Bab 10
“BETUL ke, Nora nak datang nanti?” tanya Haji Badri, sewaktu dia dan Puan Khamisah berjalan kaki balik daripada rumah jiran. Waktu itu jam sudah hampir ke pukul 10.00 malam.
“Haah. Sah yang ajak dia tadi. Dia kata Hari Wilayah nanti, dia cuti tiga hari, bolehlah dia bawa adik dia datang sekali,” jawab Puan Khamisah. “Lagipun kalau dibiarkan si Zaffri tu menguruskan perkara ni, Sah rasa takkan dia nak buat apa-apa pun.”
Haji Badri diam seolah berfikir.
“Abang tak suka ke dengan Nora tu? Saya lihat dah cukup bagus dah tu untuk Zaffri, malah Sah rasa Zaffri tu beruntung kalau dapat si Nora tu buat isteri. Dia pun bukannya muda sangat lagi.”
“Zaffri ada cakap apa-apa pada Sah?” tanya Haji Badri pula.
Puan Khamisah menggeleng. “Sejak balik ni… asyik berkurung dalam bilik saja. Tapi nampak macam dia banyak kerja saja. Mungkin risau soal kerjalah tu.”
“Abang tak ada masalah nak terima sesiapapun. Asalkan, Zaffri tu nak. Dalam soal ni, abang lebih suka dia yang buat keputusan sendiri sebab dia yang nak kahwin.”
“Yalah, Sah tahu. Sah bukan nak paksa tapi tak adil kalau dia tolak Nora tu begitu saja. Abang sendiri pun dengar semalam apa kata abang long dan kak long. Apa kita nak jawab kalau Zaffri tolak tanpa sebarang alasan yang munasabah?”
Haji Badri menelan air liur. “Zaffri menolak ke?”
“Belumlah lagi. Zaffri belum kata apa-apa, bang. Tapi kenapa dia tak terus terima Nora, itu yang saya hairan,” jawab Puan Khamisah lagi. Lega juga hatinya setelah meluahkan kehairanannya selama ini. “Kalau Zaffri suka dan setuju, tentunya dia sudah kata setuju. Ini tidak. Senyap macam tu saja. Kalau saya tak sebut pasal Nora, sepatah pun dia tak sebut.”
Haji Badri tersengih pula. “Entah-entah, dia dah ada pilihan. Sah tak pernah ke cuba korek-korek?”
Puan Khamisah terdiam seketika. Puas otaknya cuba mengingatkan apa-apa. Bukan dia tidak pernah bertanya soal itu. Namun apabila ditanya, Zaffri akan mengunci mulut rapat-rapat. Paling banyak yang keluar daripada mulut Zaffri adalah bunyi ketawa, kemudian dia akan angkat punggung lari dari situ. Bak kata anak keduanya, Zaffri pemalu bak gadis sunti apabila membicarakan soal cinta dan jodoh. Malah pada pandangan matanya, sikap pemalu Zaffri lebih teruk daripada anak dara sunti dalam zaman moden ini.
“Abang bukan tak tahu perangai Zaffri tu… tanya soal lain, boleh. Tanya soal ni, terus dia cabut lari.”
“Entah apalah masalahnya dengan anak awak sorang tu,” balas Haji Badri.
“Anak saya sorang saja ke? Kalau sorang-sorang tak jadi anak, bang.” Puan Khamisah ketawa.
Haji Badri turut ketawa. Mereka berdua terus beriringan hingga ke muka pintu rumah. “Eloklah bawa Nora tu ke sini. Kita jemput anak-anak kita yang lain balik sekali. Boleh buat makan-makan, mungkin terbuka sikit hati anak awak tu.”
Apa lagi yang boleh dikata? Puan Khamisah tersenyum sampai ke telinga. Di fikirannya sudah tersusun senarai lauk-pauk yang hendak dimasak. Di ruang matanya sudah terbayang rumahnya akan penuh dengan anak-anak dan anak menantu serta cucu-cucu. Kini bertambah pula dengan seorang bakal menantu. Dia sudah terbayangkan keriuhan dan kemeriahan hari itu.
*****
“TAK pasti lagilah, mak. Kena tengok cuti dulu. Kalau Abang Fikri boleh cuti, kami baliklah,” balas Zahida di hujung telefon.
“Sebab tulah mak telefon awal-awal ni. Sebab nak suruh kamu semua ambil cuti awal-awallah,” balas Puan Khamisah lagi. Pada waktu itu, dia berada di ruang tamu, sementara Haji Badri dan Zaffri sudah masuk tidur.
“Apa hal ni, mak? Mak suruh Abang Zaid dan Kak Ita balik juga ke nanti?”
Puan Khamisah tersenyum. Dia memang ternanti-nanti Zahida bertanyakan soalan itu. “Haah, tapi abang kamu tu senang saja, sebab Kak Ita kamu tu tak bekerja.”
“Tapi kenapa mak nak kami semua balik? Mak buat kenduri apa?”
“Bukannya kenduri tapi… mak nak perkenalkan seseorang pada semua ahli keluarga kita,” balas Puan Khamisah.
“Hai! Lain benar bunyi ni, mak? Jangan kata Abang Zaffri nak bawa balik bakal isteri dia.”
Puan Khamisah diam. Dia hanya tersenyum.Dia mahu membiarkan anak bongsunya itu membuat kesimpulan sendiri.
“Eh! Betul ke ni, mak? Hah? Orang mana? Bila nak kendurinya?” Bertalu-talu pertanyaan dilontarkan oleh Zahida.
