Thursday, July 21, 2011

Novel ERTI CINTA : Bab 1


ORANG panggil itu bilik, dia panggil itu rumah. Kalau rumah ada bilik, biliknya itu pula ada ruang. Ruang kecil untuk tidur, berrsolat, menjemur baju dan membancuh air. Semuanya kecil-kecil kerana semuanya hanya dalam satu bilik yang berukuran sembilan kaki kali sembilan kaki. Tapi buat masa itu, itulah rumah dan itulah mahligai untuk orang macam dia. Orang yang tak mampu tapi, kalau ada rezeki dia mahu rumah yang lebih besar, cantik dan yang pastinya ianya adalah miliknya.

Dia terbaring di atas tilam nipis bersaiz double. Sambil merenung siling putih yang kekuningan. Walau tidak ada apa yang menariknya di situ, dia tidak ada arah lagi untuk dipandang. Ke kiri bantal dan buku-buku. Ke kanan pula baju-baju yang bergantungan di tepi tingkap. Serta-merta otaknya jadi beku dan nafasnya jadi lesu.

“Hey! Aku dah dapat rumah.” Seorang gadis berambut ikal mayang masuk sambil tersenyum-senyum. Di tangan kanannya ada makanan di dalam beg plastik berwarna merah dan di tangan kirinya ada sebuah majalah hiburan. Dia langsung duduk di atas tilam di sebelah Anis Sarina, teman sebiliknya sambil menghela nafas kelegaan.

“Dah dapat rumah?” Anis terbangkit dari perbaringan. Kini dia mengereng ke arah kawan baiknya yang bernama Maria. Dia kebingungan seketika. Seingat dia, Maria tak pernah bercakap tentang pindah rumah. Adakah Maria mahu meninggalkan dia? “Apa yang kau cakap ni?” Dahinya berkerut, matanya redup.

“Aku sengaja tak bagitau kau. Sebab kalau aku bagitau, nanti kau banyak soal pulak,” balas Maria dengan selamba sambil menyelak sehelai demi sehelai halaman majalah yang dibelinya tadi.

Anis menghela nafas dalam-dalam. Sememangnya di bilik itu, dia sering merasakan seperti tak cukup Oksigen, Patutlah juga Maria selalu diserang asma, mungkin kerana bilik itu sempit dan pengudaraannya tidak begitu baik. Sudahlah ada dua panel tingkap, ditutup pula dengan baju-baju yang bergantungan. Dari mana udara bersih hendak masuk? tanyanya dalam hati. “Tapi, kau pun tahu aku tak mampu bayar sewa yang mahal-mahal, Maria.”

Dia tunduk memandang tilam sambil jarinya menjolok-jolok lubang kecil di situ. Makin lama makin besar, seperti masalahnya juga. Dia bukan orang kaya, keluarganya juga bukan orang senang. Ada tempat berteduh dari hujan dan panas, ada tempat berbaring bila malam, dia sudah bersyukur sangat. Sesak tak sesak, dia hanya mengeluh dalam hati.

“Dan kau pun tahu aku takkan menyusahkan kau,” balas Maria cepat.

Anis mengangkat muka. Fikirannya cuba mentafsir kata-kata Maria. Cuba menimbang benar salahnya. “Maksud kau?”

Dengan perlahan, bibir Maria mengorak senyum senang. “Kau jangan bimbang, aku dah ambil kira semua perkara dan aku rasa kau mampu,” katanya sambil merenung wajah Anis semula. Kini mereka berdua berbalas pandang.

Mata Anis terkebil-kebil. Dia masih lagi cuba memahaminya satu-persatu. Maria seperti sedang bermain teka-teki pula dengannya. Aneh. “Cakaplah betul-betul,” gesanya apabila sabarnya mula hilang.

“Aku dah dapat rumah di Flat Seri Mastura.” Akhirnya Maria memberikan fakta lebih jelas.
Mulut Anis langsung terlopong dan bilik itu tiba-tiba menjadi hening. Udara tak bertiup dan jam pada dinding seolah lupa berdetik. “Flat? Berapa tingkat?” tanya Anis sambil menenangkan deruan darah yang tiba-tiba merempuh segala pembuluh di dalam tubuhnya.

“15 tingkat tapi…”

“15 tingkat?” Belum sempat Maria menghabiskan kata-katanya, Anis terus menyampuk dengan nada separuh menjerit. Kalau tadi darahnya menderu laju, kini terasa darahnya tersekat dan membeku sehingga hujung jari-jemarinya kesejukan.

