Friday, April 13, 2012

Novel DATANG PADA WAKTUNYA : Prolog & Bab 1

Dapatkan di pasaran!
DATANG PADA WAKTUNYA
Terbitan Fajar Pakeer.

Terima kasih di atas sokongan anda.
Ikutilah beberapa bab awal novel ini
yang membawa genre Misteri-Thriller
yang bersulamkan kisah cinta yang berbeza.........

PROLOG
“SETELAH penat Awang berjalan...” kata nenek Edri. “Dia akhirnya sampai ke sebuah kampung.”
Mulut Edri berhenti mengunyah. Matanya bersinar. Cekodok ikan bilis, baki kuih minum petang tadi sudah terasa tawar di mulutnya. Debaran di jantungnya semakin kuat. Neneknya yang suka melihat dia makan, sedang melekakan dia sambil menyambung cerita yang sudah bermula sejak dua malam yang lalu sejak Edri pulang bercuti ke situ. Cerita tentang Hikayat Awang Gajah yang sangat berani. Sudah dua pengalaman yang ditempuh Awang dan kini Awang akan menempuh pengalaman baru dalam pengembaraannya mencari telur emas.
“Di situ, Awang melihat sebuah kenduri sedang diadakan,” sambung neneknya lagi.
Edri menyambung kunyahannya semula. Sebiji cekodok lagi sudah diambil. “Selepas tu, nek?”
“Awang yang sedang lapar pun bertanyalah kepada orang-orang di situ. Kenduri siapakah itu? Bolehkah dia makan sekali?” Neneknya mengangkat muka dan tersenyum. “Orang di situ pun menjemput Awang menyertai mereka. Awang diberi makanan yang sedap-sedap sehingga dia kekenyangan.”
“Lagi, nek,” pinta Edri. Sebiji lagi cekodok masuk ke mulutnya sehingga pipinya yang montel terbonjol di kiri kanan.
Neneknya tersenyum sahaja. Matanya bersinar melihat cucunya yang berusia 10 tahun itu begitu menggemari air tangannya setiap kali pulang ke kampung. Lalu dia menyambung, “Selepas Awang berasa kenyang, dia pun meminta diri untuk meneruskan perjalanannya, tapi dia dihalang.”
“Kenapa pula?” Edri bertanya sambil tangannya teraba-raba mencari cekodok seterusnya.
“Mereka meminta Awang tidur di tempat mereka semalaman.”
“Awang mahu?”
“Tentulah Awang mahu. Awang kan budak yang baik dan berani?” jawab neneknya dengan ramah.
Edri terangguk-angguk. Dia tersenyum. “Lepas tu, nek? Apa jadi?”
“Awang pun dibawa ke sebuah rumah yang besar dan cantik. Dia juga dilayan dengan baik dan dihidangkan makanan yang sedap-sedap.”
“Seronoklah kalau macam tu,” komen Edri sambil tersengih lebar. Menampakkan giginya yang rompong dua batang di kiri dan kanan sebelah atas.
Neneknya tersenyum dan hanya mengangguk. “Keesokan harinya, semasa Awang terbangun daripada tidur, dia dapati semuanya telah hilang. Rumah besar tidak ada, makanan sedap juga tidak ada.”
“Ha?” Mulut Edri terlopong. “Kenapa pula?” Tiba-tiba tekaknya terasa pahit.
Neneknya mengangkat muka lalu berkata, “Awang dapati yang dia sedang tidur di atas sebatang pokok ara yang tinggi dan rendang.”
Air liur Edri meleleh. Dia tidak terkata apa-apa lagi.
“Awang pun turun dengan berhati-hati lalu berjalan-jalan mencari kampung yang disinggahi semalam. Malangnya semuanya telah tidak wujud lagi.”
“Nenek…cerita apa ni?” Edri merengek tidak puas hati. Mukanya masam mencuka.
“Cerita Awang Gajahlah.”
“Semalam kan dia lawan dengan buaya, kenapa hari ni dia tak lawan dengan harimau?”
“Kerana berani itu bukan bermakna berani melawan sahaja. Berani juga bermakna berani menghadapi dan menerima,” terang nenek Edri sambil mengusap lembut kepala cucunya.
Edri terdiam. Fikirannya ligat cuba memahami apa yang disampaikan oleh neneknya. Namun dia masih belum berpuas hati. “Habis tu, ke mana mereka pergi? Siapa yang Awang tu jumpa sebenarnya, nek?”
Neneknya menggeleng lalu menjawab dengan perlahan. “Sesungguhnya di bumi ini bukan tempat tinggal manusia sahaja. Selain haiwan dan tumbuhan, ada makhluk lain juga.”
“Jadi, Awang jumpa siapa?” Edri masih menuntut jawapan.
Neneknya mengangkat bahu. “Tetapi, apa pun yang Awang jumpa itu, tidak penting. Yang pentingnya, Awang tidak takut. Kerana Awang hanya takutkan Tuhan.”
Edri mengangguk lemah. Dia termenung seketika.
“Dah habis?” tegur neneknya seraya melihat pinggan yang sudah kosong.
Edri tersengih. “Makan berdua tentulah tak cukup, nek.” Dia tergaru-garu. “Esok nenek masak lagi ya.”
“Berdua?” Dahi neneknya berkerut. Kain yang dijahit sudah terlorot ke ribanya.
Edri mengangguk. “Dengan budak kampung yang duduk di sebelah nenek tadi. Dia pun suka dengar cerita Awang Gajah. Dah dua malam dia datang mendengar cerita nenek.”
“Apa?” Neneknya menoleh ke kiri dan ke kanan, tetapi tidak nampak sesiapa.
“Dia dah balik, nek,” kata Edri dengan selamba sambil bangkit menghantar pinggan ke dapur.
Nenek Edri kelu di situ. Dia hanya menghantar Edri melangkah dengan pandangan penuh bermakna. “Kau memang seorang yang berani, cu,” bisiknya perlahan. 


