga ke kaki.

Idzham tidak bersuara. Dia hanya menelan air liur yang sudah terasa semakin kering. Kepalanya mula berdenyut.

“Tunggu sekejap, aku ambilkan ubat,” kata Simon sambil menonong keluar.

Idzham hanya memandang Simon pergi. Sekali lagi terbit pilu di hatinya melihat sahabat baiknya itu bersusah payah kerana dirinya dan dia yakin Simon tidak akan berhenti setakat itu. Dia faham sangat dengan perangai Simon.

Beberapa minit selepas itu, Simon kembali dengan membawa segelas air minuman. “Kau makan Paracetamol ni dulu. Nanti aku masakkan sarapan.” Simon meletakkan sebiji pil Paracetamol ke bibir Idzham lalu menyuakan air suam. Selepas itu, dia menyelimutkan tubuh Idzham dari leher ke kaki. “Kalau kau nak tidur dulu, tidurlah. Nanti bila sarapan dah siap, aku kejut,” kata Simon lagi.

Idzham hanya berdiam diri. Sesungguhnya dia bingung. Terbaring di situ bukanlah kehendak hatinya. Dia rasa terpaksa. Pelbagai perkara terbayang di fikirannya sehinggakan dia tidak dapat melelapkan mata. Kalaulah semua itu tidak terjadi... Dia mengeluh sendiri. Tetapi bukankah di sebalik setiap kejadian itu ada hikmahnya? Dia tidak tahu apa tetapi dia pasti ada.

Hampir setengah jam kemudian, Simon masuk semula ke khemah sambil menatang sebiji cawan plastik berisi kopi pekat dan sepiring keropok ikan yang siap digoreng. Aromanya memenuhi ruang khemah yang sederhana besar itu.

“Idzham, kalau kau dah berpeluh, mari kita minum kopi.”

Idzham menyelak selimutnya ke paras pinggang. Lehernya sudah lencun dengan peluh yang mencurah-curah. Paracetamol yang dimakan tadi sudah memberikan kesan. Simon memaut tubuh Idzham supaya mampu duduk bersandar di sudut khemah. Pinggan yang berisi keropok ikan disua kepada Idzham. Idzham menggeleng, memberi isyarat yang dia mahukan kopi dahulu.

Simon tersenyum. Idzham dengan kopi memang tidak dapat dipisahkan.

“Idzham, sekejap lagi aku nak keluar hutan,” Simon menyuap mulutnya dengan sekeping keropok yang sederhana lebarnya. Matanya tepat memandang ke arah Idzham yang terkelip-kelip. “Aku nak keluar dapatkan bantuan untuk bawa kau keluar dari sini. Aku tak larat nak papah kau seorang di sepanjang jalan,” terang Simon lagi.

Idzham memberi isyarat.

“Tak boleh macam tu. Aku takut kalau kecederaan kau sebenarnya teruk. Kau kena pergi ke hospital. Lagipun ubat kita dah tak cukup.”

Idzham termenung seketika. Dahinya berkerut rapat. Jarinya lantas menjawab.

“Aku faham, tapi buat masa sekarang, kesihatan kau lebih penting. Lepas kau sihat, kita datanglah semula ke sini. Lagipun kita dah tahu pokok tu ada berdekatan kawasan ni.”

Akhirnya dengan rasa terpaksa, Idzham mengangguk memberikan persetujuan. Walaupun dia sedar risikonya sama-sama tinggi tetapi mereka juga tidak ada pilihan yang lain. Jika dia terus berdegil, keadaannya mungkin bertambah teruk. Jika Simon pergi mendapatkan bantuan sekalipun, entah bila Simon akan kembali ke situ. Dia menoleh ke arah Simon lalu memberi isyarat.

“Jangan bimbanglah. Aku bukan tak biasa masuk keluar hutan. Kalau aku dapat bergerak cepat, mungkin dalam masa sehari aku dah sampai ke perkampungan orang asli di pinggir hutan. Kemudian sehari lagi untuk masuk semula ke sini. Lepas tu kita keluar mendapatkan rawatan untuk kau,” katanya lagi. “Aku rasa menjelang petang esok aku dah sampai semula ke sini,” dia tersenyum dengan yakin.

“Sementara aku pergi, kau jangan banyak bergerak. Aku akan siapkan air minum, makanan dan ubat secukupnya,” kata Simon sambil menarik keluar senapang raifal yang memang tersimpan di bawah tempat tidurnya selalu. “Yang ni kau simpan. Guna bila perlu.”

Idzham berkerut. Jari-jemarinya pantas menjawab lagi.

“Jangan bimbanglah. Doakan aku cepat balik,” jawab Simon dengan segera. Dia lantas bangkit membawa cawan dan pinggan ke luar khemah. Beberapa minit selepas itu, terdengar dia memasak dan menyediakan makanan.

Menjelang pukul 10.00 pagi, semuanya sudah siap. Seperti yang dikatakan oleh Simon, semua barang yang penting disimpan di dalam khemah Idzham dan dia mula meninggalkan tempat itu sambil membawa sebuah beg sandang beserta sebilah parang.

Idzham hanya mampu memerhati dari celahan pintu khemah.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.