Saturday, March 10, 2012

Bab 8 : Aku Tak Pernah Jauh


Bab 8
WAKTU makan tengah hari tiba lagi. Seperti biasa, Zaffri turun ke Kafe Yuna untuk mengisi perut dengan apa sahaja yang ada di situ. Kepalanya sudah pening kerana memeriksa semua perancangan sejak pagi tanpa henti. Segala temu janji hari itu pun dibatalkan sahaja. Dia benar-benar fokus kepada masalah di bahagiannya yang harus disusun semula secepat mungkin namun dia tidak menyangka kehadirannya di Kafe Yuna akan disambut seseorang.
“Encil Aril tak turun makan tengah hari ke?” tegur Suzana, setiausaha Datuk Ramli. Dia duduk semeja dengan Zaffri tanpa dipelawa.
Zaffri menoleh ke arah Suzana, kemudian menoleh ke sekeliling. Baru dia perasan yang Aril tidak ada situ seperti biasa. Akhirnya dia menjawab. “Belum turun kut? Biasanya dia ada saja di sini bersama thermos kesayangan dia tu.”
Suzana ketawa.
Zaffri memandang Suzana. Dalam ketawa, ada riak sendu di wajah wanita yang berusia hampir 40-an itu. Bahkan dia dapat merasakan bahawa suasana di kilang itu agak sepi berbanding hari-hari yang biasa. Tidak ada lagi wajah-wajah gembira dan suara yang riuh rendah di kafe itu. Adakah semuanya sedang memikirkan soal yang sama?
“Tak temankan Datuk makan ke hari ni?” Aril cuba mengusik. Selalunya jarang sekali dia melihat Suzana makan di situ.
Suzana menggeleng. Mukanya tunduk memandang nasi di pinggannya.
“Macam mana? Dah cari kerja baru?” tanya Zaffri perlahan, seakan berbisik. Dia tahu hal itu agak sensitif untuk dibicarakan pada waktu itu. Namun reaksi Suzana membuatkan dia sukar untuk menahan diri daripada bertanya.
Suzana ketawa lagi. Dia sememangnya seorang wanita yang suka ketawa dan tersenyum. Mungkin itu juga rahsia kenapa dia awet muda. Wajah dan bentuk tubuhnya tidak sepadan dengan usianya yang sudah hampir 40 tahun.
“Siapalah yang nak ambil saya yang dah tua ni, Encik Zaffri. Nak hantar resume pun segan nak letak tarikh lahir,” balasnya.
“Berapa lama dah Suzana kerja dengan Datuk? Yang saya ingat, semasa saya mula-mula masuk kerja dulu, Suzana memang sudah ada di sini.”
“Sebaya dengan usia kilang ni juga. Sebelum Datuk jadi pengarah lagi. Tapi Datuk nak saya juga jadi setiausahanya semasa ambil alih jawatan tu,” jawab Suzana. Nasi dalam pinggannya sudah luak separuh.
“Begitu….” Zaffri kembali menyambung suapannya. Entah kenapa seleranya tidak rancak seperti biasa. Mungkinkah kerana sudah jemu ataupun mungkin kerana terlalu penat berfikir sejak pagi.
“Encik Zaffri tentu terkejut, kan?”
Zaffri angkat kening. Kurang pasti dengan kata-kata Suzana. “Terkejut pasal apa?”
“Yalah, pasal kilang kita ni dah nak bankrap.” Begitu selamba Suzana menyebutnya.
“Kenapa awak tak beritahu saya awal-awal?”
“Saya bukan tak nak beritahu tapi… Datuk pesan jangan buka mulut dulu. Datuk tak nak pekerja kecoh-kecoh.” Suzana seolah membela dirinya di hadapan Zaffri.
“Dah kecoh pun. Azrin buka mulut, minggu lepas. Tapi kita belum bankrap lagi. Dalam bisnes ni cuma ada tiga pilihan. Kalau tak maju, bankrap ataupun duduk di takat tu sahaja. Biasalah tu….”
Suzana tergamam. Matanya terkelip-kelip melihat wajah Zaffri. “Kenapa Encik Zaffri macam tak susah hati saja? Dah dapat offer ya?”
Giliran Zaffri pula untuk ketawa. Dia tidak susah hati? Itulah selalunya pandangan orang terhadapnya. Sebab dia bujang maka hidup jadi senang. Tidak ada siapa yang tahu, orang macam dia juga ada ketakutan dan kesusahan sendiri.
“Macam Suzana jugalah, dah tua-tua macam ni, segan nak hantar resume. Jadi dari mana offer nak datang?”
“Siapa kata Encik Zaffri dah tua? Tapi Encik Zaffri bujang lagi, tak susah hati sangat berbanding kami semua ni. Saya pula, sayalah segalanya dalam rumah saya. Kalau saya hilang pekerjaan, tak tahulah apa nasib anak-anak saya nanti.”
