Monday, March 19, 2012

Novel ERTI CINTA : Bab 4


Bab 4
MALAM semakin larut. Suasana bertambah senyap sunyi. Maria sudah berdengkur keletihan namun Anis masih terkelip-kelip. Dia mahu tidur, namun tubuhnya terasa amat panas. Tekaknya pun asyik dahaga. Sudah berapa cawan air mineral diteguknya. Sudah berapa kali dia pula berulang ke tandas. Namun rasa panas itu tetap tidak hilang-hilang. Akhirnya dia bangun mengesat peluh. Makan apa tadi ni? Rasa-rasanya makan nasi lemak saja. Takkan boleh sampai berpeluh macam telan rempah sebesen. Lalu, dia bangkit berdiri dan membuka tingkap.
Flat yang bertentangan kelihatan sunyi sepi. Cuma ada dua rumah yang lampunya masih menyala, itupun lampu beranda belakang. Lampu di ruang tamu pun nampaknya sudah dipadamkan. Dia menoleh ke arah jam tangan, baru pukul 12.30 malam. Baik betul orang-orang di situ, semuanya masuk tidur cepat. Di kawasan rumah sewanya dulu, pukul 2.00 pagi pun ramai yang masih duduk berborak di luar rumah. Belum dikira lagi student lelaki yang lalu-lalang dengan motorsikal. Bising sungguh tapi di situ sebaliknya. Sunyi sepi bagaikan di tanah perku…“Tang!” Dia terkejut. Bunyi seakan besi diketuk kedengaran. Tercampak sudah apa yang difikirkan.
Anis menjenguk ke bawah. Tapi tak nampak apa-apa. Semuanya gelap gelita, dilindungi sebatang pokok besar yang menjadi pemisah di antara Flat C dan flat yang bertentangan iaitu flat B.
“Tang!” Bunyi itu kedengaran lagi.
“Hish! Orang ni…kalau nak bertukang pun, siang-sianglah. Ni dah tengah malam baru ingat nak mengetuk itu ini” Anis bersungut sendirian. Matanya sempat mengerling ke arah Maria yang sedang lena. Kini, dia beralih dari tingkap ke muka pintu. Dia mahu ke bilik air namun langkahnya terhenti.Telinganya menangkap suatu bunyi.
“Kenapa pula boleh terbuka ni?” Dia merungut sambil melangkah hala ke dapur. Paip air terbuka, air mencucur keluar tanpa henti. Nasib baik tidak bertakung dan meleleh.
Setelah memastikan kepala paip itu ketat, dia melangkah ke bilik air. Dia membasuh muka dan membasahkan rambut lantas keluar. Tapi langkahnya terhenti lagi.
“Macam mana boleh terbuka balik?” Dia melangkah semula ke arah paip di sinki dapur. Dipulas semula ketat-ketat. Dia termenung seketika. ‘Mungkin kepala paip tu dah longgar, agaknya’, dia membuat kesimpulan. Dia melangkah balik ke bilik tidur, namun belum sempat jauh, dia terdengar semula. Dia menoleh perlahan. Air paip mencucur keluar.
Namun kali ini, Anis tidak berpatah balik. Dia segera masuk ke bilik. “Nak melimpah ke, apa ke, melimpahlah kau,” katanya sambil menarik selimut menutupi kaki. Matanya dipejam rapat-rapat.
“Krekk!!!” Bunyi berderit dari atas.
“Heee…macam mana nak tidur ni? Sana berdentang sini berderit.” Anis bangkit semula mengaru kepala.
“Krekk!!!” Bunyi berderit lagi.
“Aduh…kalau nak pindah rumah sekali pun, janganlah tengah malam macam ni. Aku nak tidurlah.” Anis menghempaskan kepalanya semula ke atas bantal.
“Krekk!!!” Bunyi itu berderit buat kesekian kali. Kali ini disambut oleh bunyi lain. “Tang!”
Anis menghela nafas. Sebiji bantal ditekup ke mukanya.
*****
“KAU mengigau ni,” kata Maria sambil bercekak pinggang.
“Mana pula aku mengigau, aku yang tutup paip tu dua kali malam tadi. Kali ketiga, aku biarkan saja terbuka macam tu. Malas aku nak pegang kepala paip tu sepanjang malam.”
“Aku yang bangun dulu tadi. Aku yang masak air. Tak ada pula paip ni terbuka. Elok je semuanya.”
Anis mengeluh. Dia mengangkat tangan tanda mengalah. Tak guna rasanya hendak bertengkar tentang kepala paip pagi-pagi mcam tu. “Aku mandi dululah,” katanya sambil berlenggang ke bilik air.
Maria hanya menjeling. Riak serba-salah terpalit di wajahnya. Sungguh, dia tidak melihat apa yang dikatakan oleh Anis tadi. Bagaimana dia harus mengakuinya? Dia menggaru dahi. Wajah Anis kelihatan sangat lesu di matanya.
