Bab 9
MALAM itu, Zaffri duduk memeriksa hasil mesyuaratnya petang tadi. Seperti yang dijangkakan, bersusun-susun soalan yang dilemparkan kepadanya tentang penyusunan semula segala perancangan promosi mereka. Terutamanya tentang penajaan yang telah dipersetujui. Dia cuba menjawab dengan baik. Apa yang penting, dia cuba mendapatkan kerja sama daripada kumpulannya sebaik mungkin. Namun dia tidak boleh melupakan soalan daripada salah seorang jurujual bahagian selatan.
“Betul ke kami dengar kilang ni dah nak tutup, Encik Zaffri?”
Pada waktu itu semua mata tertumpu tepat ke wajahnya. Apa yang dilihat bukanlah wajah-wajah yang dikenalinya lagi tetapi hati-hati yang begitu risau tentang nasib mereka dan keluarga mereka. Dia terasa seperti bersalah sekali. Lalu dengan berat hati dia cuba menerangkan keadaan itu sebaik-baiknya.
“Memang benar kilang kita sedang berdepan dengan masalah. Ditutup atau tidak, itu saya tidak dapat berikan kepastian. Tetapi saya percaya pihak atasan sedang bertungkus-lumus cuba menyelamatkan kilang ini daripada ditutup. Oleh itu dalam tempoh kritikal ini, saya harap anda semua dapat membantu saya untuk membantu kilang ini.” Itu sahaja namun riak kerisauan yang terukir di wajah-wajah itu tetap tidak hilang. Dia faham, masing sedang merisaukan nasib keluarga masing-masing.
“Kalau kami diberhentikan… bagaimana dengan pampasan?”
“Sekiranya betul kilang kita akan ditutup, saya percaya syarikat kita akan uruskan semua tu nanti. Tapi buat masa ni, belum ada kata putus,” jawabnya walaupun itu di luar bidang kuasanya untuk menjawab. Itu tugas Aril. Tetapi sebagai ketua bahagian itu, dia faham apa yang menggeluti fikiran pekerja-pekerja di situ. Akhirnya mesyuarat petang itu menjadi begitu hambar sekali, seolah-olah semangat mereka semua terbang entah ke mana. Dan dia tidak dapat berbuat apa-apa lagi.
~Abang tak tulis puisi malam ni?
Dengan tiba-tiba sahaja Merlina menegurnya di kotak chat e-mel.
Zaffri agak terkejut, sesungguhnya itulah kali pertama dia ditegur Merlina. Selalunya, dia yang menegur gadis itu dahulu.
~Belum lagi. Abang sedang buat kerja.
~Masih di ofis?
Zaffri tersenyum lalu dia membalas.
~Sambung kerja di rumah. Tadi ada mesyuarat.
~Rajinnya. Abang kerja di mana?
Kening Zaffri terangkat tinggi. Peramah pula Merlina malam ni? Dia mahu lihat sampai di mana Merlina akan cabut lari malam itu.
~Kilang ARBIJA.
~ARBIJA? Kilang yang buat makanan segera tu? Yang buat keropok LOVE?
Zaffri ketawa kecil. Merlina pun tahu keropok LOVE? Ya, itu memang salah satu jenama keropok yang dibuat di kilangnya.
~Pernah makan ke?
~Pernah. Ada di depan Lina sekarang. Lina sukakan perasa barbeque. Pedas-pedas sikit. Abang kerja apa di sana?Bahagian production?
~Haah, kerja kilang. Hari-hari cium bau keropok tu. Cuba Lina cium keropok tu betul-betul, ada bau tangan abang tak?
Sambil menaip setiap patah perkataan, Zaffri ketawa kecil. Seronok pula rasanya mengusik Merlina malam itu.
~Abang jangan bohonglah. Semua bahagian production kilang ARBIJA menggunakan mesin, kan? ARBIJA bukan kilang kecil. Kilangnya tersergam di atas bukit tepi highway.
~Lina pakai teka saja ni…dari mana Lina tahu hal production ARBIJA? Orang luar bukan boleh masuk. Lina ada saudara dari Nepal ya? Kalau tak pun dari Bangladesh.
~Abang kena beritahu dulu, abang kerja bahagian mana di situ.