Zaffri tersenyum nipis. Semuanya tepat seperti yang dijangkakan walaupun dia faham tentunya orang yang sudah berkeluarga lebih banyak susahnya apalagi seorang ibu tunggal seperti Suzana.
“Insya-Allah, rezeki tu ada di mana-mana. Kalau tak di sini, mungkin ada di tempat lain. Cubalah cari. Kalau saya dapat tahu tempat yang nak pakai setiausaha berpengalaman, saya akan beritahu,” jawab Zaffri seikhlasnya. Walaupun itu bukan masalahnya, tetapi jika dia boleh bantu… dia akan bantu.
Suzana tersenyum manis. “Itu yang buat saya sayang lebih kat Encik Zaffri ni. Terima kasihlah sebab sudi bantu saya dan anak-anak saya. Anak-anak kucing kat rumah pun berterima kasih sama,” katanya dalam ketawa.
Zaffri tergelak.
“Datuk tak salah. Dia dah berusaha tapi HQ yang gunakan duit kilang untuk support bisnes lain. Bila bisnes tu jatuh, kilang kita pula yang dapat susah,” sambung Suzana lagi. Kali ini wajahnya kembali muram.
“Ya, saya dah agak. Dan saya tak salahkan Datuk dalam soal ni,” balas Zaffri.
“Tapi dengarnya dah ada beberapa syarikat nak buy over.”
“Baguslah. Sekurang-kurangnya… kita masih ada kerja selepas enam bulan nanti,” jawab Zaffri. Hatinya sedikit lega dengan perkembangan itu.
“Entahlah, Encik Zaffri. Kalau jadi pun… tak pasti management mereka macam mana dan sama ada mereka nak kekalkan kita atau tak,” kata Suzana pula.
Zaffri mengeluh perlahan. Air sirap di dalam gelasnya disedut hingga habis. Kata-kata Suzana ada benarnya, jika pihak pengurusan baru nanti percaya kepada hasil kerja mereka, mereka mungkin akan dikekalkan. Sekiranya tidak, dia yakin, pasti ada yang akan disingkirkan dan digantikan dengan orang baru.
“Habis tu, Suzana macam mana? Takkan tak nak cari kerja baru?”
Suzana tunduk merenung meja. Hanya mulutnya sahaja yang masih mengunyah. “Nak tak nak kenalah saya cuba cari juga walaupun harapan nak dapat tu tipis. Tapi nanti anak-anak saya di rumah tu nak makan apa pula, kan?”
Zaffri angguk. “Jangan putus asa. Cuba sahaja. Mungkin ada syarikat yang nak seorang setiasusaha yang banyak penglaman dan matang seperti Suzana.”
Suzana kembali tersenyum. Sambil bangun untuk membasuh tangan dia sempat menjawab. “Itu yang saya nak dengar sangat tu. Ada juga orang yang beri saya semangat untuk mencuba. Terima kasih, Encik Zaffri.”
Zaffri juga bangkit meninggalkan meja. Senyuman Suzana membuat dia sedar bahawa harapan itu bak bintang-bintang yang berkerlipan di langit. Tanpa bintang, tidak berserilah malam. Dia juga yakin, rezekinya pasti ada di mana-mana bak udara yang bertaburan walau ke mana manusia pergi.
******
“TAK nampak pun muka kau tadi? Makan di luar ke?” tegur  Zaffri apabila Aril tiba-tiba muncul di pejabatnya pada sebelah petang.
Aril terus menarik kerusi lalu duduk. Wajahnya sedikit berpeluh namun riak teruja terpancar jelas. “Aku pergi interview tadi.”
Mata Zaffri terkelip-kelip. “So?”
“Tunggu call sajalah.”
“Baguslah tu. Hilanglah susah hati kau,” balas Zaffri. Kini dia sudah mula mencatatkan beberapa hal lagi dalam dokumen yang akan dibawa ke bilik mesyuarat bahagian pemasaran sebentar lagi.
“Kau tahu kat mana aku interview?” tanya Aril lagi.
Zaffri geleng. Penting ke untuk dia tahu?
“Kilang ESTARQ.”
“ESTARQ?” Zaffri bertanya balik. “Bagus tu… kilang besar. Lebih besar dari kilang kita.”
Sebenarnya, dia agak terkejut. ESTARQ sememangnya sebuah kilang makanan segera yang cukup besar di negeri itu. Malah pesaing mereka yang paling kuat. Dia tidak pasti adakah berpaling kepada pesaing satu tindakan yang bijak ataupun tidak tetapi seandainya itu sudah rezeki Aril, dia tumpang gembira.
“Kita, kalau nak berubah tempat kerja mesti pilih tempat yang lebih besar. Baru ada makna,” balas Aril. Wajahnya berseri-seri.
“Macam mana dengan gaji?” tanya Zaffri.
Aril acung ibu jari tanda bagus.