Maria mengangguk laju. “Bukannya kita duduk di tingkat 15, tingkat 7 aje. Lagi pun bukan tak ada lif.”

Anis terdiam sesaat. Wajahnya masih pucat lesi. “Kau biar betul ni, Maria. Aku gayat kalau naik tingi-tinggi ni.”

“Betul, aku dah telefon tuan rumah tu. Dia kata tak payah deposit, masuk je lepas bayar sewa sebulan. Deposit api air pun dia minta lima puluh ringgit je.”

“Huih! Baiknya tuan rumah tu…lelaki ke perempuan?” Anis mula senyum sumbing. Keningnya terangkat-angkat ke arah Maria. Murah gila tu! Betul ke ada rumah semurah itu?

Maria menjeling manja. “Perempuanlah. Aku yang call tadi.”

“Kenapa dia nak sewakan? Kenapa dia tak duduk di situ?” Fikirannya mula diterpa oleh seribu satu persoalan. Ada juga rumah yang murah di ibu kota, fikirnya. Tapi mereka pun bukan ditengah-tengah ibu kota cuma di pinggir ibu kota. Kalau nak ke Kuala Lumpur pun dekat sejam setengah baru sampai. Otaknya ligat menyimpul logik.

“Dia tinggal di Pulau Pinang sekarang. Rumah tu kosong.” Suara Maria kedengaran semakin lantang. Ada penekanan di situ.

Anis termenung. Nak ke tak nak? Bagai diatur oleh fikiran, anak matanya mula bergerak-gerak memerhatikan bilik itu semula. Apa yang tertangkap dek pancainderanya merumuskan satu kesimpulan yang mutlak. Tidak ada arah yang tidak sesak. Di sana bertimbun, di sini bergumpal. Nafasnya tersekat. Dia terpaksa akui yang dia memang sudah tak larat duduk di situ.

Rumah itu bagaikan tin sardin. Ikan sardin dalam tin pun ada limit tapi mungkin pihak pengurusan kolej tak pernah buka kilang sardin jadi mereka tidak tahu. Semua pelajar kalau boleh disumbatkan di dalam sebuah rumah. Setiap bilik pula kalau boleh, mahu disumbatkan sampai empat orang sekali cuma mereka bernasib baik, kerana seorang dari penghuni bilik itu sudah menghentikan pengajian. Mungkin kerana sudah tak larat berkongsi bilik kecil itu dengan mereka. Kalau tak, lagilah tak ada arah untuk bernafas.

Tapi, dalam hal tinggi-tinggi ini yang buat dia gayat sedikit. Naik eskalator dekat shopping mall pun gabra, ini pula tingkat 7. Hanya itu masalahnya sekarang. Dia takut tinggi, takut sangat-sangat.

“Macam mana? Dah habis fikir?” tegur Maria sambil leka merenung majalah di tangannya. Kisah hidup kahwin cerai artis yang menjadi pilihannya. Sesekali dia menggeleng, bibirnya menjadi rata seperti tanda tolak.

“Aku bukan tak nak…aku cuma sesak nafas bila fikir soal tinggi tu.” Dengan Maria dia tak perlu berselindung apa-apa. Maria nak gelak ke, nak menangis ke, dia tak rasa apa-apa. Dia dah anggap Maria bagaikan saudara sendiri. Tapi kalau dengan orang lain, jangan cari fasal.

“Alah, mula-mula je. Lama-lama okeylah….” Maria merenung wajah Anis yang masih terkulat-kulat. “Kalau kita lambat, kakak tu kata, dah ada orang yang tanya juga selain kita.”

“Ya ke….” Perlahan sahaja suara Anis meluncur. Dia menghempas nafas. Getaran halus di dalam perutnya terasa-rasa. Itu baru fikir, belum buat lagi.

Tok! Tok! Tok!, pintu bilik mereka berdua diketuk. Tanpa diizinkan, pintu dikuak lebar. Muncul seraut wajah manis di tengah pintu. “Aku nak pinjam sabun basuh kau sikit. Aku lupa beli tadi.”

Tanpa menoleh, Maria menjawab, “Ambillah.” Serentak itu, telinganya terus saja disajikan dengan bunyi pintu yang ditutup semula. Tanpa sebarang ucapan terima kasih atau janji untuk memulangkan balik apa yang dipinjam. Ruang itu terus jadi hening seketika.

