Monday, June 11, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 11



PAGI-PAGI lagi perniagaan di Farmasi Honeymon sudah begitu rancak. Hanisa, Richard, Mei Lin dan Intan tidak menang tangan melayan semua permintaan pelanggan yang datang bagi mendapatkan bekalan ubat yang mencukupi sebelum bercuti panjang.
Ada juga yang datang untuk melengkapkan peti kecemasan yang sudah mula mengosong sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing. Pada waktu inilah segala yang berkenaan ubat-ubatan, tiba-tiba menjadi begitu penting sehingga suasana di dalam kedai itu menjadi agak hingar dan kelam-kabut daripada hari-hari biasa.
Walaupun Farmasi Honeymon ditutup hanya selama tiga hari sahaja di sepanjang cuti hari raya namun kebiasaannya pelanggan tetap juga berasa bimbang. Mereka sedaya upaya mahu memastikan bekalan ubat mereka mencukupi. Situasi itu sudah biasa dihadapi oleh mereka setiap tahun. Waktu ini adalah waktu yang sangat kritikal dan meletihkan. Ada kalanya tanpa sedar mereka berdiri dari pagi hingga ke malam.
“Hanisa, macam mana semalam?” Richard tidak sabar-sabar lagi mengorek cerita daripada Hanisa. Tangannya pantas menekan-nekan angka di mesin tunai untuk mengira nilai pembelian pelanggan di hadapannya.
Hanisa menjeling tajam. Sejak tadi dia mencari masa yang sesuai untuk melepaskan kemarahannya kepada Richard tetapi tidak tiba-tiba jua. Pelanggan masuk bertali arus.
“Lain kali kalau mahu buat kebajikan, awak buatlah sendiri,” jawabnya sambil tekun mengisi maklumat di dalam buku log penjualan ubat-ubatan.
Richard tersengih. “Yang saya tahu, menolong orang dalam bulan puasa, dapat pahala banyak. Saya cuma mahu awak dapat pahala lebih.”
Air muka Hanisa berubah. Geramnya pada Richard membuak-buak. Dia tahulah soal itu tetapi cara Richard seperti memperjudikan keselamatannya.
“Betullah tu, tolong orang dapat pahala tapi janganlah sampai membahayakan diri kita pulak. Mujurlah alamat yang dia beri itu betul. Macam mana kalau salah?” Hanisa meletakkan pen lalu mengadap Richard yang masih berdiri di tepi kaunter ubat.
“Bawa balik rumahlah, awak pun tinggal sorang,” jawab Richard lalu ketawa terbahak-bahak.
Hanisa menarik muka seraya menunjukkan penumbuknya.
“Awak ingat dia anak kucing? Boleh kutip depan kedai dan bawa balik ke rumah?” Dia sudah terlupa sama sekali kehadiran beberapa orang pelanggan lelaki yang turut sama tersengih di hadapan kaunter.
Richard masih ketawa. Mei Lin pula menutup mulut dengan tangan tetapi tetap ketawa juga.
“Oh! Dia bukan anak kucing? Dia harimau jantan?”
Gelak Mei Lin terburai, cepat-cepat dia berlari keluar dari kedai.
Hanisa memandang sahaja gelagat Mei Lin kemudian memandang pula ke arah Richard. “Apa kena dengan Mei Lin tu?”
Richard angkat bahu tetapi tetap tersenyum-senyum.
“Apa senyum-senyum?” kata Hanisa pula. Dia mula syak sesuatu tetapi dia tidak faham apa-apa. Ah! Lantaklah. “Awak sengaja kenakan saya semalam, kan?”
“Kenakan apa pula? Awak dan dia tinggal satu tempat, kan? Apa salahnya tumpangkan dia balik. Rumah dia besar tak?”
Kali ini Hanisa sudah tidak kisah lagi siapa yang ada di situ. Dia memandang Richard dengan tajam.
“Mind your own problems before you talk about mine… awak dah lupa janji awak?” katanya dengan keras. “Kalau awak buat sekali lagi… saya berhenti kerja!”
Richard terus terdiam.
Hanisa masuk ke ofisnya sambil menahan tangis. Dia marah sungguh kepada Richard. Richard tidak habis-habis mahu mencampuri hal peribadinya. Dia tidak suka.

