*Cerpen ini merupakan balasan terhadap cerpen 'Selamat Tahun Baru, sayang' yang telah disiarkan sebelum ini walau ceritanya berbeza...'
“Itulah kau… lembab betul,” kata Roy sambil membaling sepotong french fries ke arah Rahimi.
Rahimi mengelak sedikit. Potongan french fries itu jatuh ke lantai. Kasar betul minah ni, kata hatinya sambil memandang wajah Roy yang duduk di hadapan mejanya. Walaupun suasana di dalam restoran makanan segera Mc Donald itu masih hingar, namun dirasakan hanya ada dia dan Roy di situ.
"Mana aku tahu nak jadi macam ni?” luahnya perlahan.
Kini pandangan matanya beralih pula ke arah burger Prosperity yang baru dimakan separuh. Apa yang sedang melanda hati dan perasaannya membuatkan perutnya terasa kenyang malam itu. Apa yang sudah dimasukkan ke dalam mulut pun terasa tawar tidak berperisa.
“Mana tahu? Kau nak tahu? Mari sini aku beritahu kau,” kata Roy pula sambil merenung tajam ke wajah Rahimi. “Perkara ni terjadi sebab kau lembab. Kau tahu tak erti perkataan lembab?”
Rahimi menarik nafas. Dadanya mula terasa sesak. Lembab, lembab, lembab. Lagi-lagi lembab. Macam tidak ada perkataan lain yang boleh disebut, rungut hatinya. Dia membalas renungan Roy. Untuk seketika dia dan gadis berambut pendek yang duduk di hadapannya saling berpandangan tanpa suara.
“Aku bukan lembab tapi aku ada sebab.” Dia masih belum mahu mengalah. Dia menghela nafas sambil bersandar tenang. Keriuhan suasana di restoran makanan segera itu bersulam lagu yang entah apa bunyinya, membuatkan kepalanya sedikit pening. Telinganya berdengung.
Bila mereka semua ni nak balik tidur? Soalan itu hanya tinggal soalan. Disangkakan pada waktu itu, dia akan dapat berbual dengan Roy dalam suasana yang tenteram. Tapi sangkaannya meleset sama sekali. Restoran makanan segera itu masih dipenuhi pelanggan.
“Sebab? Okey, boleh kau ceritakan aku sebab-sebabnya? Aku nak tengok sama ada otak kau lembab atau tidak,” balas Roy. Satu persatu potongan french fries di tengah-tengah meja dimasukkan ke dalam mulutnya. Dia merenung Rahimi bagaikan seekor serigala mengintai mangsa.
Rahimi menarik nafas. Jika dia ada kawan baik yang lain, dia pasti tidak mengajak Roy untuk keluar makan malam itu. Tetapi disebabkan hanya gadis itu yang tahan mendengar luahan hatinya selama ini, dia terpaksalah menadah telinga mendengar kata-kata Roy yang berbisa bak patukan ular tedung.
“Aku takut kehilangan dia. Sungguh. Aku tak bohong,” katanya beria-ia apabila Roy tersenyum sinis tatkala dia baru memulakan cerita. Satu pengakuan yang sangat berat untuk diluahkan kepada sesiapa. Pengakuan yang datang dari hati, pengakuan yang menekan ego lelakinya sehingga rebah.
Roy angguk beberapa kali.
“Aku takut kalau dia tak suka aku jadi… aku tak pernah cakap yang aku suka dia,” sambungnya lagi.
“Apa yang kau takut sangat?”
“Aku takut jika aku cakap pada dia, kemudian dia tak suka aku macam aku suka dia… nanti dia tak mahu berkawan dengan aku lagi,” jawab Rahimi bersahaja namun cukup yakin.
“Come on! Kita bukan di sekolah rendah lagi. Sikit-sikit tak nak kawan, sikit-sikit merajuk. Habis tu sekarang dia sayang kaulah?” Roy terus membidas. Dia menggeleng sambil menghela nafas.
Rahimi terdiam agak lama. Perbualan mereka terhenti seketika. Kedua-duanya hanya termenung di celah-celah keriuhan pelanggan Mc Donald yang lalu lalang di sebelah meja mereka.
“Kenapa kau diam?” tanya Roy lagi.
“Sebab tu aku kata kau lembab,” tambahnya lagi. “Lima tahun bukan masa yang sekejap. Jika seorang anak dilahirkan lima tahun lepas, sekarang sudah masuk tadika.”
“Aku tahulah tapi aku… aku tak mahu Nina bencikan aku atau tinggalkan aku,” jawab Rahimi lagi. Itulah yang dikhuatirinya selama ini. Selama lima tahun mengenali gadis manis yang bernama Nina, dia tidak pernah berani meluahkan perasaannya kepada gadis itu. Dia takut Nina pergi meninggalkan dirinya walaupun apa yang ditakutinya itu berlaku juga semalam. Baginya biarlah Nina tidak pernah tahu, asalkan Nina tidak membencinya lalu meninggalkan dia keseorangan.