Hampir setengah jam kemudian, baru Anis keluar ke ruang tanu semula. “Nah! Sandwich,” kata Maria sambil menolak pinggan yang berisi beberapa keping sandwich tuna yang dibuatnya pagi itu.
Anis tidak bersuara. Sandwich itu diambilnya perlahan.
“Kenapa kau macam mengantuk je? Letih lagi?”
“Tak lena tidur malam tadi. Dahlah orang atas tu asyik mengemas perabot, bising betul.” Wajahnya bertambah layu apabila mengingatkan kejadian malam tadi. Entah pukul berapa dia terlelap, dia sendiri tidak pasti. Tahu-tahu sudah pukul 7.00 pagi!
“Pindah perabot malam-malam?” tanya Maria pula.
Anis mengangguk. Sekeping sandwich tuna sudah masuk ke dalam mulutnya. “Kau tak dengar apa-apa?”
“Tak.” Maria menggeleng.
“Kau tidur mati, mana nak dengar apa-apa,” bidas Anis sambil ketawa kecil. Orang macam Maria memang senang. Kalau sudah lelap, dihanyut ke laut pun belum tentu sedar.
Maria tersengih. “Nasib baiklah aku tidur sebilik dengan kau. Kalau aku mati pun, kau sedar.”
“Ke situ pula. Tapi malam tadi memang panas betullah. Dahlah badan aku panas, hati aku pun panas sama.”
“Kalau macam tu, kita pergi sejukkan badan nak?”
“Sejukkan badan? Kau ingat ini apartment mewah ke? Siap dengan swimming pool semua.”
“Aku tahulah aku tinggal di flat buruk je. Tak payahlah ingatkan aku pula.”
Anis ketawa kecil. “Habis tu kau nak menyelam di mana?”
“Kita pergilah ke mana-mana taman tema air. Dapat juga berenang kat swimming pool besar tu. Lagi besar,” jawab Maria dengan selamba.
“Boleh. Jom!” kata Anis. “Sementara belum kopak ni, bolehlah pakai sikit. Hujung bulan, jangan harap.”
“Okey, lepas ni kita siap-siap. Petang nanti kita baliklah. Terperap di rumah pun buat apa? TV pun tak ada.”
Anis mengangguk. Selepas habis bersarapan, keduanya berlari ke bilik tidur bertukar pakaian. Kemudian bergegas turun ke bawah flat. Tetapi sebaik pintu lif terbuka, mereka disambut sekujur wajah yang tidak asing lagi.
Anis terpaku di muka pintu. Kalau tidak ditarik oleh Maria, dia mungkin akan terus tercegat di situ sampai bila-bila. “Eh! Kau…,” tegurnya kepada lelaki itu.
Lelaki itu tersenyum manis menyambut saapan dari Anis namun tetap tidak membuka mulut.
“Nak naik?” tanya Anis kelam kabut. Tiba-tiba terasa pinggangnya dicubit Maria. Dia terkejut.
Lelaki itu tersenyum lagi sambil mengangguk. Dia melangkah masuk dan berpapasan dengan Anis yang melangkah keluar dari lif.
“Nama aku, Anis. Nama dia, Maria. Nama kau?” Sekali lagi segetus cubitan hinggap di pinggangnya. Kali ini dia sudah tidak terasa apa-apa. Cubit pun, cubitlah. Dia takkan lepaskan peluang keemasan itu.
“Nama aku, Danny,” jawab pemuda itu dengan ringkas.
“Ooo….” Belum sempat habis kata-kata itu disambut, pintu lif tiba-tiba tertutup.
Anis dan Maria sama-sama terpaku. Ish! Tak sempat tanya nombor telefon! Anis mengeluh panjang. Macam manalah dia boleh lupa tadi? Anis sungguh kecewa.
*****
“NAK pergi ke tak nak?” sergah Maria sambil menolak badan Anis.
Anis tersentak. “Nak lah, bila pula tak nak?” Kekesalannya masih terbuku di dada tapi sekurang-kurangnya rindu di hatinya terubat juga. Sukar untuk digambarkan perasaannya ketika itu, hatinya seolah dibawa pergi lelaki itu. Yang tinggal kini hanyalah rasa kosong dan sepi.
“Habis tu, yang kaku kat depan lif tu, kenapa pulak? Orang tu dah lama sampai ke atas,” perli Maria sambil berjalan ke keretanya.
Anis segera berlari anak mengejar. “Aku lupalah nak minta nombor telefon dia…” Pintu di sebelah penumpang dibuka. Beg pakaiannya dicampak saja ke tempat duduk belakang. Dia duduk termenung. Fikirannya masih di awang-awangan, bau wangian yang dipakai Danny seolah masih terlekat pada setiap deria baunya.
