Friday, January 27, 2012

Cerpen: Pergilah, kasih...


PADANG itu sesak. Di sana, dipenuhi gerai. Di sini dipenuhi pembeli. Di tengah-tengah pula, berduyun-duyun orang ramai yang lalu-lalang. Pendek kata sekali pandang, padang konvo yang hijau itu tidak lagi hijau. Namun yang aku tunggu-tunggu belum juga kelihatan.

     Matahari memancar terang. Menambahkan lagi kehangatan pesta konvo yang masuk hari kedua pada hari itu. Lagu dendangan band jemputan di hujung padang berselang-seli dengan lagu yang keluar dari corong pembesar suara menjadikan suasana hiruk-pikuk. Namun jauh di dasar hatiku tetap terasa dingin dan sunyi.

     “Am, hulurkan saya plastik tu,” tegur Annur sambil mencuit lenganku.

    Aku tersentak apabila terasa kulit lenganku disentuh sesuatu yang sesejuk air batu. Lantas kuhulurkan bungkusan plastik yang diminta.

    “Awak dah makan? Kalau belum pergilah makan dulu.” Aku pandang Annur yang sejak tadi tidak putus-putus melayani pembeli yang singgah membeli asam dan minuman di geraiku. Aku mula risau sekiranya Annur terlupa untuk makan minum. Walaupun Annur bekerja sementara di gerai yang kubuka untuk pesta konvo itu, tetapi aku bukanlah seorang majikan yang zalim sehingga sanggup mendera Annur begitu sekali.

     Annur berhenti bergerak, dia memandang jam di pergelangan tangannya.

    “Dah dekat pukul 2.00 petang?” Annur separuh menjerit dengan mata yang membulat.

    “Yalah, awak ingat pukul berapa sekarang? Kalau awak nak berhenti solat sekalipun dah boleh,” jawabku.  Sambil menjawab, aku pula yang tidak cukup tangan melayan pelanggan. Selain aku dan Annur ada seorang lagi pekerjaku yang juga bagaikan lipas kudung. Pengunjung pesta konvo tahun itu sungguh ramai.

     “Boleh ke ni? Orang sedang ramai ni….” Annur berkerut dahi di sebelahku.

    “Pergi sajalah… kalau ditunggu sampai bila pun orang takkan habis. Pergilah rehat satu jam. Lepas tu, saya pula nak rehat.” Aku tersenyum. Aku cuba yakinkan Annur yang sedang diserbu bimbang. Ternyata Annur seorang pekerja yang bertimbang rasa.

     Annur tarik nafas. Dia termenung.

    “Apa rasa tengok orang konvo? Awak bila nak konvo?” tanyaku mengusik walaupun aku tahu masalah yang menimpa Annur sehingga menyebabkan dia melanjutkan pengajiannya lagi satu tahun berbanding kawan-kawannya yang lain. Sebab itu juga Annur terpaksa bekerja mencari duit saku kerana biasiswanya sudah habis. Aku sekadar membantu.

     Annur tarik muka masam. Mungkin hatinya terhiris dengan usikanku itu.

    “Gurau sajalah. Tahun depan, saya kena ambil pekerja lainlah nampaknya,” usikku lagi. Sebagai kawan, walaupun aku sendiri tidak pernah menuntut ilmu setinggi itu namun aku tetap mahu melihat Annur berjaya menggenggam ijazahnya.

     “Awak ada nampak Lina?” tanya Annur pula. Kali ini Annur tertinjau-tinjau seperti mencari seseorang.

    “Lina?”

    “Haah, Lina? Takkan dah lupa kut?” Annur tersengih.

   “Dia… dia kata nak datang sini ke? Dia tahu saya berniaga di sini?” tanyaku pula bersela nafas yang tercungap-cungap. Mendengarkan nama Lina disebut Annur, hampir terhenti denyut nafasku.

     Annur angguk. “Saya beritahu dia minggu lepas. Dia kata nak singgah sini lepas konvo dia pagi tadi.”

     “Ya ke….” Nafasku makin sesak. Belum sempat aku menjawab, Annur sudah pun menjerit kegirangan.

    “Tu pun dia!”

   Aku hampir terjatuh ke belakang. Sungguh aku terkejut dengan jeritan itu, Annur pula terlompat-lompat seperti orang yang lupa diri. Tidak lama kemudian, aku melihat seorang gadis bertudung ungu muda mencelah di tengah-tengah orang ramai lalu berdiri di hadapan geraiku. Menyusul di sisinya adalah seorang lelaki tampan bersama jubah di tangan kirinya. Aku tergamam.

******
Hampir enam bulan yang lalu…

     “Makanlah, jangan malu-malu,” kataku sambil mencedukkan kuah tomyam ke dalam sebuah mangkuk kecil lalu kuserahkan kepada Lina yang duduk di sebelah kananku. Tergigil-gigil tanganku waktu itu. Urat perutku sejuk.

     “Tak malulah…,” balas Annur yang duduk di sebelah kiriku. Ligat tangannya menceduk sayur kailan ikan masin ke dalam pinggannya. Laju suapannya.

    Aku tersenyum. Malam itu, hajatku kesampaian. Sudah seminggu aku merancang makan malam itu bersama Annur. Sudah kupesan berulang kali agar Annur mengajak Lina datang sekali di majlis sambutan hari jadi yang istimewa itu. Sekurang-kurangnya ia istimewa bagi aku walaupun kami hanya makan bertiga di tepi laut itu dan hidangannya cuma makanan laut yang biasa.

     “Lina tak suka makan tomyam ke? Lina nak makan yang lain? Saya boleh order,” kataku apabila Lina kulihat agak malu-malu menjamah hidangan yang hampir penuh semeja.

      Lina menggeleng sambil membetulkan tudungnya yang londeh dipukul angin laut. Pada malam itu, angin laut begitu kuat sehinggakan aku mula berasa bimbang jika hujan turun dan meranapkan rancanganku malam itu.

     “Kalau nak makan apa-apa, jangan malu-malu. Minta saja. Malam ni saya belanja.” Aku cuba memujuk Lina. Sesekali aku menjeling, mencuri pandang wajah Lina yang bujur sireh. Gadis itu memang pendiam namun tetap juga berjaya mencuri hatiku sejak kali pertama kami bersua muka beberapa bulan yang lalu ketika Annur dan dia singgah di geraiku di pasar malam berdekatan kampus. Sejak itu aku berkenalan dengan Annur yang terlebih peramah dan Lina yang pemalu.

     “Haah, Lina. Kan malam ni, malam hari jadi kau orang berdua? Bukan senang nak sambut hari jadi dengan orang yang lahir pada tarikh yang sama tau,” kata Annur pula.

     Lina senyum sahaja.

    Aku ikut tersenyum. Itulah kenyataan yang membuatkan aku berasa sangat dekat dengan Lina. Sejak aku tahu bahawa tarikh lahir kami sama, aku dapat merasakan bahawa di antara aku dan Lina ada hubungan istimewa yang tidak dapat dilihat oleh mata. Cuma aku tidak pasti adakah Lina merasakan begitu juga.

