Sunday, May 24, 2015

LENGLOI : Bab 1

Masa   : Tahun 2012
Lokasi : Kedai Daun Pisang Muthu
              Lot 55,  Taman Tasik Setia

BAGI Muthu, kedai itu adalah segala-galanya. Dunia, harga diri, masa hadapan dan kebahagiaan. Terlalu besar harapan yang disandarkan kepada kedai itu; sepertimana besarnya harapan isteri dan anaknya, Devi yang tersandar di bahunya. Terlalu banyak pengorbanan dan modal yang telah dilaburkan kepada kedai itu. Dan dia pula bukanlah seorang yang mampu menerima kegagalan.
Hari itu dia mengharapkan perniagaan kedai makannya berjalan seperti hari-hari yang lalu. Dengan bantuan isterinya, Pooja dan tiga orang pekerja yang rajin dia percaya kedai makannya akan bertambah maju hari demi hari. Malah dia bercadang untuk mendapatkan kawasan kedai yang lebih luas, menambah bilangan pekerja dan membeli bangunannya sendiri. Dia percaya kepada kerja kuat, buat baik dan masakan yang sedap.
Khushiyaan aur gham sehti hai… phir bhi yeh chup rehti hai…”
Bibirnya mengikut perlahan lagu Hindustan daripada filem Mann yang berkumandang di dalam kedainya pada waktu itu. Sambil jarinya ligat membuat perkiraan jumlah bil yang perlu dibayar dengan menggunakan kalkulator sebesar dua tapak tangan. Sesekali, dia mengangkat muka memerhati pekerja dan pelanggan yang keluar masuk dari kaunter yang terletak di sebelah kanan kedai. Tidak jauh dari pintu masuk. Bahagia hatinya. Semuanya berjalan seperti biasa.Tidak ada masalah.
“Teh tarik satu. Roti telur satu.”
Suara yang biasa didengarnya itu, membuatkan anak matanya spontan melirik ke arah sebuah meja di tepi dinding. Dari tempatnya berdiri, dia dapat melihat seorang anak muda berbangsa Cina sedang tunduk memeriksa telefon bimbitnya. Hatinya terus diseru rasa sayu.
Dia sedar, itu pun salah satu kisah kehidupan manusia. Tetapi yang ini ceritanya penuh kesedihan. Kalah kisah Romeo dan Juliet. Melihatkan wajah anak muda itu yang sugul, sudah cukup untuk membayangkan kesedihan yang ditanggung.
Di matanya, tubuh Lim nampak susut sedikit berbanding dahulu. Mungkin kerana kurang makan atau kurang tidur. Mungkin juga kerana terlalu merindui kekasihnya, Suzy. Sedikit sebanyak dia turut berasa sedih.
Lantas, dia kutip satu persatu bil di atas kaunter lalu dimasukkan sahaja ke dalam poket baju. Rasanya tidak mengapa jika dia meluangkan sedikit masa menegur pemuda itu. Setibanya di meja, bahu Lim ditepuk dengan mesra. Tanpa dipelawa, dia menarik kerusi di sebelah kiri Lim lalu duduk.
“Macam mana?” Cukup setakat itu dia bertanya. Dia yakin Lim faham apa yang dia tanya tanpa perlu bercakap panjang lebar.
Lim menggeleng sambil menundukkan muka semula. Perlahan-lahan dia menghirup air teh tarik dalam cawan besar di hadapannya. Namun matanya tidak lekang dari skrin telefon.
 “Sabarlah. Mesti polis jumpa dia,” katanya.
Itulah sahaja kata-kata semangat yang dapat diberikan walaupun kalau boleh dia juga mahu mengatakan lebih daripada itu. Dia sendiri mahu melihat keadaan itu berubah. Dia mahu kesugulan pada wajah Lim hilang. Dia mahu anak muda itu tersenyum dan ceria semula seperti dahulu. Dia juga mahu menatap wajah Suzy yang cantik manis itu semula.
Kata-kata Muthu buat Lim mengangguk. Mulutnya masih terkatup rapat.
