Wednesday, May 22, 2013

CERPEN: ANDAI KAU TAHU...



 Untuk pembaca blog ini yang setia, saya tuliskan sebuah cerpen cinta yang santai untuk bacaan masa lapang. Semoga terhibur. Salam sayang, salam manis selalu.

*************************

 “Tengok apa tu?” Haiza mencuit bahuku.
Aku menggeleng. Cepat-cepat aku berpura-pura membelek beg tanganku, mencari sesuatu yang aku sendiri tidak tahu apa. Padahal hanya ingin menyembunyikan rasa panas di pipi apabila gelagatku tadi disedari.
“Aku dah lama perasan. Aku cuma tak nak tegur saja.” Haiza bersuara lagi sambil menarik nafas.
“Perasan apa?”Aku pandang ke arah jalan raya. Kereta yang kami nantikan belum juga tiba. Entah kenapa hari itu teman serumah kami lambat pula menjemput. Kalau tidak, aku akan rasa lebih selamat.
“Kau selalu perhatikan Encik Kamal, kan?”
“Mana ada? Kau salah sangka tu,” balasku sambil terjenguk-jenguk memerhati jalan raya. Puas aku cuba berlagak seperti tidak ada apa-apa, walhal dalam hati sudah mahu meletup. Haiza perasan? Siapa lagi yang perasan? Ah! Mulai hari ini aku terpaksa membetulkan keadaan. Aku tidak mahu ada sesiapapun yang tahu, azamku.
“Salah sangka apanya? Setiap kali Encik Kamal lalu depan kita, kau mesti curi-curi pandang, kan?” Haiza tersenyum lebar.
Aku geleng.
“Jangan buat ceritalah. Kalau tahu dek orang lain, mati aku,” balasku.
“La… apa nak dimalukan? Dia bukannya suami orang? Kalau suami orang, memanglah cari nahas namanya.” Begitu bersahaja Haiza bersuara.
“Tak mahulah.”
“Apa yang tak mahu?”
“Tak mahulah heboh-heboh,” kataku separuh merayu.
“Jadi? Betullah kau minat dekat dia?”
“Tak adalah. Ha… tu pun kereta Miah sampai.” Aku tergesa-gesa menerkam ke arah kereta Miah yang belum pun berhenti. Tergesa-hesa juga aku naik di tempat duduk hadapan. Aku tidak beri peluang untuk Haiza bertanya lagi.
*******

Andai kau tahu
Apa yang kumahu
Aku mahu dirimu
Mendekatiku….