    “Yang ni untuk Lina.” Aku hulurkan sebuah kotak kecil berbalut kertas dan bereben merah hati untuk Lina.

    Lina terkejut. Aku lihat dia tergamam sehinggakan terkaku di tempat duduknya.

    Aku angguk, cuba meyakinkan Lina untuk mengambilnya. “Untuk Lina.” Kotak itu kuhulurkan sekali lagi.

    “Terima kasih,” ucap Lina. Masih teragak-agak untuk mengambilnya.

    “Selamat hari jadi….,” ucapku sambil tersenyum. Aku harap ia akan menjadi kenangan yang terindah buat Lina dan aku. Sehari suntuk, aku meninggalkan gerai untuk mencari hadiah yang sesuai, akhirnya aku membelikan Lina seutas gelang emas yang aku harap akan membuka hati Lina untuk menerima keikhlasan hatiku.

    “Saya… saya tak ada hadiah untuk awak,” balas Lina tergagap-gagap.

     Aku menggeleng.

  "Lina sudi makan malam dengan saya malam ni dah cukup. Inilah sambutan harijadi saya yang paling istimewa.”

   “Sebelum ni tak istimewa ke?” perli Annur.

  Aku ketawa kecil. Biarlah ketawaku menjawab segala persoalan. Secara curi-curi, aku mengintai wajah Lina yang tidak segembira Annur. Entah apa yang berlegar di fikiran gadis pendiam itu, aku tidak pasti. Namun aku harap nota kecil yang kusisipkan di dalam kotak hadiah itu akan mendapat balasan seperti yang kuharapkan.
******

     “Awak dah gila ke?” tanya Annur dua hari selepas makan malam itu.

     Aku tersentak. Keliru sebentar fikiranku. Sudahlah aku kecewa apabila Annur hanya datang seorang diri di kedaiku petang itu, sekarang Annur tuduh aku gila pula. Belum sempat rasa rinduku terubat, lain pula rasa yang datang menghambat.

     “Belum. Mungkin awak yang gila,” balasku geram.

     “Dia dah ada teman lelaki tahu?”

     Aku terdiam. Sungguh aku terdiam. Lina sudah ada teman lelaki? Aku meraup rambutku yang basah akibat peluh. Serta-merta aku rasakan sejuk di dalam perut namun panas di dalam hati. Entah yang mana satu patut aku rasakan pada waktu itu. Sedar tidak sedar, aku terperuk di sudut kedai, termenung panjang.

     “Maafkan saya, okey? Patutnya saya beritahu awak awal-awal hari tu,” kata Annur pula. Dia juga duduk terperuk di atas sebuah kerusi rotan yang patah-patah bilahnya.

      Ish! Serta-merta aku melihat duniaku terlalu buruk. Serba buruk, serba teruk dan tidak berguna lagi. Aku malu. Aku malu pada seisi alam hatta pada seekor lalat yang terbang di hadapanku. Kenapalah aku terlalu terburu-buru? Kenapa?

     “Apa kata Lina? Dia marah?” tanyaku teragak-agak setelah puas mendiamkan diri.

   “Dia tak marah tapi… dia pulangkan ni,” jawab Annur. Sebuah kotak plastik empat segi dikeluarkan daripada beg tangannya. Kotak itu diletakkan di atas lantai, di antara aku dan dia.

    Aku tidak menoleh. Tidak payah disebut pun, aku sudah tahu apa isi kotak itu. Aku yang membelinya untuk Lina.

     “Dia boleh simpan gelang tu. Itu untuk dia,” kataku. Kotak itu tetap tidak kusentuh.

     “Dia tak nak… dia kata gelang tu mahal. Nanti teman lelaki dia tanya, apa dia nak jawab? Sudahlah teman lelaki dia tu kuat cemburu,” kata Annur lagi.

    Aku menghempas nafas. Aku tidak bersedia untuk mendengar tentang lelaki lain. Bagiku itu adalah soal aku dengan Lina.

   “Tak apalah. Kalau dia tak sudi, saya tak paksa. Awak tolong katakan pada dia, saya minta maaf… saya tak tahu,” kataku bersulam hiba yang mula berhimpun di rongga dada. Sebagai lelaki aku cuba tersenyum, cuba berlakon seolah-olah perkara itu kecil sebesar hama. Biarlah kehampaan hatiku, ku tanam dalam-dalam. Orang lain tidak perlu tahu.

    Annur angguk. “Gelang tu macam mana?”

   Aku mengerling ke arah kotak yang berisi gelang emas itu. “Annur ambillah. Saya pun bukan ada adik perempuan. Emak pun dah lama tak ada.”

    “Betul?” tanya Annur. Seolah tidak percaya dengan keputusanku itu.

    Aku angguk.

   Annur mengambil kotak itu perlahan-lahan. Dia tersenyum. “Terima kasih.”

   “Kalau susah-susah, boleh juga digadaikan…,” balasku sambil cuba bergurau. Padahal dalam hatiku, Tuhan sahaja yang tahu. Aku tidak kisahkan harga gelang itu, duit boleh dicari tetapi jika kegembiraan hati boleh kubeli, akan kubeli.

   “Lina pesan… awak jangan sedih. Nanti awak akan jumpa gadis yang lebih baik daripada dia,” kata Annur sebelum mengangkat punggung dan membetulkan tudung kepalanya yang berlilit-lilit entah berapa kali.

    Aku angguk sahaja. Sehingga kelibat Annur hilang di hujung jalan, aku masih menangis di dalam hati.
*****
   “Apa khabar, Am?”

   Aku tersentak lagi. Terbang jauh segala kenangan dan segala impian yang telah dikuburkan. Walau setelah enam bulan berlalu, nampaknya perasaanku terhadap Lina masih belum hilang sepenuhnya. Buktinya, aku masih terkaku di hadapan dia.

    “B… Baik. Lina dah konvo?”

    Lina angguk sambil tersenyum.

   Aku ikut tersenyum. Petang itu kulihat senyumannya cukup manis. Mungkinkah kerana dia baru sahaja menerima ijazah? Ataupun mungkin kerana sedang ditemani seorang lelaki yang tampan, bergaya dan sepadan dengan dirinya? Jika dibandingkan dengan diriku yang hanya bersalut baju-T yang basah dengan peluh, apalah bandingannya? Aku makin sedar diri.

   “Pergilah makan,” kataku pula kepada Annur. Aku sudah tidak betah direnung oleh sepasang mata lelaki yang seolah-olah meneliti aku dari hujung kaki hingga ke hujung rambut. Lelaki itu seakan sedang menilai dan berfikir bagaimana Lina boleh berkenalan dengan seorang penjual seperti aku.

    “Marilah makan sama.” Dengan tiba-tiba sahaja Lina mengajakku.

    Spontan aku ketawa. “Orang sedang ramai ni… pergilah dulu dengan Annur.”

   Ajakan itu kutolak dengan baik. Tidak mungkin aku dapat menjamah apa-apa di hadapan Lina dan teman di sebelahnya. Lagipun jika aku dan Annur meninggalkan gerai, pasti pekerjaku yang seorang lagi terkapai-kapai.