Muthu pandang lagi wajah Lim. Nampaknya bukan mudah untuk mengubati kelukaan hati anak muda itu. Mungkin Lim perlukan masa seperti orang putih kata; ‘Time will heal’
“Nanti, uncle tampal poster Suzy di depan kedai. Siapa tahu, mungkin ada yang nampak dia. Di kaunter pun boleh letak.”
Kini anak mata Lim spontan melirik ke arah Muthu.
“Boleh ke, uncle?”
“Boleh. Apa tak boleh pulak? Buatlah satu poster, buat banyak pun tak apa. Nanti bila balik rumah, uncle tampal pulak di rumah.”
Bagaikan bunga baru belajar berkembang, begitulah senyuman yang menghiasi bibir Lim. Dia angguk lagi.
Muthu cuma mampu mengeluh. Dia sendiri tidak sangka perkara itu boleh berlaku. Selama ini, dia sering berbual dengan Lim dan Suzy setiap kali pasangan muda itu datang makan dan minum di kedainya. Sayangnya sejak sebulan yang lalu, Suzy hilang dalam perjalanan balik dari kerja. Sejak itu Suzy tidak ditemui lagi walau segala usaha sudah dibuat untuk mengesan Suzy. Sejak itu juga sikap Lim berubah menjadi pendiam. Dia sendiri rasa berdukacita dengan kejadian itu.
“Toilet sudah boleh guna ke, uncle?”
 “Boleh. Semalam lagi sudah siap. Cantik!Muthu acung ibu jari tanda bagus. Dia bangga.
Lim menyambut dengan ketawa kecil. Dia terus bangkit untuk ke bilik air.
Dari jauh, Muthu mengeluh halus. Walaupun dia gembira dengan bilik air yang baharu itu tetapi tetap ada kemusykilan di hati. Kerja ubahsuaian yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah syarikat tiba-tiba sahaja ada masalah lalu dia terpaksa menerima kontraktor baharu yang ditawarkan. Kerja ubahsuai jadi bertambah lewat tetapi mujurlah dapat juga disiapkan dengan elok. Dia sudah tidak tahan dengan rungutan pelanggan. Dia dan pekerja-pekerjanya pun susah juga. Kena cari tandas awam.
“Wah! Banyak cantik la uncle,” puji Lim sebaik sahaja sampai semula di meja.
Muthu cuma tersengih. Lega hatinya kerana masalah itu telah selesai. Baru hendak buka mulut semula dia terlihat seorang perempuan tua berketurunan Baba dan Nyonya masuk ke kedai.
 “Tengok tu siapa datang.” Dia terus berdiri dan tinggalkan Lim.
Lim menjeling dari jauh.
******
“AUNTY…. Wah! Aunty banyak cantik hari ni.” Muthu cuba mengambil hati. Dia tahu Aunty May juga terluka seperti hati Lim. Malah mungkin lebih lagi.
Mendengarkan pujian Muthu, Aunty May tersenyum nipis tetapi tidak bersuara. Dengan langkah yang perlahan, dia mendekati kaunter yang menghidangkan pelbagai jenis makanan.
“Hari ni kita cuma masak kari ayam. Kari ikan yang aunty suka tu, tak ada la. Ikan hari ni banyak mahal.”
Muthu cuba membantu ketika Aunty May tercari-cari lauk yang hendak dibeli. Sejujurnya melihat Aunty May bersendirian di situ hatinya semakin tersentuh. Dulu, semasa Suzy masih ada, Suzy dan Aunty May sering makan di situ jika tidak makan bersama Lim. Mereka berdua; ibu dan anak yang sangat mesra dan rapat. Suka bercerita dan sangat peramah. Sayangnya semua itu sudah tinggal kenangan.
“Aunty pilihlah ya, saya mahu keluar bayar bil,” kata Muthu lagi. Baru teringat kerja yang tertangguh.
Aunty May terangguk-angguk. Kemudian pandangan mata Aunty May tertancap ke arah Lim yang sedang duduk di tepi dinding. Mereka berdua hanya berpandangan dalam diam tanpa secalit senyuman.