“Sudahlah-sudahlah pasang lagu Sofea Jane tu…,” tegur Haiza ketika masuk ke dalam bilik tidurku tanpa mengetuk pintu. “Kalau orang tak nak datang dekat, kau saja pergi dekat dia.”
Aku tersenyum tawar. Sudah puas aku mengelak dari bercakap soal itu namun nampaknya itulah topik yang menjadi kesukaan Haiza apabila bertemu dengan aku. Pantang ada peluang, dia akan mengusik, menyindir dan menghasut. Macam dia pula yang teruja.
“Esok kita ada mesyuarat, kan?” Haiza berbaring di atas tilamku.
Aku mengesot ke tepi sambil angguk.
“Esok bolehkah kau hadap muka Encik Kamal tu puas-puas,” sambung Haiza.
Erm… ke situ lagi. Memanglah esok aku dan Encik Kamal akan berada dalam satu ruang yang sama tetapi bukanlah bermakna aku akan ambil kesempatan itu untuk kepentingan diri aku pula.
“Tak ada maknanya,” balasku.
“Tak ada makna kata kau?” Haiza separuh menjerit. “Berapa ramai staf kita yang nak sangat peluang melihat muka Encik Kamal tu lama-lama tau. Kau pula nak lepaskan peluang macam tu saja.”
“Sudahlah tu, Haiza. Jangan heboh-hebohlah,” kataku. Aku bimbang betul jika ada orang lain yang tahu tentang perkara itu. Aku malu. Apatah lagi jika Encik Kamal pula tahu. Aku rasa, aku sanggup berhenti kerja jika itu terjadi.
“Sekarang zaman dah berubah, Dini. Mana boleh kau diam saja dan harap kau boleh dapat Encik Kamal tu? Kau kena berebut macam staf yang lain-lain tu juga. The best woman wins.Kalau akulah…aku rebut.”
“Ingat sikit pada tunang kau tu ya.”
Haiza tersenyum.
“Kau ni, kan? Lembab sangat. Minat orang tu tapi tengok saja jauh-jauh. Intai… belakang langsir. Kau ingat ni zaman Panca Delima ke?”
Tanpa dapat ditahan aku ketawa kecil. Aku tidak nafikan apa yang dikatakan Haiza itu semuanya betul. Walaupun aku tahu aku sudah berada di era moden, di era Facebook. Malah Facebook adalah satu-satunya cara untuk aku melihat dia dengan lebih dekat, mengetahui perkembangannya, aktivitinya, sikap dan segala perasaannya. Di situ juga aku melihat ramai gadis sama ada yang aku kenal ataupun tidak selalu berbalas komen dengan dia. Tetapi aku… aku hanya berani memerhati.
“Kau boleh chat, e-mel atau SMS dia tapi kau tak buat. Ni kau diam saja macam patung. Aku tag kau pada gambar-gambar dia atau pada komen di Facebook pun, kau buat bodoh saja. Aku dah beri kau jalan mendekati dia, tapi kau tak buat apa-apa.” Haiza terus membebel. “Kau ni nak ke tak nak?”
Aku geleng.
Haiza terdiam.
*******
KEESOKAN paginya, sedang aku sibuk menyusun fail-fail mesyuarat di atas meja ahli lembaga pengarah dan ketua-ketua unit masuk ke bilik mesyuarat. Salah seorang daripadanya ialah Encik Kamal.
Dan apabila dia melemparkan senyumannya kepadaku… aku rasa sedikit kaget walaupun aku tahu begitulah senyumannya untuk semua.
Mesyuarat berjalan lancar. Sepanjang mesyuarat itu berlangsung, hanya sesekali aku mengangkat muka dan memandangnya. Itu pun apabila dia bersuara, berhujah dan melontarkan cadangannya. Selain masa itu, aku hanya tunduk memandang buku catatanku.
“Nurdini,” panggil Encik Kamal ketika mesyuarat sudah pun tamat.
Aku yang sedang berdiri menanti semua ahli lembaga pengarah meninggalkan bilik itu tergamam.
“Nanti hantarkan saya satu salinan tugasan yang diberikan oleh Tuan Pengarah,” sambungnya.
Aku angguk sahaja dan terus beredar.
Dia mengejar.
“Hantarkan ke e-mel,” sambungnya.
Aku angguk lagi tanpa memandang wajahnya.
Entah kenapa dia seperti tidak puas hati pula dengan sikapku tetapi dia tidak pula bertanya.
Memandangkan dia tidak ada apa-apa lagi yang mahu dicakapkan, aku pun segera menyusun langkah beredar dari situ. Sesungguhnya itulah saat yang paling mendebarkan buat aku kerana itulah kali pertama dia bercakap dengan aku secara berhadapan.
*****
“Macam mana? Puas tak tengok idaman hati hari ni?” Haiza mengusik ketika aku baru sahaja duduk di kerusiku.
Aku hanya menjeling. Debaran di dadaku masih terasa. Entah apalah yang dia fikir tetapi bagiku itulah satu saat di mana aku benar-benar berasa bahagia.
“Ceritalah.” Haiza mula merengek.
“Ceritalah pasal meeting tadi.”
“Aku sedang siapkan nota untuk dia ni,” balasku selamba.
“Wah! Rajinnya. Mentang-mentanglah orang tu yang suruh.”
“Bukanlah. Aku takut lupa. Nanti aku juga yang kena marah,” jawabku. Itulah yang sejujur-jujurnya walau aku percaya Haiza tidak akan percaya.