    “Okey, kami pergi dulu,” kata Lina sambil bergerak pergi.

   “Saya pergi dulu, bos!” kata Annur. Beg tangannya yang terletak di bawah meja, segera ditarik. Tergesa-gesa, Annur berlari mengelilingi gerai-gerai untuk sampai ke tempat Lina berdiri.

   Aku melihat sahaja mereka bertiga bergerak pergi, namun sempat jua aku dan Lina berbalas pandang. Sambil tersenyum, aku kutitipkan harapan dan doa agar Lina bahagia dengan pilihannya. “Pergilah kasih,” bisikku sendiri.

Tuesday, January 17, 2012

Cerita Paranormal: TIGA


“KAU ingat pesan kami ni sampai bila-bila,” kata Usop. Jari telunjuk kanannya tepat ke muka Azhar. Khairul yang berdiri di sebelahnya hanya memandang tanpa suara.
           Azhar teranguk-angguk. Gementar juga jiwanya apabila diingatkan begitu. Rasa seperti diugut pun ada, walhal itu cuma satu peringatan yang cukup mudah. Ingin sahaja dia menggaru kepala pada saat itu tetapi wajah Usop yang begitu bengis membuatkan dia ragu-ragu.
         “Ingat tau!” Sekali lagi Usop membentak sebelum keluar dari bilik kecil itu. Bilik yang lebih besar sedikit daripada bilik air.
           Azhar angguk lagi. Apa lagi yang boleh dilakukan oleh seorang pekerja baru seperti dia? Itulah hari pertama malah malam pertama dia masuk bekerja di Restoran Nasi Lemak Zupp! 24 jam buka. Kebetulan malam itu, dia ditugaskan di bilik pesanan iaitu sebuah bilik yang kecil. Selain dia, hanya ada Usop dan Khairul yang bertugas daripada pukul 12.00 malam hingga ke pukul 7.00 pagi nanti.
        Di dalam bilik itu hanya ada mempunyai sebuah meja, sebuah kerusi dan sebuah telefon. Pada dindingnya pula dipenuhi pelbagai iklan dan kertas yang ditampal-tampal. Kenapa Usop mengarahkan dia duduk di bilik yang sempit itu sepanjang masa, dia tidak tahu tetapi sejak dia masuk kerja tadi, di situlah dia disuruh duduk dan diajar cara menjawab panggilan pelanggan. Cuma pesanan terakhir Usop tadi yang membingungkan dia.
        Sudah sejam masa berlalu. Dia semakin jemu di situ. Radio kecil yang dipasang di situ pun gagal membuatkan dirinya terus segar, dia menoleh ke arah jam kecil di atas meja sisi. Sudah dekat pukul 3.00 pagi. Lagi lebih kurang 20 minit sahaja lagi.
          “Huwarghhh….” Dia mula menguap panjang. Bukan kali pertama tetapi sudah entah ke berapa kali. Makin lama makin panjang, makin berat. Kelopak matanya makin ditarik-tarik untuk tertutup. Tak boleh jadi ni, bentak hatinya. Kalau tertidur malam pertama bekerja, jatuhlah air muka. Dia lantas bangun meluruskan kaki dan tangan.
           Ke mana mereka berdua ni pergi ya? Dia tertanya-tanya sambil menjenguk ke muka pintu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk meninggalkan bilik itu sebentar. Dari bilik pesanan, dia melangkah ke bahagian dapur. Apa yang dilihatnya sungguh mengejutkan.
            “Tidur?”
          Dia tercengang seketika apabila melihat Azhar dan Khairul sedang berdengkur di sudut lantai dapur. Siap berbantalkan beg masing-masing dan berselimut kain pelikat. Amboi! Patutlah suruh aku jaga telefon. Nak membuta rupanya, hatinya mula merungut geram. Panas sekejap dadanya.
           Kring! Kring! Kring!
          Dia tersentak. Alamak! Order! Dia bergegas semula masuk ke dalam bilik pesanan. Ganggang telefon berwarna merah hati dan berbau hapak itu diangkat segera. Kembang kempis sekejap lubang hidungnya menahan bau yang semerbak itu.
       “Helo. Nasi Lemak Zupp 24 jam!” jawabnya dengan bersungguh-sungguh. Dadanya berdebar-debar menunggu pemanggil itu bersuara. Terketar-ketar tangannya memegang pen. Maklumlah panggilan pertama!
      “Baiklah, encik. Pesanan encik akan kami hantar dalam masa lima belas minit,” katanya lagi sambil mencatatkan alamat pemanggil itu. Matanya ralit memerhati jumlah pesanan yang diterima sebentar tadi. Semuanya sudah cukup syarat. Dia segera melangkah keluar dari bilik itu menuju ke arah dapur semula.
        “Usop! Khairul! Bangunlah… ni ada order ni,” katanya pula. Tangan kanannya menepuk-nepuk bahu Usop dan Khairul. Geram pula dia melihat keduanya bagaikan liat benar untuk membuka mata. “Cepatlah, wei! Nanti lambat, kita juga yang kena complaint.”
         Mendengarkan dia merungut-rungut, akhirnya Usop membuka mata. Kertas yang tertulis pesanan dan alamat pelanggan di tangan Azhar disentak keras.
         “Siapkan nasi, ambil yang dah siap bungkus dalam bekas pemanas tu,” arah Usop bersela satu nguapan yang lebar. Dia menggeliat dan menyapu muka untuk membuang air liur basi.
        Azhar tidak mahu membantah walaupun itu bukan langsung kerjanya. Mujurlah dia sempat melihat apa yang dilakukan pekerja-pekerja di situ sebelum shif bertukar malam tadi. Jadi dia tahu di mana nasi lemak yang sudah siap berbungkus disimpan dan di mana ia harus dimasukkan.
        “Nah!” Dia hulurkan beg sandang yang berisi nasi lemak apabila Usop sudah siap memakai topi keledar.
        “Kunci pintu,” pesan Usop lagi setelah keluar dari situ.
       Azhar cuma angguk. Di muka pintu, dia memerhati Usop memecut laju bersama motorsikalnya. Dia hanya menggeleng. Dia berdoa semoga Usop selamat pulang.
******
20 minit kemudian, Usop balik. Bunyi loceng pintu, membuat Azhar terkejut. Dia segera meninggalkan bilik pesanan dan membuka pintu kedai. Khairul pula hanya berkisar punggung lalu meneruskan tidurnya.
           “Tak guna! Kan aku kata jangan ambil order pukul 3.00 pagi!” Satu tumbukan hinggap di pipi Azhar.
Azhar terdorong ke pintu almari dan akhirnya terduduk di atas lantai. Kepalanya pening, pipinya pedih. Dia bingung seketika.
           “Apahal? Apahal?” Khairul bingkas bangun. Dengan mata yang terpisat-pisat dia merenung Usop yang seperti sedang kesurupan.
          “Apahal ni?” Dia pegang lengan Usop tapi ditepis.
          Usop masih tidak menjawab, mukanya merah padam.
       Azhar pula masih terkedu di atas lantai. Untuk seketika, dia tidak faham apa-apa pun tetapi dengan perlahan-lahan dia sedar, dia telah melakukan satu kesalahan.
         “Kau tengok ni!” Usop hulur kertas pesanan kepada Khairul.