Melihatkan keadaan itu, Muthu dapat merasakan ketidakselesaan antara Aunty May dan Lim namun dia tidak ingin masuk campur. Dia faham kedua-duanya masih dalam keadaan bersedih dan cuba menerima keadaan itu dengan sebaik-baiknya. Sedang dia bersiap-siap untuk meninggalkan kedai, dia ternampak Lim menggamit dia dari jauh. Dia sekadar memberikan isyarat supaya Lim menunggu sekejap.
“Mahu tambah dal?” Dia terus bertanya sambil merapati meja Lim. Pada waktu itu Aunty May sedang bercakap dengan pekerjanya, Balan.
Sayangnya Lim mengeleng. Dahinya berkerut.
Muthu angkat kening. Kenapa pula dengan Lim? Muka kelat semacam saja.
“Cuba bau... kenapa bau dia lain ha, uncle?” Lim angkat piring yang berisi kari ayam lalu diunjuk ke arah Muthu.
“Hah?”
Muthu cepat-cepat pegang piring itu lalu dibawa ke hidung. Selain bau rempah kari dia terbau sesuatu yang aneh. Yang busuk. Yang meloyakan. Seperti kari itu sudah basi lama. Spontan, dia menguis batang hidupnya yang terasa perit. Terasa darah sejuk menyerbu ke mukanya, apatah lagi pada waktu itu Lim sedang merenungnya.
******
“SEKEJAP, uncle tukar.”
Dalam kebingungan Muthu bergegas membawa piring itu ke hadapan semula, di mana semua lauk-pauk sedang terhidang dan pekerjanya sedang sibuk melayan pelanggan. Macam mana boleh jadi macam ni? Hatinya tertanya-tanya. Setahu dia, rempah ratus yang digunakan sama sahaja sejak dia membuka restoran itu setahun yang lalu. Selama ini tidak pernah pula masakannya berbau seperti itu.
“Kenapa semua lauk berbau macam ni?” Dia menegur pekerjanya yang bernama Balan.
Balan tergamam.
“Bau apa?”
Muthu dekatkan piring tadi ke hidung Balan.
Balan tergamam sekali lagi. Mulutnya terkunci namun dahinya berkerut rapat. Mereka berdua terdiam seketika. Bingung.
Kemudian, Muthu meletakkan piring yang dipegangnya di atas meja. Dia ambil piring lain lalu mengisinya dengan kuah kari yang baru. Namun, apabila dia menceduk kuah dari periuk hidungnya menangkap bau kari yang busuk. Spontan, senduk yang dipegangnya terlepas.
“Macam mana boleh jadi macam ni? Macam mana kari ni boleh basi?” Muthu sudah mula rasa panik. Waktu makan tengah hari sudah tiba, pelanggan sudah mula datang berduyun-duyun.
Balan kelu. Dia hanya mampu menggelengkan kepala.
“Angkat periuk ni ke belakang. Pergi buang,” arah Muthu secepatnya.
Balan segera mengikut arahan Muthu. Periuk besar yang mengandungi kari ayam itu diangkat dengan segala kekuatan menuju semula ke dapur. Sambil itu mulutnya membebel.
Dari jauh, Muthu dapat melihat wajah isterinya yang tercengang-cengang di muka pintu dapur. Dia hanya dapat memandang kerana dia belum ada masa untuk menjelaskan keputusannya. Kemudian, dia mendekati meja Lim semula dengan niat mahu meminta maaf dan bertanya jika dia boleh menggantikan kari ayam tadi dengan lauk yang lain. Namun belum sempat dia membuka mulut, dia sudah dipanggil oleh pelanggan yang duduk di meja lain. Dia lantas menukar arah.
“Kenapa lauk ni rasa semacam? Bau pun busuk.” Pelanggan berbangsa India itu bertanya lantang sambil menunjukkan nasi yang sudah bergaul dengan pelabagai jenis kuah di atas daun pisang.