“Hensem tak dia hari ni? Dia bercakap dengan kau tak?”
Aku tidak tahu bagaimana mahu menghentikan kata-kata Haiza. Mujurlah staf lain tidak ada di situ. Kalaulah ada sesiapa terdengar, memang aku malu besar. Yang aku sedar, pipi aku sudah panas.
“Ha.... tu mesti ada apa-apa.” Haiza masih belum berputus asa.
Aku menunduk dan menggeleng. Teringat saat-saat Encik Kamal menegurku tadi. Indahnya.
*****
SEMINGGU selepas itu, pejabat agak riuh. Aku dan Haiza yang baru tiba terpinga-pinga. Apa yang buat mereka suka sangat? Sudahlah mulut tak tahu diam, muka pula berseri-seri.
“Apa halnya ni?” tegur Haiza, mendahului aku yang selalu lambat bersuara.
“Encik Kamal, dah balik,” jawab Piah, rakan sekerja kami.
“Ingat apalah tadi,” balas Haiza sambil menarik nafas.
Aku yang mendengar, tersenyum nipis. Encik Kamal dah balik? Baguslah, kata hati kecilku. Sememangnya aku tahu dia ke Vietnam sejak empat hari lalu tetapi kenapa pula perlu dikecohkan sampai begitu? Bukannya Encik Kamal atau pegawai-pegawai lain tidak biasa ke luar negara.
“Pergilah ke meja kau orang. Mungkin kau orang pun dapat juga buah tangan dari Encik Kamal.” Piah tersenyum lebar.
“Buah tangan ke?” Haiza angkat kening. Baru dia tahu apa punca kekecohan di situ. “Kalau macam tu... jomlah kita tengok. Entah-entah... Encik Kamal bawa berlian sebiji untuk kita, mana tahu?”
Haiza tarik tangan aku dengan kuat.
Dalam keadaan terpinga-pinga aku mengikut. Berlian? Macam tak masuk akal saja? Paling besar pun aku fikir poskad, beg tangan, skaf ataupun rantai kunci. Takkanlah orang seperti Encik Kamal mahu menghabiskan duit yang banyak untuk staf yang entah apa-apa seperti mereka semua. Lebih baik Encik Kamal menghabiskan duit untuk seseorang yang istimewa dalam hidupnya.
“Wah!” Suara Haiza melonjak riang. Bergegas kakinya ke arah meja lalu mencapai sebuah kotak yang berbalut cantik. Senyumannya melebar dan aku seperti sudah tidak wujud di hadapannya.
“Kau dapat apa? Pergilah tengok di meja kau. Pergilah.” Haiza tolak bahu aku.
Aku menarik nafas panjang. Benarkah ada buah tangan untukku? Kalaulah Encik Kamal menghadiahkan aku pembalut hadiah sekalipun, aku sudah berasa sangat gembira. Sekurang-kurangnya itu tanda, dia ingat juga pada aku walaupun mungkin semua hadiah itu dibeli secara lambak sahaja.
“Cepatlah. Kau dapat apa? Aku dapat skaf.”
Rupa-rupanya Haiza mengekori langkahku ke meja.
Mulut aku kelu. Sungguh, aku tidak tahu apa yang dapat aku jawab kerana mejaku kosong...
“Er....” Kata-kata Haiza terputus terus.
****
SEMINIT dua sudah berlalu. Aku diam, Haiza juga diam. Dia perhatikan sahaja, aku menghidupkan komputer dan mengemas meja. Apabila aku ke pantri, dia juga mengekor bagaikan pembantu peribadi.
Sukar aku jelaskan perasaan aku saat itu. Hampa, kecewa, marah, rajuk, semua ada. Sampai hati Encik Kamal tidak membelikan aku apa-apa. Bukan hadiah yang mahal yang aku harapkan, sekadar sebuah tanda ingatan seperti staf yang lain juga. Tanpa perkara itu, sepertinya aku tidak pernah wujud di pejabat itu, apatah lagi dalam ingatannya. Tidak sedar, terasa kulit mukaku hangat. Seolah-olah hati ingin memuntahkan tangis.
“Dia... dia... belum letak lagi kut?” Akhirnya Haiza bersuara juga sambil sibuk membasuh gelas yang sudah sedia bersih.
Aku berdeham melegakan kerongkong yang terasa kering.
“Adalah nanti tu... selalunya pegawai kita ni, kalau beli tu mesti beli untuk semua orang, kan?”
Aku angguk sahaja. Memang selalunya begitu, kalau seorang tak dapat, semua tak dapat. Kalau seorang dapat, semua dapat walaupun buah tangannya mungkin hanya sekeping poskad. Cuma kali ini sahaja yang berbeza. Tersentuh lagi hatiku.
“Dini...” tegur Haiza apabila aku terus  tidak berbunyi. Setelah membancuh secawan kopi aku meninggalkan pantri.
“Tak ada apa-apalah. Aku tak terasa pun.” Laju langkah kakiku menjauhi Haiza. Mula rasa bosan dengan kerisauan Haiza. Jika Encik Kamal sudah tidak ingatkan aku, apa yang aku boleh buat? Terpulanglah pada dia, sama ada hendak belikan aku buah tangan atau tidak. Duit dia. Lalu, dengan kesedaran itu, aku kuis segala rasa kecil hatiku ke tepi. Aku sedar diri aku siapa di hati Encik Kamal.
“Eh! Kau orang dapat apa? Nak tengok.” Piah menegur semasa kami berdua melintasi mejanya. Dia terus berdiri mahu mengikut kami kembali ke meja.
Aku terdiam lama.