       Mata Khairul kini tertumpu kepada kertas kecil itu. Tangannya menggigil sewaktu membuka lipatan kertas itu, sesaat selepas itu matanya membesar. Dia menoleh ke arah Usop. “Kenapa kau tak perasan?”
        “Manalah aku nak perasan tadi? Aku tengah tidur, tiba-tiba saja dia kejutkan aku. Aku lupa nak tengok jam, aku terus saja pergi. Sampai dah dekat, baru aku perasan alamat tu.”
        Khairul mengeluh. Kini, dia sendiri duduk di atas lantai di sisi Azhar. Dia menoleh ke arah Azhar yang langsung tidak berbunyi. “Azhar, kan kami dah kata tadi… jangan ambil pesanan antara pukul tiga pagi hingga pukul empat pagi.”
        Azhar menundukkan kepalanya memandang lantai. Memang betul. Itulah pesanan yang diucapkan oleh Usop sejak dia masuk kerja tadi. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh lupa, mungkin kerana terlalu teruja mendengar deringan yang pertama malam itu. Cuma… apa masalahnya hingga dia dapat penumbuk percuma?
         “Aku tak sangkalah pula sampai macam ni….” Itu sahaja yang terbit dari bibirnya. Nak minta maaf? Dia rasa Usop yang patut minta maaf kerana menghadiahkan sebiji penumbuk pagi-pagi buta begitu. Jika diikutkan hati mahu dia membalas juga hadiah itu tapi nanti panjang ceritanya.
           Khairul menepuk bahu Azhar. “Salah kami sebab tak beritahu kau. Tapi kalau kami beritahu kau, nanti kau tak datang kerja lagi dah malam esok. Bukannya senang nak dapat pekerja yang sanggup kerja shif malam sekarang.”
         Azhar merenung muka Khairul lama-lama. Dibiarkan sahaja Usop berdiri tercegat di hadapannya. Tidak ingin dia memandang lagi muka seorang lelaki yang tidak cukup akal seperti itu. “Salah kau orang? Habis tu kenapa aku yang kena tumbuk? Mujur tak patah gigi aku.”
          Usop dengan tiba-tiba mengeluh panjang. Perlahan-lahan dia juga melabuhkan punggung di atas lantai berhadapan dengan Azhar dan Khairul. Dia mengangkat muka memandang Azhar lalu berkata, “Aku minta maaf.Aku tak sengaja tadi tapi aku….”
        Azhar menjeling ke arah Usop. “Ada pula tak sengaja? Menumbuk orang itu satu perbuatan yang sengaja, tahu tak? Mana ada orang ‘tertumbuk’ muka orang.”
            Usop menggeleng, kini dia pula tunduk memandang lantai.
           “Usop tak sengaja. Kalau dia tak tumbuk kau, mungkin aku,” kata Khairul pula. Ada senyuman nipis di bibirnya.
           Dahi Azhar berkerut. Apa kena dengan mereka berdua ni? Dia mula rasa tidak sedap hati. Dia salah pilih kerja ke? Sebab itu… orang lain semua tak mahu kerja di situ? Macam-macam yang terlintas di fikirannya saat itu, menyesal, takut, nak lari… semua ada.
           “Kau nak tahu kenapa kami tak beri kau jawab telefon antara pukul tiga dan pukul empat pagi?” tanya Khairul lagi.
            Azhar terkelip-kelip. “Tentulah nak. Nanti aku buat silap lagi, kena tumbuk lagi,” balasnya laju.
         Anak mata Khairul melirik ke arah Usop. Kini mereka saling berpandangan tanpa sebarang suara. Lama mereka begitu sebelum Khairul membuka mulutnya.
            “Ada sebab kenapa kami tak benarkan kau jawab telefon pada waktu tu….”
         “Cakaplah cepat apa sebabnya,” desak Azhar. Dia sudah naik rimas apabila Khairul asyik teragak-agak untuk membuka mulut.
          Khairul menggaru kepala seperti dia buntu untuk memulakan ceritanya. “Kejadian ni mula berlaku sejak tiga bulan yang lalu… setiap pukul  tiga pagi saja, telefon berbunyi. Ada suara seorang lelaki membuat pesanan. Tiga bungkus nasi lemak, sambal ikan bilis, tak mahu telur goreng. Itu sahaja. Lepas tu dia beritahu alamat rumahnya. Nombor dua puluh, lorong tujuh belas.”
            Azhar terdiam. Matanya terkebil-kebil. Dia belum faham.
           “Begitulah yang berlaku pada setiap pukul tiga pagi sampai empat pagi setiap malam.”
          “Budak nakal kut…” kata Azhar. Takkan itu pun Usop dan Khairul nak takut macam orang gila?
          Khairul cepat-cepat menggeleng. “Bukan. Tapi… kalau kau nak tahu, kau pergi hantar ke alamat tu.”
        Azhar mengerutkan dahi. Cerita Khairul mula bertukar rentak. Sudah menjadi satu cabaran pula. “Apa yang ada di situ?”
            “Rumah kosong. Gelap gelita.”
          “Kalau macam tu, ni mesti kerja budak-budak nakal. Lama-lama esok berhentilah tu,” balas Azhar lagi. Lega hatinya apabila Khairul menceritakan itu sahaja. Dia cuma bimbang jika di alamat itu menunggu beberapa orang jahat yang akan melanyak dia cukup-cukup. Jika setakat rumah kosong, apa takutnya? Bawa sajalah balik nasi lemak itu ke kedai, bukannya rugi sangat.
            “Bukan budak nakal,” sampuk Usop pula. Pandangan matanya kembali berapi.
          Azhar menarik nafas. Entah apa-apalah Usop ni... kena main dek budak-budak pun nak marah sangat, katanya dalam hati.
       “Aku pernah terkena dulu… bila aku sampai, aku tengok rumah tu gelap gelita. Aku beri salam, aku panggil-panggil. Tak lama selepas itu aku nampak kelibat seseorang di bawah porch. Aku pun beritahu yang aku datang nak hantar nasi lemak….”
           “Lepas tu?” Azhar bertanya apabila Usop bercerita setakat itu.
          “Orang tu datang dekat pagar tapi…” Usop diam lagi. Mukanya kusut sekali.
        “Tapi apa?” desak Azhar.
        “Bukannya orang…,” sambung Usop.
      “Bukan orang?” Azhar tercengang seketika. Kalau bukan orang apa dia? “Kalau bukan orang, benda apa?” Dia bertanya kepada Khairul pula.
       “Hantu,” jawab Khairul. “Mula tu aku pun tak percaya cerita Usop, aku pergi sendiri ke sana dan aku juga jumpa benda yang sama. Kepalanya pecah… darah basah di bajunya. Bau hanyir tak usah cerita….”
        Azhar terdiam. Kali ini dia benar-benar terdiam. Betul ke hantu?
       "Kalau kau tak percaya, kalau telefon berbunyi nanti...kau angkat. Lepas tu kau pergi rumah tu," kata Khairul lagi sambil merenung wajah Azhar lama-alama.
        Kring!!! Kring!!! Kring!!! Telefon berbunyi.
       Ketiga-tiganya saling pandang-memandang. Jam pada dinding baru pukul 3.40 pagi. Tidak ada siapa pun yang mahu bergerak dari situ.
******
Tiga bulan yang lalu, di rumah nombor 20, lorong 17….