Zaffri terangguk-angguk. Entah apa perasaannya waktu itu. Suka? Cemburu? Menyesal? Semuanya ada? Entahlah. Dia sendiri tidak faham kenapa dia tetap tenang sahaja menghadapi situasi kali ini. Sehinggakan Aril sudah mencari kerja baru pun, dia tetap tidak buat apa-apa lagi.
“Kau bila nak cari? Kalau semua pegawai di sini dah berpindah, kau juga yang susah nak cari kerja nanti.”
“The last man standing mungkin….”
Aril mengeluh dan menggeleng. “Kau nak ikut tenggelam dengan kapal ni? Apa yang kau dapat? Kalau kau tak ada isteri sendiri pun, sekurang-kurangnya janganlah sia-siakan hidup kau dan pengalaman kau. Tunggu juga kapal yang bocor ni nak buat apa?”
“Aku ada mesyuarat dengan department aku. Kau tak buat mesyuarat lagi?” Zaffri sudah geram. Entah kenapa, Aril asyik mendesaknya.
Aril diam. Tanpa bersuara, dia mengangkat punggung dan meninggalkan pejabat Zaffri.
Zaffri hanya memerhati Aril pergi. Fikirannya berserabut semula.
*****
“ZAFFRI! Mari makan kuih ni,” panggil Haji Badri sebaik sahaja ternampak muka Zaffri di rumah petang itu.
Zaffri yang baru sahaja mahu melangkah ke luar semula untuk mengangkat baju di jemuran langsung menukar arah. Dia menuju ke meja makan pula. Sekeping kuih bingka ubi diambil lalu disuap ke mulut.
“Siapa buat ni, mak?”
“Jiran depan tu yang hantar,” jawab ibunya, langsung menuangkan air teh secawan untuk Zaffri, kemudian tersenyum.
Zaffri mula terasa pelik. Lain macam sahaja senyuman ibunya petang ini. Pagi tadi mendung macam mahu hujan ribut.
 “Tadi Nora telefon mak.”
Anak mata Zaffri spontan melirik ke arah ibunya. Nora? Patutlah… kata hati Zaffri.
“Dia kirim salam pada Zaffri. Dia dah balik KL hari ni,” tambah Puan Khamisah.
“Waalaikumussalam.” Zaffri membalas. Kuih bingka di dalam mulutnya terasa makin tawar dan sedikit pahit. Tanpa dapat dihalang, degupan jantungnya mendadak jadi laju. Dia tahu ibunya suka jika bercerita soal Nora dan dia belum dapat mencari jalan untuk meninggalkan meja itu secepat mungkin.
“Dia tak telefon kamu?”
Zaffri geleng. Walaupun dia ada memberikan nombor telefon dia kepada Nora sebelum dia balik ke situ semalam, namun dia yakin Nora juga segan untuk menghubunginya. Gadis itu cukup akal fikirannya. Syukur. Jika tidak, dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu melayan gadis itu.
“Kamu ada ke nombor telefon dia? Kalau tak ada, mak boleh berikan.” Puan Khamisah terus berceloteh. Haji Badri buat muka selamba.
Zaffri tersenyum. Tepat seperti yang diduganya. Selagi nombor telefon Nora tidak ada dalam simpanannya, pasti ibunya tidak akan senang hati. Kemudian selagi dia tidak menelefon Nora, ibunya juga akan bertanya setiap hari.
“Mak dah SMS kat telefon kamu. Nanti telefonlah dia.” Puan Khamisah meletakkan telefon bimbitnya semula di atas meja.
Zaffri pasti pada saat itu, SMS itu sudah pun masuk ke telefon bimbitnya yang berada di dalam bilik. Jika tidak ada sekalipun, dia pasti, ibunya akan menghantar nombor itu berkali-kali.
“Seganlah, mak. Nak cakap apa?” balasnya main-main. Rasanya tidak ada hal yang terlalu penting hendak dibicarakan dengan Nora lagi. Dia pun masih belum ada masa untuk memikirkan soal itu. Kepalanya penuh dengan soal kerja dan soal Merlina.
“Takkan itu pun mak nak kena ajar? Cakap sajalah apa-apa.”
“Nantilah, mak. Saya sibuk sekarang.”
“Tunggu kamu tak sibuk… alamatnya sampai tahun depan pun kamu tak telefon,” jawab Puan Khamisah dengan suara yang tinggi. “Tadi mak dah ajak Nora ke rumah kita.”
Zaffri tersedak. Air teh yang sedang diteguk tumpah hingga mengenai baju yang dipakai. Tergesa-gesa dia menyapunya.
“Tengoklah tu…dah besar pun tak tahu minum dengan elok,” bebel Puan Khamisah pula yang baru kembali dari dapur bersama sehelai tuala kecil.
“Bila Nora nak datang sini?” tanya Haji Badri pula.
Puan Khamisah terdiam seketika. “Katanya cuti hari wilayah.”
Hari Wilayah? Diam-diam, Zaffri mengira dalam hati. Lagi dua minggu? Dia terus bangkit dari situ. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.