*****

“AIK? Kenapa pula kau punya tak ada?” Mulut Piah mula riuh apabila kami sampai semula ke meja, walaupun jika ikutkan hati aku ingin sahaja aku halau Piah dari situ. Sekarang, hal sekecil itu akan menjadi bahan gossip yang besar. Semua orang akan tahu dan semua orang akan membuat spekulasi sendiri.
“Eh! Kau...  Encik Kamal marah pada kau ya? Kau buat apa?” Piah merenung muka aku.
“Ada ke patut cakap macam tu?” Haiza pula masuk campur.
“Habis tu?” Dahi Piah berlapis-lapis. Lagaknya bagaikan sedang cuba menyelesaikan misteri pembunuhan.
“Manalah kami tahu?” balas Haiza lagi.
Piah diam tetapi riak wajahnya seperti tidak puas hati. “Nak aku tanya pada Encik Kamal? Sekejap lagi dia ada meeting.”
Haiza senggol bahu Piah.
“Tak payahlah. Kalau orang nak bagi, tak payah kita minta-minta,” kata Haiza dengan tegas.
“Kesian pula aku rasa.” Piah kemudian terdiam.
“Hisy! Aku tak kecil hati pun. Alah, setakat buah tangan saja, kan? Lainlah, kalau Tuan Pengarah terlupa bayar gaji aku. Baru aku marah.” Aku cuba ubah topik sambil ketawa yang dibuat-buat.
Piah terangguk-angguk. Antara senyum dan tidak. Begitu juga Haiza.
“Dahlah kau orang. Pergilah buat kerja.” Aku mula sibukkan diri. Membuka fail dan mencari kerja yang belum sempat aku siapkan petang semalam. Ingin aku lupakan hal itu, mungkin perlu juga aku lupakan Encik Kamal.
Mujurlah Piah dan Haiza tidak memanjangkan perkara. Mereka berdua perlahan-lahan meninggalkan meja aku. Namun belum sempat lama aku menekuni tugas-tugasku, aku terdengar satu suara di belakang aku.
“Nurdini.”
Aku tergamam. Bunyinya seperti suara Encik Kamal. Dia di belakang aku ke? Terasa ketat leherku, mahu berpaling aku malu kerana Piah dan Haiza sama-sama sedang merenung aku. Terasa pipi aku sejuk bagaikan air batu.