“MAN, aku laparlah,” kata Sobri sambil ralit memerhati skrin komputernya. Sesekali tapak tangannya meraba-raba perutnya yang kempis.
           Man yang leka menghadap permainan PS2 yang disambung ke kaca TV menoleh. “Lapar? Telefonlah kedai nasi lemak kat depan tu. Order tiga bungkus. Nasi lemaknya sikit sangat.”
         Dengan tiba-tiba sahaja, Sobri mengangkat punggung. Komputer ribanya dimatikan. Penat pula rasanya melayan gadis-gadis berchatting sampai ke pukul 3.00 pagi. Mujur esok tidak ada kuliah.
        “Nak ke mana tu?” tegur Man apabila Sobri menonong mengambil kunci motorsikal yang tersangkut pada dinding rumah sewa mereka.
         Sobri memberi isyarat dengan kepalanya sahaja. Rasa lapar dalam perutnya membuatkan dia tidak sabar. Rasanya hendak sahaja dia terbang melayang ke kedai nasi lemak yang terletak berdekatan taman perumahan itu.
           “Buat apa pergi? Telefon sahajalah,” kata Man lagi. Mulutnya terlopong.
       “Lambatlah…,” balas Man. Dia segera menuju ke arah motorsikalnya. Tidak lama kemudian, kedengaran enjin motorsikalnya memecah kesunyian pagi.
           “Woi! Helmet!” Man menegur lagi. Kali ini dia tinggalkan kaca TV dan menerpa ke muka pintu.
         “Tak payahlah, dekat saja,” balas Sobri sambil menolak motorsikalnya melepasi pagar rumah.
          Man cuma menggeleng dan mengeluh.
        Sobri menutup semula pintu pagar rumah sewanya. Dia memecut laju hingga ke hujung simpang. Dengan tiba-tiba sahaja, pandangan matanya menjadi silau. Dia tidak dapat berbuat apa-apa apabila motornya dirempuh sebuah lori. Dia hanya sedar tubuhnya melayang dan apabila terhentak ke bumi, segalanya terhenti.
     “Sobri!!!” jerit Man apabila meluru ke arah sekujur jasad yang tergeletak di tepi longkang. Kepalanya pecah, darahnya bersimbah.

Monday, January 9, 2012

Cerpen tiga babak: Bukan salahku...