“Mak malas nak jawab. Nak tahu apa-apa, nanti tanya orangnya sendiri.” Itu sahaja jawapan Puan Khamisah. Puas hatinya kerana dapat mengusik Zahida.
“Orangnya cantik tak, mak? Mak dah tengok ya?” Zahida terus mendesak.
Puan Khamisah hanya ketawa. “Tengoklah sendiri nanti. Pesan dengan suami kamu tu suruh ambil cuti. Lagipun dah dekat enam bulan mak tak tengok cucu-cucu mak. Bawa balik sekali tau.”
“Zah akan bincang dengan Abang Fikri dulu tapi Zah akan cuba pujuk dia. Cakaplah, mak… bakal menantu mak tu orang mana?” Zahida masih merengek.
“Orang dekat saja,” balas Puan Khamisah. “Baliklah nanti, boleh tengok sendiri. Nanti masa tu, tanyalah dia puas-puas.”
“Yalah, yalah… Zah cuba balik,” jawab Zahida. Suaranya sudah mengendur.
Puan Khamisah tersenyum panjang. Dia yakin Zahida, Fikri dan cucu-cucunya akan balik lagi dua minggu. Bahagia sungguh hatinya.
******
Sudah seminggu Zaffri asyik mengadakan mesyuarat. Jika tidak dengan pekerja bawahannya, dengan jurujual kawasan malah hingga ke pihak-pihak yang mengharapkan penajaan pelbagai aktiviti daripada kilang ARBIJA selama ini. Berbuih mulutnya menerangkan tentang polisi syarikat yang baru, akhirnya petang itu dia sudah benar-benar keletihan. Sudah kehabisan tenaga.
“Slow saja? Teruk sangat ke kerja?” tanya Aril sambil menarik kerusi di sebelah Zaffri di Kafe Yuna. Waktu itu jam pada dinding baru menunjukkan pukul 4.30 petang. Mereka ada masa setengah jam untuk berehat dan minum petang sebelum kembali bertugas hingga ke pukul 6.00 petang.
Zaffri tidak menjawab terus. Untuk menjawab pun dia sudah tidak ada tenaga. Mungkin setelah habis kopi secawan, dia akan bertenaga semula, lalu kopi di tangannya diteguk sedikit demi sedikit.
“Aku tanya pun dah tak nak jawab? Ni dah teruk ni? Kena marah dengan Datuk ke?” Aril terus mengusik. Kuih pau di atas piring segera dimasukkan ke mulut. Namun matanya masih ralit memandang ke arah Zaffri yang kelihatan tidak bermaya.
“Itulah kau… aku dah kata awal-awal lagi hari tu. Cari kerja cepat, cari kerja cepat, jangan pedulikan kapal yang nak tenggelam ni, tapi kau degil. Sekarang kau tengok, ramai yang dah dapat kerja, mereka tunggu habis notis sebulan saja. Kau?”
Zaffri menarik nafas panjang, lalu dilepaskan dengan segenap perasaan. Kata-kata Aril tidak ubah seperti menambahkan beban di fikirannya. Daripada tidak terfikir, langsung buat dia berfikir.
“Aku bukan susah hati pasal tu, aku fikirkan soal lain. Lagipun, aku sangat letih menguruskan unit aku. Kau lainlah, unit kau tak melibatkan banyak pihak luar,” terang Zaffri. Masih cuba bersabar. Aril tidak boleh menyamakan unitnya dengan unit dia. Jauh bezanya. Paling-paling pun, Aril hanya perlu berurusan dengan agen yang membekalkan pekerja asing ke syarikat itu.
“Buat apalah kau susah payah buat kerja tu? Buat ala kadar saja. Tak ada bezanya pun,” jawab Aril. “Tengok aku. Aku dah berikan arahan pada orang bawahan aku, lepas tu aku goyang kaki sajalah tunggu masa.”
“Tunggu masa?”
Aril angguk. “Tunggu masa nak cabut lah.”
Zaffri teringatkan sesuatu. Sejak kesibukannya bertambah, dia terlupa langsung untuk bertanyakan hal itu pada Aril. “Interview kau dengan ESTARQ hari tu macam mana? Dapat tak?”
Aril tersenyum lebar. “Tengok oranglah. Dah hantar notis pun.”
“Ya ke? Wah! Jadi officer lah kau kat sana ya? Ada kerja kosong lagi tak?” usik Zaffri pula. Dia tidaklah rasa iri hati ataupun rasa apa-apa pada kejayaan Aril cuma dia mula rasa kehilangan seorang kawan sekerja.
“Dulu aku ajak kau tak nak. Asyik-asyik cakap biar. Sekarang mana ada lagi kerja kosong? Kalau kau nak tahu selain aku ada dua orang lagi officer kat sini cabut ke sana,” balas Aril lagi.
Zaffri tersenyum. “Tak apalah. Tak ada di sana, mungkin rezeki aku di tempat lain. Tapi aku dengar dah ada company lain nak buy over kilang ni.”
“Buy over? Siapa nak buy over kilang yang dah bankrap? Bukan ke tu tanda kilang ni tak boleh survive?”
Zaffri diam sahaja.
“Kau memang patut dapat anugerah pekerja paling setia. Nanti sebelum aku tinggalkan kilang ni, aku jumpa Datuk dan rekomenkan.” Aril gelak besar sebelum menepuk-nepuk bahu Zaffri.
Zaffri meneguk kopinya yang terasa lebih pahit.
Jangan lupa baca cerita SEPATU QUEEN bab 2 DI SINI (Tekan)
bab 6 dan 9 tak ada ke...
ReplyDelete