“Tengoklah tu, pinjam sabun, pinjam milo, pinjam syampu…aku tak tahanlah,” rungutan Maria memecahkan kebisuan ruang sambil tangan kanannya menghempas majalahnya ke tilam. Kini dia duduk termenung sambil memeluk bantal peluknya pula. Wajahnya bagai hendak muntah.

Anis menjeling. Dia faham apa yang Maria rasa malah dia lebih rasa terseksa. “Aku pun sama. Dia orang ni ingat, kita tauke kedai runcit agaknya. Semua kita nak support. Lepas tu angkut segala anak buah tinggal di sini juga. Pokailah aku kalau selalu sangat.”

Dia mula terbayang-bayang gelagat teman-teman serumahnya yang tak tahu bertolak ansur. Dia faham mereka semua hanya bergantung kepada duit biasiswa yang tidak seberapa tetapi janganlah sampai menyusahkan orang lain. Dia pun bukannya anak orang kaya, dia juga bergantung sepenuhnya kepada duit biasiswa itu. Setin Milo kalau diletak di dapur boleh kosong dalam masa tiga hari, bila ditanya siapa yang pakai, semuanya tak mengaku. Sebab itu dia dan Maria sepakat menyimpan makanan di dalam bilik itu, kalau habis pun, di antara mereka berdua saja.

“Itulah aku ajak kau pindah ni. Sementara ada peluang ni, kita cabutlah. Esok kalau rumah murah macam ni dah disapu dek orang, kita juga yang tension kat sini.”

“Asrama baru tu bila nak siap ha?” tanya Anis lagi. Otaknya masih ligat menimbang tara segala kemungkinan yang ada.

“Aku dengar-dengar, hujung tahun nanti. Itu pun kalau segalanya berjalan lancar. Kalau tak, susahlah kita.”

Anis mengeluh jemu. Kolej ni pun satu. Dah tahu bilangan pelajar bertambah, tempat tinggal tak disediakan secukupnya. Yang menjadi mangsanya adalah pelajar macam dia. Akhirnya dia menghela nafas. “Bila nak pindah?”

Maria tersenyum. “Hujung bulan ni?”

“Hujung bulan ni…?” tanyanya perlahan. Dia kembali merenung siling di atas kepala. Perutnya terasa huru-hara. Kalau terus di situ, terpaksa menahan sabar, kalau pindah terpaksa menahan takut. Yang mana satu?

*****
Cuaca terang-benderang. Langit membiru. Kehangatan sudah membahang walaupun baru pukul 11.00 pagi. Dahi Anis bersimbah peluh. Diseka berkali-kali, namun peluhnya tetap keluar bagai diperah-perah. “Ini yang aku tak suka ni, ada lif rosak pula.” Dia mula membebel di atas tangga. Walau bukan untuk dipujuk sesiapa, hati dia puas setelah melontarkan apa yang dirasa.

Maria tersandar di tepi tangga. Sudah empat kali mereka turun naik tangga ke tingkat 7 untuk mengangkut barang. Itu pun nasib baik mereka cuma ada sebuah tilam, beberapa beg pakaian dan selebihnya kotak-kotak yang mengandungi buku. Kalau ada kelengkapan rumah sekali, mungkin keduanya sudah menangis tidak berlagu. “Esok, okeylah tu. Kan dua hari lepas semasa kita datang okey je. Mereka tengah repair lah tu.”

Anis tidak menjawab. Nafasnya masih semput sampai mukanya merah padam. Rambutnya yang terurai di bahu, dikuak ke belakang lalu diikat tinggi-tingi untuk mengurangkan kepanasan yang membahang di luar dan di dalam hati. Kalau mereka tinggal di tingkat 2 sekalipun, masih ada ampun. Ini tingkat 7. Sendi-sendi lututnya pun sudah terasa longgar.

“Nasib baik barang kita tak banyakkan? Kalau ada kerusi, meja, mati kita,” sambung Maria lagi. Dia juga termenung jauh sambil mengatur nafas.

“Jom! Kita beli air dulu kat café sana,” katanya sambil menunjukkan jari ke arah sebuah café di bawah bangunan flat yang bertentangan. Dari situ, café itu kelihatan meriah saja dengan pelanggan. Mungkin setelah tekak dan perut mereka sejuk, rasa bengang itu akan hilang dengan sendiri, fikirnya.

“Boleh juga. Tekak aku pun sudah rasa kering semacam.” Maria berdiri semula sambil menarik lengan Anis bangun.