1
Bandar Durian Lima, Julai 2000
BALAI Polis Durian Lima terletak di tepi jalan utama. Bangunannya terasing daripada bangunan lain dan agak kecil berbanding bangunan kedai yang setinggi dua dan tiga tingkat yang sebaris dengannya. Apa yang paling jelas menonjol di bangunan itu adalah papan tandanya yang cukup besar untuk dilihat dari jauh. Hari itu Balai Polis Durian Lima agak sunyi. Beberapa orang anggota polis sedang berbual sambil melakukan kerja masing-masing. Tidak ada orang awam yang datang membuat aduan. Hari itu seolah-olah begitu tenang. Cuaca juga baik.
Dalam sebuah pejabat yang sederhana besar, Sarjan Baha sedang membaca laporan-laporan lama yang diambil daripada sebuah fail. Fail tentang satu kes yang tidak dapat diselesaikan sehingga saat itu. Sejak dia bertugas di situ berbelas tahun yang lalu, sudah ada tiga kes yang menemui jalan buntu dan dia juga sudah mati akal. Segala penyiasatan yang dijalankan juga tidak dapat merungkai satu persoalan. Ke mana mereka hilang?
“Sarjan, ada sebuah kereta ditemui di jalan lama.” Masuk seorang anggota polis membawa berita terkini. Wajahnya agak pucat, peluh merenik di dahinya. Dia hanya tercegat bagaikan patung sambil menanti arahan selanjutnya daripada Sarjan Baha.
Sarjan Baha tersentak. “Di jalan lama?”
Matanya mengerling ke arah fail di hadapannya semula. Jantungnya berdetak laju. “Sejak bila?”
“Kita baru saja dapat laporan daripada seorang pencari rotan. Sarjan pun bukan tak tahu, tidak ada siapa yang berani ke situ kecuali kalau tidak terdesak sangat. Jadi siapa pun tak tahu, sejak bila kereta itu di situ.”
“Hantar orang ke sana segera. Cuba dapatkan semua maklumat dan…” Sarjan Zain menghela nafas. “Tolong perhatikan jika ada fail biru.”
“Fail biru?”
Sarjan Baha mengangguk lagi. Hanya dia yang paling tahu tentang fail itu.