Roy menggeleng lagi. Roy mengeluh lagi.
“Kalau diikutkan hati aku… dah lama kepala kau tu aku ketuk-ketuk…,” katanya geram sambil mengetap gigi.
“Salah ke apa yang aku buat? Takkan aku nak terus cakap dengan Nina yang aku suka dia? Kalau dia tak suka aku macam mana? Jatuhlah maruah aku….”
“Kalau kau tak cakap, macam mana Nina tu boleh tahu? Kau ingat Nina kau tu psikik? Dia boleh baca fikiran kau?”
Rahimi diam sesaat. Kemudian kembali memandang wajah Roy yang polos. “Aku dah beri dia hint dah tapi… entahlah. Tak cukup kut? Kalau tak pun, mungkin dia tak faham apa maksud aku.”
“Jadi dia sekarang secara rasminya sudah ada orang lainlah?”
Rahimi angguk. “Semalam dia beritahu aku. Dia dah terima lamaran orang tu.”
“Habis tu? Kau dengan dia macam mana? Masih berkawan atau….”
“Nina kata dia akan tetap jadi kawan aku,” balas Rahimi. “Kawan baik. Mungkin macam kau dan aku sekarang, tapi rasanya dah tak sama lagi. Tak sama macam sebelum Nina pilih lelaki tu.”
Roy angguk faham. Air Coca-cola di dalam cawan disedut berulang kali. “Salah kau sebab kau lembab.”
Rahimi mengeluh. Lembab lagi? “Aku terlalu sayangkan dia, Roy. Aku terlalu takut untuk bertindak….”
“Sebab tu aku kata kau salah. Kau fikir Nina tu akan tunggu kau sampai bila-bila? Kau fikir Nina tu tak ada kerja lain selain tunggu kau jadi jantan? Orang perempuan memang boleh bersabar tetapi sabar kami tetap ada batasan.”
Tanpa dapat ditahan Rahimi ketawa kecil. Orang perempuan? Jadi akhirnya Roy yang kasar di hadapannya ini mengaku juga yang dirinya seorang perempuan? Dia pandang Roy, jika Roy ubah penampilan sedikit dan tawarkan sedikit bisa mulutnya erm… manis juga orangnya. Dia pasti kecantikan Roy juga akan setanding dengan Nina.
“Kenapa kau ketawa? Salah ke apa yang aku cakap?” tanya Roy pula sambil menarik muka masam.
Ketawa Rahimi berhenti. Dia menggeleng.
“Aku sangka Nina boleh bersabar.” Itulah sangkaannya selama ini, tanpa sedar rupa-rupanya sudah terlalu lama dia berlengah-lengah.
“Nak sabar untuk apa? Apa yang dia tunggu? Kau kena fikir soal ini daripada pandangan dia bukan daripada pandangan kau. Selama lima tahun dia berkawan dengan kau, ada tak kau berikan dia apa-apa harapan atau jaminan?”
Rahimi geleng. “Tapi aku layan dia dengan baik. Aku berada di sisi dia semasa susah ataupun senang.”
“Itu, aku pun boleh buat,” bidas Roy dengan pantas.
“Habis tu?”
Roy menggaru kepala. “Lembab betullah otak kau. Kalau macam nilah. Tak usahkan Nina, aku pun boleh cabut lari tinggalkan kau.”
Mata Rahimi terkebil-kebil seketika.
“Cuba kau cakap apa yang sepatutnya aku buat.” Geram pula hatinya melihat gelagat Roy malam itu. Bukannya hendak memujuk dia atau memberikan kata-kata semangat, lagi dimarahi pula.
“Encik Rahimi, orang perempuan ni… perlukan jaminan. Tak banyak sedikit pun jadilah. Sekurang-kurangnya kau cakaplah… kita berkawan dulu, jika kita rasa sesuai… bolehlah kita eratkan lagi. Ni tidak. Buat bodoh aje.”
“Kan aku dah kata aku dah beri?”
“Aku tak tahu apa yang kau beri tapi aku rasa kau salah beri atau kau tak cukup beri, balas Roy dengan laju.
“Aku tunggu dia beri signal tapi… tak ada pun.”
Roy menggeleng lagi. Dia menunjukkan kelima-lima jarinya di hadapan muka Rahimi. “Kau nampak ni?”
Rahimi angguk.
“Lima tahun. Kau faham makna lima tahun?”
Rahimi geleng.