“Kau perasan tak?” Anis bertanya sambil melangkah beriringan. Sedari tadi ada sesuatu yang berlegar di fikirannya tentang tempat itu. Seperti rasa aneh, rasa ada yang tak kena.

“Perasan apa?” Maria menoleh ke kiri ke kanan. Antara Flat C dan Flat B dipisahkan oleh sebuah jalan kecil bertar tapi nampaknya sudah lama jalan itu terabai memandangkan ada lopak-lopak di sana-sini jalan. Setelah dipastikan tidak ada kenderaan, dia menarik lengan Anis cepat-cepat.

“Di sini banyak blok, tapi tak ramai orang,” jelas Anis. “Sunyi je.”

“Hujung minggu. Mungkin semua orang tidur atau malas turun. Tapi eloklah untuk kita. Boleh kita study dengan aman damai. Kau lupa ke kat rumah sewa kita tu macam mana? Kalau tak budak-budak tu memekak, bunyi motor boys pula yang membingit lalu-lalang.”

Anis mengangguk. “Mungkin. Atau mungkin flat di sini sememangnya tak ramai penghuni?” Dari pemerhatiannya sejak tiba di situ tadi, flat-flat di situ bukan sahaja kelihatan lengang malah agak sunyi. Budak-budak yang bermain di bawah flat pun tak ramai. Adalah dua tiga orang yang kelihatan di bawah blok A. Di blok C langsung tak ada.

“Tak logik juga. Sewa murah, siapa tak nak?” bantah Maria cepat. “Kau ni… macam cuak je? Kau takut ke?” tanya Maria pula.

Anis tersengih. “Aku takut? Takut apa pulak? Aku tak percayalah benda-benda yang karut ni. Kalau manusia jahat baru ya. Yang tu nak bawa berunding pun payah,” jawab Anis sambil ketawa kecil. Dia memang tak rasa takut cuma terasa aneh.

Maria sama ketawa mendengarkan jawapan Anis. “Mungkin kita tak biasa lagi dengan keadaan di sini. Kat rumah lama dulu, hampir 24 jam memekak dengan radio dengan TV.”

“Macam terasa pergi bercuti pun ada,” sambung Anis. Sunyinya macam berada di sebuah resort terpencil padahal di pinggir kota saja.

“Apa-apapun, kita dah buat keputusan kan?” tanya Maria sambil tangannya menarik pintu café.
Anis mengangguk. Dia bukan kesal cuma terasa lain saja tapi mungkin betul kata Maria, mereka baru saja beberapa jam di situ, tentulah belum biasa dengan suasananya. Mungkin esok lusa, suasana akan terasa biasa dan kesunyian di situ sudah tidak lagi dirasakan. Sekali pandang, kawasan Flat Seri Mastura itu tidak ada apa yang kurangnya walau agak terkedalam. Mungkin itu satu faktor yang menyebabkan kawasan itu kurang diminati, fikirnya.

Dalam sibuk melayani fikiran masing-masing, keduanya sudah menjejakkan kaki ke dalam café. Kehadiran mereka segera menarik perhatian beberapa orang pelanggan yang sedang makan di situ. Mereka berdua cuba berlagak setenang mungkin walau cuak juga bila direnung tajam. Langkah yang ringan tiba-tiba saja bertukar berat, namun biasalah lelaki, kalau tak merenung perempuan bukan lelakilah namanya!

Anis mengekori Maria dengan rapat. Mereka berdua menuju ke arah kaunter café. “Mak cik, teh ais dua bungkus,” pinta Anis dengan sopan.

Perempuan yang dipanggil mak cik itu berpaling. Ada riak terkejut di wajahnya. “Nak air apa tadi, nak?” tanyanya dengan dahi yang berkerut.

“Teh ais. Dua bungkus.” Anis tersenyum. Dia cuba memaniskan muka dan bersikap sopan, maklumlah mungkin kedai itulah yang akan jadi ‘dapur segera’ mereka berdua kelak. Tetapi, pandangan mak cik penjual itu membuat perasaannya tidak enak.

“Nasi tak nak?” Matanya masih merenung tajam ke wajah Anis.

“Nasi?” Anis berpaling ke arah Maria. “Nak? Tak payahlah kita turun naik lagi. Ni pun dah dekat tengah hari kan?”