*****
MEI LIN menunjukkan tanda bagus kepada abangnya dari jauh. Dan apabila Richard berjalan ke arahnya dia terus bersuara, “Kan betul? Harimau tu dah mengamuk.”
“Tengoklah nanti… kalau tak hari ni, esok dia akan mengamuk lagi.”
“Abang jangan buat dia marah lagilah. Raya sudah dekat, kami semua makin lama makin takut,” rayu Mei Lin. Pening kepalanya dengan gelagat Richard yang seolah-olah tidak mahu membiarkan Hanisa hidup tenang. Setiap hari jika tidak bergaduh dengan Hanisa, seolah-olah tidak cukup nasi.
“Semalam dia sudah buat baik dengan lelaki tu. Lelaki itu pasti datang lagi ke sini,” balas Richard dengan yakin.
Intan tersenyum sahaja di tengah-tengah.
“Kita bisnes. Kita lagi suka kalau orang datang sini. Kita layan semua pelanggan dengan baik. Mereka bukan saja pelanggan tapi juga kawan. Jangan buat musuh, tak baik untuk bisnes,” celoteh Richard sambil mengangkat kotak vitamin yang baru dilonggokkan di hadapan pintu pula.
“Bisnes. Bisnes. Itu saja yang abang fikir,” balas Mei Lin. Dia juga menolong abangnya mengangkat kotak-kotak vitamin itu masuk. “Hati dia pun kena jaga juga.”
“Bila kita buka bisnes bukan saja fikir untung dan duit. Tapi juga mesti tahu soal perhubungan. Kita buat baik, mereka lagi baik dengan kita. Moyang kita dulu buka kedai runcit di kampung, mula-mula bisnes pakai tukar barang, tau?
Nenek cerita, tukar ayam dengan beras. Masa itu hidup sangat susah, tapi moyang saya kata apa saja orang kampung mahu tukar kita ambil sebab kita mahu tolong-menolong. Lama-lama bila negara sudah merdeka, orang semua sudah banyak duit mereka tetap datang kedai kita di kampung sebab kita sudah kenal mereka semasa susah dulu. Itulah erti perhubungan dalam bisnes.” Richard menyambung hujahnya. “Kepercayaan dan kesediaan.”
“Jadi abang fikir lelaki semalam tu akan datang lagi?” Mei Lin bertanya. Dia faham apa yang cuba disampaikan oleh Richard dan dia percaya Hanisa tidak akan faham kerana bagi gadis itu, bisnes adalah soal yang tidak bersangkutan dengan kehidupannya. Mungkin sebab itulah Richard dan Hanisa selalu bertentang pendapat.
Richard tersenyum panjang. “Kita sama-sama tengok, dia anak kucing ke atau harimau jantan.”
Mei Lin tergelak kuat. Intan terpinga-pinga.

*****
SEBAIK sahaja pintu pejabatnya tertutup, telefon bimbitnya berbunyi. Ikon pesanan ringkas (SMS) terpapar jelas di skrin. Hanisa berkerut dahi. Nombor yang tertera di situ begitu asing sekali pada pandangan matanya. Namun mesej yang dihantar tetap dibuka dan dibaca sebelum matanya terbuka luas.
Abang Ikram? Bagaimana dia tahu nombor ini? Hanisa tergamam seketika. Serta-merta wajahnya bertukar pucat. Jari-jemarinya menggigil tidak semena-mena.
Mesej itu dibaca berkali-kali. Perasaannya bercampur baur, sehingga dia menjadi cemas. Mesej itu dipadamkan segera dari telefonnya. Hanisa termenung sebentar. Tercetus kebimbangan jika Ikram menelefonnya pula. Ah! Kata saja salah nombor.
Akhirnya, dia menarik nafas panjang-panjang. Dia tahu, dia harus bertenang lalu menarik kerusi dan duduk. Dia membuka komputer peribadinya namun perasaannya masih berdebar-debar. Apa yang dipandang semuanya kabur belaka. Fikirannya masih terawang-awang mengi- ngati kisah lalu yang cukup menyedihkan hatinya se- hinggalah sekarang. Peristiwa yang membuatkan dia menyembunyikan diri di situ sekian lama.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.