Zaffri termenung seketika. Adakah dia perlu melayan permintaan Merlina? Tetapi rasanya tidak salah dia berterus-terang sahaja. Apa yang perlu ditakutkan? Dia memang mahu Merlina tahu segala-galanya tentang dia.
~Bahagian pemasaran. Semua iklan dan semua bahagian promosi di seluruh negara, abang yang uruskan.Kenapa Lina tanya?
~Jadi abanglah Pengurus Pemasaran ARBIJA?
~Ya, kenapa? Ada komplen ke? Atau Lina nak jadi duta keropok LOVE? Abang boleh rekomenkan.
Dalam kepalanya masih memikirkan dari mana Merlina tahu itu semua tetapi nampaknya Merlina seakan cuba mengalih cerita.
~ARBIJA ada masalah sekarang, kan?
Spontan Zaffri tertegun apabila melihat ayat tersebut. Dahinya berkerut. Dari mana Merlina tahu tentang hal dalaman ARBIJA? Kulit mukanya terasa makin panas. Rasa tebal seinci. Rasa malu, rasa hendak menutup muka, semuanya ada.
~Perkara biasa.
~Masalah ARBIJA bukan masalah biasa.
~Lina lebih tahu daripada abang, jadi buat apa tanya lagi? Abang ni cuma pekerja bawahan saja.
~Jadi betullah ARBIJA ada masalah dalaman?
Zaffri termenung seketika. Adakah dia perlu berterus-terang dengan Merlina? Adakah Merlina cuba mengorek rahsia ARBIJA daripadanya? Macam-macam perkara mengasak fikirannya sekali gus. Akhirnya dia memilih untuk berterus terang sahaja.
~Abang tak tahu dengan jelas apa yang telah berlaku tapi ARBIJA cuma ada 6 bulan lagi untuk bertahan kalau tak dapat bantuan kewangan.
~Abang tak cari kerja lain?
~Perlu ke?
~Abang ada family nak tanggung.
~Lina fikir abang dah kahwin ke? Abang bujanglah.
~Bujang pun takkan nak duduk goyang kaki kat rumah?
~Kalau abang menganggur, Lina nak kawan abang tak?
~Penting ke pada Lina soal tu?
Hendak sahaja Zaffri menjawab… ‘pentinglah sebab kita akan hidup bersama’ tetapi dia tidak tulis.
~Lina yang patut jawab.
~Carilah kerja baru.
Zaffri menarik nafas. Dia memerhati setiap bait ayat yang ditulis Merlina. Agak aneh. Kali ini Merlina menunjukkan sedikit keprihatinan, malah seperti tahu tentang masalah dalaman ARBIJA. Timbul di fikirannya akal untuk mengusik.
~Tempat kerja Lina ada kerja kosong tak? Bancuh air pun tak apa. Abang sudi.
Lama Merlina terdiam. Zaffri sudah fikir, itulah penutup bicara mereka pada malam itu tetapi dengan tiba-tiba sahaja Merlina menjawab semula.
~Tak ada. Tapi Lina akan cuba carikan kerja untuk abang. Nak?
Zaffri ketawa kecil. Merlina mahu membantunya? Apalah yang Merlina boleh tolong agaknya?
~Terima kasih, Lina. Tak dapat kerja pengurus pun, jadi pemandu Lina pun dah cukup.
~Abang suka kerja di situ?
~ARBIJA? Tentulah suka. Dah tujuh tahun abang kerja di situ. Bukan sekejap.
~Abang rasa ARBIJA ada potensi untuk terus maju?
Zaffri tarik nafas lagi. Pertanyaan itu mungkin nampak mudah untuk dijawab tetapi sebenarnya memerlukan alasan yang banyak.
~Ya. Itu sahaja balasannya sambil berdoa agar Merlina tidak bertanyakan segala hujah-hujahnya pula.
~Okey.
~Abang dah jawab semua soalan Lina tapi Lina belum jawab satu soalan abang.
~Soalan?
~Bila Lina nak datang Little Moon? Abang nak jumpa Lina.
Merlina terus senyap. Suasana pun seakan bertukar menjadi sunyi. Zaffri termangu di situ sambil merenung skrin yang tidak lagi bergerak. Kenapa Merlina tidak mahu menemuinya? Dia menghempaskan keluhan… hatinya kecewa lagi.