“Boleh juga,” balas Maria lalu beralih ke tempat lauk-pauk dan nasi dihidangkan. Maria bergumam, tak banyak sangat pilihan yang ada. Ikan goreng, ayam goreng, kari ikan kembung, sayur campur dan sedikit sambal sotong. Mahu tak mahu dia memilih saja apa yang dirasakan paling sesuai untuk dia dan Anis. Sedang dia terkial-kial di situ, muncul seorang pemuda bertubuh kurus untuk membantu. Dia tersenyum senang.

“Anak berdua ni… baru pindah ke sini ke?” tanya mak cik penjual.

Anis mengangguk.

“Duduk di flat mana?”

“Flat C, mak cik,” jawab Anis dengan ringkas. Masih terasa tidak selesa untuk berceloteh dengan mak cik penjual yang asyik merenung mukanya. Ish! Mak cik ni. Ada apa-apa ke dekat muka aku ni? Anis mula gelisah. Tanpa sedar, tangannya sudah menyapu muka. Tak ada apa-apa pula. Dia semakin tidak faham.

“Flat C? Tingkat berapa?”

“Tingkat 7,” balas Anis dengan segera.

“Rumah yang mana?”

“Yang hujung sebelah kanan,” jawab Anis cepat. Dia bersedia jika makcik itu akan bertanyakan nombor rumah sekali tetapi tidak ada. Mak cik itu kembali sibuk memasukkan dua bungkus air teh ke dalam beg plastik. Lega.

“Tinggal dengan keluarga ke?” Soalan lain pula yang keluar.

Anis segera menggeleng. “Kami berdua je, mak cik”

“Berdua?” Mak cik penjual itu menahan nafas dan akhirnya memandang ke arah lain apabila ternampak Maria menuju ke arahnya.

“Nah! Aku dah bungkuskan nasi kau.” Tiba-tiba Maria menyampuk. Dua bungkus nasi dalam bekas styrofoam putih diletakkan di atas kaunter. Siap berikat gelang getah.

Bau kari ikan di dalamnya membuat perut Anis terasa pedih. “Sedapnya bau,” komennya sambil tersenyum ke arah Maria. Tiba-tiba saja segala enzim perutnya meleleh-leleh macam sudah tak makan sejak semalam. Padahal pagi tadi baru saja berjamu nasi lemak sebelum bertolak ke situ.
“Aku tahu kau hantu kari, sebab itu aku pilih kari.”

Mak cik penjual itu tersenyum mendengarkan jawapan Maria. “Semuanya sepuluh ringgit, nak.”

Anis menghulurkan duit, bungkusan air dan nasi bertukar tangan. Mereka berdua segera berpaling tetapi sebelum sempat mereka melangkah, mak cik penjual kembali menegur.

“Anak berdua kerja shif malam ke?”

“Shif malam? Tak ada, mak cik. Kami student ” jelas Anis.

Mak cik penjual mengangguk faham namun riak keresahan di wajahnya tetap belum hilang. “Kalau macam tu, malam-malam jangan merayau sangat di bawah ni. Ramai budak nakal.”

Anis dan Maria tersentak sehingga air muka mereka berubah. “Ooo…terima kasih, mak cik,” jawab Anis sebelum menarik lengan Maria. Keduanya meninggalkan café itu dan balik ke Flat C.
“Eh! Lif dah okeylah.” Anis separuh menjerit apabila matanya terpandang pintu lif di bahagian tengah flat itu kelihatan terbuka dan tertutup dengan sendirinya.

“Jom!” Maria berlari anak. Baldi dan beg plastik di tepi tangga diambil segera.

Anis terkocoh-kocoh mengejar. Dengan senyuman manis mereka menanti lif itu turun ke bawah semula. Perasaan lega yang terasa sukar digambarkan, bagai terlerai ikatan besi di kaki masing-masing. Tiba-tiba dia terbau sesuatu yang wangi. Kewangian yang tidak dapat tidak, membuat dia berpaling. Dan apabila dia menoleh, pandangan matanya segera beradu pandang seraut wajah lelaki yang berkemeja putih bersih. Bagaikan dirasuk, dia terpesona.

*****
Mimpi tidak akan jadi kenyataan sekiranya kita terus tidur. Dia sudah lupa itu kata-kata bernas yang dilontarkan oleh siapa tetapi sekarang dia sedang bermimpi dan dia harus segera jaga untuk menjadikannya kenyataan. Masalahnya dia juga tak mahu jaga dari mimpi itu kerana ianya amat indah.“Cepatlah masuk!” Dia tersentak apabila dibentak Maria. Dalam sekelip mata, dilihatnya Maria sudah pun berada di dalam lif dan di sebelahnya lelaki tadi sedang berdiri sambil menyeluk poket. Nampaknya dia memang benar-benar telah bermimpi.