Untuk sesaat, Muthu rasa mahu pitam. Betul ke lauk-pauk yang lain juga basi? Aneh!
“Maaf,” katanya. Lalu menggamit isterinya untuk menukar daun pisang dan nasi. Pelanggan itu merungut tidak habis-habis.
Isterinya Pooja, terus datang. Walaupun tidak begitu memahami apa yang sedang berlaku, Pooja segera menukar daun pisang dan mencedukkan nasi yang baharu. Apabila Pooja selesai meletakkan kuah, pelanggan tadi segera menciumnya.
“Ceh! Busuk! Ptuihh!” Pelanggan itu menolak kerusi dengan kuat lalu meludah ke lantai.
Pelanggan lain tersentak.
“Aiyo.... Jangan ludah.” Suara Muthu mula meninggi.
Dia rasa marah sungguh dengan sikap pelanggan itu. Apatah lagi dia sedang runsing dengan kekalutan itu. Namun pelanggan itu semakin marah, segala sumpah seranah sudah keluar dari mulutnya.
Muthu tergamam. Dia menggenggam penumbuknya sekuat hati.
“Porah!” Pelanggan itu meludah sekali lagi selepas puas memaki hamun Muthu.
Kali ini, Muthu lupa diri. Sedar-sedar sahaja penumbuknya sudah melayang ke pipi pelanggan tadi. Dia sendiri terdorong ke arah meja dan pelanggan tadi terjatuh ke atas lantai.
Kedai menjadi gempar. Mujurlah kedua-dua dapat dipegang oleh pelanggan lain yang ada di situ.
Bersama sumpah seranah yang tidak putus-putus, pelanggan tadi meninggalkan kedai setelah dipaksa keluar dari situ oleh Balan. Disusuli dengan ancaman untuk membakar kedai Muthu ataupun menyamannya berjuta-juta.
Di dalam kedai, Muthu tercungap-cungap mengambil nafas. Dia bingung dengan apa yang baru berlaku. Dalam kekalutan itu, dia hanya mampu melihat pelanggan-pelanggannya mula meninggalkan kedai seorang demi seorang termasuklah Aunty May. Yang tinggal cuma seorang sahaja iaitu Lim.
*****
UNTUK seketika, kesemua yang ada di dalam kedai itu bungkam. Mulut masing-masing bagaikan digam. Radio yang mengalunkan lagu-lagu Hindustan tadi pun sudah dimatikan. Di suatu sudut Muthu termenung panjang memikirkan apa yang patut dilakukan. Semua itu di luar jangkaan. Dia pening.
“Cuba tengok lauk. Semua basi ka?” Dia menjengilkan mata ke arah Balan.
Tanpa berlengah, Balan pergi memeriksa. Satu demi satu lauk dicium dan dirasa kemudian datang semula memberi laporan.
“Semua sudah basi.”
Muthu hempas nafas. Macam mana pula boleh basi? Semua lauk-pauk itu dimasak di situ sejak pagi tadi. Memang begitulah cara dia berniaga sejak dahulu lagi. Selama ini sampai ke petang pun elok sahaja malah jarang bersisa kerana semua habis dibeli.
 “Tutup sajalah kedai.” Itulah keputusan yang dirasakan paling tepat.
“Hah?” Pooja terperanjat.
“Aiyo… jangan banyak tanyalah. Aku kata tutup kedai, tutuplah!” tengking Muthu sambil menghenyak punggung ke kerusi. Darah mula terasa menyerbu ke setiap urat di kepala. Kemudian berkumpul di situ. Dia berpeluh-peluh. Bukan mudah untuk membuat keputusan itu. Tutup kedai bermakna hilang pendapatan.
Suasana semakin hening.
Pooja tidak bersuara lagi. Dia hanya memberi isyarat kepada Balan dan Raju untuk segera melaksanakan arahan Muthu. Kebetulan pada waktu itu, seorang pelanggan baru sahaja hendak melangkah masuk ke situ. Pelanggan itu terus dihalang.

Melihatkan keadaan yang tegang di situ, Lim bangun meninggalkan kerusi.