“Orang perempuan kalau tak suka dan rasa selesa dengan seseorang lelaki tu… dia tak tunggu selama itu. Kalau dia tak suka, kau tegur dia hari ni, hari esok dia delete kau dari friendlist dia kau tahu tak? Kalau Nina sanggup tunggu selama lima tahun melayan kau hari-hari dekat Facebook, Gtalk,YM, SKYPE, telefon…. Aku rasa dia dah cukup bersabar dengan kau, Rahimi. Dia dah cukup beri kau masa, dia dah cukup beri kau petunjuk. Tapi dia perempuan. Dan perempuan yang baik tebal sifat malunya. Dia tak akan buka mulut dulu sebelum kau buka mulut. Itu pun kau tak nampak ke?”
Rahimi menelan air liur. Yakah? Dia mula terbayang wajah Nina, suara Nina, semua mesej-mesej panjang lebar yang Nina tulis untuknya, segala lagu-lagu di Youtube yang Nina kongsikan dengannya…. Itu petunjukkah? Ah! Dia rasa seperti terhempas ke batu. Dia rasa ingin menjerit tapi suaranya tidak keluar.
“Sudahlah. Doakan saja dia bahagia dengan keputusannya.” Suara Roy mula mengendur semula. Dipandang sahaja french fries yang semakin sejuk dan layu.
“Aku nak tunggu dia….”
Roy spontan mengangkat wajahnya. Lama dia merenung wajah Rahimi di hadapannya. Lidahnya bagaikan kelu.
“Manalah tahu kalau dia putus ke dengan lelaki tu… mungkin aku boleh….”
“Kau jangan buat malu kawanlah,” bidas Roy. Kali ini dia sudah mengangkat kotak burger Prosperity untuk dibaling ke arah Rahimi tetapi entah kenapa dia tidak jadi melakukannya. “Kau nak tunggu sampai bila?”
Rahimi terdiam. Dia sendiri tidak tahu sampai bila dia harus menunggu Nina. Mungkin benar segalanya salah dia. Tetapi… tidak adakah peluang kedua untuknya?
“Bunga bukan sekuntum, Rahimi,” pujuk Roy.
Memang benar bunga bukan sekuntum. Namun hanya bunga yang bernama Nina tumbuh mekar di hatinya. Bukan bunga lain.
“Sebagai kawan, kau patut gembira bila dia gembira. Kau patut doakan kebahagiaan dia bukannya mendoakan supaya dia boleh putus cepat. Itu namanya mementingkan diri sendiri dan perasaan kau kepada dia tidak cukup sejati.”
Rahimi hanya diam membisu. Bukan kelegaan yang dia dapat setelah bercakap dengan Roy malam itu. Malah jiwanya tambah sengsara. “Aku masih payah untuk menerima hakikat. Lima tahun bukan masa yang sekejap. Aku….”
“Tahu pun kau. Lain kali jangan lembab lagi. Ambil apa yang telah berlaku ni sebagai pengajaran,” jawab Roy pula. Kertas tisu di tangannya direnyuk-renyuk. Pandangan matanya masih tajam menikam.
Rahimi diam sahaja. Setelah beberapa lama, dia mengangguk. Dia mengalah. Tidak ada apa yang dapat dilakukan lagi. Jika Nina sudah membuat pilihan, dia seharusnya mendoakan kebahagiaan Nina seperti kata Roy tadi. Dia berasa sedikit tenang dan sedikit bangga dengan dirinya sendiri.
“Jom balik. Esok aku kerja,” kata Roy sambil bangun dan menolak kerusi. "Layan rengek kau ni sampai pagi pun tak habis."
Rahimi tidak membantah. Bersama-sama mereka berdua meninggalkan restoran Mc Donald itu setelah berada di situ hampir dua jam sejak pukul 12.00 malam tadi.
Sebelum Roy membuka pintu kereta Rahimi dia bertanya. “Rahimi… kau sedar tak dah berapa tahun kita berkawan?”
Rahimi tercengang seketika kemudian menoleh ke arah rumpun bunga kertas di tepi jalan. Dia cuba mengingati semula sejarah perkenalannya dengan Roy.
“Tujuh atau lapan tahun. Kita mula berkawan sejak masuk sekolah menengah, kan?” Dia tersenyum dan lantas masuk ke dalam kereta.
Roy angguk perlahan. Setelah Rahimi masuk ke dalam kereta, dia menumbuk atap kereta dan merungut perlahan.“Sah lembab!”
TAMAT
Diharapkan Adik Rahimi berpuas hati dengan cerpen sebabak ini. Lain kali jangan lembab lagi ya..
Dalam hidup ini, tidak semua peluang datang 2 kali....
Terima kasih kepada semua pembaca.
Jangan lupa ikuti balasan cerpen ini nanti
yang bertajuk
Andai bukan jodoh kita...
Salam ziarah saudari. Tahniah ternyata saudari seorang penulis yang prolifik. Sudilah bertukar-tukar pandangan dengan saya. Kunjungi blog saya. Harap tinggalkan jejak.
ReplyDeleteSalam ziarah kembali.
ReplyDeleteTerima kasih di atas jemputan Tuan Mohd Helmi.