“Punyalah gabra bila nampak muka orang tu, sampai apa pun dia tak ingat.” Maria ketawa gelihati.
“Dia makin handsome lah hari ni..., berseri-seri muka dia.” Anis tersenyum panjang. Matanya masih merenung pintu lif, tempat pertemuan dia dan Danny. Kalaulah lif itu boleh terbuka semula dan Danny muncul di situ, dia mula berangan.
“Orang, kalau sedang suka, memang semua nampak cantik. Tapi esok, kalau dah tak suka, muka handsome pun nampak macam muka hantu.”
Mata Anis membesar lalu dia menoleh. “Sampai hati kau kata muka pakwe aku macam muka hantu.” Dia berdengus marah. Senyumannya hilang. Angan-angan yang baru dipasang, terpadam terus.
Maria ketawa lagi. “Pakwe kau? Siapa pakwe kau?”
“Hey! Aku dah cop dia tau. Sebelum hujung bulan ni…aku mesti pastikan dia jadi pakwe aku.” Anis begitu yakin.
Maria menggeleng beberapa kali, ketawanya masih bersambung. “Kau bercakap, macamlah kau ni kaki lelaki. Padahal, cinta monyet pun tak pernah.”
“Itu memang betul. Siapa nak bercinta dengan monyet? Tengok oranglah,” balas Anis dengan cepat. Wajahnya masih merah menahan malu.
Gelak Maria tersembur. Lain yang dicakap, lain yang Anis faham.“Kau jangan yakin sangat, entah-entah makwe dia keliling pinggang tu.” Dia tak yakin langsung lelaki yang setampan itu tak ada kekasih. Tapi entah kenapa Anis tak terfikir akan kemungkinan itu atau adakah kerana Anis sedang dikaburi impian setinggi langit?
“Aku tahulah, tapi belum cuba belum tahu. Kalau semua orang takut mencuba, tak siapalah yang dapat. Tak semestinya orang yang handsome ni ramai makwe, ada juga yang langsung tak ada makwe sebab semua orang takut nak dekat atau sangka mereka Playboy.” Anis berhujah mempertahankan pendiriannya.
“Lantak kaulah, Anis. Asal jangan ganggu study kau dahlah. Aku tak campur,” balas Maria. Biarlah dia mengalah. Dia sudah mengingatkan, selebihnya dia yakin Anis tahu apa yang dilakukannya. Hendak dilarang pun tak guna juga. Kalau hati Anis sudah berkenan benar, siapa dia untuk menghalang? Lagi pun, Danny memang tepat dengan selera Anis, ala-ala pelakon Korea gitu. Tinggi, kacak dan kemas.
“Ha, macam tu lah. Kalau kau terserempak dengan Joe kan… tolonglah risik-risik untuk aku.”
“Joe? Hai, baru nak ingat mamat cafĂ© tu? Kalau tak, kau pandang sebelah mata je kan?” tempelak Maria. Teringat cara Anis melayan Joe semalam. Kalau tak dihentikan mahu keduanya bertengkar tak pasal-pasal. Entah kenapa, dia rasa macam antara Joe dan Anis seperti ada ikatan yang tak boleh dilihat. Kalau tak sebagai kawan baik, tentu sebagai musuh ketat. Kerana dia faham sangat sikap Anis, gadis itu tak suka langsung lelaki yang ala-ala Mat Rempit macam tu. Kalau ada yang cuba mengorat pun, dia takkan layan.
“Aku bukan benci dia, cuma aku angin tengok dia macam tu. Cara dia layan kita, macam kita ni tak tahu apa,” rungut Anis perlahan.
“Bukan itu maksud dia kut. Mungkin dia cuma mahu menasihati kita saja. Maklumlah, kita kan baru duduk di situ,” balas Maria. “Lagi pun, dialah satu-satunya jiran yang kita kenal. Kalau jadi apa-apa, dia je tempat kita nak minta tolong.”
Anis mengangkat bahu. Matanya leka memerhati jalan. “Kau tahu ke tidak arah ke taman air tu? Aku tak nampak pun apa-apa tanda ni.”
Maria tersentak. “Ha’ahlah, aku dah salah masuk simpang. Simpang ke taman air tu dah terlepaslah.” Maria baru sedar, dek leka sangat berbual, simpang yang dicari sudah terlepas jauh.
“Habis tu? Kita nak pergi ke tak?” tanya Anis pula.
Maria mengerling jam di tangan. “Sempat lagi ni, tapi kita kena patah baliklah,” katanya perlahan.
Anis diam. Dia tak kisah pun jika perjalanan yang singkat itu menjadi bertambah panjang. Kerana fikirannya tidak ada di situ, sudah melayang jauh balik ke flat. Oh! Danny.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.