Sedang termenung, telefon bimbitnya berbunyi. Tanda sebuah SMS telah masuk. Dengan perlahan dia mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas katil. Matanya lantas mengecil apabila terlihat SMS daripada ibunya.
~Nora datang 15 haribulan. Ambil cuti.
*****
“DIA Pengurus pemasaran ARBIJA.” Merlina pandang Rayyan.
“ARBIJA?” tanya Rayyan semula. “Kilang ARBIJA?”
Merlina angguk namun matanya masih memandang wajah Rayyan. Dia tahu Rayyan juga pasti terperanjat sepertinya seketika tadi. Dia sendiri tidak sangka yang Zaffri pekerja ARBIJA. Di profail Zaffri tidak pernah tertulis di mana tempatnya bekerja walaupun tahu Zaffri menetap di Melaka.
“Apa yang dia kata pasal ARBIJA?”
“Perlu ke saya tanya?”
Rayyan membisu agak lama. Dia termenung memandang orang ramai yang lalu-lalang di medan pelancongan di tepi Sungai Melaka. Air kopinya belum tersentuh.
“Terpulang kepada Cik Merlina. Kalau Cik Merlina rasa itu boleh membantu, mungkin tak ada salahnya.”
“Maklumat dari orang dalam.” Merlina masih merenung skrin komputer ribanya di atas meja. Dia tahu Zaffri masih online dan masih menunggu jawapannya tetapi dia sengaja tidak mahu menjawab soalan yang terakhir itu. Dia belum bersedia.
“Kita tak bayar dia. Dia yang nak beri, lagipun mungkin maklumatnya sangat telus,” tambah Rayyan.
Merlina tahu. Dia juga bukan mahu menggunakannya dengan niat yang tidak baik. Dia tahu ARBIJA sudah dua bulan bermasalah. Bukan baru sekarang. Dia kenal Datuk Ramli malah kenal hampir kesemua ahli lembaga pengarah QRISS Holdings. Dia juga tahu apa masalah ARBIJA yang sebenarnya cuma apabila sudah melibatkan Zaffri… dia merasakan perkara itu sudah melibatkan soal peribadinya.
“Don’t make it personal, okey?”
Rayyan bagaikan dapat membaca fikirannya, Merlina mengeluh sendiri dan akhirnya ikut sama termenung.
“Cik Merlina orang bisnes. Cik Merlina harus tahu mengasingkan soal duit dan peribadi,” tambah Rayyan lagi.
“Saya sudah jemu memikirkan soal duit dan duit. Banyak mana lagi yang saya mahu? Lagipun orang macam saya sudah tak perlukan duit bertimbun-timbun.”
Pertanyaan itu membuat Rayyan terkebil-kebil seketika.
“Bukan macam tu maksud saya Cik Merlina.,” jawabnya perlahan. “Tapi jangan sampai orang mengambil kesempatan ke atas diri Cik Merlina.”
“Siapa yang cuba mengambil kesempatan ke atas siapa, Rayyan? Kita atau dia?”
Rayyan terdiam. Dia seolah mati akal untuk membalas serangan Merlina yang tiba-tiba itu. “Saya sekadar mengingatkan.”
“Esok awak hubungi Pengerusi QRISS Holdings. Katakan saya berminat untuk membida ARBIJA,” kata Merlina dengan pasti. Dia menoleh ke arah Rayyan yang hanya diam membisu. “Saya tak mahu dengar bantahan dari awak atau sesiapapun. Usahakan sampai dapat.”
Rayyan sekadar mengangguk dan menutup mulut.
Merlina melihat warna hijau di hujung nama Zaffri bertukar kelabu. Dia tahu Zaffri sudah offline. Sejujurnya hatinya jadi sebak…alangkah indahnya jika dia dapat menunaikan permintaan Zaffri yang satu itu? Tetapi dia tak boleh. Tak boleh….
hmm....teruskan ....x sabar tggu entry baru
ReplyDeletetak semua lelaki sama.......yg pastinya...zaffril pasti dapat menerima kekurangan Melina.........hope Melina dapat solve problem kilang Arbija
ReplyDeleteapapun, akak followwwwwwwwwwwwwwwwww
Lieza Mar - terima kasih
ReplyDeleteAqilah - terima kasih kerana follow cerita ni.