“Saya tak sangka betul Cik Roselyn. Betul-betul tak sangka…,” kata Nurul Ain di hadapanku. Wajahnya nampak tegang, nafasnya tertahan-tahan.
     “Duduk dulu, Ain. Biar saya terangkan dulu,” balasku sambil membalas renungannya yang bak helang itu. Memang sudah kuduga, lambat laun Ain pasti mencari aku.
     Ain menggeleng.
    “Sudah terang lagi bersuluh, nak dikatakan apa lagi?” Ain masih berdiri di hadapan mejaku.
    Aku menjeling ke arah pintu pejabatku. Mujurlah tertutup rapat. Aku mula berasa tidak selesa apabila hal peribadi dibawa ke dalam pejabat. Aku rasa ia kurang wajar sekali.
    “Boleh tak, Ain duduk dulu? Kita bincang baik-baik,” pujukku lembut. Aku masih mengharapkan Ain mahu memberikan aku sedikit waktu untuk menjelaskan segala-galanya. Ia tidak seperti yang difikirkan.
    “Bincang baik-baik? Baik ke apa yang Cik Roselyn dah buat? Saya tak sangka macam ni perangai Cik Roselyn yang sebenar. Tunang orang pun Cik Roselyn sanggup rampas.”
    “Ain! Saya tak macam tu… saya tak merampas Arif atau sesiapapun dari Ain,” jawabku. Itulah perkara paling penting yang aku ingin Ain betul-betul tahu. Aku tidak merampas Arif tunangnya dan tidak berhajat sedikit pun untuk melakukannya. Cuma aku telah tersilap langkah malam itu, itu sahaja.
    “Tak merampas, kata Cik Roselyn? Habis tu, apa yang saya lihat semalam? Kenapa… kenapa Arif…” Ain tersedu-sedu. Akhirnya dia menghempaskan juga punggungnya di atas kerusi di hadapanku.
    Ya, itulah soalnya. Aku pun tidak menyangka yang Arif berani datang mencariku di Kelab WT malam tadi. Siapa yang bocorkan rahsia yang aku selalu ke situ pada setiap malam Isnin, entahlah. Tetapi Arif memang hadir ke situ dan telah mendengar aku bercerita tentang sebuah novel yang baru selesai kubaca. Aku sendiri terkejut melihat wajahnya di antara wajah-wajah yang lain di situ.
     Lalu bermulalah pertemuan kami yang kedua kalinya setelah tujuh tahun….
******
“Rose! Boleh kita bercakap sekejap?” Arif bertanya sambil mengejar aku hingga ke luar bangunan kelab.
Malam itu hujan pula renyai dan aku memandu sendiri ke situ. Aku masih meneruskan langkahku menuju ke keretaku. Aku ingin pergi segera sebelum terlambat.
     “Rose!” Dia menyentap lengan kananku.
     Aku terdorong ke arahnya. Kami berdiri bertentangan.
     “Lepaskan!” kataku dengan tegas.
    Perlahan-lahan dia melepaskan lenganku dan aku faham dia tidak berniat mengasariku walaupun lenganku terasa perit akibat perbuatannya tadi.
    “Maaf, Rose. Saya cuma mahu bercakap dengan awak. Tolonglah….” Dia merayu di hadapanku. Matanya kulihat bergenang.
    Hati mana yang tidak tersentuh? Apalagi hati yang masih menyimpan sisa-sisa cinta untuknya. Tolong katakan yang aku salah tapi aku seorang wanita yang sesekali bisa lemah.
    “Awak nak apa, Arif? Tolonglah jangan buat macam ni… Nanti apa kata Ain kalau dia tahu awak datang jumpa saya,” balasku dengan sepenuh hati. Dalam kepalaku hanya ada wajah Ain dan Ain selain rasa sedih yang bukan kepalang.
    Arif masih belum berganjak. Malah dia kulihat seperti tidak terkesan dengan nama Ain yang kusebut-sebut. Tingkahnya makin menakutkan aku.
   “Saya tak boleh teruskan pertunangan saya dengan Ain, Rose.” Arif pandang aku seolah mengharapkan sokongan.
    Aku benar-benar tersentak. Patutkah aku rasa gembira? Atau patutkah aku rasa sedih?  Tapi apa yang aku rasa, adalah satu perasaan marah yang menggila. “Apa awak cakap ni, Arif? Awak sedar tak apa awak cakap ni?”
    “Sejak kita berjumpa semula minggu lalu… saya sedar yang saya masih cintakan awak.”
    Ha? Aku terlopong di tempat letak kereta itu. Rasa lemah tulang-temulangku, rasa  lembut bumi yang ada di bawah tapak kakiku. Akhirnya aku hanya mampu menggeleng.
    “Jangan buat macam ni, Arif. Tolong jangan buat macam ni pada Ain dan pada aku. Tolonglah hentikan semua ini. Ini tak betul.” Ingin sekali aku menjerit di situ tetapi kerana aku masih ada rasa malu dalam diriku, aku hanya dapat meluahkan segala-galanya dengan suara yang tertahan-tahan.
    “Tujuh tahun bukan masa yang sekejap, Rose. Walaupun kita tidak pernah bertemu waktu itu namun rasa cinta yang hidup dalam hati saya telah berakar umbi dan tumbuh rendang. Tidak mungkin saya boleh menipu kewujudannya dengan memejamkan mata. Awak juga sama.”
     “Tapi keadaan sudah tak sama lagi. Tidakkah awak ingat dan kasihan kepada Ain?” tanyaku pula. Kini aku benar-benar menyesali tindakanku yang menegur Arif pada minggu lalu di majlis makan malam tahunan syarikatku. Aku benar-benar menyesal namun aku sedar tidak ada kejadian yang berlaku tanpa izin-Nya. Adakah ini satu dugaan?
     “Masih belum terlewat untuk saya melepaskan dia.”
   Aku menggeleng lagi. “Anggap sahaja saya bukan jodoh awak, Arif. Tapi Ain. Mustahil saya boleh berbahagia di atas air mata Ain. Saya bukan seorang perempuan yang kejam.”
    Arif terpempan mendengarkan kata-kataku. Lama dia memandang wajahku dengan pandangan mata yang sayu.
    “Pulanglah, Arif. Pulanglah ke pangkuan Ain. Jika saya tak boleh bahagia, bahagiakanlah Ain untuk saya.”       Aku cuba tersenyum. Keputusanku sudah muktamad.
    “Sekali lagi awak hancurkan hati saya….” Arif melarikan wajahnya ke dada langit yang cerah bersimbah lampu neon kotaraya. Mungkin untuk menahan air matanya yang mahu gugur ke pipi. Sama seperti rintik hujan yang jatuh ke bumi waktu itu.
    “Apa pilihan yang saya ada?” balasku. Adakah dia fikir, aku saja-saja menolaknya ke tepi? Aku cuma seorang manusia yang menerima takdir sedaya upayaku.
   “Rose… kita boleh berterus-terang dengan Ain,” katanya lagi.
  “Terus-terang apa? Terus-terang yang abang ada hubungan dengan Cik Roselyn?” Dengan tiba-tiba sahaja perbualan kami disampuk oleh suara Ain.
    Kami berdua sama-sama terpaku di situ. Ain merenung kami dengan air mata yang berjuraian.
  “Saya tahulah Cik Roselyn dah tua, dah terdesak sangat nak cari laki tapi kenapa pilih tunang saya. Kenapa?” bentak Ain sambil menumbuk mejaku.
    Aku tersentak. Ingatanku terhadap apa yang berlaku pada malam tadi terus hilang.
*****
“Ain, apa yang Arif cakap pada Ain?” tanyaku dengan lembut. Aku tahu hati Ain sedang terluka dan aku tahu Ain sedang teramat marah.
    “Arif?Cik Roselyn panggil tunang saya Arif?” bentak Ain lagi makin menyinga.
   Aku mengeluh perlahan. Untuk seketika aku jadi buntu apabila berdepan dengan Ain. Mungkin inilah balasanku kerana terlalu rajin menegur tunangan orang. Akibatnya luka yang dalam bertambah dalam.
   “Sudah berapa lama Cik Roselyn berhubungan dia? Jadi pada minggu lepas tu Cik Roselyn berpura-pura sajalah baru kenal dia? Pandai Cik Roselyn berlakon ya?”
    Aku diam lagi. Haruskah aku nafikan atau haruskah aku iyakan sahaja semuanya. Tetapi yang jelasnya apa yang Ain fikirkan itu tidak sama langsung dengan hakikatnya. “Memang saya kenal dia sudah lama tetapi ia bukan seperti yang Ain fikirkan.”
   “Saya betul-betul tak faham. Cik Roselyn dan dia sama-sama terpelajar. Sama-sama berjawatan tinggi tetapi perangai… macam orang tak bersekolah,” bidas Ain lagi sesuka hati.
   “Yang pastinya di antara kami tidak ada hubungan istimewa, Ain. Kami cuma kawan lama yang berjumpa semula dan berbual,” jawabku.
   “Kawan lama? Jadi semalam tu, Arif datang mencari Cik Roselyn hanya semata-mata untuk berbual kisah lalu? Macam tu?”
   Aku angguk.
  “Jangan nak bohonglah, Cik Roselyn. Saya bukan buta. Saya nampak bagaimana Cik Roselyn dan dia saling… pandang-memandang.” Ain menangis lagi.
   “Awak salah tafsir, Ain. Saya dan dia tak ada apa-apa. Percayalah cakap saya.”
   Ain mengangkat muka memandangku. “Macam mana saya nak percaya lagi?”
  Aku mengeluh panjang dan perlahan-lahan aku tersenyum. “Saya akan balik ke UK minggu depan. Saya akan menetap di sana. Saya akan doakan awak dengan Arif bahagia.”
   Mata Ain tidak berkelip. Lama dia terdiam seolah berfikir jauh. “Betul ke Cik Roselyn nak buat macam tu?”
   Aku angguk laju. “Maafkan saya sebab telah buat awak salah sangka. Jika itu boleh buat awak percayakan saya, saya akan buat. Asalkan awak maafkan saya dan maafkan Arif yang tersalah tindakan sehingga menimbulkan salah faham di sini. Kami memang tak ada apa-apa hubungan selain daripada hanya kawan lama yang kebetulan terserempak.”
    Ain masih memandangku lama-lama. Dia seolah cuba membaca kejujuran kata-kataku itu.
   “Maafkan saya,” kataku lagi.
   "Cik Roselyn tak berbohong, kan?"
   "Siapa yang lebih memahami hati seorang perempuan jika bukan seorang perempuan juga?"
   Kali ini Ain tidak berkata apa-apa lagi. Dia terus membisu dan mengangkat punggung dari situ. Perlahan-lahan, dia meninggalkan pejabatku.
   Setelah Ain pergi… aku ambil beg tanganku dari dalam meja. Aku memandang pejabat itu buat terakhir kalinya. Aku tidak akan kembali lagi sebagaimana aku tidak akan kembali kepada Arif.
   “Maafkan Rose, papa. Rose perlu pergi lagi.” Ucapku seraya memandang potret ayahku di atas meja. Surat perletakan jawatan akan kuhantar malam nanti. 