****
“Nurdini.” Ulang suara itu lagi.
Dengan sepenuh kekuatan jiwa, aku menoleh juga. Memandang wajahnya yang tenang, menatap susuk tubuhnya yang kemas dan sentiasa berwibawa itu. Hilang terus rasa marah mahupun kecil hati.
“Ada apa, encik?” Aku bertanya setelah letih berbalas pandang.
“Ini untuk awak...” Encik Kamal hulurkan aku sebuah kotak kecil yang berbalut reben merah muda. Lebih besar reben berbanding kotaknya.
“Eh! Tak apalah, Encik Kamal. Buat susah-susah saja. “Aku menggeleng. Serabut pula fikiran aku apabila melihat kotak kecil itu. Bukan tidak comel cuma rupanya sangat berbeza daripada hadiah-hadiah staf yang lain. Nanti apa pula kata mereka? Sudahlah mata Piah tidak berkelip-kelip sejak tadi, mungkin selepas ini ada pula yang menangis.
Air muka Encik Kamal berubah.
Spontan, aku rasa serba-salah.
“Awak... tak sudi ke?” tanyanya perlahan.
“Bukan... bukan macam tu, encik.” Aku menggeleng laju. Tidak tahu apa alasan yang dapat aku berikan kepada dia. Bukan aku tak mahu cuma... entah kenapa aku terasa amat segan dengan situasi begitu. Sudahlah dia sendiri yang datang menyerahkan buah tangan itu, rupa buah tangannya pula sangat... unik.
“Kalau bukan macam tu, terimalah. Susah payah saya cari hadiah ni untuk awak.”
Bagaikan terhenti nafasku seketika. Di bersusah payah mencari hadiah itu untuk aku? Biar betul?
“Kalau macam tu... saya terima sajalah. Terima kasih, encik.” Hadiah kecil itu aku ambil akhirnya.
Encik Kamal tersenyum manis sebelum beredar dari tempat aku.
Aku yang memandang terasa hendak pitam. Senyuman manis Encik Kamal bagaikan melekap kuat di ruang mata. Mungkin hingga termimpi-mimpi malam nanti.
“Eh! Apa dia beri kau?” Haiza dan Piah berebut-rebut datang ke mejaku.
Pipiku makin panas. Aku sembunyikan hadiah itu di dalam laci meja.
“Alah... bukalah. Nak tengok!” kata Piah.
“Bukalah... bukalah,” desak Haiza pula.
“Tak mahulah. Keychain aje tu.” Aku cuba menyambung semula tugasanku. Sayangnya Haiza dan Paih tetap menghimpit aku di situ.
“Bukalah... bukalah.” Haiza goncang bahu aku.
Kepala aku mula pening.
“Bukalah sekejap. Kami bukannya nak... kami nak tengok saja apa yang dia beri pada kau.” Suara Piah melantun tinggi. Sekaligus menarik perhatian staf-staf yang lain yang mula tertumpu ke situ.
Aku makin rimas lalu aku buka laci dan aku keluarkan kotak kecil itu. Aku serahkan kepada Haiza.
“Eh! Kau suruh aku buka ke?” Haiza tergamam.
“Bukalah. Tengoklah keychain tu puas-puas,” balasku sambil menyambung kerjaku di skrin komputer. Aku tidak mahu mempedulikan lagi soal itu. Encik Kamal sudah memberikan aku hadiah, apa yang aku hendak lagi? Teruskanlah kerja.
“Dini,” panggil Haiza.
“Ya.” Aku masih leka menaip laporan.
“Bukan keychain,” jawab Haiza.
“Erm...” Aku tidak peduli. Aku sudah tenggelam dalam tumpuanku kepada laporan yang perlu aku hantar kepada Tuan Pengarah tengah hari nanti.
“Dia beri kau cincin.” Perlahan sahaja suara Haiza. Piah pula terus kelu.
Cincin? Cincin?!! Biar betul? Terus aku menoleh ke arah Haiza dan menyambar kotak itu. Lama mata aku menatap sebentuk cincin emas putih bermata satu di dalam kotak kecil. Kenapa pula dia belikan aku cincin? Dia salah beri hadiah ke? Fikiranku berserabut sekali.
“Dia salah kotak kut?” tanyaku bodoh.
Haiza tersenyum lebar. Pandangan matanya bersinar-sinar.
Pipiku kemerah-merahan. Hangat sejuk berulang-ulang.
****

 LIMA BELAS minit selepas itu, aku sudah berada di dalam bilik Encik Kamal. Dia menyambut kedatanganku dengan wajahnya yang manis.
“Ada apa, Nurdini?” Encik Kamal bertanya setelah mempersilakan aku duduk di hadapannya.
Aku tunduk seketika. Sukar untuk aku sembunyikan kegelisahan dan rasa gementar yang aku rasa. Akan tetapi, aku perlu memulangkan kotak yang tersalah beri itu kepadanya.
“Saya rasa... encik salah beri saya hadiah. Ini bukan untuk saya.” Aku letakkan kotak kecil itu di hadapan Encik Kamal. Walaupun tanpa pembalut dan reben besar. Apa yang penting, isi di dalam pembalut itu sudah aku pulangkan. Biarlah kalau boleh pembalut dan reben itu aku simpan. Itu sudah memadai bagi aku.
Encik Kamal tersenyum makin manis. Dia merenung wajahku seketika sebelum mengambil semula kotak itu. Dia membukanya dan menatap cincin itu lama-lama bagaikan sedang menatap wajah kekasih.
“Tak ada apa yang salah. Memang cincin ini saya beli untuk awak seorang.” Kotak itu diletakkan semula di hadapan aku.
“Untuk saya? Tapi...” Fikiranku bercelaru.
Encik Kamal angguk perlahan.
“Memang untuk awak,” balasnya lagi. “Sudah sampai masanya awak tahu perasaan saya terhadap awak.”
Ha? Pandangan mataku gelap seketika. Aku bermimpi ke? Apa yang Encik Kamal cakap ni.
“Andai kau tahu... apa yang kumahu... aku mahu dirimu... mendekatiku…” Encik Kamal berlagu perlahan.
Pipiku terasa panas. Tidak sanggup lagi aku pandang wajah Encik Kamal.
“Haiza dah beritahu segala-galanya, Dini,” sambungnya lagi. “Dan saya tak sangka, saya tak bertepuk sebelah tangan.”
Haiza!!! Aku menjerit dalam hati. Ya, Tuhan! Aku rasa hendak menyorok di bawah meja. Sudah sah, Encik Kamal tahu perasaan aku terhadap dia selama ini. Malunya...
Encik Kamal ketawa kecil. Kotak cincin itu diserahkan sekali lagi kepada aku.
Kali ini aku sambut dengan juraian air mata di pipi...