Anis melangkah masuk ke dalam lif. Dia berdiri di tengah-tengah lif di antara Maria dan lelaki itu. Fikirannya separuh khayal. Sekejap dia rasa seperti bermimpi dan sekejap dia rasa berada di alam realiti. Benarkah lelaki itu sedang berdiri di sebelahnya? Siapakah dia? Siapakah namanya? Hatinya berdegup tak keruan dan fikirannya terus sahaja terawang-awang.

“Tinggal di sini?” Tiba-tiba suara Maria bergema dari sebelah kanannya.

Anis tersentak, dia menoleh ke arah Maria. Bulat matanya memandang. Ish! Tak malunya menegur orang lelaki namun dilihatnya Maria terus saja bersikap selamba. Di wajah Maria kelihatan tidak bersalah apa-apa. Bukan main, getus hatinya geram.

Lelaki itu segera berpaling ke arah Maria dan Anis. Bibirnya mengorak senyuman manis lalu dia mengangguk.

“Ooo… dah lama?” tanya Maria lagi tanpa malu-malu.

“2 tahun,” jawab lelaki itu dengan senang. Senyumannya tambah mesra.

“Tingkat berapa?” tanya Anis pula. Dengan tiba-tiba, soalan itu terpacul dari bibirnya. Seperti ada satu keberanian yang menolak dirinya untuk mencelah dan merebut peluang yang datang itu. Mungkin hatinya sendiri tidak tahan melihat sikapnya yang tidak berani mengambil tindakan.

“Atas sekali.”

“Ooo… kami tinggal di tingkat 7 aje,” jawab Anis tanpa diminta.

Lelaki itu hanya tersenyum tanpa menjawab apa-apa dan kembali merenung pintu lif.

Anis kembali mendiamkan diri. Dia cuma berharap agar perjalanan ke atas itu menjadi lebih panjang, dia teramat ingin untuk memandang dan bercakap lagi dengan lelaki itu jika berpeluang, tetapi otaknya tiba-tiba menjadi beku. Tidak ada satu soalan pun yang boleh ditanyakan lagi sehingga pada satu saat dia rasa amat kecewa dengan dirinya sendiri. Dengan kelemahannya sendiri.

Dan sebaik pintu lif terbuka di tingkat 7, Anis tidak ada pilihan lain selain keluar dari situ sambil menjeruk rasa. Namun sebelum sempat pintu lif tertutup, dia sempat melemparkan pandangan ke arah lelaki itu. Kebetulan, lelaki itu juga memandangnya sambil tersenyum. Lagi sekali dia terkesima. Tanpa sedar, dia terus merenung pintu itu walau lif itu sudah lama naik ke atas.

“Dahlah tu…” tegur Maria sambil mencuit lengan Anis.

Anis tersentak lagi. Kali ini dia tersengih malu. “Ish! Tiba-tibakan, flat buruk ni pun aku nampak cantik tau.” Matanya bercahaya.

“Ha? Tak gayat lagi ke?” Mulut Maria separuh terlopong.

Anis ketawa melihatkan reaksi Maria. “Gayat? Apa tu gayat? Tak mainlah gayat-gayat ni. Tinggal di tingkat 15 pun tak ada hal lah.” Dia melenggang senang tetapi anak matanya dikawal juga agar tidak terpandang ke arah beranda luar. Bimbang terpandang bawah.

“Cepat betul kau sembuh,” bidas Maria. Dan ketawa mereka berdua pun bergema.

Dalam hati, Anis mula merasakan keputusan mereka berpindah ke situ bukanlah teruk sangat. Mungkin flat itu luarannya saja yang nampak kusam namun kehidupan yang dijanjikan di situ lebih bermakna, berwarna dan membahagiakan dari kehidupan dia di rumah sewa yang lama. Yang pentingnya, dia kini tinggal di dalam sebuah rumah yang sebenar-benarnya rumah dan bukan setakat sebuah bilik seperti dulu. Dan mungkin juga dia akan mendapat sebuah ruang untuk menyimpan hatinya. Dia tersenyum.

Sementara itu, pintu lif terbuka di tingkat 15. Kosong.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.