Saturday, January 7, 2012

Cerpen dua babak: Sudah Bukan Jodoh Kita


SEJAK tadi, aku memerhatikan dia. Seorang pemuda tinggi lampai, bertubuh tegap dan berambul ikal. Semuanya masih sama seperti dulu. Sama seperti yang kerap kulihat di dalam gambar-gambarnya di Facebook beberapa tahun yang lalu. Kini, dia sedang berada di meja hidangan bersendirian bersama sebiji pinggan di tangan kirinya. Aku kira, itulah waktu yang paling tepat untuk aku mendekatinya.
   "Arif.” Aku menyebut nama itu dengan rasa yang bergelora dalam jiwa. Nama yang sudah lama aku cuba lupakan sehinggalah aku terlihat dia malam ini.
   Dia berpaling seraya memandangku dengan wajah yang kehairanan. Lalu dia bertanya dengan nada yang cukup sopan.  “Excuse me, saya… kenal awak?”
   Aku tersenyum. Aku kenal dia ke? Dia kenal aku ke? Persoalan itu berlegar-legar di dalam kepalaku bak burung-burung yang berkicauan tanpa henti.
   “Ya, beberapa tahun yang dulu,” jawabku pendek. Aku biarkan dia terus berteka-teki dan sememangnya aku tidak bersedia untuk menjelaskan lebih daripada itu.
  “Indeed?” Dia mengangguk perlahan. Matanya menjeling ke arah tetamu-tetamu majlis yang memenuhi dewan itu. Mungkin mencari seseorang ataupun mencari jawapan siapa aku sebenarnya.
   “Tak apalah jika awak tak ingat saya. Saya… gembira lihat awak… sihat. Enjoy your meal, Mr. Arif Dasuki….”
   Cukup sukar untuk aku mencari perkataan yang sesuai bagi menjelaskan persoalan mengapa aku datang menegur dia. Satu kesilapan besar sebenarnya. Alangkah baik jika aku berdiam diri sahaja tadi dan berpura-pura sahaja tidak mengenalinya. Bukankah lebih senang? Tetapi seolah-olah ada sesuatu yang menyebabkan aku terdorong untuk mendekatinya walau aku tahu aku juga yang akan menderita akhirnya.
   Dahinya berkerut memandangku. Dia terkelip-kelip. “Maafkan saya. Saya betul-betul tak ingat siapa awak. Kita pernah belajar di universiti yang sama ke? Atau… tempat kerja yang sama?”
   Aku geleng seraya terus tersenyum. Aku tahu dia tidak kenal aku tetapi dia juga sebenarnya cukup kenal aku cuma dengan cara yang berbeza. Sedang aku berkira-kira untuk meninggalkannya, seorang gadis bertudung biru datang menegur.
   “Cik Roselyn… maaf sebab tak kenalkan tunang saya. Ini Arif. Arif, inilah bos Ain, Cik Roselyn.” Beriya-iya setiausahaku yang bernama Nurul Ain memperkenalkan tunangnya kepadaku.
   Tubuhku terasa menggigil. Tunang Ain? Arif tunang Ain? Arif sudah bertunang? Walaupun aku pernah memikirkan kemungkinan itu, aku tidak terfikir Arif akan bertunang dan berkahwin dengan seseorang yang aku kenal.
   “Inilah tunang Ain rupanya…,” balasku sambil berpura-pura gembira mengenali Arif.
   “Haah, inilah dia. Hari tu semasa kami bertunang, Cik Roselyn tak datang. Kalau datang tentu dah kenal dengan dia.” Ain tersenyum lagi.
   “Rumah Ain jauh sangat,” balasku selamba mencari helah. Kini aku faham kenapa hatiku cukup berat untuk menghadiri majlis pertunangan Ain yang dilangsungkan di sebuah negeri di utara.
   “Nak datang seribu daya, Cik Rose. Tapi tak apalah. Nanti kenduri kahwin kami, Cik Rose datang ya?”
   Aku angguk sahaja untuk memudahkan keadaan.
  “Excuse me, saya nak ke meja pengarah. Nanti ada pula yang fikir saya dah tinggalkan majlis. Enjoy,” kataku sambil tersenyum ke arah Ain yang memeluk lengan Arif dengan erat sekali.
   Arif kulihat tercegat bagaikan patung mumia. Mukanya pusat lesi.
******
Beberapa jam selepas itu di luar hotel tempat majlis makan malam tahunan syarikatku berlangsung….
“Roselyn. Jadi awaklah Roselyn….”
   Aku yang tercegat di situ menunggu keretaku sampai, tersentak. Aku tidak berniat langsung untuk bercakap dengan dia lagi setelah mengetahui bahawa dia kini sudah menjadi tunangan Ain. Ah! Betapa kecilnya dunia. Mengapa harus Ain? Akhirnya aku diam sahaja. Memandang wajahnya juga tidak.
   “Berapa lama agaknya ya? Dua tahun?” Dia bertanya lagi sambil berdiri di sisiku.
   Aku mula gelisah. Aku toleh ke belakang, aku toleh ke arah pintu hotel jika ternampak kelibat Ain. Sungguh, aku takut Ain syak apa-apa.
   “Saya tak tahu awak dah bertunang, Arif. Kalau saya tahu….” Apa yang ingin kukatakan adalah, jika aku tahu dia kini tunangan Ain, aku tidak akan sama sekali menegurnya tadi. Aku akan berpura-pura tidak mengenalinya di sepanjang hidupku. Sungguh.
   “Kalau awak tahu… awak akan terus senyap macam dulu? Awak terus hilang macam tu saja, kan?”
  Aku hela nafas. Walaupun malam itu udara tidaklah begitu kering, namun cukup membuatkan aku rasa panas dan sejuk serentak. Aku hilang begitu sahaja? Ya, memang betul aku yang menghilangkan diri selama ini.
   “Tak payahlah kita ungkit lagi soal tu, Arif. Jangan sampai Ain tahu,” balasku resah dan separuh merayu.
   Dia mengeluh panjang. “Boleh tak awak jawab satu soalan saya, Rose?”
  Rose? Pedih hatiku apabila mendengar dia memanggil aku Rose. Panggilan yang biasa digunakan sewaktu kami berhubungan melalui chatbox beberapa tahun yang lalu. Dia masih ingat lagi….
   “Boleh?” Dia mengulangi pertanyaan itu.
   Aku angguk walaupun tidak begitu bersedia untuk menjawabnya. Apa-apa sajalah, asalkan segalanya cepat berakhir dan kami segera berpisah sebelum Ain terperasan sesuatu yang tidak kena di antara kami.
  “Selepas awak hilang begitu sahaja dari alam siber, saya ambil masa yang lama untuk memikirkannya semula. Akhirnya  saya membuat kesimpulan bahawa….” Dia berhenti.
   Aku menoleh ke arah dia.
   “Yang awak sebenarnya mencintai saya,” sambungnya lagi.
  Aku menelan air liur. Aku segera memandang ke arah lain. Rasa malu dan bersalah saling berbaur mencetuskan rasa yang sukar digambarkan di saat itu. Ke mana aku harus lari kali ini?