TAMAT




Saturday, May 18, 2013

Mengejar Masa


Buku SEPATU QUEEN dan ANTOLOGI TENTANG CINTA
yang sedang dibalut untuk penghantaran pada hari Isnin hadapan.

Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf kerana sudah lama tidak menulis di sini atau memuat naik cerpen atau cerita baharu. Buat masa ini saya memang teramat sibuk dengan kerja penerbitan dan juga menulis. Buat masa ini saya masih tekun menyiapkan mss LL dan sebuah novella untuk dimuatkan dalam sebuah projek yang dipanggil Projek HTH yang mungkin keluar pada bulan 8.

Sementara itu saya masih menantikan mss Percayalah Sayang, Misteri Cinta Semalam dan Andai Datang Cinta diterbitkan. Juga masih menanti keputusan sebuah manuskrip yang menyertai sebuah sayembara. Nanti, sekiranya ada berita baik saya akan kongsikan di sini ya.

Terima kasih kepada yang sudi membeli Sepatu Queen dan Antologi Tentang Cinta. Kedua-dua buku ini masih ada stok. Jika ada sesiapa yang mahu mendapatkannya sila hubungi saya menerusi emel.
Oh, ya! Stok novel JANJI JULIA juga ada pada saya.

Jumpa lagi. Saya akan cuba tuliskan cerpen ya... Sayang semua.

Friday, May 10, 2013

Stok Antologi Cerpen TENTANG CINTA sudah ada

Harga : RM 18.00/ RM 20
Terbitan: ACE


Untuk makluman semua, buku Antologi Cerpen Tentang Cinta sudah ada di tangan saya. 
Sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya boleh hubungi saya terus atau menghantar emel kepada auroracreative67@gmail.com.

Dalam buku ini saya menyumbangkan 3 buah cerpen yang bertajuk 
'Ombak, pergilah ke Byron Bay', 'Ucapkan sekali lagi' dan 'Ada Cinta Dalam Hatiku'

juga menyumbangkan 2  buah sajak yang bertajuk
'Keraguan ini' dan 'Sebuah Taman Yang Bernama Ingatan'

Selain itu terdapat 8 orang penulis yang lain bergabung tenaga bagi menghasilkan 19 buah cerpen dan 10 buah sajak bertemakan cinta dalam buku tersebut.

Jangan lupa juga dapatkan novel Chicklit ' Sepatu Queen' seperti di bawah:

Sunday, May 5, 2013

Novel SEPATU QUEEN sudah ada !


Alhamdulillah, stok SEPATU QUEEN sudah pun selamat tiba di pangkuan saya, malah penghantaran pertama sudah pun dibuat pada hari Jumaat lepas.
kepada yang ingin memiliki novel CHICKLIT : Sepatu Queen ini
bolehlah menghantar pesanan anda terus kepada saya
 e-mel: pnmaria1@gmail.com
 atau 
ke ACE e-mel: auroracreative67@gmail.com

Harga: RM 20 (semenanjung)/ RM 23 (Sabah/Sarawak)
Tiada kos pos.

Thursday, May 2, 2013

Cerpen KEMBALINYA BUNGA CINTA di majalah Mingguan Wanita



Alhamdulillah. Sekali lagi cerpen saya mengisi ruangan CERPEN di dalam majalah Mingguan Wanita edisi bulan Mei 2013.
Cerpen 'Kembalinya Bunga Cinta' mengisahkan bagaimana seorang isteri diberi kesempatan berbakti hingga ke akhir waktu. Sebenarnya kisah ini berdasarkan sebuah kisah benar yang diceritakan oleh arwah suami watak tersebut kepada saya puluhan tahun yang lalu. 
Saya abadikan sebagai tanda kenangan dan pengajaran buat kita semua. 
Selamat membaca.

MK