PETANG menjelang. Kereta yang tersadai sudah diperiksa secukup-cukupnya. Daripada maklumat pendaftaran, pemiliknya telah dikesan sebagai Ahmad bin Ghazalli yang beralamat di Shah Alam, Selangor. Tiada jejak ke mana dia pergi. Beg pakaiannya turut hilang. Apa yang dicari oleh Sarjan Baha juga tidak kelihatan sama sekali.
“Fail itu tak ada, sarjan,” lapor anggota polis itu sebaik tiba semula di balai polis.
Sarjan Baha tidak berkata apa-apa, cuma berpesan, “Periksa kereta itu sekali lagi. Mana tahu mungkin tuannya pulang.”
“Baik, sarjan.”
Sarjan Baha termenung seketika. Laci kanannya ditarik perlahan. Sebuah fail dikeluarkan dan dibuka. Dia mencatatkan sesuatu di situ dalam ruangan. Kes keempat. Hatinya mula tertanya-tanya, sampai bilakah kes itu akan berlanjutan? Apakah yang sebenarnya sedang berlaku di situ? Daripada tiga kes yang lalu, dia menemukan satu persamaan. Ketiga-tiganya melibatkan kes pegawai kerajaan yang dihantar untuk menyelesaikan kes jambatan yang tertangguh di situ. Akan tetapi apa kena-mengena jambatan dan jalan lama itu? Adakah Ahmad bin Ghazalli itu juga adalah orang kerajaan yang datang dengan niat yang sama? Dahinya berpeluh.
“Awak siasat siapa Ahmad bin Ghazalli ni, terutama tentang pekerjaan dia,” katanya kepada anggota polis yang sedia menemaninya di situ.
“Sarjan, betul ke apa yang orang cakap pasal jalan tu?”
“Cakap-cakap tak boleh dijadikan bukti. Kalau ada bukti, baru kita boleh terima sebagai benar,” jawabnya perlahan. Dia bukan tidak tahu apa yang diceritakan orang-orang di situ. Dia juga penduduk Kampung Durian Lima. Dia lahir dan bersekolah di situ. Dia sempat melihat pekan kecil itu berubah menjadi bandar walau tidak sebesar mana.
Anggota polis itu segera beredar. Dia kembali menekuni kes itu dan dua hari selepas itu, dia mendapat khabar yang sudah dijangkakan.
“Sarjan, kami jumpa fail ini di dalam kereta itu,” kata salah seorang anggota polis balai itu sambil menyerahkan fail itu kepadanya.
Dia menerimanya dengan tenang. Sudah empat kali dia melihat fail yang sama kembali ke tangannya. Bahkan dia sudah hafal segala isi kandungannya. Cuma dia tidak tahu mengapa fail itu pulang ke pangkuannya semula. Namun dia tidak jemu berharap agar satu hari kelak ada yang akan tampil menghuraikan tanda tanya itu. Dia tidak mahu terus berada dalam ketidakpastian. Dia mahukan jawapan.

Sehari sebelum itu
“KEJAR dia! Kejar dia cepat!” Suara-suara lelaki yang sedang mengejar sambil membawa parang dan lembing kedengaran jelas.
Hati Ahmad semakin kecut. Langkahnya semakin deras. Tapak kakinya seolah-olah tidak jejak lagi ke bumi. Dia tidak berpaling lagi kerana sesaat saja mungkin akan memisahkan di antara hidup dan matinya. Beg bajunya dicampak sahaja ke dalam semak. Pada waktu itu segala harta yang dibawa seolah-olah tidak berguna lagi. Terbayang wajah-wajah yang telah dilupakan seketika. Wajah isteri, wajah anak-anak dan wajah ibunya. Dia kesal. Air matanya bercucuran.
Sesampainya dia ke keretanya semula, dia mencampakkan fail biru yang dibawa ke dalam. Hatinya sakit, kerana fail itulah dia terpaksa menanggung semua penderitaan itu. Dia benar-benar marah. Tanpa berlengah, dia melarikan diri ke dalam kebun getah yang berhampiran. Cuma itu satu-satunya jalan terakhir yang ada dan dia hanya mampu berdoa agar keputusannya itu betul.
Dari kebun getah yang sudah terbiar itu, dia terus berlari. Entah berapa kali dia jatuh mencium tanah, dia tidak peduli lagi. Apa yang penting, dia mesti sampai ke tempat yang dikatakan itu. Akhirnya, suara-suara marah yang mengejarnya semakin lama semakin hilang. Dia pasti tempat yang dituju semakin dekat. Dan di sebalik rimbunan pokok besar, dia akhirnya terpaku melihat apa yang terbentang di hadapan matanya.
“Masjid lama!” Dia tersenyum dan terus meluru masuk ke pekarangan masjid yang sudah dipenuhi semak samun. Namun sebaik sahaja kakinya memijak anak tangga yang pertama, pandangan matanya berpinar. Dia rebah ke bumi.

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.