   “Itu kisah dulu-dulu, Arif. Tak usahlah kita ungkit lagi…,” kataku cuba mengelak. Aku mengelak demi Ain.
  “Jawab, Rose. Tolonglah jawab pertanyaan saya itu. Tidak ada hari yang berlalu tanpa saya bawa pertanyaan itu dalam hati saya. Ia seumpama bayang-bayang yang mengekori langkah saya. Ia seumpama rasa dahaga yang tidak mahu hilang-hilang.”
 “Arif… awak tak pelu bercakap soal masa lalu kita. Awak sudah ada kehidupan yang lebih penting sekarang. Awak sudah ada Ain. Awak kena ingat siapa diri awak.”
   Dia menggeleng. “Awak kena jawab sekarang juga. Sudah bertahun-tahun saya mencari jawapan itu, saya mahu tahu dari mulut awak sendiri. Adakah awak cintakan saya, Rose?”
   Aku jeling pintu hotel. Walaupun tetamu majlis beransur-ansur pulang seorang demi seorang, namun kelibat Ain belum kelihatan. Tetapi aku yakin masa semakin suntuk dan Ain akan muncul pada bila-bila masa sahaja di situ.
   “Rose, jawablah. Jawablah….” Dia pandang aku tidak berkelip.
   “Saya… saya…. Saya cintakan awak waktu itu.” Akhirnya aku mengakuinya juga. Satu perkara yang tidak dapat aku akui di hadapannya bertahun-tahun dahulu sehinggakan aku membuat keputusan untuk berhenti berharap setelah menanti selama lima tahun.
   Lalu pada satu hari yang kelam, aku berhenti menghubungi lagi di Facebook. Setiap mesej yang dihantar tidak lagi kubalas. Kotak chat kututup malah lama-kelamaan aku menyahaktifkan terus akaunku. Dia muncul pula di kotak e-mel dengan e-mel yang panjang menjela. Namun demi sebuah keputusan yang sudah kubuat… aku pejam mata pada segala-galanya kerana aku takut aku akan kecewa jika akhirnya nanti dia memilih yang lain selain aku. Maka sejak itu kami terputus hubungan sehinggalah malam ini.
   Dia bagaikan terpempan. Lurus matanya merenung wajahku. “Oh! Rose… kalaulah masa boleh diundurkan semula. Kalaulah kita sama-sama berani berterus-terang waktu itu….”
   Aku pula yang tergamam. “Kita tak boleh berkalau-kalau, Arif. Berdosa. Aturan tuhan adalah yang terbaik buat kita. Percayalah.” Mataku mula bergenang.
   Dia angguk. “Saya faham tapi…. Tapi pada masa itu saya juga sebenarnya mencintai awak. Cuma saya… belum bersedia untuk berterus-terang. Saya takut awak tidak sudi menerima saya. Cuma setelah awak merajuk dan pergi… saya betul-betul berasa bodoh dan menyesali kebodohan saya.”
   Aku rasa terharu malah begitu terharu di saat itu. Kenapa? Ya, kerana untuk sesaat cuma, aku telah mendapat apa yang paling kuinginkan sejak dulu. Dia mencintai aku? Itu sudah cukup bermakna. Tanpa sedar aku tersenyum. Terasa seolah-olah penderitaan dan kerinduan yang kusimpan bertahun-tahun lamanya hilang begitu sahaja.
  “Saya sudah puas mencari awak melalui kawan-kawan awak tapi tak seorang pun mahu membantu,” tambah Arif.
   Aku tersenyum. Aku tahu soal itu. Aku tahu apa yang Arif telah lakukan tetapi tidak tertanam di fikiranku waktu itu, bahawa Arif mencariku kerana dia mencintai aku. Aku hanya menyangka dia mencari aku kerana kehilangan seorang kawan yang selalu ada di sisinya saban hari dan kawan yang selalu siap siaga meminjamkan telinga sewaktu dia ingin meluahkan apa sahaja masalahnya. Ya, hanya sebagai kawan baik.
   “Tapi jika awak benar-benar mencintai saya… kenapa awak tinggalkan saya macam tu saja? Saya ada buat salah ke?”
   Aku menggeleng cepat. Memang benar sewaktu aku tinggalkan Arif, aku sudah tidak berdaya membendung rasa cintaku kepada dia. Aku tinggalkan Arif kerana aku tidak mahu dia menyedari yang aku cintakan dia selama ini. Aku tinggalkan dia kerana aku rasa sebagai kawan aku mengkhianati sebuah kepercayaan. Seorang kawan tidak mencintai seorang kawan secara diam-diam, bukan?
   “Yang telah berlalu, biarlah berlalu. Sudah ditakdirkan kita tak ada jodoh,” balasku dengan lebih lancar. Entah kenapa, hilang rasa sakit di hati. Hilang juga rasa rindu dan dendam yang telah berakar umbi sekian lama. Aku mula berasa ringan untuk melepaskan segala kenangan lalu.
   “Rose… tak bolehkah kita….”
   “Cik Roselyn tak balik lagi?”
  Aku dan dia sama-sama berpaling ke arah Ain yang menapak laju ke arah kami. Dalam debar, aku menjawab, “Belum. Entah di mana kereta saya.”
   “Kalau macam tu… saya minta diri dululah Cik Roselyn.” Nurul Ain tersenyum sambil meminta diri.
   “Jom, abang. Dah dekat tengah malam ni.” Dia pandang Arif pula.
   Aku lihat Arif seperti teragak-agak untuk bergerak. Aku mula cemas. Namun sebaik sahaja aku ternampak sebuah kereta BMW menuju ke arahku, aku terus meninggalkan mereka berdua dan berdiri di tepi jalan.
   “Itu pun boyfriend saya dah sampai,” kataku sambil tersenyum manis kepada Ain. Aku tahu Arif sedikit kaget dengan kata-kataku. Matanya bulat.
   Dan apabila kereta itu berhenti, di hadapanku, aku terus masuk ke tempat duduk hadapan di sebelah pemandunya. Sebelum kereta itu bergerak pergi, aku sempat tersenyum ke arah Ain dan Arif dengan seribu perasaan yang berbaur.
   “Kenapa Cik Rose duduk di depan? Nanti Datuk marah,” tegur Sharif pemandu ayahku.
   “Awak diamlah. Duduk belakang ke, duduk depan ke sampai juga ke rumah…,” balasku acuh tak acuh.
   Sharif terus diam dan aku pun malas untuk menerangkan apa-apa kepadanya lagi.
  Di sepanjang perjalanan, aku sandarkan kepalaku ke cermin tingkap. Wajah Arif masih terbayang di mataku. Kata-katanya masih terngiang-ngiang di telingaku. Malah segala kenangan kami di Facebook masih terulang tayang di ingatanku.
  Bersama air mata yang menitik, aku katakan dalam hati… walaupun kita saling mencintai namun sudah bukan jodoh kita. Walaupun pedih, sakit, kecewa… relakan saja. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui hikmah di sebalik sebuah pertemuan dan juga sebuah perpisahan.

TAMAT